Saya Suhaimi Taib, mendapat Sijil Pentadbiran Islam dari Kusza Kuala Terengganu (2002), Kursus Penerbitan Video Koperat Universiti Malaya (2003), Pengarang Warta Darul Iman (2000-2003) Penerbit Siaran Darul Iman (2003-2004), Wartawan Sambilan Berita Harian (1997-1998), Wartawan Harakah (1989-1996).
Menerima Anugerah kewartawanan Esso-Kawat (1997 dan 1998)

Hubungi saya melalui e-mel: seramaesty@yahoo.com atau H/P No: 013-9060111.

Friday, September 5, 2008

Politik ugut Abdullah untuk sekat kerajaan baru








Mahfuz Omar


Thu | Sep 04, 08 | 12:00:35 pm MYT

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) memandang serius kenyataan Perdana Menteri dalam pembentangan Belanjawaan 2009 yang bertegas tidak akan melepaskan kerajaan kerana mandat telah diberikan rakyat kepada BN.

















Iklan



PAS berpandangan kenyataan ini adalah lambang sikap tidak demokratik Abdullah Badawi yang tidak mahu mengakui bahawa beliau sudah kehilangan kepercayaan parlimen untuk terus mengetuai kerajaan.


Jadi pendekatan yang berbau ugutan cuba digunakan ke atas wakil rakyat yang berhasrat meninggalkan BN dan menyertai Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan baru.


Kenyataan Pak Lah untuk terus mempertahankan kerajaannya itu telah ditafsirkan oleh pemerhati politik bahawa beliau akan menggunakan undang-undang darurat untuk mengisytiharkan MAGERAN atau membubarkan parlimen jika BN kehilangan majoriti di Dewan Rakyat.


Ini merupakan satu amalan politik yang tidak sihat dan terlalu gilakan kuasa. Apabila seseorang perdana menteri sudah tidak diyakini oleh penyokong sendiri, mereka mesti berundur, bukannya mengugut wakil rakyat supaya tidak melakukan sesuatu.


Bahkan, tindakan mereka yang hendak berhijrah " melompat " parti adalah suatu yang demokratik jika ia dilakukan dengan tujuan yang baik. Mandat yang diberikan oleh rakyat adalah supaya wakil mereka membela kepentingan rakyat, dan wakil-wakil rakyat BN mendapati BN bukanlah wadah untuk membela rakyat, sebaliknya untuk kroni dan keluarga Perdana Menteri. Untuk melaksanakan mandat rakyat mereka perlu berhijrah kepada Pakatan Rakyat dan meninggalkan BN.


Pak Lah cuba juga menggambarkan bahawa beliau berupaya untuk mendaruratkan negara ini atau membubarkan parlimen, sedangkan ia adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong.


Pak Lah seolah-olah cuba memberi tahu rakyat bahawa Yang di-Pertuan Agong telah bersetuju dengan caranya dan Baginda akan tunduk dengan kehendak beliau.

PAS percaya bahawa Tuanku tidak akan mudah diperalatkan oleh BN dan PAS sangat berharap supaya Tuanku boleh memainkan peranan penting dalam menamatkan krisis politik ini.


BN cuba menjadi Yang di-Pertuan Agong sebagai alat politik mereka dengan menyuruh Tuanku membubarkan parlimen. Perkara ini tidak akan berlaku kerana Baginda terkenal dengan kebijaksanaan dalam pentadbiran seperti yang berlaku dalam krisis politik di Terengganu selepas pilihan raya lalu.


Tidak menjadi satu kesalahan untuk bertukar parti kerana ia adalah hak setiap wakil rakyat.


Tidak munasabah untuk seorang wakil rakyat berdegil dengan partinya walau tahu partinya sudah rosak. Bahkan, Umno/BN sendiri sudah beberapa kali melakukan perkara yang sama dalam menjatuhkan kerajaan.


