Saya Suhaimi Taib, mendapat Sijil Pentadbiran Islam dari Kusza Kuala Terengganu (2002), Kursus Penerbitan Video Koperat Universiti Malaya (2003), Pengarang Warta Darul Iman (2000-2003) Penerbit Siaran Darul Iman (2003-2004), Wartawan Sambilan Berita Harian (1997-1998), Wartawan Harakah (1989-1996).
Menerima Anugerah kewartawanan Esso-Kawat (1997 dan 1998)

Hubungi saya melalui e-mel: seramaesty@yahoo.com atau H/P No: 013-9060111.

Thursday, September 18, 2008

Umno, MCA, Gerakan diminta bersatu paksa PM bersara

Sep 17, 08 10:02pm

Sudah tiba masanya bagi Umno, MCA dan Gerakan bersatu untuk memaksa Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Hanya dengan cara ini kita dapat pulihkan BN dan mungkin juga menyusunnya semula.

:Jika tidak hubungan kaum akan terus merosot dan negara akan jadi mangsa," tambahnya.

Dr Mahathir berkata, Umno, MCA dan Gerakan mesti berusaha untuk memperbaiki keadaan ini dan memulihkan semula BN.

"Tetapi saya akui ianya adalah sukar jika Abdullah masih lagi memimpin BN dan kerajaan," kata Dr Mahathir dalam catatan terbarunya dalam blognya.Click Here!

Tiga Pegawai Tertinggi Terengganu Bincang Royalti Minyak Dengan Kementerian Kewangan

KUALA TERENGGANU, 17 Sept (Bernama) -- Kerajaan Terengganu telah menghantar tiga pegawai tertinggi untuk berbincang dengan Kementerian Kewangan berhubung beberapa masalah teknikal yang belum selesai mengenai tuntutan wang royalti minyak negeri ini.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata dalam pertemuan itu semalam, kerajaan Terengganu diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mokhtar Nong, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Mazlan Ngah dan Penasihat Undang-undang Negeri Mohamed Sekeri Mamat.

"Perjumpaan itu adalah bagi menyelesaikan beberapa masalah teknikal termasuk mendapatkan maklumat mengenai perbelanjaan melalui projek yang dilaksanakan serta baki yang ada," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis khatam Program Pintar al-Quran Kanak-Kanak Tadika peringkat negeri di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak dekat sini hari Rabu.

Bagaimanapun, Ahmad berkata tarikh sebenar kerajaan negeri akan memperoleh wang royalti itu belum dapat diumumkan walaupun sebelum ini, ia dikatakan akan dibayar pada bulan ini.

"Saya akan beritahu bila sampai masanya. Kita ada sedikit masalah teknikal yang kini dalam proses untuk diselesaikan," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan telah memperoleh majoriti kerusi untuk membentuk kerajaan baru, Ahmad berkata tindakan Ketua Pembangkang itu merupakan satu pembohongan dengan cuba memperbodohkan rakyat negara ini.

Beliau berkata bukannya mudah untuk menubuhkan kerajaan dan menjadi Perdana Menteri dalam parti yang berbeza.

"Saya sendiri pun bukannya senang menjadi Menteri Besar walaupun dalam parti yang sama," katanya dalam nada berseloroh.

Click Here!

Saya Masih Mahu Jadi Senator: Zahid Ibrahim

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Datuk Zaid Ibrahim yang meletak jawatan selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada Isnin mahu mengekalkan jawatan Senator untuk terus memperjuangkan kepada perubahan undang-undang di negara ini.

Beliau yang sebelum ini menjaga hal ehwal berkaitan perundangan akan menggunakan kepakaran dan pengalamannya dalam bidang perundangan untuk membawa perubahan kepada sistem kehakiman negara.

"Saya yakin perdana menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) mahu saya meneruskan tugas sebagai Senator untuk memperkenalkan perubahan dalam perundangan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Kaukus Parlimen yang baru ditubuhkan Pakatan Rakyat (PR) untuk membantu membebaskan Anggota Parlimen (MP) Seputeh, Teresa Kok yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Jumaat lepas, di sini hari ini.

Semua MP PR menghadiri mesyuarat tersebut.

Zaid meletak jawatan setelah kecewa dengan pelaksanaan ISA terhadap tiga individu termasuk Teresa, penulis laman blog Raja Petra Kamarudin dan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng.

Tan kemudian dibebaskan pada Sabtu.

Dengan menyertai majlis tersebut, Zaid bagaimanapun menafikan kemungkinan beliau akan menyertai PR.

