Saya Suhaimi Taib, mendapat Sijil Pentadbiran Islam dari Kusza Kuala Terengganu (2002), Kursus Penerbitan Video Koperat Universiti Malaya (2003), Pengarang Warta Darul Iman (2000-2003) Penerbit Siaran Darul Iman (2003-2004), Wartawan Sambilan Berita Harian (1997-1998), Wartawan Harakah (1989-1996).
Menerima Anugerah kewartawanan Esso-Kawat (1997 dan 1998)

Hubungi saya melalui e-mel: seramaesty@yahoo.com atau H/P No: 013-9060111.

Wednesday, November 26, 2008

Pengakuan Zaki: Hasrat Karpal bawa usul jadi kenyataan

KUALA LUMPUR, 26 Nov (MPO2) - Hasrat Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) bagi membolehkan Dewan Rakyat membahaskan mengenai kenyataan terbuka Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Azmi bahawa beliau pernah memberi rasuah kepada kakitangan mahkamah sewaktu menjadi peguam bakal menjadi kenyataan.

Pengerusi DAP itu hari ini memfailkan notis usul berkenaan di bawah Peraturan Mesyuarat 27 yang dibacakan bersama dengan Peraturan Mesyuarat 36(8) dan Perkara 127 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan ia disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-usul sebelum dibahaskan.

"Saya serahkan notis usul ini kepada Setiausaha Dewan Rakyat yang telah ditandatangani oleh 57 ahli Parlimen.

"Di bawah Perkara 127 Perlembagaan Persekutuan, kami kemukan usul terhadap Ketua Hakim Negara ini, mesti ditandatangani oleh satu perempat daripada ahli Dewan," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini, lapor MStar Online.

Jelas beliau syarat berkenaan telah dipenuhi kerana jumlah keseluruhan ahli Parlimen ialah seramai 222 orang dan beliau sebenarnya memerlukan sekurang-kurangnya 56 tandatangan ahli Dewan.

"Yang diperlukan ialah 56, tapi kami dapat 57 iaitu termask seorang ahli Parlimen Bebas," katanya.

Jelas beliau wakil Bebas yang turut menyokong usul berkenaan ialah Datuk Eric Enchin Majimbun (BEBAS-Sepanggar).

Zaki dilaporkan membuat pengakuan di Kuching pada 7 November lalu bahawa beliau pernah memberi rasuah kepada kakitangan mahkamah semasa beliau masih lagi seorang peguam pada tahun 1987.

Bagaimanapun pada 8 November, Zaki membuat penjelasan bahawa beliau sebenarnya berpengetahuan berkenaan rasuah yang berlaku di bahagian pendaftaran mahkamah pada masa beliau berkhidmat sebagai peguam.

"Yang mana adalah jelas merupakan satu pembohongan yang mengakibatkan keseluruhan badan kehakiman yang diketuai beliau mendapat nama buruk di khalayak umum," katanya.

Karpal juga menyeru Perdana Menteri untuk menggunapakai peruntukan Perkara 125(3) Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan untuk merujuk Zaki kepada satu tribunal yang ditubuhkan oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan fasal 4 untuk melucutkan jawatannya.

"Atas alasan salah laku di mana beliau telah berbohong secara umum, beliau hendaklah digantung kerja sebagai Ketua Hakim Negara sementara menunggu suatu laporan daripada tribunal tersebut di bawah klausa 3," katanya.

Ditanya kemungkinan ia memakan masa yang lama bagi usul tersebut dibahaskan, beliau berkata perkara itu tidak penting kerana baginya ia akan tetap dibahaskan apabila ia tersenarai dalam senarai Aturan Mesyuarat dan Usul-usul.

Sebelum ini Karpal pernah mengemukakan usul yang sama sebanyak dua kali ke Dewan Rakyat namun ditolak kerana tidak memenuhi syarat yang ketiga iaitu usul yang dibawa tidak perlu disegerakan.

Kempen 'anti-Dr Asri' buang masa saja...

KUALA LUMPUR, 26 Nov (MPO2) - Pandangan berani beliau beralaskan ilmiah, hukum dan logik tentang 'yoga' telah membuat beberapa pihak tidak senang dengan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

MStar Online melaporkan, ada yang melahirkan ketidakpuasan hati dengan pendirian Dr Asri dan mempersoalkan kredibiliti beliau mengkritik fatwa 'yoga' yang diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, seolah-olah wujud satu kempen 'anti-Dr Asri' yang cuba memberi gambaran buruk tentang tokoh agama yang berasal dari Mengkuang, Pulau Pinang ini.

