Iklan Istimewa
http://www.bio-asli.com/daftar_keahlian.asp?id=seramaesty


KUALA TERENGGANU, 8 Nov (Hrkh) - Acara Kejohanan Piala Monsun yang bertaraf antarabangsa merupakan program tahunan di negeri Terengganu sejak tiga tahun lalu. Kejohanan itu telah dipertandingkan setiap tahun yang menjadikan Pulau Duyong di Kuala Terengganu sebagai lokasi perlumbaan tersebut. Namun begitu, kejohanan bertaraf dunia yang dilihat berprestij itu telah menimbulkan kontroversi, konotasi dan persepsi oleh pelbagai pihak. Berikutan itu, sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) atas nama Ikatan Anak Watan Darul Iman (Ikhwan) mengambil satu pendekatan proaktif bagi melihat pandangan rakyat secara telus melalui kaji selidik yang akan dijalankan. Presidennya, Fariz Musa berkata Ikhwan akan melancarkan usaha kaji selidik terus kepada rakyat di seluruh negeri ini dalam masa terdekat. Katanya, kaji selidik tersebut bagi mengambil pandangan rakyat secara telus melalui soalan-soalan yang relevan akan dijawab secara jujur. "Ikhwan mengambil pendekatan ini untuk melihat pandangan rakyat secara telus dengan kita membuat kajian atau soal selidik melalui soalan-soalan yang relevan untuk dijawab oleh orang ramai. "Kita (Ikhwan) anggarkan sejumlah 1600 orang responden atau 200 orang setiap daerah secara rawak akan dipilih untuk menjayakan kaji selidik ini,"jelasnya pada satu siding akhbar, di sebuah hotel, dekat sini, semalam. Katanya, hasil kajian tersebut akan diserahkan kepada kerajaan negeri Terengganu di bawah kepimpinan Menteri Besar Dato' Ahmad Said yang bertanggungjawab bagi mengambil tindakan. "Kita (Ikhwan) pun belum tahu bagaimana penerimaan rakyat terhadap penganjuran piala Monsun Cup itu tetapi rungutan dan keluhan rakyat di semua peringkat umumnya bersifat negatif," jelasnya. Menurut beliau, sukarelawan Ikhwan akan bergerak menemui respoden-responden terbabit di beberapa lokasi tumpuan awam bagi mendapat pandangan rakyat terhadap penganjuran Piala Monsun. Antara lokasi itu katanya, di pasar awam, pasar malam, terminal bas, pasaraya serta beberapa tempat tumpuan awam. |
KUALA LUMPUR, 8 Nov (Hrkh) - Ahli Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato' Seri Nazri Abdul Aziz mengelirukan Parlimen bila beliau berkata hakim-hakim yang terlibat dalam krisis Kehakiman 1988 tidak dipecat tetapi diminta bersara awal. Karpal berkata, beliau akan membawa usul mengemukakan Nazri di bawah Peraturan Tetap 36 (12) kerana mengelirukan Parlimen Isnin lalu di mana beliau kemudian akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak Istimewa untuk tindakan diambil. Bernama melaporkan bahawa Karpal akan meminta Nazri menjelaskan mengapa beliau membuat kenyataan secara terbuka di Parlimen yang memberi tafsiran bahawa nama-nama hakim itu telah dibersihkan oleh tribunal, bertentangan dengan hasil siasatan dua buah tribunal berkenaan. Karpal merujuk kepada Malayan Law Journal (MLJ) bertarikh 28 Okt 1988 yang melaporkan Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas dan hakim-hakim Mahkamah Agung allahrayham Tan Sri Wan Suleiman Pawan Teh dan Dato' George Edward Seah dipecat dari jawatan selepas tribunal mendapati mereka bersalah kerana salah laku. Mereka bagaimanapun, menerima pencen penuh. Tiga hakim lain, Tan Sri Dato' Mohd Azmi Kamaruddin, allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdoolcader dan Tan Sri Wan Hamzah Mohd Salleh telah digantung tugas tetapi dikembalikan jawatan mereka. Karpal memberitahu pemberita di Istana Kehakiman di sini semalam bagi mengembalikan penghormatan dan digniti hakim-hakim yang dipecat itu, Kerajaan sepatutnya telah menubuhkan dua tribunal untuk membersihkan mereka dari tindakan yang telah diambil terhadap mereka dan bukan memberikan bayaran ex-gratia. "Apa yang sepatutnya telah dilakukan ialah bukan membayar ex-gratia kepada hakim-hakim itu tetapi mengadakan sebuah lagi tribunal bagi membersihkan nama mereka. "Ini masih boleh dilakukan. Membayar ex-gratia kepada mereka tidak membersihkan mereka daripada didapati bersalah kerana salah laku," kata beliau. Karpal berkata bayaran ex-gratia itu malahan bererti yang Kerajaan berpendapat bahawa mereka (hakim-hakim itu) sebenarnya tidak bersalah. |