"Saya hanya menyertai mesyuarat untuk menyokong pembentukan Kaukus Parlimen untuk membantu membebaskan YB Teresa daripada ISA.

"Pendirian saya berhubung ISA ialah ia perlu digunakan untuk kepada orang yang mahu mengguling kerajaan dengan kekerasan dan bukan sebaliknya," katanya.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata penubuhan kaukus tersebut bertujuan untuk membebaskan Teresa dan menghapuskan ISA.

Katanya PR mungkin meminta bantuan Jawatankuasa Parlimen Komanwel untuk membebaskan Teresa sekiranya perlu.

Click Here!

Isu ISA punca kabinet Abdullah bertelagah sesama sendiri

PASIR PUTEH, 17 Sept (Hrkh) - Imej kerajaan Barisan Nasional (BN) kini semakin menjunam apabila banyak tindakannya kebelakangan ini tersasar jauh sehingga menjadi medan amukkan sesama sendiri.

Iklan




Isu ISA ternyata menyebabkan Umno dan BN mengelusur ke bawah sehingga membawa kepada perletakan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zaid Ibrahim.

Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa berkata, kerajaan BN tidak mampu mempertahankan asas penahanan terhadap Editor Malaysia-Today, Raja Petra Kamarudin dan anggota Exco Kerajaan Selangor, Teresa Kok dan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng.

"Kerajaan BN menjadi lebih buruk selagi mempertahankan penahanan Raja Petra dan Teresa di bawah tahanan ISA kerana tindakan tersebut jelas tidak dipersetujui menteri kabinet sendiri.

"Dato' Seri Dr Rais Yatim dan Zaid tidak setuju. Zaid pula sanggup meletak jawatan. Ini satu pukulan berat kepada kerajaan," katanya selepas menyampaikan sumbangan cek kepada seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang mengidap sakit jantung.

Pada 12 September lalu Raja Petra, Teresa dan Tan Hoon ditahan di bawah tahanan ISA.

Bagaimana wartawan wanita akhbar berbahasa Cina itu dibebaskan selepas 18 jam kemudian .

Husam yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, ada pihak yang tidak bertanggungjawab memutar belit faktor penangkapan ke atas Teresa yang dikatakan cuba menghalang penggunaan alat pembesar suara ketika azan di sebuah masjid di Selangor baru-baru ini.

"Sedangkan ahli jawatankuasa masjid terbabit sudah buat kenyataan bertulis bahawa perkara ini tidak pernah berlaku, tetapi yang terjadi pada masa itu ialah kerosakan sistem pembesar suara sehingga suara azan tidak kedengaran," katanya.

Oleh itu kerajaan BN perlu membebaskan segera mereka sebelum situasi lebih buruk menimpa kerajaan yang ada sekarang.

Click Here!

Mubarak mahu peralihan kuasa sebelum Disember

Sep 18, 08 12:39am
Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) berpendapat proses peralihan kuasa perlu diadakan secepat mungkin, selewat-lewatnya sebelum perhimpunan agung Umno pada 16 Disember ini bagi mengelakkan pergolakan dalam parti.

Presidennya Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata keputusan tersebut dicapai sebulat selepas mendengar pandangan dan rumusan 34 daripada 36 anggota Majlis Tertingginya dalam mesyuarat yang diadakan hari ini. Dua lagi anggotanya tidak dapat hadir.

abdullah ahmad badawi and najibKeputusan itu berbeza dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai peralihan kuasa yang dipersetujui kedua-dua mereka diadakan pada Jun 2010.

Menurut Bernama, Abdullah dan Najib hari ini mengulangi komitmen mereka dengan tempoh peralihan kuasa seperti yang ditetapkan sebelum ini.

Kedua-dua mereka juga akan mempertahankan jawatan masing-masing sebagai presiden dan timbalan presiden Umno Disember ini.

Abu Zahar berkata peralihan kuasa yang telahpun dipersetujui itu adalah satu persefahaman tetapi ia perlu dirujuk kepada perhimpunan agung Umno Disember ini.

"Pemimpin mestilah patuh dan hormati perlembagaan parti Umno di mana semua hak ahli-ahli tidak boleh diketepikan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu di ibunegara hari ini. Click Here!

PM mungkin bersara awal, Najib kini menteri kewangan

Sep 17, 08 2:36pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau menyerahkan jawatan menteri kewangan kepada Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak dan mengambil alih jawatan menteri pertahanan.


umno ahmad ismail mt meet 100908 abdullah najib pcBercakap dalam satu sidang akhbar tengahari ini, Abdullah berkata, pertukaran jawatan itu berkuatkuasa serta merta.