Bagaimanapun, ketika ditemui tengah hari tadi, Dr Asri yang akan menamatkan khidmat sebagai Mufti Perlis Ahad ini, bagaikan sudah lali dengan kempen yang dikatakan itu.

"Saya dah lama tahu pasal kempen ni. Saya tak kisah pun. Kempen macam ni semua buang masa saja.

"Sebenarnya bukan pasal kes yoga saja. Saya rasa mungkin mereka-mereka takut saya berhenti jadi mufti dan muncul dalam bidang politik," katanya.

Ditanya tentang PhD beliau yang bukan dalam jurusan agama dan kononnya beliau tidak layak memberi pandangan tentang fatwa yoga, Dr Asri berkata: "Kalau saya yang ada PhD pun dikatakan tidak layak memberi pendapat tentang fatwa yoga, macam mana dengan mufti-mufti negeri lain yang tidak ada PhD?"

Dr Asri membuat tesis 'Pengajian Hadis' berjudul "Sabab Wurud Al-Hadith" dalam bahasa Arab di Universiti Islam Antarabangsa Malayasia (UIAM).

Tesis yang dicetak oleh Dar al-Kutub al-'ilmiyyah di Lubnan itu turut diterjemah dan diedarkan di peringkat antarabangsa.

Dr Asri berkata, sesiapapun boleh menyiasat latar belakang akademik beliau, tambahan pula tesisnya dibuat di UIAM dan kemudiannya beliau diterima bekerja sebagai pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang - dua institusi yang terkenal di Malaysia.

Tambahnya, "Biarlah orang nak pertikaikan. Selagi orang pertikaikan apa yang saya kata, orang tahu saya masih wujud. Siti Nurhaliza pun orang pertikaikan dia kahwin, sedangkan bukan dia cakap apapun, tak usik siapa-siapa lagi..."

Semalam, Dr Asri telah menegur pihak Majlis Fatwa Kebangsaan supaya memberi alternatif pada fatwa yoga dengan membuang unsur yang bertentangan dengan agama Islam.

Beliau menasihatkan agar Majlis Fatwa tidak terlalu kaku dalam mengeluarkan fatwa dan memberi alternatif yang memisahkan amalan yoga yang mengandungi unsur agama dengan amalan yoga untuk kebaikan kesihatan. Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz juga turut mengkritik pandangan yang dikeluarkan Dr Asri atas kapasitinya sebagai Mufti Perlis.

"Adakah Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis sudah berjumpa sebelum Mufti menyatakan tidak bersetuju? Perkara ini perlu dibincangkan dahulu sebelum dinyatakan setuju atau tidak setuju," soal Datuk Wan.

Mengulas lanjut, Dr Asri berkata: "Itu adalah pandangan Mufti dan bukan keputusan Majlis Fatwa Perlis. Kalau macam tu, Mufti tidak boleh mengajarlah...

"Saya bukan kata fatwa itu salah. Memanglah apa saja perlakuan yang menyerupai agama lain itu haram. Kita sepatutnya pisahkan bacaan atau mentera dalam senaman yoga itu sendiri. Jangan ada sebarang unsur-unsur syirik yang menyamai agama lain.

“Tanggalkan yang bertentangan sahaja, samada pergerakan, bacaan atau kepercayaan. Kekalkan pergerakan yoga yang baik untuk kesihatan.

"Mungkin boleh diperbetulkan atau dikemaskinikan 'wording' dalam fatwa itu," kata beliau lagi.

Menurut Dr Asri, banyak lagi amalan sukan yang diambil daripada budaya lain seperti tai chi, judo, wushu, taekwando dan silat.

"Semua sukan ini bukan asal usul Islam tetapi diamalkan kerana ianya baik untuk kesihatan. Kenapa tak kaji amalan-amalan lain yang ada unsur Hindu seperti tepung tawar, bersanding, merenjis. Semua ini boleh dibahaskan...," kata Dr Asri.






Iklan Istimewa


http://www.bio-asli.com/daftar_keahlian.asp?id=seramaesty

Dato' Ahmad 'anak tiri' BN

Barisan Nasioal (BN) memang mempolitikkan soal pendidikan di negara ini kerana ada bukti bahawa parti itu pernah menjadikan pembinaan sekolah di Terengganu semasa pemerintahan PAS di negeri tersebut sebagai isu penting sehingga sanggup membina sekolah di kawasan yang tidak ada murid atau tidak cukup kuota untuk membina sekolah berkenaan.

