Saya Suhaimi Taib, mendapat Sijil Pentadbiran Islam dari Kusza Kuala Terengganu (2002), Kursus Penerbitan Video Koperat Universiti Malaya (2003), Pengarang Warta Darul Iman (2000-2003) Penerbit Siaran Darul Iman (2003-2004), Wartawan Sambilan Berita Harian (1997-1998), Wartawan Harakah (1989-1996).
Menerima Anugerah kewartawanan Esso-Kawat (1997 dan 1998)

Hubungi saya melalui e-mel: seramaesty@yahoo.com atau H/P No: 013-9060111.

Sunday, September 28, 2008

Hari-hari akhir PM Abdullah

Amin Iskandar (Malaysiakini)| Sep 23, 08 4:52pm
Abdullah Ahmad Badawi naik sebagai perdana menteri ketika kebencian rakyat terhadap Dr Mahathir Mohamad, Umno dan BN sedang memuncak.

Oleh kerana itu, keputusan pilihanraya umum 2004 menyaksikan BN menang besar, Terengganu dirampas daripada pemerintahan PAS, Kelantan hampir-hampir tumbang dan PKR hanya tinggal satu kerusi.

Kemenangan BN dalam pilihanraya umum ke-11 bukanlah kerana kebijaksanaan “budak tingkat empat” akan tetapi rakyat mahukan perubahan setelah 22 tahun bawah kepemimpinan kuku besi bekas perdana menteri.

Abdullah pada ketika itu dilihat seorang “Mr. Clean” yang mampu mereformasikan Malaysia daripada kepincangan sistem peninggalan Dr Mahathir.

Secara peribadinya, saya dan teman-teman aktivis mahasiswa daripada Universiti Bangsar Utama (UBU) mempunyai pengalaman lucu bersama Abdullah.

Ketika itu, tahun 2001, Abdullah sebagai timbalan perdana menteri (TPM) melawat Universiti Putra Malaysia (UPM).

Saya dan teman-teman ingin menghantar memorandum kepadanya berhubung tuntutan kami mengenai isu-isu kebajikan mahasiswa.

Oleh kerana kawalan dan halangan ketat oleh pengawal-pengawal keselamatan UPM, kami tidak dapat bertemu dengan Abdullah secara bersemuka selepas beliau menyampaikan ucapan di Fakulti Komunikasi.

Kami kemudian merancang bertemu Abdullah di tempat yang kurang kawalan keselamatan UPM. Kami menunggu rombongan kereta beliau berhampiran dengan pintu keluar fakulti tersebut.

Apabila rombongan TPM menghampiri pintu keluar, seorang teman menahan kereta yang dinaikinya dengan berdiri di tengah-tengah jalan.

Kereta tersebut berhenti dan secara spontan pengawal pengiring Abdullah meluru ke arah kami.

Tiba-tiba Pak Lah yang berada di dalam kereta menurunkan cermin keretanya dan menjerit, “jangan tahan pelajar, mereka hanya ingin serahkan surat kepada saya”.

Pengawal pengiring berhenti daripada bertindak dan kami dibenarkan menyerahkan memorandum kepada Abdullah.

Kami tidak pasti sama ada beliau membaca memorandum tuntutan kami atau tidak, akan tetapi kami semua tercengang dan kagum melihat perwatakan Abdullah yang dirasakan baik hati.

Sehingga hari ini, kami tidak mendapat apa-apa respons daripada beliau mengenai tuntutan-tuntutan dalam memorandum tersebut.

Sepanjang pemerintahan beliau selepas pilihanraya Mac 2004, Abdullah gagal melaksanakan reformasi seperti yang dijanjikan oleh beliau dan diharapkan oleh rakyat.

Contohnya, penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Cadangan menubuhkan suruhanjaya itu diuar-uarkan oleh Abdullah demi memperbaiki imej polis yang tercemar akibat berlakunya banyak aduan mengenai salah laku polis, khususnya oleh aktivis-aktivis Gerakan Reformasi.

Sudah tentulah cadangan untuk menubuhkan IPCMC akan mendapat tentangan polis kerana bimbang kuasa mereka berkurangan.

(IPCMC akan memberikan peluang kepada rakyat mengadu tentang salah laku polis dan tindakan boleh diambil terhadap polis jika terbukti bersalah).