Perdana menteri yang memegang jawatan menteri kewangan sejak 2004 berkata, beliau telah memaklumkan keputusannya itu kepada kabinet.

Abdullah yang juga presiden Umno berkata, beliau mungkin bersara lebih awal daripada tahun 2010 bergantung kepada prestasi Najib.

"Tempoh waktunya fleksibel. Ia mungkin jika saya mahu pergi lebih awal tetapi tidak melangkaui 2010," katanya. Najib turut hadir.

Abdullah berkata pelan peralihan kuasa itu antara lain bergantung kepada prestasi Najib.

Bagaimanapun, kedua-dua pemimpin tersebut tetap berpegang kepada pelan peralihan kuasa pada 2010.

Abdullah berkata, beliau dan Najib akan mempertahankan jawatan masing-masing dalam pemilihan Umno Disember ini.

Najib turut hadir di sidang akhbar tersebut dan apabila ditanya komennya, menjawab: "Kami telah bersetuju. Saya menyerahkannya kepada parti. Kami menawarkan diri kepada parti dan saya berharap mereka akan menerimanya".

Najib juga turut dilantik sebagai timbalan pengerusi badan pelaburan kerajaan, Khazanah Holdings.

Terdapat desakan yang semakin meningkat ke atas Abdullah supaya bersara lebih awal, tetapi kini nampaknya Najib telah mencapai persetujuan dengan bosnya itu untuk menenangkan tuntutan dari akar umbi Umno.

Kedua-dua mereka kini berdepan dengan kekalutan politik yang berpunca daripada pergeseran dalam Umno, di tengah-tengah cabaran ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berusaha untuk menubuhkan kerajaan baru.

Anwar 'ancaman pada negara'

mahathir and umno 190508 02Para pemerhati berkata, langkah terbaru Abdullah hari ini adalah untuk memberi jaminan kepada Najib bahawa beliau akan mengambil alih jawatan nombor satu dan juga untuk menangkis kempen yang diketuai oleh mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menurunkan Abdullah daripada jawatan presiden.

Abdullah juga turut menyentuh tentang permintaan Anwar untuk mengadakan perjumpaan bagi membincangkan peralihan kuasa kepada Pakatan Rakyat kerana mendakwa mempunyai jumlah ahli parlimen mencukupi untuk menubuhkan kerajaan baru.

Perdana menteri berkata, surat yang dihantar oleh pemimpin Pakatan tidak menyebut tentang peralihan kuasa.

Click Here!

Anwar sekali lagi berdepan dengan ISA?

Sep 17, 08 4:28pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membuat para pemerhati tertanya-tanya sama ada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan sekali lagi ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Putrajaya hari ini untuk mengumumkan rombakan kecil kabinet, perdana menteri membuat kenyataan yang membayangkan kemungkinannya.

pakatan rakyat 916 gathering kelana jaya 150908 anwar.jpgAntara lain, Abdullah menyifatkan ketua pembangkang itu sebagai "satu ancaman kepada ekonomi negara, bahkan kemungkinan keselamatan".

Ini sudah cukup untuk memberi alasan kepada pihak pihak kuasa untuk menggunakan ISA terhadap Anwar dan membolehkan beliau ditahan tanpa bicara.

Sementara itu, Bernama memetik perdana menteri berkata tindak tanduk Anwar selama ini bukan sahaja menjejaskan kestabilan politik tetapi juga kestabilan ekonomi.

"Ekoran tindak tanduk Anwar itu, terdapat pengurus dana yang membuat laporan kononnya Malaysia bukan tempat yang baik untuk membuat pelaburan kerana suasana politik negara yang tidak menentu," katanya.

Ditanya mengenai tindakan yang bakal diambil oleh kerajaan terhadap Anwar ekoran ancaman tersebut, Abdullah berkata, sebagai berkata kerajaan akan melakukan apa yang perlu.

Abdullah berkata Anwar telah banyak membuat pembohongan mengenai kedudukan ekonomi negara termasuk kononnya tiada kemasukan pelaburan asing langsung (FDI), dan negara tidak mempunyai daya saing.

Sebaliknya, Abdullah berkata, FDI sebenarnya masih mengalir ke dalam negara ini, malah Malaysia merupakan antara negara yang diminati oleh pelabur.

Timbalan Perdana Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelaburan, dan yang turut hadir pada sidang akhbar itu, mencelah dengan berkata kadar pelaburan tahun ini mungkin lebih tinggi dari tahun lalu.

