Saya Suhaimi Taib, mendapat Sijil Pentadbiran Islam dari Kusza Kuala Terengganu (2002), Kursus Penerbitan Video Koperat Universiti Malaya (2003), Pengarang Warta Darul Iman (2000-2003) Penerbit Siaran Darul Iman (2003-2004), Wartawan Sambilan Berita Harian (1997-1998), Wartawan Harakah (1989-1996).
Menerima Anugerah kewartawanan Esso-Kawat (1997 dan 1998)

Hubungi saya melalui e-mel: seramaesty@yahoo.com atau H/P No: 013-9060111.

Wednesday, September 9, 2015

Politik Terengganu: Air tenang jangan sangka tiada buaya

Pergolakan politik di Terengganu dilihat apabila Bekas Menteri Besarnya Dato' Seri Ahmad Said, diminta berhenti dari menerajui kerajaan negeri itu tidak lama dulu.
  Terengganu hampir jatuh semula ke tangan PAS, cuma kurang dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menang majoriti mudah menubuhkan kerajaan buat kali ketiga dalam pilihanraya umum ke 13 yang lalu.
  Dengan pemberhentian Ahmad sebagai menteri besar, diganti dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Dato' Ahmad Razif Abdul Rahman, menjadikan kerajaan Berisan Nasional (BN) itu, sedikit goyang.
  Cuma setakat ini Ahmad masih pertahan dan masih tidak berganjak, tetap bersama BN, walaupun cukup tidak berpuas hati dengan cara Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menangani isu ini.
  Dalam ucapannya di mesyuarat agung perwakilan bahagian Kemaman baru-baru ini, beliau masih mengulangi kenyataan tidak puas hatinya untuk melepaskan jawatan itu biarlah selepas selesai majlis perkahwinan anaknya terlebih dahulu.
  Katanya, ini kerana surat jemputan undangan telah dibuat untuk hadir ke majlis tersebut atas kapasitinya sebagai menteri besar Terengganu.
  "Ini soal maruah saya, biarlah habis majlis nikah anak saya dulu, barulah ambil kira soal perletakan jawatan itu," jelasnya.
  Bagaimanapun beliau diminta melepaskan jawatan itu dipercayai kerana tempoh memegang jawatan tersebut telah tamat. Alasan majlis perkahwinan anaknya tidak diambil kira.
  Mohd Najib sebagai Perdana Menteri dan sebagai Presiden Umno dikatakan telah membuat perjanjian tempoh tertentu dengan Ahmad untuk memegang jawatan berkenaan.
  Tanpa mengambil kira majlis perkahwinan anak Ahmad itu, Mohd Najib mengarahkannya supaya melepaskan jawatan tersebut.
  Ketika pelepasan jawatan tersebut suasana politik Umno berlaku sedikit ketegangan antara kumpulan penyokong Ahmad dengan kumpulan penyokong Mohd Najib melalui kepimpinan Terengganu di bawah Ahmad Razif setelah beliau mengangkat sumpah sebagai menteri besar yang baharu menggantikan Ahmad Said yang juga ADUN Kijal.
  Walaupun pada zahirnya Umno Terengganu nampak tenang tetapi bak kata pepatah, air tenang jangan sangka tiada buaya, boleh dipakai untuk pergolakan politik dalaman parti itu.
  Ahmad Said sudah meluahkan rasa tidak puashatinya terhadap Mohd Najib sejak peristiwa beliau diminta melepaskan jawatan sebagai menteri besar. Bagaimanapun beliau masih lagi memegang jawatan Ketua Bahagian Umno Kemaman sehingga sekarang.
  Semasa krisis pertukaran menteri besar negeri itu beliau bercuti panjang dan menyerahkan tugasan parti kepada timbalannya Datuk Seri Ahmad Shabery Chik. Ahmad Said ketika berucap di mesyuarat agung perwakilan Umno bahagian itu melahirkan rasa terima kasih kepada timbalannya kerana menggalas tugas beliau ketika bercuti.
  Katanya, itu kali pertama dia bercakap selepas bercuti, sudah pasti beliau merasa kesan agak mendalam terhadap pemecatan secara tidak langsung dari jawatan menteri besar itu.
  Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yasin merasmikan mesyuarat tersebut di Kemaman. Umno Kemaman tidak menjemput Mohd Najib selaku Presiden Umno untuk merasmikan mesyuarat itu.