Dalam empat tahun kerajaan PAS memerintah, kebanyakan sekolah kerajaan di bawah pentadbiran kementerian pelajaran menerima peruntukan dari Dana Khas (sebelum itu ia dinamakan wang ehsan) untuk membina pagar sekolah, tambahan bangunan, bangunan makmal komputer dan lain-lain.

Ada sekolah baru sahaja dibina pagarnya, dalam tahun 1999 selepas sahaja PAS memerintah Terengganu akhir tahun itu, pagar itu ditukar baru.

Projek membina sekolah baru itu dipercayai untuk menunjukkan prihatinnya parti itu ke atas pendidikan rakyat negeri itu.

Parlimen membahaskan masalah infrastruktur sekolah termasuk bangunan dari kayu di Sabah dan Sarawak. Rakyat Sabah dan Sarawak membuat tuntutan untuk mendapatkan sekolah baru lima tahun lalu tetapi sehingga sekarang belum berjaya mendapatkannya.

Alasannya ialah kerana sukar untuk disegerakan pembinaannya perlu membuat kajian lokasi, peruntukan dan sebagainya, ia memakan masa sehingga lima atau enam tahun atau seumpamanya.

Tetapi kenapa dalam masa empat tahun PAS memerintah Terengganu, begitu mudah kerajaan BN meluluskan sekolah baru dipercayai bukan dirancang bertahun-tahun lamanya sebelum itu.

Dipercayai ia disebabkan politik untuk kembalikan sokongan rakyat kepada BN. Penulis tidak berhasrat untuk menyatakan sama ada kemenangan BN semula di Terengganu dalam pilihan raya umum ke 11 tahun 2004 berpunca dari isu ini atau sebaliknya.

Penulis hanya menyatakan bahawa sikap 'double standard' BN memang berlaku khususnya mengambil contoh kes di negeri Terengganu.

Jika soal kesesuaian lokasi dan lain-lain menjadi pokok persoalannya sudah pasti projek-projek 'gila-gila' di Terengganu itu tidak dibuat begitu cepat tidak sampai empat tahun, semua projek berkenaan siap, walaupun ada yang tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan, ia tetap dilaksanakan.

Manakala ada projek yang diluluskan untuk sekolah di negeri-negeri lain terutama di Sabah dan Sarawak sejak lima tahun lalu, ia masih ditangguhkan atas alasan tidak ada peruntukan kewangan yang mencukupi.

Bagaimana boleh berlaku tidak sampai lima tahun sekolah baru di Terengganu boleh diluluskan ketika PAS memerintah negeri itu sedangkan di negeri-negeri lain tidak berlaku sedemikian rupa?

Memang ini kerana Terengganu ada peruntukan dana khas sebelum ini untuk apa-apa projek di negeri Terengganu dalam jangka empat tahun pemerintahan Terengganu demi survival atau kepentingan politik BN.

Baru-baru ini terdapat seorang pegawai (nama dirahsiakan) dari Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (Upen) mengakui sendiri kepada penulis tentang kebenarannya. Ertinya sekarang dana khas itu tidak lagi disalurkan ke Kementerian Pelajaran untuk mempertingkatkan kualiti pendidikan negeri ini seperti ketika PAS memerintah negeri itu baru-baru ini.

Benarlah apa yang dijangkakan PAS bahawa dana khas, tidak akan disalurkan sedemikian rupa selepas BN mengambil alih kerajaan negeri itu sejak 2004 sehingga sekarang.

Pegawai Upen itu seolah-olah mengatakan bahawa sekarang pendidikan rakyat di Terengganu tidak terserlah serupa ketika PAS memerintah negeri itu dahulu berpunca dari tidak ada dana khas disalurkan melalui kementerian pelajaran.

Pegawai Upen itu agak sinis dengan kerajaan BN Terengganu sekarang di bawah Menteri Besarnya, Dato' Ahmad Said.

Mengapa dana khas tidak disalurkan begitu mewah di zaman kerajaan BN di bawah Dato' Ahmad tidak seperti Terengganu di bawah Dato' Seri Idris Jusoh? Ini kerana Dato' Ahmad bukan menteri besar pilihan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Dato' Ahmad semacam menjadi 'anak tiri', kerajaan pusat hari ini jika pendapat pegawai Upen itu diambil kira walaupun Ahmad juga orang kuat BN/Umno negeri Terengganu dan kini beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan Umno negeri itu.