Mengenai kedudukan daya saing negara pula, Abdullah berkata Malaysia mencatatkan kedudukan lebih baik dari tangga ke-23 kepada tangga ke-19 sekarang.

"Anwar mahu melingkupkan negara dan mengekploitasi kepercayaan orang dan memperlecehkan negara di luar negeri," kata Perdana Menteri.

Najib juga berkata permainan politik Anwar boleh memberi kesan kepada ekonomi negara.

Dan apabila ditanya apakah tindakan yang akan diambil terhadap Anwar, perdana menteri enggan menyatakannya, sambil berkata: "Saya tidak akan nyatakan apa rancangan yang saya ada."

Sekiranya Anwar ditahan di bawah ISA, ia bakal memberi kesan yang besar tetapi bukanlah sesuatu yang memeranjatkan kerana Anwar sendiri percaya beliau mungkin ditahan.

Usaha ambil alih kuasa

Sejak pilihanraya kecil 8 Mac lalu, Anwar telah menjadi duri terhadap Barisan Nasional dengan rancangannya untuk mengambilalih kuasa.

Anwar yang sudah dua kali ditahan di bawah ISA, mendakwa beliau mempunyai jumlah ahli parlimen dari BN yang cukup menyertai Pakatan untuk membolehkan beliau menubuhkan kerajaan baru dengan majoriti mudah.

Anwar gagal merealisasikan rancangan mengambilalih kuasa semalam (16 September) - tetapi sekali lagi menegaskan bahawa beliau mempunyai jumlah ahli parlimen yang cukup untuk menubuhkan kerajaan.

Beliau juga telah meminta untuk mengadakan pertemuan dengan Abdullah bagi membincangkan pelan peralihan kuasa dan menggesa perdana menteri tidak mengambil tindakan drastik, seperti mengisytiharkan darurat, untuk menghalang usahanya itu.

Abdullah, bagaimanapun, menolak mengadakan pertemuan dengan Anwar dan menyifatkan dakwaannya untuk mengambil alih kuasa itu sebagai satu pembohongan.

Anwar, yang kini berdepan dengan tuduhan liwat, pertamakali ditahan di bawah ISA pada 1974 berhubung protes pelajar dan ditahan selama 20 bulan.

Lebih dua dekad kemudiannya, beliau sekali ditahan di bawah ISA seepas melancarkan siri protes terhadap pemecatannya sebagai timbalan perdana menteri pada tahun 1998.Click Here!

Seorang lagi blogger ditahan

Sep 17, 08 6:38pm

Seorang lagi blogger popular, Syed Azidi Syed Abdul Aziz ditahan polis di Kota Bharu petang ini.

Menurut Naib Presiden PAS, Husam Musa, blogger (kickdefella.wordpress.com) itu ditahan di rumahnya.

kickdefella syed azidi syed abdul azizSyed Azidi yang bekerja dengan kerajaan negeri Kelantan, ditahan pada kira-kira jam 5 petang oleh sepasukan tiga orang anggota polis berpakaian biasa.

Mereka turut merampas laptopnya.

Isterinya, Bariah Ishak berkata suaminya ditahan di bawah Akta Hasutan.

Syed Azidi, menurut polis, akan dibawa ke Kuala Lumpur kerana laporan terhadapnya dibuat di sana.

Pada 23 Ogos lalu, Syed Azidi (di bawah tajuk Siasat Kickdefella Dibawah Akta Hasutan) telah menulis bahawa laman web pro-Umno telah mendesak supaya beliau disiasat di bawah Akta Hasutan.

Blogger tersebut mencetuskan kontroversi baru-baru ini selepas melancarkan kempen di talian supaya bendera Malaysia dikibarkan terbalik.

Kempen tersebut telah menarik perhatian perdana menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang menyifatkan tindakan itu sebagai 'kurang ajar'.

Perdana menteri berkata, perbuatan sedemikian bukan lagi boleh disifatkan sebagai satu perbuatan nakal tetapi amat jahat.

"Itu kurang ajar (bendera terbalik), tiada hormat langsung dengan bendera kita, apa yang marah sangat dengan bendera Malaysia," perdana menteri dilaporkan berkata.

Abdullah berkata, penulis blog itu cuba mencetuskan satu idea tanpa memikirkan kesan selanjutnya.

Beliau berharap polis akan menyiasat perkara itu dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Click Here!

