Kerajaan Terengganu melalui Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) khabarnya memerlukan peruntukan sejumlah RM30 juta kononnya bagi mengindah dan memperlengkapkan lagi Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu , suatu projek kontroversi peninggalan Datuk Seri Idris Jusoh, bekas Menteri Besar negeri itu yang lalu.
Dilaporkan bahawa dari peruntukan tersebut sebanyak RM6 juta akan digunakan bagi membina beberapa Kiosk untuk jualan barang-barang cenderahati keluaran dari Timur Tengah kononnya atas permintaan pengunjung.
Antara 'item' yang akan ditambah ialah bahan-bahan sejarah, termasuk kincir air yang diilhamkan oleh tokoh-tokoh Islam pada zaman lampau.
Kenyataan ini dilaporkan dibuat oleh pihak PMINT sendiri, bukan Menteri Besar Terengganu yang baru, Datuk Ahmad Said.
Sama ada bukan dari menteri besar atau tidak ia tidak penting. Yang lebih penting ialah ia akan dibuat oleh kerajaan Terengganu dengan cadangan peruntukan yang agak besar di saat rakyat Malaysia dan dunia menghadapi krisis ekonomi yang teruk.
Projek TTI itu dipercayai tidak memberi impak yang baik kepada kemajuan dan pembangunan rakyat negeri itu sebaliknya ia hanya memberi keuntungan kepada kroni Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi.
Sepatutnya sebarang projek membazir wang rakyat hendaklah dihentikan melihat situasi ekonomi tidak memberangsangkan kerana prioriti ekonomi bukan ditumpukan kepada projek mewah tetapi ia harus ditumpukan kepada bagaimana kehidupan rakyat dibebaskan dari belenggu keruntuhan ekonomi dunia akibat kemelesetan ekonimi Amerika Syarikat (AS).
Satu kajian mendalam bagaimana caranya untuk menjadikan Terengganu sebagai pusat pertumbuhan dan kemajuan perniagaan serta pelancongan dengan kepelbagaian produk tempatan dipromisikan secara agresif ke seluruh dunia melalui saluran media elektronik khususnya internet dan lain-lain, perlu difikirkan oleh pakar ekonomi tempatan dengan kerjasama pakar ekonomi antarabangsa.
Kerajaan Terengganu dicadangkan memohon kepada Kerajaan Pusat supaya mengizinkan negeri itu sebagai sebuah negeri 'bebas cukai' terhadap semua barangan keperluan harian rakyat termasuk barangan mewah sehingga semua barangan itu boleh dibeli dengan harga termurah di Asia Tenggara sebagai alternatif rampasan royalti petroleum dan gas oleh kerajaan pusat sebelum ini.
Mekanisme pelaksanaan boleh dikaji dengan teliti sehingga cita-cita berkenaan dicapai dengan jayanya lebih baik dari membina dan memperindahkan lagi projek mewah yang tidak memberi imput ekonomi secara langsung kepada rakyat negeri itu seperti TTI dan Pertandingan Perahu Layar Monsoon Cup.
Sistem 'frencais' pusat pengajian tinggi bertafar antarabangsa seperti Universiti Al-Azhar dan universiti bertaraf dunia lain juga suatu projek ekonomi memberangsang dan menguntungkan kerajaan Terengganu kerana ia menjimatkan kos dan perbelanjaan pendidikan rakyat negara ini tanpa perlu keluar negara.
TTI boleh dijadikan sebagai pusat universiti frencais bertaraf antarabangsa. Dengan cara demikian ia boleh menarik pelaburan asing ke dalam negeri dan memberi imput yang baik kepada ekonomi negara.
Suasana persekitaran memang kondusif untuk tujuan tersebut kerana ia dikelilingi oleh air sungai yang tenang dan jauh dari gangguan kehidupan manusia.
Justeru banyak alternatif lain boleh diusahakan oleh kerajaan Terengganu selain menghabiskan duit rakyat jika kerajaan itu mahu menolong rakyat dan negeri itu.
Iklan Istimewa http://www.bio-asli.com/daftar_keahlian.asp?id=seramaesty