Iklan Istimewa


http://www.bio-asli.com/daftar_keahlian.asp?id=seramaesty

Retreat kedua Pakatan Rakyat fokus isu Selangor dan Perak


KUALA LUMPUR: Retreat kedua Pakatan Rakyat yang diadakan dua minggu berturut-turut pada malam ini memfokuskan mengenai cabaran yang dihadapi di dua negeri pembangkang iaitu Selangor dan Perak yang dianggap berhadapan dengan masalah yang sama.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua berkata, pada perjumpaan yang berlangsung selama hampir tiga jam itu memberi peluang kepada Menteri Besar kedua-dua negeri berkenaan membentangkan mengenai pelaksanaan dan prestasi kerajaan negeri masing-masing.

"Di Perak khususnya di mana bilangan ADUN BN (Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional) yang agak seimbang dengan kerajaan negeri iaitu pemerintah.

"Kita juga menghadapi banyak rintangan kuat daripada BN dan kita harus menghadapi banyak isu seperti manipulasi media dan lain-lain lagi," katanya ketika ditemui selepas menghadiri retreat berkenaan.

Hadir sama dalam pertemuan berkenaan ialah Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar, Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang lain.

Ditanya sama ada wujudnya ura-ura ahli Pakatan Rakyat akan lompat parti menyertai BN di Perak, beliau berkata: "Tidak, saya anggap ini tidak ada isu, saya tak percaya dan sungguh yakin ini tak berlaku...kalau adapun mungkin yang lompat kesebelah sini," katanya sinis.

Ketika diminta mengulas sama ada kedua-dua negeri berkenaan dianggap goyah kerana sering menghadapi tekanan daripada BN yang kini menjadi pembangkang, beliau menafikan mengenai perkara tersebut.

"Bukan...bukan, inilah (negeri) yang paling dekat. Malam ini kita fokus dua negeri sahaja.

"Kalau tidak sampai tengah malam pun tidak habis, lepas ini akan ada lagi (pertemuan) Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah...semua ada," katanya.

Jelas beliau lagi pemilihan kedua-dua negeri ini juga berdasarkan komposisi kaum yang hampir sama bagi negeri-negeri berkenaan.

Ditanya antara masalah yang dibangkitkan dalam perjumpaan tertutup itu beliau berkata masalah utamanya ialah kerenah birokrasi kerajaan persekutuan, media dan politik perkauman.

"Kita hadapi masalah birokrasi, kita juga harus sentiasa hadapi media yang sensasikan dasar yang kita buat dan politik perkauman yang tebal...semua ini ialah perkara yang kita harus hati-hati," katanya.

Menyentuh mengenai kerenah birokrasi, ahli Parlimen Batu itu turut menjelaskan bahawa perlunya reformasi secara berperingkat bagi menghadapi masalah dalam institusi kerajaan.

Tambah beliau, secara dasarnya Pakatan Rakyat mengakui masih wujud banyak kelemahan yang perlu diperbaiki pada masa-masa akan datang.

"Walau apapun kita puas hati dengan pencapaian kita sekarang sungguhpun tak kritikal, kita akui banyak lagi kelemahan yang harus diatasi," katanya.

Bagaimanapaun jelasnya beliau percaya kaedah terbaik untuk menangani masalah yang timbul adalah dengan cara mengeratkan hubungan dalam Pakatan Rakyat melalui majlis dialog dan komunikasi berterusan.

"Kita ada beberapa rancangan Januari depan untuk adakan lebih banyak perjumpaan di semua peringkat iaitu nasional, negeri dan akar umbi.

"Malah minggu depan juga ada lagi, tapi agendanya akan kita tetapkan nanti," katanya.

Tian Chua juga menjelaskan bahawa satu perjumpaan besar melibatkan semua pemimpin Pakatan Rakyat akan diadakan di Port Dickson pada tahun hadapan yang akan turut menghimpunkan kesemua Menteri Besar dari semua negeri yang dikuasai pembangkang.

Sementara itu, ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh turut menjelaskan bahawa pertemuan kedua pemimpin Pakatan Rakyat selepas yang pertamanya pada hari yang sama minggu lalu menyentuh mengenai mekanisme memperkukuhkan pakatan itu.

"Ini menunjukkan kita serius dalam Pakatan Rakyat untuk membina muafakat dan bertukar-tukar idea serta memaklumkan mengenai perkembangan terkini politik di kedua-dua buah negeri berkenaan," katanya.

