Saya Suhaimi Taib, mendapat Sijil Pentadbiran Islam dari Kusza Kuala Terengganu (2002), Kursus Penerbitan Video Koperat Universiti Malaya (2003), Pengarang Warta Darul Iman (2000-2003) Penerbit Siaran Darul Iman (2003-2004), Wartawan Sambilan Berita Harian (1997-1998), Wartawan Harakah (1989-1996).
Menerima Anugerah kewartawanan Esso-Kawat (1997 dan 1998)

Hubungi saya melalui e-mel: seramaesty@yahoo.com atau H/P No: 013-9060111.

Wednesday, November 5, 2008

Pembangkang protes Najib kembali hadiri sidang Dewan pagi ini

NAJIB Tun Razak mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM7 bilion ketika menggulung perbahasan Bajet 2009 di Dewan Rakyat petang semalam. - foto THE STAR oleh AZHAR MAHFOF

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Barisan pembangkang yang memulaukan sidang Dewan Rakyat petang semalam ketika Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak membentangkan ucapan penggulungan sulunya, kembali mengambil bahagian dalam sesi pagi ini.

Tidak semua anggota pembangkang berada di Dewan Rakyat pagi ini.

Ahli Parliman PKR kerusi Batu, Tian Chua yang diarahkan keluar Dewan Rakyat tidak kelihatan sehingga pukul 10.30 pagi tadi.

Bagaimanapun Speaker Dewan Rakyat membenarkan Tian Chua, yang juga Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat untuk menyertai semula sidang hari ini.

ANWAR Ibrahim keluar daripada Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen kerana tidak berpuas hati kerana didakwa tidak diberi peluang mencelah ketika sesi penggulungan Kementerian Kewangan. Turut kelihatan Azmin Ali (PKR-Gombak) (kanan). -- fotoBERNAMA

Sehingga 10.30 pagi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak kelihatan.

Kesemua anggota pembangkang kecuali wakil Bebas mengambil pendirian keluar Dewan Rakyat atas alasan Najib, yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, enggan memberi laluan untuk mengemukakan soalan penjelasan semasa menggulung perbahasan Bajet 2009.

TIAN Chua sempat melambai ke arah media selepas diarahkan keluar daripada Dewan Rakyat oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia kerana enggan mematuhi arahan untuk duduk dan tidak meneruskan bantahan pada sesi penggulungan Perbahasan Bajet 2009 bagi Kementerian Kewangan hari ini. --fotoBERNAMA

BERITA TERDAHULU:

Ucapan sulung: Najib tidak beri laluan, pembangkang pulau Dewan

KUALA LUMPUR: "Saya nak bentangkan, itu hak saya Tuan Yang Dipertua. Itu hak saya." Ini kata-kata Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak apabila mula membentangkan ucapan sulung penggulungan Bajet 2009 beliau di Dewan Rakyat petang semalam.

Secara tiba-tiba Dewan Rakyat bertukar tegang sambil pembangkang memulaukan sidang ketika Najib, yang mengambil alih portfolio sebagai Menteri Kewangan lebih sebulan lalu, menyampaikan ucapan sulungnya itu.

Lebih 70 ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar Dewan Rakyat atas alasan tidak diberi laluan untuk mengemukakan soalan.

Ketegangan bermula kira-kira lima minit Najib mula berucap sambil memaklumkan Dewan Rakyat bahawa beliau tidak akan memberi laluan sehingga habis mengemukakan ucapannya.

Makluman itu menyebabkan rasa tidak puas hati di kalangan wakil rakyat Parlimen pembangkang.

Kekecohan bermula pada awal sesi penggulungan yang bermula 4.30 petang apabila Najib memberitahu Dewan beliau hanya akan memberi laluan untuk penjelasan selepas membentangkan dasar-dasar untuk menangani masalah ekonomi.

Ini menimbulkan rasa kurang senang dan bantahan daripada beberapa wakil pembangkang antaranya Datuk Kamarudin Jaffar (Pas-Tumpat), Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak), Mahfuz Omar(Pas-Pokok Sena), Ooi Chuan Aun (DAP-Jelutong) dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

TIAN CHUA DIARAH KELUAR

Bagaimanapun tindakan Tian Chua (PKR-Batu) yang terus berdiri untuk menyuarakan bantahan tanpa mengendahkan arahan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menyebabkan beliau diarah meninggalkan dewan sehingga sesi penggulungan itu selesai.

Anwar kemudiannya bangun untuk meminta penjelasan sekali lagi daripada Najib sama ada beliau akan memberi peluang kepada mereka untuk mencelah ketika sesi penggulungan peringkat pertama itu berjalan.

"Biar Menteri jawab, boleh atau tidak kita gunakan ruang untuk berhujah sekarang atau tidak boleh?," soalnya kepada Najib sambil meminta supaya Najib sendiri yang memberikan jawapan berkenaan.