Pada 1961, Umno membeli wakil rakyat PAS untuk menjatuhkan kerajaan PAS Terengganu. Pada 1967, Umno melakukan sekali lagi di Kelantan, tetapi gagal. Kemudian pada 1994, kerajaan PBS di Sabah dijatuhkan dengan cara yang sama.


Adakah apabila giliran Umno melakukannya ia adalah demokratik, apabila parti lain yang ingin menjatuhkan BN demi untuk perubahan masa depan negara, maka ia dianggap tidak demokratik.


Jika demikian mengapa Umno/BN melakukannya di Kelantan pada 2004 dan Tajol Rosli melakukan di Perak menjelang 31 Ogos baru-baru ini?


Umno bertegas bahawa perbuatan memujuk wakil rakyat BN ini suatu perkara yang tidak bermoral, tetapi mereka sendiri melakukannya. Bukankah Umno juga berusaha memujuk PAS meninggalkan Pakatan Rakyat dan menyokong BN dalam isu muzakarah.



Bermoralkah Umno? Umno patut menilik pada diri sendiri sebelum mengatakan tindakan orang lain sebagai tidak baik. Pakatan Rakyat memujuk wakil BN berpindah kem adalah untuk kebaikan rakyat setelah BN terbukti gagal membela kepentingan rakyat. Sedang BN membeli wakil rakyat pembangkang untuk kepentingan dan survival politik sempit mereka.


PM juga sedang melakukan ugutan dengan menakutkan wakil rakyat BN. PM ini berusaha untuk melakukan ugutan yang baru iaitu melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LDHN) dan Badan Pencegah Rasuah (BPR).


Dua agensi kerajaan ini sudah diarah untuk menyiasat mana-mana wakil rakyat yang terlibat dengan rasuah atau melarikan diri daripada membayar cukai. Mereka akan didakwa jika cuba melompat daripada BN.


Persoalannya, apakah apabila seseorang itu kekal dengan BN, dia mempunyai imuniti daripada undang-undang, sedang bila keluar sahaja, maka undang-undang akan berkuat kuasa ke atasnya.


Inikah yang dikatakan keadilan untuk rakyat? BN bukan sahaja mengugut wakil rakyat mereka demi kelangsungan kuasa Pak Lah, tetapi turut memermain-mainkan undang-undang.


Kerana itu, wakil rakyat BN yang ingin menyertai Pakatan Rakyat, mereka mesti melakukan dengan segera supaya kerajaan BN terus tumbang dan tidak lagi dapat memperalatkan jentera kerajaan untuk kepentingan politik mereka.


PAS berharap kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu dapat memainkan peranan untuk melindungi wakil-wakil rakyat BN yang ingin berhijrah ke Pakatan Rakyat bagi menjayakan pembentukan kerajaan baru bagi negara Malaysia yang lebih bertanggungjawab untuk mempertahankan kedaulatan negara dan prihatin terhadap kepentingan dan kebajikan rakyat.



Ahli Parlimen Pokok Sena,


Ketua Penerangan PAS Pusat.
Click Here!

Laporan BPR kedua Mazlan terhadap PM, Najib

Sep 4, 08 2:22pm

Bekas exco Pemuda Umno, Datuk Mazlan Harun membuat laporan kedua kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung dakwaan rasuah membabitkan presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau membuat laporan tersebut kepada pegawai BPR Kuala Lumpur selama kira-kira 1 jam 30 minit, mulai jam 9.30 pagi tadi.

mazlan harun lodge aca report 040908Mazlan ditemani ketua Umno cawangan Bandar Muar, Datuk Kadar Shah Sulaiman Ninam Shah.

Beliau juga menyerahkan gambar menunjukkan Abdullah berucap di satu majlis anjuran Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 10 Julai lalu.

Ucapan itu dibuat di depan ketua bahagian, cawangan dan tiga sayap Umno dari seluruh negara di ibu pejabat parti itu.

Di majlis tersebut, Abdullah menyatakan kesediaannya menyerahkan tugasnya kepada Najib pada pertengahan 2010.