Tambah beliau pertemuan seumpama itu juga perlu bagi membina persefahaman antara komponen-komponen dalam pakatan pembangkang itu.

"Ini tidak berlaku dalam BN, hanya dalam Pakatan Rakyat iaitu kita sentiasa biarkan maklumat sampai ke akar umbi," katanya.

Iklan Istimewa


http://www.bio-asli.com/daftar_keahlian.asp?id=seramaesty


Usul Gaza ditolak, BN-Pakatan Rakyat sepakat kutuk Zionis



KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini menolak usul yang dikemukakan Dr. Mohd Puad Zakarshi (BN-Batu Pahat) bagi menangguhkan sidang Parlimen agar membincangkan mengenai keganasan terbaru rejim Zionis di Gaza selepas terlucutnya perjanjian gencatan senjata antara Israel dengan Hamas.

Penolakan usul tersebut dibacakan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee mengikut Peraturan Mesyuarat 18(2) kerana tidak perlu disegerakan.

Bagaimanapun keputusan penolakan tersebut mendapat bantahan daripada ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan juga Pakatan Rakyat yang beranggapan bahawa Parlimen Malaysia perlu membuat satu ketetapan dan pendirian terhadap tindakan kejam rejim Zionis itu.

Ronald memaklumkan bahawa usul berkenaan tidak perlu disegerakan atas dasar Malaysia melalui Kementerian Luar telah mengeluarkan kenyataan akhbar pada 21 November lalu bagi mengutuk sekeras-kerasnya keganasan Zionis.

Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) bangun dan meminta Speaker mempertimbangkan semula keputusan beliau itu kerana ia melibatkan kepentingan oarng awam yang dianiaya.

"Saya merayu usul yang sebaik ini perlu dibahaskan kerana melibatkan kepentingan orang awam di Gaza, mereka kebuluran atas kekejaman Zionis.

"Biarlah Parlimen Malaysia melahirkan satu keputusan bagi mengutuk kekejaman ini," katanya.

Selepas itu Nasharuddin Mat Isa (PAS-Bachok) bangun bagi menyokong usul yang dibawa itu."Saya mewakili rakan-rakan di sebelah sini menyokong penuh usul ini untuk dibincangkan dan dibahaskan.

"Jika hanya dibuat (bantahan) oleh Wisma Putra sahaja itu tak berapa serius, kita mahu Parlimen Malaysia menjadi medan untuk menyatakan (pendirian) bahawa kita tak mengenal parti politik sama ada di sebelah sana (kerajaan) atau sebelah sini (pembangkang)," katanya.

Bagaimanapun Ronald menjelaskan bahawa ahli Dewan masih berpeluang untuk membahaskan mengenai perkara ini apabila tibanya giliran perbahasan bagi Kementerian Luar.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) turut memohon pertimbangan semula bagi membenarkan usul berkenaan dibahaskan.

"Pada hemat saya ini adalah kesempatan yang cukup baik menunjukkan ada isu-isu penting yang boleh diputuskan bersama oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik.

"Kita faham Kementerian Luar telah nyatakan pendirian, tapi bezanya ia bukan lagi sikap atau pendirian satu kementerian jika ia melibatkan Parlimen yang didokong oleh seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Tambah beliau pendirian yang dinyatakan oleh kementerian dan Parlimen adalah dua perkara yang berbeza dan mempunyai impak yang berlainan.

Bagaimanapun Ronald berkata keputusan beliau itu adalah muktamad setelah meneliti bahawa tindakan Kementerian Luar adalah cukup memadai bagi mewakili kerajaan Malaysia yang sensitif dengan isu kekejaman yang berlaku di Semenanjung Gaza.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Wisma Putra pada 21 November lalu menyatakan bahawa Malaysia mendesak masyarakat antarabangsa terutama Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan negara-negara kuasa besar bertindak bagi menamatkan krisis kemanusiaan di Gaza.

Malaysia juga mendesak Majlis Keselamatan PBB mengetepikan perbezaan politik dan ideologi di atas nama perikemanusiaan dan menyelamatkan penduduk Gaza terutama kaum wanita dan kanak-kanak daripada tindakan agresif rejim Zionis.

Anwar: Tiada larangan jualan alkohol di S'gor

Tiada larangan jualan alkohol di 7-Eleven, pasaraya dan kedai kopi di Selangor, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini lapor Malaysiakini.

Bagaimanapun, keputusan untuk mengenakan sebarang larangan adalah sepenuhnya dalam bidang kuasa kerajaan negeri dan exco negeri, katanya kepada pemberita di Parlimen.