Balak: K'jaan Pahang diperintah bayar RM60 juta

Sep 17, 08 7:40pm

Kerajaan Pahang hari ini diperintahkan membayar RM60 juta kepada sebuah syarikat pembalakan selepas gagal dalam usaha terakhirnya di Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan kebenaran untuk merayu.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum yang bersidang bersama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nik Hashim Nik Ab Rahman dan Datuk Abdul Aziz Mohamed sebulat suara menolak permohonan kebenaran untuk merayu oleh kerajaan negeri dan Pengarah Perhutanan Negeri Pahang.

nenasi umno logging locationHakim Malanjum berkata persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh kerajaan Pahang, yang diwakili Penasihat Undang-undang Datuk Mat Zara'ai Alias, "bukanlah satu persoalan yang wajar dan ia dibangkitkan di Mahkamah Rayuan."

Kerajaan negeri Pahang dan pengarah perhutanan negeri telah memohon kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 3 Ogos lalu yang menolak rayuan mereka untuk melanjutkan masa bagi memfailkan notis rayuan, demikian dilaporkan oleh Bernama.

Notis rayuan itu adalah terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan pada 25 Mei 2007 yang memerintahkan mereka membayar RM37,127,471.60 kepada Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd dengan faedah pada kadar 8 peratus setahun mulai 31 Disember 2000 sehingga selesai pembayaran.

Mahkamah Tinggi memerintahkan mereka membayar jumlah itu kepada Seruan Gemilang setelah berpuas hati bahawa pengarah perhutanan negeri telah bertindak secara cuai apabila enggan mengguna pakai pelan terkini yang dikemukakan oleh Seruan Gemilang yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) pada 5 April 2000, sebaliknya mengarahkan pelan asal yang diluluskan oleh exco pada 7 Januari 1998, diguna pakai.

Atas tanah Umno

Pada 9 Disember 2002, Seruan Gemilang memfailkan saman terhadap Kerajaan negeri Pahang dan pengarah perhutanan negeri bagi memohon ganti rugi RM31 juta kerana didakwa melanggar perjanjian kontrak konsesi pembalakan berhubung pengeluaran kayu balak di atas tanah milik Umno di Mukim Bebar, Daerah Pekan seluas 4,000 hektar.

Seruan Gemilang menamakan kerajaan negeri Pahang sebagai defendan pertama dan pengarah perhutanan negeri, defendan kedua.

Dalam pernyataan tuntutan, Seruan Gemilang mendakwa pada 31 Julai 2000, defendan kedua telah memberi kelulusan kepadanya bagi mengeluarkan kayu balak dari mukim itu bagi kawasan seluas 3,200 hektar.

Pada 13 Mei 2002, defendan kedua telah memberi kelulusan kepada Seruan Gemilang bagi mengeluarkan kayu balak dari baki kawasan seluas 800 hektar di tanah yang sama. Ini bermakna Seruan Gemilang telah diberi kelulusan untuk mengeluarkan kayu balak dari kawasan seluas 4,000 hektar.

Bagaimanapun defendan kedua hanya membenarkan Seruan Gemilang mengeluarkan kayu balak dari kawasan seluas 2,800 hektar sahaja manakala baki selebihnya telah diberikan kepada beberapa pihak ketiga untuk mengeluarkan kayu balak dari tanah tersebut.

Kedua-dua defendan dalam pernyataan pembelaan mereka menyatakan bahawa Seruan Gemilang hanya diberi lesen untuk menjalankan kerja pembalakan secara pemindahan bagi kawasan seluas 2,800 hektar sahaja manakala bagi baki 1,200 hektar itu pula, defendan mendapati Seruan Gemilang tidak berminat untuk menjalankan kerja pembalakan di situ.

Keputusan tersebut merupakan yang kedua yang tidak memihak kepada kerajaan Barisan Nasional.

Bulan lalu, parti komponen terbesar BN - Umno - juga telah diperintahkan oleh mahkamah supaya membayar RM218 juta kepada sebuah firma selepas parti itu gagal membayar kos bekalan bahan kempen sewaktu pilihanraya umum 2004.

Keputusan oleh mahkamah tertinggi di negara ini hari ini membabitkan satu skandal pembalakan yang telah dilaporkan oleh Malaysiakini dalam siri laporannya mengenai kawasan seluas 10,000 ekar - seluas 40 km persegi - dekat Pekan yang telah dianugerahkan kepada Umno Pahan pada 1998.

Tanah tersebut dianugerahkan kepada Umno oleh kerajaan negeri yang ketika itu diterajui oleh menteri besar dan ketua badan perhubungan Umno negeri, Tan Sri Khalid Yaacob yang dikatakan untuk diusahakan sebagai ladang kelapa sawit.

