Saya Suhaimi Taib, mendapat Sijil Pentadbiran Islam dari Kusza Kuala Terengganu (2002), Kursus Penerbitan Video Koperat Universiti Malaya (2003), Pengarang Warta Darul Iman (2000-2003) Penerbit Siaran Darul Iman (2003-2004), Wartawan Sambilan Berita Harian (1997-1998), Wartawan Harakah (1989-1996).
Menerima Anugerah kewartawanan Esso-Kawat (1997 dan 1998)

Hubungi saya melalui e-mel: seramaesty@yahoo.com atau H/P No: 013-9060111.

Friday, November 28, 2008

Ajaran Sesat Ayah Pin: Siapa bertanggungjawab?

Media banyak menyentuh isu pengamal ajaran sesat, Arifin Muhamad, 65 (Ayah Pin) awal bulan ini apabila berlaku kontradiksi antara pihak penguasa berkenaan bidang kuasa mendakwa dan menangkap pemimin ajaran sesat itu.

Di Kuala Terengganu, 14 November lalu Bernama melaporkan bahawa Polis menyifatkan Ayah Pin masih lagi satu ancaman kerana pengaruh ajaran sesatnya belum berkubur sepenuhnya.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Shukri Dahlan dilaporkan sebagai berkata, walaupun
demikian, sebarang tindakan untuk menangkapnya tertakluk kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) memandangkan polis tidak boleh melangkaui keputusan jabatan itu yang berkuasa terhadap hal berkaitan agama Islam.

"Dalam tempoh terdekat, mungkin ada ke arah itu (penahanan)," katanya kepada pemberita sebagai mengulas kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan yang mengarahkan polis Terengganu mendapatkan penjelasan daripada JHEAT yang belum membenarkan polis menahan Ayah Pin walaupun dia dipercayai pulang ke negara ini dari Selatan Thailand baru-baru ini.

Mohd Shukri berkata bahawa dalam satu pertemuan dengan JHEAT, polis dimaklumkan bahawa jabatan itu masih dalam proses memulihkan akidah pengikut-pengikut Ayah Pin.

"Polis dimaklumkan ada antara pengikut Ayah Pin yang sudah bersembahyang Jumaat dan kembali bercampur dengan masyarakat sekitar," katanya.

Di Kemaman, Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said mengarahkan JHEAT supaya menyerahkan laporan perkembangan terkini siasatan mengenai Ayah Pin kepada beliau dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, di Kuantan pada 17 November lalu Bernama melaporkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata Ayah Pin yang didakwa menganjurkan satu ajaran sesat di Terengganu, hanya akan ditahan jika Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) meminta bantuan polis untuk menangkapnya.

Beliau menjelaskan kes penyelewengan agama atau ajaran sesat bukanlah dalam bidang kuasa polis sebaliknya ia adalah bidang kuasa majlis agama Islam.

"Dalam hal ini Ayah Pin dikatakan melakukan penyimpangan dari segi agama, dia mengajar agama sesat. Bila ajar agama, ini bukan bidang polis, ini bidang majlis agama, kita hanya boleh ambil tindakan bila majlis agama memberikan kita arahan untuk menolong menangkap dia," katanya kepada pemberita selepas menutup Perhimpunan Pertahanan Awam peringkat kebangsaan di sini, baru-baru ini.

Menurut sejarahnya, kumpulan Ayah Pin merupakan antara lima kumpulan ajaran sesat paling tegar dikesan di Malaysia dan mula bergerak pada tahun 1982.

Kumpulan itu antara lain, mengamalkan ratib secara kuat dalam gelap dengan bercampur antara lelaki dan wanita. Ayah Pin pula didakwa mengaku dirinya sebagai tuhan, pencipta semua agama serta pemegang kunci ke syurga.

Dikatakan sebanyak 22 perkara baru yang bertentangan dengan Islam dilakukan oleh ayah Pin dalam ajarannya dimana kebanyakkannya adalah untuk kepentingan diri sendiri antaranya pengikut perempuan perlu melucutkan pakaian kerana ayah Pin mendakwa pakaian yang dipakai mereka tidak suci.