Pegawai-pegawai kanan polis secara terang-terangan melawan agenda penubuhan IPCMC sehingga terkeluarnya buletin khas Bukit Aman yang bertajuk “IPCMC: Kuasa Yang Tidak Boleh Dicabar?”.

Buletin tersebut turut disiarkan di laman web rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) - ia mengandungi 12 bab yang meliputi latar belakang IPCMC, dialog antara PM dengan pihak kumpulan pegawai PDRM dan sebab-sebab mengapa mereka membantah penubuhannya.

Selain itu, IPCMC turut tidak disenangi oleh pemimpin-pemimpin Umno terutamanya yang manjdi proksi kepada bekas Dr Mahathir, termasuk ketua Pemuda, Hishammuddin Hussein.

Abdullah ibarat tersepit di tengah-tengah - antara janjinya kepada rakyat dan penentangan daripada Umno dan PDRM.

Utusan api-apikan sentimen kaum

Lee Ban Chen | Sep 24, 08 1:56pm

Penggunaan Akta Keselamatan dalam negeri (ISA) terkutuk terhadap wartawan wanita Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng, ahli exco kerajaan Selangor, Teresa Kok dan pengendali laman web Malaysia Today Raja Petra Kamarudin mencetuskan bantahan dan gerakan anti-ISA terbesar yang pernah berlaku di negara kita.

Selain badan-badan bukan kerajaan dan Majlis Peguam, parti-parti komponen Barisan Nasional sendiri juga tidak dapat bersetuju dengan tangkapan sewenang-wenang itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, menteri perundangan de facto, Datuk Zaid Ibrahim malah meletakkan jawatannya sebagai pengakuan kegagalan reformasi perundangan yang merupakan tanggungjawabnya.

Sungguhpun Hoon Cheng telah dibebaskan 18 jam selepas ditahan sejak 12 September dan Teresa Kok turut dibebaskan selepas seminggu ditahan, namun alasan-alasan yang diberi berkaitan asas penahanan mereka tidak masuk akal dan mengelirukan.

Hoon Cheng kononnya ditahan agar diberi "perlindungan keselamatan", dan Teresa, menurut beliau sendiri, cuma disiasat berasaskan suatu rencana kolum yang ditulis oleh Zaini Hassan yang disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 10 September lalu bertajuk: “Azan, jawi, JAIS, UiTM dan ba-alif-ba-ya…” .

Hoon Cheng yang mula-mula melaporkan kenyataan ketua bahagian Umno Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail yang melemparkan kenyataan perkauman bahawa masyarakat Cina "kaum penumpang" yang mustahil mendapat hak yang sama dengan kaum bumiputera.

Atas tekanan parti-parti komponen Barisan Nasional, Umno terpaksa menggantung hak keahlian Ahmad selama tiga tahun kerana enggan meminta maaf secara terbuka berkaitan kenyataannya.

Yang menakjubkan, Hoon Cheng yang hanya menjalankan tugasnya sebagai seorang wartawan sebaliknya telah ditahan bawah ISA, kononnya untuk melindungi keselamatannya – suatu dalih yang amat melucukan!

Menurut rencana Zaini, ahli parlimen Seputeh tiba-tiba menjadi “dalang” di sebalik isu-isu azan, tulisan jawi, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan babi seperti disenaraikan dalam tajuk rencana kolum terbabit.

Selepas membaca artikel tersebut, Mohamad Asri Shafii, biro badan bertindak Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Perak telah mencapai kesimpulan seperti tajuk suratnya kepada akhbar yang sama (11 September 2008) “Terhakisnya ketuanan Melayu”!

Mohamad Asri selanjutnya merumus: “Adalah menjadi mimpi ngeri bagi orang Melayu sebagai tuan di bumi bertuah ini mendapat menteribesar yang bukan Melayu.

"Hakikatnya telah berlaku, meskipun kita melihat dua buah negeri Perak dan Selangor diperintah oleh ketua negeri berbangsa Melayu dan beragama Islam, tetapi hakikatnya daripada artikel ini adalah sebaliknya."