Berikutan itu, parti tersebut telah diminta menjelaskan bayaran premium berjumlah RM4.8 juta bagi membolehkan mereka memulakan aktiviti pembalakan tetapi Umno Pahang tidak menjelaskannya.

Walaupun di segi teknikalnya, tanah tersebut masih dimilik kerajaan negeri, tetapi Umno negeri meneruskan kegiatan membersihkan kawasan tersebut.

Pada 2000, Umno Pahang memberi kepada syarikat SGM hak eksklusif untuk memotong, mengeluar dan menjual balak di kawasan tersebut. Untuk itu, syarikat berkenaan hanya membayar RM50,000 kepada parti tersebut bagi urusniaga yang dipercayai bernilai jutaan ringgi.

Pakar-pakar industri yang ditemubual Malaysiakini ketika itu berkata, mereka bingung dengan jumlah bayaran yang begitu rendah dan mempersoalkan sama ada wujud "perjanjian tersembunyi" antara kedua belah pihak.

nenasi umno logging before and afterMalaysiakini, dalam salah satu laporannya lima tahun lalu, telah menunjukkan foto satelit satu kawasan hutan simpanan yang telah cerah ditebang (kanan).

Konsesi tersebut dipecayai hanya sebahagian kecil daripada kawasan konsesi balak yang dianugerahkan oleh kerajaan negeri kepada Umno Pahang untuk menjana dana bagi parti pemerintah.

Bagaimanapun, hubungan Umno Pahang dan SGM terjejas kemudiannya apabila jabatan perhutan negeri enggan memperbaharui lessen pembalakan syarikat tersebut.

Pada 2002, SGM memfailkan saman terhadap kerajaan Pahang dan pengarah jabatan perhutan Pahang untuk menuntut gantirugi berjumlah RM31 juta kerana melanggar konsesi pembalakan tersebut.

Dalam kenyataan tuntutannya, SGM berhujah bahawa jabatan perhutanan negeri hanya membenarkan syarikat tersebut membalak kawasan seluas 7,000 ekar - daripada kawasan yang diluluskan seluas 10,000 ekar - dan baki kawasan tersebut telah diberikan kepada beberapa pihak ketiga untuk tujuan pembalakan.

Dalam jawapannya, kerajaan negeri dan jabatan perhutan negeri berhujah bahawa SGM hanya diberi lessen untuk membalak di kawasan seluas 7,000 ekar kerana mereka mendapati syarikat tersebut tidak berminat untuk membalak di baki kawasan seluas 3,000 ekar itu.

Mahkamah Tinggi Kuantan kemudiannya membuat penghakiman yang memihak kepada SGM dan mengarahkan para defenden membayar RM37 juta kepada syarikat tersebut selepas ia mendapati pengarah perhutanan negeri telah bertindak secara cuai apabila enggan membenarkan syarikat tersebut menjalankan kerja pembalakan.

SAPP keluar BN

Sep 17, 08 4:59pm
Parti Maju Sabah (SAPP) telah memutuskan untuk keluar dari Barisan Nasional.

Majlis Tertinggi SAPP yang bermesyuarat hari ini, bagaimanapun memutuskan bahawa ia tidak akan menyertai Pakatan Rakyat.

Timbalan Presiden SAPP, Datuk Raymond Tan yang kecewa dengan keputusan itu, telah meninggalkan mesyuarat tersebut.

Katanya, beliau akan meletak jawatan timbalan ketua menteri dan menteri pembangunan infrastruktur negeri.

SAPP mempunyai dua ahli parlimen dan empat anggota dewan undangan negeri.

Dua ahli parlimen SAPP ialah Datuk Eric Enchin Majimbun (Sepanggar) dan Datuk Dr Chua Soon Bui (Tawau). Manakala Adun pula terdiri daripada Tan (Tanjong Papat), timbalan menteri kewangan negeri, Melanie Chia (Luyang), Au Kam Wah (Elopura) dan Liew Teck Chan (Likas).

Menurut Tan, beliau belum lagi memutuskan sama ada akan keluar dari parti itu, tetapi berkata, Au yang juga ketua Pemuda - yang tidak menghadiri mesyuarat hari ini - telahpun meletakkan jawatan.

Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee membuat pengumuman tersebut dalam satu sidang akhbar pada jam 4.30 petang selepas mesyuarat MT tersebut.

"BN telah hilang kuasa moralnya untuk memerintah. Jumlah majoriti di Parlimen tidak bermakna jika rakyat tidak lagi menghormati anda," katanya.

