Saya Suhaimi Taib, mendapat Sijil Pentadbiran Islam dari Kusza Kuala Terengganu (2002), Kursus Penerbitan Video Koperat Universiti Malaya (2003), Pengarang Warta Darul Iman (2000-2003) Penerbit Siaran Darul Iman (2003-2004), Wartawan Sambilan Berita Harian (1997-1998), Wartawan Harakah (1989-1996).
Menerima Anugerah kewartawanan Esso-Kawat (1997 dan 1998)

Hubungi saya melalui e-mel: seramaesty@yahoo.com atau H/P No: 013-9060111.

Sunday, September 6, 2015

Ahli PAS: Sebelum dan selepas Reformasi Anwar

Ahli PAS dan suasana sebelum dan selepas reformasi yang dianjurkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, tahun 1998 agak berbeza.
  Ahli PAS melihatkan kesedaran rakyat Malaysia berbilang kaum begitu ketara dan berani berbanding sebelum zaman reformasi. Ahli PAS mendapat rakan-rakan perjuangan hak umum rakyat Malaysia dari berbilang kaum, menuntut pilihanraya bersih dan adil, secara lebih terbuka.
  Bagaimanapun kesedaran ketidakadilan sistem pilihnraya sudah dirasai sebelum itu, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam banyak ucapannya di khalayak ramai sering mengungkapkan bahawa PAS berhadapan dengan kempen pilihanraya yang berat sebelah seperti bermain di padang yang tidak rata.
  Barisan Nasional (BN) atas nama kerajaan tanpa rasa bersalah menggunakan jentera kerajaan untuk turut sama berkempen bagi pihak parti itu. Maka jadilah perlawanan kempen berat sebelah seperti bermain bola di padang yang tidak sama rata antara BN dan PAS.
  Namun pandangan PAS itu didengari oleh majoriti kelompok ahli dan penyokongnya sahaja tidak meluas di kalangan rakyat berbilang kaum kerana pentas ceramah PAS dikunjungi oleh ahli serta penyokongnya, tidak ramai dari kalangan parti lain.
  Dengan adanya reformasi rakyat, ingin mencari alternatif Barisan Nasional (BN) yang dilihat sudah tidak berkemampuan memerintah negara dengan cara yang baik dan lebih efision lalu gerakan reformasi Anwar membuka mata rakyat berbilang kaum mengunjungi pentas terbuka bersama barisan kepimpinan pembangkang termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP.
    Anwar yang dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad (semasa itu bergelar Datuk Seri), telah mendedahkan keburukan UMNO kepada umum secara lebih mendalam, mendorong rakyat Malaysia lebih terbuka menerima parti-parti pembangkang sebagai wadah baru perjuangan politik mereka.
  Portal Wekipedia menggarap kronologi lahirnya gerakan reformasi dipelupuri Anwar secara sepintas lalu.
  Menurut portal itu, pergerakan reformasi di Malaysia dilaksanakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan para penyokongnya sebaik sahaja beliau dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada tahun 1998.
  Gerakan ini terdiri daripada beberapa acara tunjuk perasaan dan perbarisan besar-besaran untuk menentang kerajaan campuran BN yang lama memerintah, yang berterusan sehingga Anwar ditahan lalu dipenjarakan pada tahun 1998, lalu pudarnya pergerakan tersebut. 
  Sasaran kempen reformasi ialah Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Mahathir Mohamad yang dipandang sebagai pemimpin yang korup dan sudah terlalu lama memegang jawatannya.
  Kesan peninggalan gerakan reformasi akhirnya terasa ketika pilihan raya umum pada tahun 2008, apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan Anwar Ibrahim memenangi 31 kerusi parlimen, dan bersama-sama PAS dan DAP mematahkan majoriti dua pertiga BN di Parlimen.