"Saya juga memberikan dokumen berupa surat yang ditulis ketua Umno bahagian Petaling Jaya Selatan Datuk Abu Zahar Hashim kepada setiausaha agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mazlan berkata, BPR perlu menyiasat laporan tersebut kerana ia merupakan satu kes yang serius.

Katanya, beliau telah diberitahu oleh pegawai BPR bahawa laporan awalnya kini berada dalam perhatian orang atas BPR.

Sebulan lalu, Mazlan juga telah membuat laporan kes tersebut di pejabat BPR Kuala Lumpur.

Ditanya langkah seterusnya, jika tiada sebarang tindakan diambil terhadap laporan keduanya, Mazlan berkata: "Kita tengok dulu."

Dalam suratnya, Zahar berkata, tawaran jawatan Abdullah kepada timbalannya dan persetujuan Najib menerimanya dalam keadaan sekarang, merupakan sejenis "rasuah politik peringkat tertinggi."

"Sudah pasti ia akan memberi kesan yang menguntungkan Abdullah, khususnya, dan sedikit sebanyak kepada Najib juga," kata Zahar dalam suratnya itu.

Terdahulu dari pertemuan itu, kata Zahar lagi, Abdullah terlibat dalam beberapa majlis ramah mesra dan penerangan dalam tempoh pemilihan seperti yang ditafsirkan dalam Tataetika Versi 2008.

"Ketua-ketua cawangan dari beberapa negeri diundang khas, disediakan penginapan di hotel dan diberikan buah tangan berupa sejadah atau kain pelikat serta duit belanja melalui jentera dan sumber kewangan kerajaan.

"Isu ini telah menjadi buah mulut di kalangan ahli-ahli Umno," katanya dalam surat tersebut.

Menanti 16 September: Apakah Agenda Dasar Kerajaan PR?

16 September satu tarikh ditetapkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk melihat sama ada perubahan kerajaan dari Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Rakyat benar-benar terjadi atau sebaliknya.

Pelbagai spekulasi telah dibuat berhubung dengan tarikh berkenaan. Ada orang yakin dengan agenda itu, tidak kurang pula mereka yang sebaliknya. Bagi saya, semua boleh berlaku kerana agenda perubahan kerajaan itu bukan perancangan strategi parti-parti pembangkang ia hanya dikendalikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR.

PAS secara dasarnya tidak membabitkan dirinya dengan agenda itu. Perkara ini diperjelaskan sendiri oleh Naib Presidennya Haji Mohamad Sabu dalam satu wawancara khas sebuah media internet baru-baru ini.

Mungkin individu atau kepimpinan tertentu dalam parti berkenaan terbabit dengan kerja-kerja berkenaan tetapi ia bukan suatu ketetapan parti itu.

Ramai pemerhati politik berpendapat bahawa jika peralihan kerajaan pada tarikh atau selepas tarikh berkenaan benar-benar terjadi, mereka melihat ianya sebagai suatu agenda yang masih goyah dan meletakkan negara dalam satu suasana politik kemungkinan kurang stabil.

Ini kerana jika dengan mudah ahli-ahli parlimen (MP) BN melompat ke Pakatan Rakyat, mereka juga mudah untuk meninggalkan pakatan itu sekiranya ada sesuatu tawaran menarik atau mereka tidak berkeyakinan dengan pembentukan kerajaan itu memberi impak yang baik kepada tindakan mereka tersebut.

Teras agenda itu masih kabur. Benar ia untuk mewujudkan kerajaan rakyat yang adil dan telus, tanpa rasuah dan sebagainya tetapi apakah teras atau dasar keadilan mahu digunapakai untuk agenda kerajaan ini?

Kalau ianya masih sekular, perubahan kerajaan berkenaan tidak memberi apa-apa makna kepada semua pihak. Kalau ia semata-mata untuk menumbangkan BN sedangkan alternatif dasarnya serupa, rakyat menerima kesan yang tidak berbeza jika dibandingkan dengan apa yang dilaksanakan kerajaan BN dewasa ini.