Nampaknya niat Zaini untuk merasiskan imej Teresa, dan melaluinya “memomokkan” kerajaan Pakatan Rakyat dari perspektif ketuanan Melayu telah tercapai, dan nyata sekali Teresa telah menjadi mangsa artikel terbabit!

Biarlah kita meneliti dakwaan-dakwaan artikel Zaini secara lebih objektif. Terlebih dahulu, dibangkitnya tuduhan bekas menteri besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo bahawa ada usaha pihak tertentu yang cuba menasihatkan pihak masjid dan surau supaya tidak menggunakan pembesar suara semasa melaungkan azan.

Padahal menurut Steven Ee, yang bertanggungjawab menghantar petisyen kepada masjid Bandar Kinrara seperti yang dilaporkan Malaysiakini, penduduk bukan Islam di Seksyen 5 taman perumahan itu tidak pernah membantah penggunaan pembesar suara untuk laungan azan.

Mereka hanya meminta agar direndah atau diperlahankan suaranya apabila kaset/CD berkaitan ceramah, kuliah agama serta bacaan al-Quran dipasang sebelum sembahyang subuh di masjid tersebut.

Kini, menteri besar baru Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah mengeluarkan kenyataan bahawa masjid boleh terus menggunakan pembesar suara semasa menjalankan aktiviti bagi menyebarkan syiar Islam kerana pihaknya tidak menerima sebarang bantahan daripada mana-mana kumpulan atau persatuan penduduk.

Mungkin masih ada dua masalah masih belum terjawab. Yang pertama, adakah petisyen bukan Islam Bandar Kinrara terbabit boleh dianggap sebagai tidak sensitif, malah menghina agama Islam seperti tuduhan terbabit?

Yang kedua, permintaan agar suara pembesar masjid direndahkan atau diperlahankan juga tiada tolak ansurnya, seperti ditegaskan JAIS?

Jika petisyen agar bunyi suara pembesar aktiviti agama direndah atau diperlahankan juga tidak dapat ditoleransi dan ditolak ansur, seperti mesej-mesej yang dibawa dalam Utusan Malaysia, maka semangat toleransi yang diuar-uarkan selama ini hanyalah jalan sehala saja di sisi ketuanan Melayu dan ketuanan Islam!

Teresa yang mendapat salinan petisyen terbabit telah dipertanggungjawabkan sepenuhnya oleh Zaini, dan melalui mulut seorang YB dalam Pakatan Rakyat kononnya dihubunginya melalui telefon, Teresa dikritik sebagai "kurang ajar", dan dikatakan sedang "memaksa" DBKL menurunkan semua tulisan jawi di semua papan tanda jalan di Kuala Lumpur, supaya dinaikkan papan tanda tulisan Cina dan Tamil bersama-sama tulisan rumi.

Namun, siapakah Teresa Kok yang mampu "memaksa" DBKL menurun dan menaikkan papan jalan mengikut suka hatinya?

Bagi mereka yang berfikiran liberal, di samping tulisan rumi, jika kaum Melayu inginkan tulisan jawi ditambah atau dikekalkan, sama juga dengan permintaan agar tulisan Cina dan tulisan Tamil ditambahkan di papan jalan, apa salahnya jika kaum Melayu tidak terlalu obsesi dengan ketuanan Melayu?

Sekalipun tidak bersetuju, habislah cerita, buat apa digembar-gemburkan seolah-olah tibalah hari kiamat jika bahasa Cina dan bahasa Tamil ditambah di papan tanda jalan!

Menurut imaginasi Zaini, Teresa tiba-tiba menjadi manusia yang begitu "berpengaruh" sekali, sehingga sanggup "menyuapkan" Khalid mengenai cadangan supaya diambil 30 peratus peruntukan JAIS untuk digunakan bagi kegunaan agama-agama lain, serta "memegang tali" untuk menyuruh menteri besar itu membuat kenyataan agar pintu UiTM dibuka kepada 10 peratus penuntut bukan Melayu.

Jika kita percaya kepada kebebasan beragama seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, dan bersetuju bahawa agama-agama bukan Islam di Selangor juga berhak menerima bantuan daripada Selangor seperti JAIS, maka sudah barang tentu JAIS tidak dapat memonopoli seratus peratus peruntukan yang disediakan kerajaan negeri sebagai bantuan kepada institusi-institusi semua agama.