Najib kemudiannya menegaskan, beliau akan memberi peluang kepada mereka untuk berbuat demikian, tetapi hanya selepas peringkat pertama penggulungan itu selesai iaitu apabila beliau selesai membentangkan dasar dan langkah baru yang dicadangkan kerajaan untuk menangani masalah ekonomi negara.

"Saya ada beberapa langkah yang saya bentangkan. Biar saya bentang dulu kemudian saya bagi peluang. Sekarang ini, Yang Berhormat semua ganggu saya.

"Saya boleh bagi (bagi peluang)... Boleh, kemudian. Tapi tunggu kemudian... Apa yang terdesak sangat ni?" katanya bagi memberi penjelasan kepada Anwar yang ingin mengetahui sama ada beliau akan memberi laluan untuk penjelasan atau tidak.

Pandikar Amin kemudiannya bertanyakan kepada Najib sekali lagi sama ada mahu memberikan laluan kepada Ahli Parlimen yang ingin mencelah untuk meminta penjelasan.

"Mahu kasi laluan atau tidak semasa ini?" soal Pandikar Amin kepada Najib.

Najib menjawab: "Saya nak bentangkan, itu hak saya Tuan Yang Dipertua. Itu hak saya."

Dewan Rakyat terdiri daripada 83 ahli pembangkang termasuk dua wakil Bebas.

Anwar langsung tidak kembali ke Dewan Rakyat selepas Najib habis berucap.

Bagaimanapun beberapa ahli Parlimen dilihat keluar masuk Dewan.

KOMEN ANWAR

Di lobi Parlimen Anwar memberitahu wartawan bahawa beliau hairan dengan tindakan Menteri Kewangan enggan memberi laluan untuk memohon penjelasan.

"Apa yang dipersoalkan ialah Najib mengemukakan angka baru dalam penggulungannya.

"Tiada makna kalau kami hanya datang untuk mendengar, kami boleh baca sendiri.

"Apa yang kami mahukan ialah penjelasan kepada angka-angka baru ini," katanya.

Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat ketika ditanya mengapa pembangkang tidak tunggu kerana Najib sendiri mengatakan akan memberi laluan selepas membentangkan langkah-langkah tambahan Bajet 2009 berkata:

"Ini bukan soal boleh tunggu atau tidak."

Katanya, ahli-ahli Parlimen sudah menunggu selama dua minggu supaya kerajaan membentangkann bajet yang baru kerana bajet yang lama sudah tidak relevan dengan keadaan semasa.

Anwar yang juga bekas Menteri Kewangan dan bekas Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan seolah-olah menidakkan cadangan yang dikemukakan oleh pembangkang supaya membentangkan bajet baru, yang lebih relevan.

Ia merupakan ucapan penggulungan pertama bajet bagi Najib selaku Menteri Kewangan.

Bajet 2009 telah dibentangkan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Ogos lalu dan kemudian bertukar portfolio dengan Najib.

Dalam pada itu, Najib memberikan laluan kepada Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) untuk bertanya soalan kira-kira pukul 6.05 petang selepas habis menyampaikan ucapan yang menyentuh senario global dan langkah-langkah tambahan.

Selain Ibrahim lapan wakil Barisan Nasional (BN) juga mengemukakan soalan kepada Najib.

Ucapan Najib yang bermula kira-kira 4.30 petang berakhir pada pukul 6.50 petang.

PENJELASAN NAJIB

Dalam pada itu, Najib pada sidang akhbar berkata, tindakan Pakatan Rakyat keluar Dewan Rakyat adalah tidak bertanggungjawab kerana sudah mengatakan bahawa akan memberi peluang bertanya soalan selepas habis membentangkan langkah-langkah tetapi pembangkang tidak sabar.

Beliau berkata, pembangkang tidak sepatutnya bertindak demikian kerana apa yang dibentangkan di dalam Dewan Rakyat adalah langkah tambahan yang begitu penting untuk masa depan negara dan juga untuk membela kepentingan rakyat.

"Jadi dalam pembentangan seperti ini, mereka sebagai pembangkang yang bertanggungjawab dan menunjukkan sikap yang membina sepatutnya hadir dalam masa pembentangan itu.

"Ini satu yang rakyat mesti sedar bahawa mereka telah mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai pembangkang yang konstruktif dan bertanggungjawab," katanya.

Kata Najib, beliau membuat keputusan tidak memberikan laluan untuk penjelasan sehingga selesai pembentangan peringkat pertama kerana ingin memberikan gambaran yang jelas supaya tidak ada pihak yang terkeliru dengan langkah dan dasar baru yang dibentangkan.

"Elok saya buat pembentangan dulu. Bila dah nampak gambaran keseluruhannya, kalau mereka nak buat pertanyaan penjelasan, saya sanggup memberi penjelasan. Tapi nampaknya mereka tidak sabar dan nak keluar juga.

"Saya memang dah janji bahawa saya akan bagi masa untuk mereka membuat sebarang pertanyaan dan penjelasan.

"Saya bukan menafikan, saya menggunakan hak saya untuk menentukan bila saya nak bagi peluang," katanya.