Mungkin satu dua perkara Anwar boleh lakukan perubahan dengan dasar yang ada tetapi beliau tidak boleh merubah semua sekiranya teras pemerintahan negara tidak diubah secara total dengan apa cara sekalipun.


Sanggupkah MP BN PKR dan DAP membuat perubahan itu? MP PAS mempunyai perinsip sendiri dan jelas diketahui umum.

Saya bersetuju pertukaran kerajaan berlaku 16 September ini tetapi saya tidak bersetuju ia dibina di atas asas yang tidak kukuh, sekadar untuk menumbangkan BN, tidak memadai.

Agendanya mesti dipersiapkan dengan jelas, bukan sobrono. Pakatan Rakyat perlu memastikan tiada pertikaian di peringkat dasar berlaku antara parti-parti komponennya sehingga masalah pembentukan kerajaan menjadi rumit dan kompleks dapat diatasi.

Jika masalah perbezaan prinsip antara PAS dan DAP masih belum selesai khususnya menyentuh soal pembentukan negara Islam, kemungkinan kerajaan Pakatan Rakyat kecundang lebih awal atau usianya tidak lama, tidak selama BN.

Jika model pembentukan negara berkebajikan Turki digunapakai, sejarah pembentukan negara Turki agak berbeza dengan Malaysia. Perlembagaannya masih sekular dan tentera pengawal perlembagaan negara tersebut.

Di Malaysia tentera hanya entiti atau badan menjaga keselamatan negara dari ancaman musuh dari dalam dan luar negara. Mungkinkah tentera akan menjadi pengawal perlembagaan di Malaysia ketika Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan, itu suatu insiden politik yang belum jelas setakat ini.

Yang jelasnya ialah dorongan untuk perubahan kerajaan nampak ada gerakannya jika dilihat dari sudut laporan media tetapi realitinya belum bisa dibuktikan kerana saatnya belum tiba.

Ancaman mengisytiharkan darurat dari BN juga perlu difikirkan bersama. Berjayakah atau tidak Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bertindak demikian ia bergantung kepada bagaimana liciknya BN menyekat kemaraan Pakatan Rakyat.

Kebimbangan saya ialah sekali lagi Anwar akan disumbat ke dalam tahanan, kali ini tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana dikatakan mengancam keselamatan dan kesetabilan negara dengan gerakannya merampas kuasa secara halus dari BN itu sebelum detik 16 September tiba.

Perancangan mengajak MP BN melompat parti dianggap oleh Umno sebagai mengancam keselamatan negara bukan mengancam parti itu jika faktor ada pertubuhan antarabangsa melobi supaya pelaburan asing dihentikan segera atau tidak dibawa masuk ke negara ini dan Thailand memandangkan politik negara tersebut kini turut bergolak hebat dalam masa terdekat.

BN atau Abdullah boleh menggunakan alasan ini untuk menyumbat Anwar dalam tahanan ISA bagi menyelamatkan dirinya dan kerajaan BN yang tidak keruan sekarang.

PKR tanpa Anwar dan sokongan rakyat ia tidak akan berdiri teguh sebagaimana parti-parti serpihan lain dari Umno termasuk Parti Semangat 46 yang kini telah berkubur.

Justeru agenda 16 September pada saya masih kabur dan saya bersetuju dengan Haji Mohamad Sabu supaya rakyat dan pemerhati politik berada di posisi 'tunggu dan lihat' perkembangannya kerana ia bukan perancangan semua parti pembangkang, ia hanya perancangan Anwar dan PKR semata-mata. Click Here!