  Ini menunjukkan ada kecenderongan Umno Kemaman di bawah Ahmad Said  untuk menyokong Muhyiddin terutama dalam isu kritikan terhadap 1MDB, sebuah syarikat kerajaan yang sarat hutang.
  Ahmad sebagaimana video ucapannya diviralkan di internet menjelaskan bahawa 1MDB asalnya dari Terengganu bukan dari Kelantan.
  Beliau mendedahkan dan bersumpah dengan nama Allah bahawa 1MDB ada usaha untuk mencagar minyak negeri Terengganu dipercayai bagi mendapatkan pinjaman daripada bank dengan jumlah yang besar.
  Bagaimanapun usaha itu gagal. Ahmad dengan kenyataan ini jelas secara tidak langsung, tidak bersetuju dengan tindakan 1MDB itu. Sekaligus tidak bersetuju dengan Mohd Najib kerana dia adalah penasihat kepada 1MDB.
  Menurut Portal Pakdin.my, pada Januari 2009, kerajaan Malaysia telah mengambil alih Lembaga Pelaburan Terengganu yang ditubuhkan pada tahun 2008 dan menjadikan lembaga tersebut sebagai sebuah syarikat berhad yang dinamakan 1 Malaysia Developement Berhad (1MDB).
  Pengambilalihan tersebut bertujuan untuk melibatkan lembaga itu ke dalam sektor pelaburan “Sovereign Wealth Fund” iaitu perniagaan berkaitan pelaburan milik negeri ataupun negara.
  Kebiasaannya pelaburan yang dibuat melalui dana negeri ataupun negara adalah dalam sektor hartanah, saham, bon, tenaga dan sebagainya.
Secara am, modal niaga untuk “Sovereign Wealth Fund” ini adalah daripada dana keuntungan hasil komoditi negeri.
  Lembaga Pelaburan Terengganu yang sebelumnya diambilalih oleh kerajaan pusat dan dijadikan sebuah syarikat berhad melibatkan diri dalam aktiviti pelaburan “Sovereign Wealth Fund” daripada hasil royalti minyak negeri itu.
  Penasihat Lembaga Pelaburan Terengganu ketika itu ialah Jho Low.
  Ketika Lembaga Pelaburan Terengganu diambil alih oleh Kementerian Kewangan dan dijadikan 1MDB, Lembaga Pelaburan Terengganu mempunyai cadangan portfolio dana pelaburan bernilai RM1 billion dengan cagaran bernilai RM6 billion hasil royalti minyak untuk mendapatkan dana pelaburan bernilai RM5 billion.
  Pengambilalihan Lembaga Pelaburan Terenganu oleh kerajaan pusat direstui oleh Yang Dipertuan Agung, Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Ismail yang juga Sultan Terengganu.
  1MDB ditubuhkan pada januari 2009 sebelum Mohd Najib menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
  Lembaga Pelaburan Terengganu ditubuhkan pada tahun 2008 ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
  Jho Low menjadi penasihat Lembaga Pelaburan Terengganu pada tahun 2008 ketika era pentadbiran Tun Abdullah.
  Siapakah Jho Low? Jho Low ialah anak kepada Datuk Low, pemilik MWR Berhad yang terlibat dalam sektor kejuruteraan kontraktor.
  Jho Low adalah pelajar di sebuah universiti terkenal Amerika Syarikat (AS) dan berkawan baik dengan keluarga diraja Jordan dan Arab yang belajar di universiti yang sama dengan beliau.
  Pada usia 20 tahun, Jho Low telah memiliki sebuah syarikat pelaburan bernilai USD25 juta dan mempunyai rangkaian perniagaan berasaskan pelaburan yang agak kuat dan berpengaruh di timur tengah dan atas faktor tersebut, Jho Low mendapat jawatan sebagai Penasihat Lembaga Pelaburan Terengganu.
  Asas perniagaan 1MDB ialah dalam sektor pelaburan, tenaga, hartanah, pelancongan, pertanian dan lain-lain. Manakala projek 1MDB ialah TRX (Tun Razak Exchange). TRX ialah sebuah projek Zon Kewangan Antarabangsa seperti Wall Street di New York, Singapura, Hong Kong, Dubai, Tokyo dan lain-lain.
  Aktiviti perkhidmatan kewangan antarabangsa adalah perniagaan teras di zon ini. 1MDB merancang untuk membangun bandar Malaysia yang merupakan sebuah kawasan seluas 162 hektar yang dulunya pengakalan TUDM Sungai Besi. Ia akan dibangunkan sebagai Pusat Kewangan Islam Antarabangsa dengan rakan niaga utama ialah Qatar Investment Authority, Pusat Komersial, perumahan mewah dan sebagainya.