"Ahli-ahli SAPP yang memegang pelantikan politik dalam kerajaan mesti melepaskan jawatan mereka dengan memberi notis sewajarnya mengikut perlembagaan dan peraturan serta aturan yang berkaitan, bermula di peringkat kabinet," katanya.

Reaksi PM

Sementara itu, Bernama melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam reaksinya, berkata sudah sewajarnya SAPP meninggalkan BN kerana mereka merupakan masalah di dalam parti.

Beliau yang enggan mengulas lanjut berkata SAPP disifatkan sebagai `pengacau' dan pemergian mereka harus dibiarkan.

"Mereka merupakan masalah dalam parti. Dia pengacau, biar dia pergi, tak apa," katanya ketika ditemui di majlis berbuka puasa di kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Manakala Najib pula berkata keputusan SAPP sememangnya sudah dijangka sejak awal dan bukan sesuatu yang mengejutkan.

Katanya parti itu, sebenarnya mengharapkan agar mereka diusir oleh BN, tetapi telah bertindak terlebih awal sebelum sebarang keputusan mengenainya dibuat.

"Ini bagaimanapun tidak menggugat BN dan kita tidak perlu membuat apa-apa'post mortem'," katanya.

Khairy tawar diri tanding ketua Pemuda

Sep 17, 08 5:10pm

Naib ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin hari ini mengumumkan secara rasmi menawarkan diri untuk bertanding jawatan ketua Pemuda Umno Malaysia.

Beliau membuat pengumuman di pusat khidmat ahli Parlimen Rembau di Chembong petang ini.

Majlis itu diadakan khas untuk beliau mengumumkan menawar diri bertanding jawatan tersebut

khairy jamaluddin announce umno youth top post challenge 170908 01Turut hadir ialah 40 ketua Pemuda Umno bahagian dari seluruh negara untuk menyatakan sokongan kepada Khairy.

Hadir sama ialah lima ketua Pemuda negeri dari Perlis, Wilayah Persekutuan, Sabah, Perak dan Negeri Sembilan.

Turut kelihatan ialah penolong setiausaha Pemuda, Datuk Abdul Rahman Dahlan; exco Pemuda Datuk Rezal Merican Naina Merican dan ketua Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

"Saya membuat keputusan ini setelah turun ke bawah, mendapatkan pandangan dan berbincang dengan kawan-kawan dari seluruh negara.

Pemuda perlu jadi wadah

"Keputusan ini bukan saya seorang tetapi membabitkan semua Pemuda di setiap peringkat.

"Perkara ini (keputusan) bertanding timbul setelah Datuk Seri Hishamuddin Hussein mengumumkan mengosongkan kerusi ketua Pemuda yang disandangnya selama 10 tahun," katanya.

Khairy berkata, Pemuda Umno perlu menjadi wadah dan entiti kepada generasi muda termasuk yang tidak menyertai mana-mana parti politik.

Menurutnya, generasi muda korporat, badan bukan kerajaan (NGO), swasta dan kakitangan kerajaan perlu didekati oleh Pemuda Umno.

Katanya, Pemuda Umno perlu menjadi tunjang untuk memperkasakan pengaruh pergerakan itu di kalangan pengundi muda sama ada yang berada dalam Umno atau tidak.

khairy jamaluddin announce umno youth top post challenge 170908 02"Supaya dapat membela dan melaksanakan agenda untuk generasi muda," katanya.

Pemuda Malaysia

Khairy berkata, agendanya dalam menawarkan diri agenda untuk setiakawan di dalam Pemuda Umno, Pemuda Barisan Nasional (BN) dan rakyat Malaysia.

Ketika ditanya mengenai peluangnya, Khairy berkata, beliau mempunyai 30 peratus kerana semua tiga calon lagi yang menawarkan diri berpengalaman dan bukan calang-calang.

Tiga tokoh Pemuda lagi yang telah menawarkan diri untuk bertanding ialah bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo; exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir dan timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Perlis, Datuk Zahidi Zainol Abidin.

Katanya, Pemuda perlu membawa perubahan dengan teliti dan rapi dan bukannya kepada slogan semata-mata.

"Kita harus eratkan jurang di peringkat cawangan dan bahagian dalam pergerakan Pemuda Umno dan ini perlu menjadi keutamaan.

"Hubungan dengan Pemuda BN juga perlu dipereratkan," katanya sambil menambah beliau bertanding sebagai pemimpin pemuda rakyat Malaysia dan bukannya pemuda Melayu.

Khairy berkata, jika ada orang dakwa agenda Melayu tidak sesuai lagi, Pemuda Umno perlu menjelaskannya mengapa ia berlaku.