Jangan lupa, penganut bukan Islam di negara kita juga wajib membayar cukai.

Sebelum kenyataan Khalid, jika tidak silap penulis, kabinet telah mengambil keputusan agar pintu UiTM dibuka kepada 10 peratus penuntut bukan Melayu, masa itu, tiada kontroversi dicetuskan seperti kali ini.

Selain itu, projek pemeliharaan berpusat babi di Sepang juga projek lama Barisan Nasional Selangor, ia juga tidak digembar-gemburkan seperti kali ini.

Pembaca Utusan Malaysia tentu sedar bahawa azan, jawi, JAIS, UiTM, dan babi antara isu-isu yang diperbesar-besar dan diapi-apikan oleh Utusan Malaysia daripada perspektif ketuanan Melayu dan ketuanan Islam, demi memburuk-burukkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Jika wujud sebarang ketegangan kaum seperti dakwaan pihak polis, maka antara lain, Utusan Malaysia sudah barang tentu telah memainkan peranannya, dan oleh itu, patut disiasat dan diberi amaran, bukan mereka yang menjadi sasaran agenda perkauman, seperti Hoon Cheng, Teresa dan Raja Petra.(Malaysiakini)

Khairy: penangguhan boleh rumitkan keadaan

Sep 26, 08 10:29pm
Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menganggap keputusan Majlis Tertinggi Umno hari ini menunda tarikh perhimpunan agung ke Mac tahun depan boleh `merumitkan kempen' calon-calon yang bertanding dalam pemilihan parti nanti.


khairy jamaluddinBeliau yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan ketua Pemuda Umno berkata, tempoh kempen yang sebelum ini hanya dua bulan akan menjadi lebih panjang iaitu selama enam bulan dan akan menyukarkan calon yang bertanding bagi jawatan tertinggi seperti dirinya.

"Kita tahu ini mungkin akan menjadi satu keputusan yang muktamad, ...bagi mereka yang akan bertanding jawatan ketua Pemuda bahagian tak mengapa, tetapi untuk saya yang bertanding jawatan ketua Pemuda, ia akan menjadi satu keputusan yang merumitkan kempen.

"Tempoh kempen akan menjadi lebih panjang dan ia bukan senang. Bayangkan kempen pilihanraya dua minggu pun tidak mudah, inikan pula enam bulan.

"(Maknanya) dalam tempoh enam bulan itulah kita kena berkempen," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas menghadiri majlis berbuka puasa di kediaman Menteri Besar Teregganu Datuk Ahmad Said di Kemaman hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Majlis Tertinggi Umno hari ini menunda tarikh perhimpunan agung parti itu yang sepatutnya Disember depan, ke Mac tahun depan bagi melicinkan proses peralihan kuasa yang lebih awal.

Bagaimanapun, ahli parlimen Rembau itu berkata sebagai sayap parti, Pemuda Umno tetap menghormati dan menerima keputusan yang telah diambil itu.

Sementara itu, Ahmad yang juga pengerusi badan perhubungan Umno Terengganu berkata, keputusan yang diambil oleh Majlis Tertinggi itu perlu dihormati kerana ia adalah antara langkah untuk melicinkan proses peralihan kuasa.

"Ini membuktikan proses peralihan kuasa Umno sebagai sebuah parti utama kaum Melayu berjalan dalam keadaan sempurna dan tertib," katanya.

Sekat jumpa ahli

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata beliau tidak akan teragak-agak untuk mendedahkan pihak yang bertanggungjawab menyekatnya daripada bertemu dengan ahli-ahli pergerakan Pemuda jika keadaan itu berterusan berlaku.

"Setakat ini tidak terlalu serius, tetapi sedikit sebanyak turut menjejaskan (kempen). Kalau terus sekat, mungkin saya akan bawa ke Majlis Tertinggi," katanya.

Semalam dalam satu majlis di Kota Bharu, Kelantan, Khairy mendedahkan terdapat pihak yang menyekat beliau daripada bertemu dengan ahli-ahli pergerakan pemuda Umno melibatkan beberapa kawasan yang dihadirinya dan beliau turut mendakwa mempunyai bukti berhubung perkara tersebut.