  Di Sidang Kemuncak APEC 1998 di Kuala Lumpur, Naib Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Al Gore, memberi ucapan yang menyokong Anwar dan pergerakan reformasi di hadapan Mahathir dan pemimpin Asia-Pasifik yang lain.
  "Demokrasi mengurniakan mohor keabsahan yang perlu untuk pembaharuan agar berkesan." 
  Tambahnya lagi: "Oleh itu, di kalangan negara yang mengalami krisis ekonomi, kita masih mendengar laungan demi demokrasi, laungan demi pembaharuan, dalam pelbagai bahasa - People Power, doi moi, reformasi. Kita mendengarnya hari ini - di sini dan sekarang - di kalangan rakyat Malaysia yang berani."
  Sebagai pengulas politik, bekas Timbalan Perdana Menteri Musa Hitam berkata, "Jika pergerakan dan tunjuk perasaan "reformasi" harus diberi kepentingan dari segi politik Malaysia — seandainya ada apa-apa yang dapat saya katakan sebagai kesimpulan positif tanpa teragak-agak — ianya tidak berbaur perkauman. Menakjubkan... lebih kepada isu daripada kaum. Saya kagum." 
  Musa mengulas bahawa sebelum reformasi, "apa jua sekalipun tunjuk perasaan di Kuala Lumpur atau Pulau Pinang sentiasa berbaur perkauman. Sekalipun menentang kerajaan, mereka membakar kedai-kedai Cina."
  Gerakan Reformasi ini membawa kepada penubuhan parti berbilang kaum yang bernama Parti Keadilan Nasional. Menjelang pilihan raya umum tahun 1999, Parti Keadilan Nasional, PAS dan DAP membentuk Barisan Alternatif (BA) dalam inisiatif bersama untuk menggantikan kerajaan BN. Bagaimanapun tidak berapa lama selepas itu, DAP keluar dari BA kerana tidak setuju dengan PAS yang memperjuangkan negara Islam dan Hudud.
  Buat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia, UMNO selaku parti utama dalam parti campuran BN menerima kurang separuh daripada jumlah undian kaum Melayu.
  Portal itu menyebut walaupun begitu, BN kekal sebagai parti campuran terbesar di Parlimen, hasil sokongan padu dari bukan Melayu yang mengkhuatiri ketidakstabilan yang mungkin terjadi seandainya parti campuran pemerintah ditumbangkan seperti yang berlaku pada Mei 1969.
  Pergerakan reformasi seakan-akan pudar selepas pilihan raya tahun 1999, diikuti pilihan raya 2004 apabila Parti Keadilan Nasional kehilangan semua kerusinya di Parlimen kecuali satu yang dipertahankan oleh Presidennya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, isteri Anwar Ibrahim. 
  Kemenangan besar BN pada tahun 2004 adalah berpunca daripada harapan tinggi terhadap Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menggantikan tempat Dr. Mahathir pada Oktober 2003.
  Namun demikian, Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara pada September 2004, dan Parti Keadilan Nasional bangkit semula sebagai Parti Keadilan Rakyat (PKR). 
  PKR menang besar di pilihan raya umum 2008, dengan memenangi 31 kerusi lalu menjadi parti pembangkang terbesar di Parlimen. 
  Selain itu, lima daripada sebelas kerajaan negeri di semenanjung Malaysia jatuh di tangan campuran PKR, PAS dan DAP yang kemudian membentuk Pakatan Rakyat. Kerajaan BN buat pertama kalinya sejak tahun 1969, kehilangan majoriti dua pertiganya di Parlimen.
  Demikian rentetan sejarah gerakan reformasi Anwar dicatatkan oleh Portal Wekipedia, menggambarkan sedikit sebanyak kesannya terhadap politik Malaysia.