Beliau yang juga ahli parlimen Permatang Pauh berkata dasar membataskan jualan arak bukan perkara untuk dibincangkan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Perkara seumpama itu mesti dirujuk kepada kerajaan negeri dan ia akan dibincangkan di peringkat itu sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya.

Prinsip asasnya, kata beliau, ialah supaya kedai-kedai berkenaan tidak dilihat seperti menggalakkan minuman alkohol terutama di kalangan generasi muda dan orang Islam.

Tetapi, katanya, tiada sebarang cadangan daripada kerajaan Selangor untuk melarang sepenuhnya jualan alkohol di premis terbuka yang membabitkan orang bukan Islam.

Menurut Anwar lagi, beliau tidak ada sebarang masalah dengan dasar-dasar sekarang kerana fundamentalnya sudah jelas.


Exco negeri bincang

Bagaimanapun, beliau menambah, sebagai sebuah negara yang demokratik, mesti ada ruang untuk membuat cadangan dan perbincangan.

"Rakyat memberi pandangan dan maklum balas dan kita mesti mendengarnya tetapi dalam aspek dasar, tidak ada sebarang masalah," katanya.

Menurut beliau, tiada apa yang harus dibimbangkan kerana dasar sekarang kekal dan "kami tidak menggalakkan umat Islam minum (alkohol) atau makan babi tetapi kita tidak akan menafikan hak orang bukan Islam untuk makan babi atau minum alkohol".

Akhbar-akhbar berbahasa Cina hari ini menyiarkan di muka depan laporan bahawa PAS Selangor bimbang dengan keadaan sekarang di mana minuman alkohol mudah didapati di kedai-kedai.

Dimaklumkan bahawa majlis-majlis perbandaran akan diberi tugas - selepas mendapat kelulusan majlis tersebut - untuk mengenakan larangan penjualan alkohol di kawasan masing-masing.

Menteri Besar Selangor yang juga ahli parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Abdul Khalid Ibrahim memberitahu pemberita di Parlimen bahawa perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini.

Iklan Istimewa


http://www.bio-asli.com/daftar_keahlian.asp?id=seramaesty

Alkohol: PAS 'bongkak', kata DAP

PAS dianggap "bongkak dan sukar bekerjasama" apabila cuba memperkenalkan peraturan membataskan jualan alkohol di Selangor tanpa merujuk parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat.

Tindakan parti Islam yang membelakang sentimen sokongan pengundi bukan Islam yang memberikan kemenangan kepada Pakatan boleh melemahkan kerajaan gabungan itu, kata ketua publisiti DAP Tony Pua.

beer alcohol banAhli parlimen Petaling Jaya Utara menambah, tindakan PAS sedemikian boleh membawa keretakan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Tony mengulas laporan akhbar-akhbar berbahasa Cina hari ini yang menyebut PAS sedang memperkenalkan langkah sedemikian di restoran, kedai runcit dan kedai serbaguna 24 jam melalui anggota-anggotanya yang berada di majlis-majlis pihak berkuasa tempatan.

"Walaupun PAS Selangor berhak mencadangkan sebarang peraturan yang difikirkannya perlu, mereka jangan lupa bahawa di negeri ini, mereka sebahagian gabungan bersama dua lagi parti dengan menguasai lapan daripada 36 kerusi yang dikuasai Pakatan Rakyat," kata Tony.

"Oleh itu, sebarang percubaan oleh PAS Selangor untuk menegakkan dasarnya tanpa mengambil kira rakan gabungannya booleh dianggap bongkak dan sukar bekerjasama, yang hanya boleh melemahkan kerajaan campuran."

Iklan Istimewa

http://www.bio-asli.com/daftar_keahlian.asp?id=seramaesty

Terima kasih kerana sumbangan anda. Sumbanglah untuk kebaikan perjuangan kita bersama.

Can't find what you're looking for? Try Google Search!

Google
 

Umno Sarkas

ANDA ADA MAKLUMAT ISU NEGARA?

Sila emailan kepada saya di seramaesty@yahoo.com atau hubungi saya di talian 013-9060111.

TERIMA KASIH ATAS KERJASAMA ANDA

Feedback Form

Join the Mailing List
Enter your name and email address below:
Name:
Email:
Subscribe  Unsubscribe 

Dr. Irfan menjelaskan Perniagaan Internet secara mudah kepada anda

Free Viral Advertising