KUALA LUMPUR, 8 Nov (Hrkh) - Keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan pengendali laman blog Malaysia-Today, Raja Petra Kamaruddin dilihat sebagai sejarah baru negara. Ini memandangkan keputusan itu dibuat berdasarkan 'habeas corpus' blogger terkenal itu di atas Seksyen 8 ISA, yang belum pernah diputuskan ke atas mana-mana tahanan ISA. Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata kebiasaannya berlaku mana-mana keputusan yang dibuat ke atas tahanan ISA sebelum ini atas Seksyen 73. "Keputusan ini merupakan satu kejutan apabila ia merujuk terus kepada menteri terbabit, bukannya pegawai polis seperti sebelum ini. Jika Seksyen 73, ia merujuk terus kepada pihak polis yang bertindak menahan seseorang, namun Seksyen 8 ini merujuk terus kepada menteri," tegas beliau kepada Harakahdaily sebagai mengulas pembebasan Raja Petra. Pada hemat Hakim Syed Ahmad Helmy, Raja Petra mesti dibebaskan setelah mahkamah mendapati bahawa alasan perintah tahanan yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri mengikut Seksyen 8 ISA ke atas pemohon sebenarnya tidak mencakupi skop yang ditetapkan di bawah akta tersebut. Bagaimanapun, selepas meneliti alasan menteri berkenaan, Hakim Syed Ahmad Helmy mendapati tiada sebarang asas bahawa Raja Petra menjadi satu ancaman kepada ketenteraman awam, baik dari segi politik, ekonomi mahupun pentadbiran negara. Menurut hakim itu, dalam perintah penahanan yang dikeluarkan, menteri berkenaan mestilah memberikan alasan atau asas yang menyokong bahawa tindakan Raja Petra memang menimbulkan huru-hara dan ancaman kepada negara. Kata beliau lagi, keputusan itu juga adalah isyarat bahawa akta yang zalim dan tidak berperikemanusiaan itu sudah tidak diterima di negara ini. Syed Ibrahim yang menyambut baik pembebasan Petra berharap kerajaan tidak bertindak membuat rayuan semula agar Petra ditahan di bawah akta tersebut. Malah, beliau mengharapkan tiada 'agenda tersembunyi' di sebalik keputusan mahkamah tersebut, khususnya menjelang peralihan kuasa tahun depan. "Kalau nak disebut wujudnya 'agenda tersembunyi' berkaitan pembebasan ini, boleh difikirkan begitu. Tapi, saya fikir tiada kaitan dan benar-benar berharap tiada agenda tersebut di sebalik pembebasan blogger tersebut," kata beliau. Bagi GMI, tegas Syed Ibrahim, keputusan mahkamah ini menjadi satu dorongan kepada badan itu untuk terus berjuang dalam usaha memansuhkan akta zalim tersebut. Ditanya perkembangan terbaru GMI, beliau berkata GMI dalam rangka ke parlimen untuk menyerahkan poskad bantahan yang telah ditandatangani rakyat Malaysia kepada Menteri Dalam Negeri sepanjang kempen badan itu, pertengahan tahun ini. Syed Ibrahim turut menyatakan bahawa pihaknya sedang bersiap sedia untuk program himpunan besar-besaran membantah ISA yang dijadualkan akan diadakan Mac tahun depan. Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa kerajaan negeri Perak di bawah pimpinan Pakatan Rakyat akan membawa usul memansuhkan ISA di Dewan Undangan Negeri tersebut, 13 November depan. |
Beliau bagaimanapun berkata, bekas-bekas hakim itu tetap menerima pencen atas dasar ihsan, termasuk bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas, demikian menurut laporan Bernama.