Dipercayai terdapat 22 dari 25 ajaran yang tidak pernah didedahkan sebagai tambahan pada ajarannya.

Antaranya ialah Ayah Pin mendakwa akan menjadi Perdana Menteri di akhirat nanti. Ayah Pin mendakwa waktu Solat subuh berpanjangan hingga ke Zuhur.

Beliau dikatakan mendakwa Al-Quran yang ada sekarang tidak benar dan kiamat tidak akan berlaku kerana Allah tidak bodoh menjadikkan alam dan merosakkannya kembali.

Ajaran sesat itu mendakwa apabila bermimpi anak gadis pengikutnya berkahwin, si bapa perlu 'menyerahkannya' kepada ayah Pin untuk diserahkan kepada lelaki bertuah itu.

Kumpulan ajaran sesat itu didakwa mengamalkan upacara pengampunan yang dilakukan ketika bulan mengambang dan pengikut wanita perlu menanggalkan pakaian yang tidak suci serta perlu bersetubuh dangan 'tuhan' untuk mendapat lebih berkat.

Pengikut perempuan dikehendaki bernikah secara batin dengan 'tuhan' (ayah Pin) sementara pemimpin ajaran sesat itu mendakwa mempunyai keajaiban menyumpah orang menjadi batu dan menukarkan individu menjadi muda.

Didakwa wang diberikan Ayah Pin tidak akan habis apabila dibelanjakan. Didakwa juga kononnya Ayah Pin boleh membawa roh pengikut untuk berjumpa nenek moyang setahun sekali.

Isteri ayah Pin didakwa kononnya bukan orang biasa tetapi Puteri Gunung Ledang, Puteri Saadong, Puteri Nanu dan Puteri Matahari.

Kumpulan ajaran sesat itu mendakwa semua benda boleh dimakan termasuk yang diharamkan oleh agama Islam.

Persoalan juag timduk dalam kes perbicaraan pertikaian apakah undang-undnag yang berkuatkuasa ke atas kesalahan yang didakwa dialukan oleh Ayah Pin dan pengikutnya sama ada undang-undang sivil atau enakmen syariah negeri Terengganu.

Baru-baruini di Putrajaya, Ketua Hakim Negara Tan Sri Zaki Tun Azmi berkata beliau akan berusaha mencari jalan penyelesaian berhubung konflik berkaitan undang-undang sivil dan syariah supaya tidak wujud salah faham antara kedua-duanya.

Katanya jalan penyelesaian perlu dicari kerana pada masa akan datang banyak lagi kes berkaitan undang-undang syariah dijangka didengar di mahkamah sivil.

Berucap merasmikan satu seminar antarabangsa mengenai undang-undang perbandingan anjuran Universiti Sains Islam Malaysia di sini, Zaki memetik satu kes yang didengar oleh Mahkamah Persekutuan dua bulan lepas mengenai enakmen Jenayah Syariah Negeri yang dihujahkan oleh peguam sebagai bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam kes itu, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa pendakwaan mengikut enakmen Syariah Terengganu terhadap Sulaiman Takrib, anggota kumpulan ajaran sesat Ayah Pin yang mencabar pendakwaan ke atasnya, merupakan undang-undang yang sah.

Bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad yang bersara wajib bulan lepas dalam penghakimannya mendapati bahawa badan perundangan negeri boleh menggubal undang-undang kesalahan dan hukuman bagi kesalahan terhadap orang yang mengaku beragama Islam dan bagi kesalahan tidak mengikut ajaran Islam.

Sulaiman, 59, telah mencabar kesahihan daripada segi perlembagaan Seksyen 10 dan 14 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah (Penalti Budi Bicara) (Terengganu) 2001 dan Seksyen 51 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) 2001.

Sulaiman didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Besut bagi pertuduhan menghina pihak berkuasa agama kerana enggan mematuhi fatwa bahawa ajaran yang dibawa Ayah Pin, adalah palsu dan sesat yang boleh mengancam ketenteraman awam dan merosakkan iman orang Islam.

Dia kemudiannya membawa kes itu ke mahkamah sivil atas alasan seksyen yang dipersoalkan itu bukannya kesalahan terhadap ajaran Islam yang terkandung dalam lima rukun Islam.