Selain Khairy, turut menawarkan diri bertanding jawatan ketua Pemuda Umno adalah ahli parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis Datuk Zahidi Zainul Abidin dan ahli Majlis Tertinggi yang juga bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

Sebelum ini Mukhriz juga pernah membangkitkan isu berkenaan sekatan yang dilakukan oleh sesetengah pihak terhadap anggota parti untuk bertemu calon yang bertanding.

Mengulas lanjut tentang perkara itu, Khairy berkata antara bentuk sekatan yang berlaku termasuklah melalui kiriman khidmat pesanan ringkas yang menghalang ahli-ahli pemuda untuk bertemu dengan beliau.

2,000 sertai perarakan aman anti-ISA

Sep 27, 08 8:15pm

Kira-kira 2,000 menyertai perarakan aman di ibunegara malam ini, mendesak supaya dimansuhkan Akta Keselamatan Negeri (ISA) dan dibebaskan tahanan di bawah akta tersebut.

anti isa dataran merdeka 270908 01Pada mulanya, dua kumpulan - Barisan Bertindak Hak Hindu (HIndraf) dan gabungan NGO yang diketuai oleh Pakatan Penulis untuk Kebebasan Media (Wami) - merancang untuk mengadakan majlis memasang lilin di Dataran Merdeka pada kira-kira jam7.30 malam.

Apabila polis mengawal Dataran Merdeka, kumpulan Hindraf yang berjumlah kira-kira 500 orang, berarak menuju ke kuil yang terletak di depan pusat perhentian bas Puduraya kira-kira 1 km dari situ.

anti isa dataran merdeka 270908 raja petra fansKetika berarak ke sana, orang ramai turut menyertai mereka dan jumlahnya kemudian bertambah mencecah kira-kira 2,000 orang, dengan ramai yang membawa lilin.

Satu lagi kumpulan, yang berarak sambil membawa tanglung, kemudiannya turut menyertai kumpulah Hindraf tersebut.

Sambil berarak, mereka melaungkan “Mansuhkan ISA”, “Bebaskan Raja Petra” and “Hindraf Valga (Hidup Hindraf)”.

Akhirnya, mereka berkumpul di kawasan kuil berkenaan di mana beberapa individu menyampaikan ucapan.

Penyelaras pusat Hindraf, R Thanenthiran menggesa kerajaan memenuhi tuntutan peserta perarakan tersebut supaya membebaskan tahanan ISA.

anti isa dataran merdeka 270908 thanenthiranKatanya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar tidak boleh memutuskan seorang diri apakah yang terbaik untuk negara.

"Malam ini, kita rakyat, menjadi hakim," tambahnya.

Kemudian, ahli Parlimen Teluk Intan, M Manogaran memberitahu hadirin bahawa perhimpunan tersebut diadakan untuk mengingati ulangtahun pertama penahanan lima pemimpin Hindraf di bawah ISA dan kini ditahan di Kem Tahanan Kamunting.

"Kita akan terus mengadakan perhimpunan sehinggalah tahanan ISA dibebaskan," katanya.

Suasana meriah

anti isa dataran merdeka 270908 03Sementara itu, perarakan itu berjalan dalam suasana meriah. Beberapa penyokong Raja Petra Kamaruddin turut menyanyikan lagu selamat jadi kerana hari ini merupakan hari jadi penulis blog tersebut.

Menjelang jam 9 malam, mereka bersurai dan tiada kejadian yang tidak diingini dilaporkan berlaku.

Thanenthiran kemudiannya memberitahu pemberita bahawa perarakan malam ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia boleh berhimpun secara aman untuk menyuarakan isi hati mereka.

“Jika pihak polis mematuhi undang-undang, kita pun juga boleh berbuat demikian," katanya.

Dalam satu kenyataan selepas orang ramai bersurai, pengerusi Hindraf, P Waytha Moorthy mengucap terima kasih kepada pihak polis kerana membenarkan perarakan tersebut diadakan.

"Kerajaan kini seharusnya menerima hakikat bahawa rakyat Malaysia telah menghantar satu mesej yang kuat dan jelas menolak penggunaan ISA," katanya yang kini tinggal di luar negara.

Sementara itu, dua peserta buta memberitahu Malaysiakini mengapa mereka turut menyertai perarakan tersebut.