  Dalam posisi ini ahli PAS melihat gerakan reformasi Anwar sebagai suatu gelombang politik boleh menarik kesedaran rakyat berbilang kaum ke arah perubahan politik Malaysia yang lebih realistik dan dinamek, bukan satu titik nokhtah untuk menjadikannya paksi perubahan politik secara total.
  Gelombang reformasi ini telah menenggelamkan gelombang biru yang dilancarkan oleh BN Terengganu, di bawah Pengerusi Perhubungan UMNO, Dato' Seri Idris Jusoh. Gelombang reformasi ini antara lain telah menggerakkan kesedaran rakyat untuk memberi kemenangan Besar kepada PAS di Terengganu sehingga berjaya membentuk kerajaan tahun 1999 buat kali kedua.
  Gambar mata lebam Anwar tersebar secara meluas dalam pilihanraya umum tahun tersebut, menyebabkan orang Melayu bersimpati terhadap Anwar dan memanifestasikan simpati tersebut dalam bentuk undi kepada parti pembangkang termasuk PAS.
  Persoalannya, sudah pasti PAS cukup bersimpati terhadap nasib orang yang dizalimi oleh BN kerana memang dasar perjuangannya menentang kezaliman. Bagaimanapun PAS tidak bersetuju usaha Anwar masuk UMNO kononnya untuk melakukan islah dari dalam parti sekular Melayu itu.
  Ini kerana tidak akan berupaya Anwar melakukan islah dari dalam parti itu jika dasarnya tidak berubah dan tidak mampu diubah oleh bekas Presiden ABIM itu. Ternyata jelas beliau tidak berjaya melakukannya bahkan beliau dipecat dari UMNO.
  UMNO dilihat begitu jijik dengan dasar sekular dan nasionalis yang diperjuangkannya. Selagi dasarnya tidak berubah, jangan diharap parti itu mengizinkan Islam yang syumul dilaksanakan dalam negara ini selagi ia menjadi parti pemerintah.
  Tidak ada lagi parti yang berupaya mengatasi UMNO melainkan PAS dengan prinsip perjuangannya begitu jelas dengan dasar Islamnya yang tepat mengikut tafsiran sebenar, tidak pernah cenderung kepada mana-mana fahaman ciptaan manusia sama ada dari timur atau barat tidak seperti parti-parti pembangkang yang lain.
  Nah, di atas prinsip inilah ahli PAS beristiqamah tanpa berganjak sedikitpun dari dahulu sampai sekarang, berpegang taguh dengan prinsip perjuangannya. Tribulasi yang dihadapi oleh PAS dengan wujudnya golongan yang gugur dalam perjuangan, tidak mematahkan semangat ahli-ahlinya untuk teruskan perjuangan sehingga kini
  Ia sebagai satu penapisan untuk meletakkan PAS sebagai gerakan Islam yang mantap dan bermaruah di Asia Tenggara, dihormati kawan dan lawan.
  Gerakan Harapan Baru (GHB) adalah rentetan kumpulan yang gugur dalam perjuangan gerakan Islam di nusantara ini. GHB akan mengalami kegagalan sebagaimana kegagalan yang dihadapi oleh parti-parti serpihan sebelum ini seperti Berjasa, Hamim, Islah dan Akin.
  Kewujudannya atas asas yang rapuh iaitu tidak sebulu dengan kepimpinan di zaman masing-masing. Begitulah juga dengan GHB. Sepatutnya kepimpinan GHB belajar dari sejarah dan menjadikannya sebagai panduan untuk rasional dalam gerakan politik.

Terima kasih kerana sumbangan anda. Sumbanglah untuk kebaikan perjuangan kita bersama.

Can't find what you're looking for? Try Google Search!

Google
 

ANDA ADA MAKLUMAT ISU NEGARA?

Sila emailan kepada saya di seramaesty@yahoo.com atau hubungi saya di talian 013-9060111.

TERIMA KASIH ATAS KERJASAMA ANDA

Feedback Form

Join the Mailing List
Enter your name and email address below:
Name:
Email:
Subscribe  Unsubscribe 

Dr. Irfan menjelaskan Perniagaan Internet secara mudah kepada anda

Free Viral Advertising