Katanya, Pemuda Umno membawa agenda Melayu kerana ia adalah agenda nasional.

"Kita harus ingat ketua Pemuda Umno adalah pengerusi Pemuda BN," katanya.

Mukhriz cadang Dr M dilantik penasihat Umno

Sep 17, 08 5:25pm
Permohonan kemasukan semula mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke dalam Umno hendaklah diputuskan ketua cawangan dan bahagian yang bakal disertainya dan bukan melalui Majlis Tertinggi (MT), kata anggota Exco Pemuda Umno Datuk Mukhriz Tun Mahathir hari ini.

Mukhriz juga berharap yang bapanya itu, jika diterima balik, hendaklah dilantik sebagai penasihat Umno.

Ketika ditemubual oleh Bernama TV hari ini, Mukhriz berkata bapanya belum memutuskan cawangan dan bahagian mana yang beliau akan serahkan borang keahliannya tetapi yang pasti ialah borang berkenaan akan diserahkan sebelum Aidilfitri ini.

Mukhriz yang juga ahli Parlimen Jerlun berkata beliau difahamkan bahawa MT dijangka membincangkan mengenai kemasukan semula ayahnya esok.

"Tapi bagi saya secara lazimnya, ayah (Dr Mahathir) hanya perlu serahkan borang keahlian kepada mana-mana cawangan atau bahagian dan biarkan ketua itu yang putuskan untuk terima atau tidak. Tidak perlu sampai ke MT.

"Kalau Ezam (Mohamad Ezam Mohd Noor - bekas ketua Angkatan Muda Keadilan) dulu masuk Umno disediakan karpet merah dan tidak sampai pun ke MT, sekarang (merujuk permohonan Dr Mahathir) kita tengoklah dulu apa yang akan jadi," katanya.

Mukhriz berkata tindakan bapanya keluar parti bertujuan untuk memberikan kejutan kepada ahli Umno supaya menghentikan krisis dalaman dan menumpukan kepada apa yang diagendakan.

"Sebelum ini dia (Dr Mahathir) buat keputusan keluar dari parti untuk kejutkan kita daripada tidur ibarat jam loceng yang kejutkan kita tetapi kita tekan butang "snooze" dan tidur semula.

"Ayah bersetuju setelah dipujuk oleh (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin-Naib Presiden Umno yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri) bahawa untuk memulihkan parti, Tun harus kembali kepada Umno dan melakukan perubahan dari dalam.

"Dan itu pun dia setuju walaupun ahli biasa tapi saya kira dia punyai banyak perkara yang boleh dikongsikan dengan parti dan saya kira kalau Umno dapat berikan dia jawatan sebagai penasihat seperti yang dilakukan parti komponen BN lain," katanya.

Menurut Mukhriz, bapanya tidak ada menyatakan yang beliau berhasrat untuk memegang jawatan yang lebih tinggi.

"Bukan itu yang dia tujui sebab dia hanya nak bantu kita. Dia tak tergamak melihat parti yang setelah 62 tahun menerajui kerajaan dengan begitu baik jadi begini," katanya.

Dr Mahathir pada 19 Mei lalu mengumumkan keluar dari Umno yang dianggotai sejak 1946 berkuatkuasa serta merta dengan alasan tidak yakin dengan kepimpinan penggantinya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Dr Mahathir ketika mengambil keputusan untuk keluar dari parti mendakwa beliau berpendapat parti itu tidak lagi dapat berperanan sebagai sebuah parti politik sebenar untuk membela nasib Melayu, sepertimana hasrat sejarah penubuhannya.

Semalam, Mukhriz pada satu sidang akhbar di Shah Alam berkata, hasrat untuk menyertai semula Umno disuarakan bapanya setelah menyedari dan mengambil kira pandangan banyak pihak yang menyatakan bahawa khidmat beliau sangat diperlukan, dan untuk tujuan itu, beliau perlu berada di dalam dan bukan di luar Umno. Click Here!

Terima kasih kerana sumbangan anda. Sumbanglah untuk kebaikan perjuangan kita bersama.

Can't find what you're looking for? Try Google Search!

Google
 

Umno Sarkas

ANDA ADA MAKLUMAT ISU NEGARA?

Sila emailan kepada saya di seramaesty@yahoo.com atau hubungi saya di talian 013-9060111.

TERIMA KASIH ATAS KERJASAMA ANDA

Feedback Form

Join the Mailing List
Enter your name and email address below:
Name:
Email:
Subscribe  Unsubscribe 

Dr. Irfan menjelaskan Perniagaan Internet secara mudah kepada anda

Free Viral Advertising