Ramli Abu Bakar, 51, berkata beliau menyokong gerakan anti-ISA sejak ia dimulakakan kerana "negara telah mencapai kemerdekaan".

"Kita telah merdeka selama 51 tahun, jadi mengapa kita perlukan lagi undang-undang itu sekarang," kata Ramli.

Rakannya, Kamal Abdu Bakar, 48, turut menyokongnya dengan berkata ISA tidak relevan lagi sekarang.

Manakala seorang penyokong Raja Petra - Sampa Lee, 60 - berkata pembebasan penulis blog itu serta tahanan ISA yang lain, akan merupakan hadiah hari jadi terbaik yang boleh diberikan oleh kerajaan.

"Ia akan merupakan hadiah terbaik untuk Raja Petra dan semua rakyat Malaysia kerana kita semua menentang undang-undang yang zalim itu," kata Sampa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman berkata polis mendapat maklumat bahawa perhimpunan itu dijadualkan diadakan di Dataran Merdeka.

"Tetapi kita telah menempatkan anggota polis di beberapa jalan masuk menuju ke Dataran Merdeka dan ini menyebabkan peserta perhimpunan bertukar lokasi menuju ke kawasan berhampiran Puduraya.

"Tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku dalam perhimpunan ini dan tiada sebarang tangkapan dibuat," katanya dalam laporan Bernama.

Mukhriz Persoal Penangguhan Perhimpunan Agung Umno

TEMERLOH, 27 Sept (Bernama) -- Exco Pergerakan Pemuda Umno Datuk Mukhriz Tun Mahathir mempersoalkan tindakan Majlis Tertinggi (MT) menangguhkan Perhimpunan Agung parti itu yang dijadual Disember ini ke bulan Mac tahun depan yang dilihatnya memberi impak negatif.

Beliau berkata tindakan MT itu menyebabkan anggota Umno menjadi semakin bosan dengan kepimpinan parti kerana bagi mereka tidak ada keperluan munasabah Perhimpunan Agung Umno perlu ditangguhkan.

Katanya, beliau sendiri tidak faham kenapa penangguhan itu perlu dilakukan dan ia tentunya akan memberikan gambaran yang tidak sihat serta boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan anggota akar umbi.

"Daripada maklum balas yang saya terima dari seluruh negara, penangguhan Perhimpunan Agung Umno itu memberikan impak negatif dan ramai yang mahu supaya MT membatalkan penangguhan tersebut," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama-sama anggota Umno Bahagian Temerloh dan Kuala Krau di sini.

Mukhriz berkata penangguhan yang mengambil masa hanya tiga bulan dari tarikh asal itu juga tidak relevan dan tidak memberikan sebarang kelebihan dalam menguatkan semula parti.

Hampir 2,000 Orang Sertai Perhimpunan Aman Anti ISA

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Hampir 2,000 orang dari pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti pembangkang, menyertai satu perhimpunan aman malam ini di kawasan berhampiran Puduraya di sini, meminta kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Perhimpunan terbabit bermula kira-kira 8 malam dan bersurai sejam kemudian.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman berkata polis mendapat maklumat bahawa perhimpunan itu dijadualkan diadakan di Dataran Merdeka.

"Tetapi kita telah menempatkan anggota polis di beberapa jalan masuk menuju ke Dataran Merdeka dan ini menyebabkan peserta perhimpunan bertukar lokasi menuju ke kawasan berhampiran Puduraya.

"Tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku dalam perhimpunan ini dan tiada sebarang tangkapan dibuat," katanya.

Perhimpunan itu turut menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Terima kasih kerana sumbangan anda. Sumbanglah untuk kebaikan perjuangan kita bersama.

Can't find what you're looking for? Try Google Search!

Google
 

Umno Sarkas

ANDA ADA MAKLUMAT ISU NEGARA?

Sila emailan kepada saya di seramaesty@yahoo.com atau hubungi saya di talian 013-9060111.

TERIMA KASIH ATAS KERJASAMA ANDA

Feedback Form

Join the Mailing List
Enter your name and email address below:
Name:
Email:
Subscribe  Unsubscribe 

Dr. Irfan menjelaskan Perniagaan Internet secara mudah kepada anda

Free Viral Advertising