  1MDB juga dikatakan terbabit pelaburan dalam sektor tenaga  'The Invoice Processing Platform' (IPP) dan pelaburan IPP dalam SCORE Sarawak. Ia juga membabitkan diri dalam aktiviti membawa pelaburan asing ke Malaysia dengan perkongsian modal melalui Petrosaudi Ltd.

  Teras perniagaan 1MDB ialah sektor pembangunan strategik di mana ianya sebagai penyedia infrastruktur kepada pelabur yang berminat untuk melabur di Malaysia dalam sektor kewangan, bon, saham, sukuk, sektor tenaga, sektor hartanah dan sektor pelaburan berkaitan.
  Keseluruhan tempoh fasa pembangunan 1MDB ialah selama 15 tahun dan ianya adalah satu aktiviti pelaburan jangka panjang. Itulah rumusan mudah tentang 1MDB.
  Malangnya 1MDB  kini menjadi laibiliti kerana hutangnya dengan bank mencecah berpuluh bilion ringgit, dan dipercayai syarikat itu terpaksa membayar bunganya sahaja mencecah billion ringgit sebulan. Difahamkan syarikat itu belum mampu membayar pokok pinjaman lebih dari RM40 billion.
  Ia juga dikaitkan dengan wang derma (rasuah) yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Mohd Najib sebanyak RM2.6 billion.
  Ahmad Said,  Muhyiddin dan rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama mempertikaikan perolehan wang tersebut sebab tidak ada penjelasan yang benar diberikan oleh Mohd Najib kepada rakyat.
  Dengan adanya isu ini, Umno seluruh Malaysia tergugat kredibilitinya dan rakyat diperbodohkan oleh Mohd Najib.
  Umno Terengganu yang sudah lama bermasalah akan lebih bermasalah lagi, dengan wujudnya skendal kewangan terbesar Asia itu yang menjadi topik besar media seluruh dunia.
  Bagaimanapun untuk membaca percaturan politik Ahmad Said, sama ada ia mahu menggugat kerajaan BN Terengganu ia bukan satu perkara yang mudah dibuat telahan.
  Kedudukan kerusi 17 BN dan 15 di pihak pembangkang, termasuk 14 PAS dan satu kerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR), tidak mudah untuk mengambil kira ADUN BN memihak kepada pembangkang.
  Ahmad Said berkata beliau tidak mengkianati Umno walaupun ada ajakan pihak pembangkang menyertainya supaya kerajaan bertukar dari BN kepada pembangkang.
  Jika berlaku pertukaran kerajaan di masa terdekat, dibimbangi kedudukannya masih goyang, kerana wakil rakyat BN bagi penulis bukan boleh dipercayai sepenuhnya.
  Jika dengan baiah pun wakil rakyat PAS mempermainkannya, apa lagi wakil rakyat BN.
  Pilihan raya peringkat negeri adalah satu pilihan terbaik untuk rakyat membuat pilihan semula kerajaan mereka di Terengganu agar kestabilan politik negeri itu lebih terjamin dan parti-parti politik boleh menawarkan khidmat mereka dengan penilaian prestasi di tangan rakyat diterjemahkan melalui undi dalam pilihan raya.

Terima kasih kerana sumbangan anda. Sumbanglah untuk kebaikan perjuangan kita bersama.

Can't find what you're looking for? Try Google Search!

Google
 

ANDA ADA MAKLUMAT ISU NEGARA?

Sila emailan kepada saya di seramaesty@yahoo.com atau hubungi saya di talian 013-9060111.

TERIMA KASIH ATAS KERJASAMA ANDA

Feedback Form

Join the Mailing List
Enter your name and email address below:
Name:
Email:
Subscribe  Unsubscribe 

Dr. Irfan menjelaskan Perniagaan Internet secara mudah kepada anda

Free Viral Advertising