Ketika ditanya sama ada kekeliruan berlaku di antara bajet baru dan bajet tambahan yang dibentangkan hari ini, Najib berkata: "Ini bukan bajet baru sebab dari segi jumlah untuk perbelanjaan pembangunan dan untuk bajet perbelanjaan pengurusan ia masih kekal pada paras yang sama."


[LAGI BERITA, UCAPAN PENGGULUNGAN PENUH NAJIB DI SEGMEN BERITA]

BERITA TERDAHULU

Langkah kurangkan kesan krisis kewangan diumum petang ini

PETALING JAYA: Kerajaan akan mengumumkan langkah-langkah bagi memperkukuh ekonomi negara dalam usaha menangani krisis kewangan pada petang ini.

Ia akan diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menggulung perbahasan Bajet 2009 di Parlimen kira-kira pukul 3 petang.

Ketika menyatakan perkara itu di Putrajaya semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, langkah-langkah yang diumumkan itu mesti membawa keyakinan kepada rakyat untuk menghadapi cabaran dan sekurang-kurangnya mampu mengukuhkan ekonomi daripada mengalami kesan teruk.

"Kita mesti kurangkan kesan-kesan yang teruk itu dengan menggalakkan pelaburan dan memberi perhatian kepada sektor yang membangun yang boleh dimajukan dan berkembang walaupun sedikit," katanya.

Beliau berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), Putrajaya.

Pada Jumaat lalu, Najib berkata, kerajaan akan mengumumkan pelaksanaan tindakan di bawah rancangan penstabilan kewangan hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan memastikan manfaat langkah itu sampai kepada kesemua perniagaan, terutama sekali perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Kata Najib, beliau akan meminta bank Negara Malaysia untuk memantau pinjaman kepada PKS.

Jelas Najib, kegawatan kewangan global yang dimulai oleh kegawatan subprima dalam pertengahan tahun lepas, telah mulai menunjukkan kesannya di dalam ekonomi sebenar.

Semalam, Abdullah berkata, beliau mahu rakyat yakin bahawa negara mampu menempuh cabaran yang datang berikutan krisis kewangan dunia yang memberi kesan kepada banyak negara termasuk Malaysia.

Katanya, negara tidak boleh mengelak daripada kesan krisis tersebut yang menimbulkan pelbagai perasaan dalam diri.

"Negara kita adalah sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka dalam erti kata kita mempunyai hubungan dengan negara-negara lain di seluruh dunia termasuk Amerika dan Eropah.

"Ini (krisis) berpunca daripada mereka tetapi kita juga tidak perlu terbawa-bawa perasaan takut dan bimbang. Kita mesti ada keyakinan untuk menempuhi cabaran.

"Kita juga perlu melihat kepada diri kita secara objektif dan buat kesimpulan daripada apa yang dilihat dan tahu mengenai sesuatu perkara pada waktu ini," katanya.

Abdullah berkata, rakyat perlu bersyukur kerana industri perbankan negara masih kukuh dan modal serta kecairannya juga mencukupi.

"Kita juga ada kekuatan berkaitan dengan rizab kita yang boleh tahan kedudukannya pada waktu ini. Kita masih mempunyai kekuatan penggunaan dalam negeri dan simpanan kita tinggi," katanya.

Beliau juga mahu bank bersedia untuk memberi pinjaman yang wajar supaya pembangunan negara dapat terus berjalan dalam memastikan projek yang memberi manfaat kepada rakyat dapat dilaksanakan dan pelaburan domestik terus bertambah.

"Kita perlu ada keyakinan bahawa apa yang kita laksanakan adalah pelaksanaan yang baik dan terjamin kejayaannya," katanya.

Selain itu katanya, kedudukan mata wang negara berada dalam keadaan stabil dan tidak terumbang ambing yang boleh menimbulkan keraguan dan negara mempunyai sektor yang membangun termasuk pelancongan, perbankan Islam, industri bioteknologi dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT). Abdullah berkata, kakitangan awam perlu meyakinkan para pelabur bahawa mereka tidak akan menghadapi kesusahan apabila mahu membuat pelaburan di negara ini.

"Kita mesti yakinkan pelabur yang datang ke negara kita, mereka tidak akan menghadapi kesukaran membuat pelaburan disebabkan kerenah birokrasi yang lambat dan menyusahkan," katanya.

Terima kasih kerana sumbangan anda. Sumbanglah untuk kebaikan perjuangan kita bersama.

Can't find what you're looking for? Try Google Search!

Google
 

Umno Sarkas

ANDA ADA MAKLUMAT ISU NEGARA?

Sila emailan kepada saya di seramaesty@yahoo.com atau hubungi saya di talian 013-9060111.

TERIMA KASIH ATAS KERJASAMA ANDA

Feedback Form

Join the Mailing List
Enter your name and email address below:
Name:
Email:
Subscribe  Unsubscribe 

Dr. Irfan menjelaskan Perniagaan Internet secara mudah kepada anda

Free Viral Advertising