Ketua Hakim Syarie Datuk Ibrahim Lembut pula berkata cadangan Abdul Hamid mengenai kemungkinan mahkamah undang-undang lazim dan mahkamah syariah bergabung di negara majoriti Muslim, akan mengambil masa yang lama untuk dilaksanakan kerana banyak perkara harus diperhalusi dan dibincangkan serta dipersetujui bersama.

Ibrahim, yang juga Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, berkata pihaknya telahpun mengadakan pertemuan dengan peguam sivil dan syariah untuk memilih perkara yang dirasakan sesuai dalam proses penggabungan ini.

"Kita cuba nak mengharmonikan apa kehendak dalam undang-undang sivil dan undang-undang syariah...apa hak kita (undang-undang syariah) diterima oleh undang-undang sivil begitu juga sebaliknya.

"Sekarang ini mereka (undang-undang sivil) tak mahu terima langsung. Itu yang susah sikit. Ini yang kita cuba buat setakat ini, tetapi ini (penggabungan) masih jauh lagilah," katanya.

Kecelaruan bidang kuasa perundangan ini membolehkan kumpulan atau orang yang dianggap tidak mematuhi peruntukan undang-undang negeri dan negara sewenang-wenangnya, membuat apa yang mereka suka termasuk mempertikaikan undang-undang tertentu.

Kes menjadi rumit dan soal pokok iaitu membentras ajaran sesat melalui penguatkuasaan undang-undang menjadi tidak berkesan.

Apa lagi ada pihak berkuasa yang saling melepas tangan menyalahkan antara satu sama lain serta tidak serius menangani gejala menularnya ajaran sesat itu.

Pada akhir tahun 1980-an beberapa orang pengikut ajaran sesat itu pernah bertemu dengan penulis untuk memohon supaya penulis melaporkan dalam akhbar Harakah bahawa ajaran dan kumpulan ajaran sesat itu tidak salah dari segi agama dan undang-undang negeri.

Mereka mengajak penulis untuk berkunjung ke sebuah rumah yang menjadi pusat kegiatan mereka di Pasir Panjang Kuala Terengganu.

Penulis memberanikan diri untuk menyiasat sejauh mana kesesatan ajaran Ayah Pin itu dengan bertemu sendiri beliau di kampung tersebut.

Ayah Pin menceritakan kepada penulis dengan mendakwa bagaimana beliau mengamalkan amalan betapa selama 40 hari di dalam hutan dengan hanya memakan bertih beras.

Beliau mendakwa didatangi oleh seorang manusia yang berjubah putih mengajak beliau naik ke langit bertemu dengan bermacam benda termasuk babi dan lain-lain.

Beliau menceritakan pelbagai cerita karut marut yang sukar diterima akal. Antara pengikut Ayah Pin ketika itu termasuk penjawat awam dari pelbagai jabatan kerajaan sebagaimana dimaklumkan kepada penulis ketika itu.

Ini antara perkara yang penulis masih ingat mengenai apa yang Ayah Pin maklumkan kepada penulis. Benar atau salah maklumat itu, tidaklah diketahui.

Justeru sepatutnyalah ajaran sesat seperti itu dihapuskan sehingga ke akar umbinya. Pihak kerajaan sepatutnya bermuafakat untuk membentrasnya dengan segera, bukan melepaskan tanggungjawab dan menyalahkan pihak lain dalam menyelesaikan masalah ini.

Iklan Istimewa

http://www.bio-asli.com/daftar_keahlian.asp?id=seramaesty

Terima kasih kerana sumbangan anda. Sumbanglah untuk kebaikan perjuangan kita bersama.

Can't find what you're looking for? Try Google Search!

Google
 

Umno Sarkas

ANDA ADA MAKLUMAT ISU NEGARA?

Sila emailan kepada saya di seramaesty@yahoo.com atau hubungi saya di talian 013-9060111.

TERIMA KASIH ATAS KERJASAMA ANDA

Feedback Form

Join the Mailing List
Enter your name and email address below:
Name:
Email:
Subscribe  Unsubscribe 

Dr. Irfan menjelaskan Perniagaan Internet secara mudah kepada anda

Free Viral Advertising