PAS 'tunggu dan lihat' 16 Sept

Sep 4, 08 1:48pm

PAS mengambil sikap "tunggu dan lihat" perkembangan desas-desus ahli-ahli parlimen BN melompat kepada Pakatan Rakyat seperti diusahakan oleh ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Naib presiden PAS Mohamad Sabu memberitahu Malaysiakini hari ini, parti itu belum membuat sebarang keputusan rasmi berhubung usaha penasihat PKR itu membentuk kerajaan persekutuan, yang dijangka akan berlaku menjelang 16 September ini.

mohamad sabu 040908 03"Kita tunggu dulu. Sekarang pun khabar angin. Khabar angin, (PAS) hendak mesyuarat macam mana?" katanya apabila ditanya sama ada parti itu akan menyertai kerajaan baru seperti ura-ura PKR.

Dalam wawancara di rumahnya di Shah Alam pagi ini, Mohamad berkata:

"Saya tidak kisah pada mereka yang yakin (pada usaha Anwar), tetapi secara secara peribadi saya nampak tidak berapa kuat kerajaan kita.

"Tidak kuat dan tidak berwibawa. Sebab dulu kita pun tidak setuju dengan dua ahli Semangat 46 yang melompat (kepada Umno) di Kelantan.

"Kita kata macam-macam kepada mereka. Jadi macam mana kita hendak tubuh kerajaan dengan orang melompat?"

Ditanya sama ada beliau bersetuju atau tidak dengan langkah mantan timbalan perdana menteri itu, bekas ahli parlimen Kuala Kedah itu berkata:

"Saya tidak kata (saya) tidak setuju. Saya tidak buatlah (rundingan). Saya pun macam orang lain, tunggu dan lihat."

Tambahnya, sebarang kenyataan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin PAS menyokong usaha menarik wakil rakyat BN kepada Pakatan Rakyat adalah pandangan peribadi mereka dan tidak melambangkan keputusan parti.

Mohamad berkata lagi, tiada pemimpin PAS secara rasmi ditugaskan memujuk ahli-ahli parlimen BN meninggalkan parti pemerintah tersebut.

Beliau tidak mengetahui jika terdapat pemimpin PAS berbuat demikian atas kapasiti individu, tambahnya. [Lihat video di sini]


Teks penuh wawancara isu tersebut seperti berikut:

Malaysiakini: Apakah Tuan Haji percaya usaha lompat parti menjelang 16 September ini akan berlaku?

Mohamad: (Ketawa) Saya tidak membuat kajian. Saya pun tidak membaca dari sudut (pandangan) media. Saya juga tunggu dan lihat macam orang lain.

Maksudnya Tuan Haji tidak mempunyai sebarang maklumat setakat ini tentang apa yang terjadi?

Tidak ada, tidak ada. Dan saya pun tidak berusaha ke arah itu.

Kenapa? Apakah Tuan Haji tidak bersetuju?

Saya macam orang lain juga, tunggu dan lihat. Saya lebih cenderung untuk menunjukkan kehebatan (pentadbiran) di lima negeri yang kita perintah. Tunjukkan kehebatan kita, betul-betul tidak berlaku rasuah, amalan nepotisme, berlaku penjimatan dan kebajikan.

Dan daripada tinjauan kita di kedai kopi, di pasar, Umno ini tidak nampak boleh dipulihkan. Kalau kita membuat persiapan baik, saya rasa, dalam pilihanraya umum akan datang, kita boleh ambil alih Malaysia.

Tetapi kalau kita mengambil alih (kuasa) dengan cara orang (BN) melompat, ini terserahlah kepada mereka yang yakin tetapi secara peribadi saya nampak tidak berapa kuat.

Tetapi kedengarannya Tuan Haji tidak begitu yakin?

(Ketawa) Tidak kuat dan tidak berwibawa. Sebab dulu kita juga tidak bersetuju dengan dua ahli Parti Melayu Semangat 46 melompat (kepada Umno) di Kelantan.

Dan kita kata macam-macam kepada mereka. Jadi bagaimana pula kita hendak tubuh kerajaan dengan orang melompat?

Bagaimanapun, siapa yang berkeyakinan macam itu, saya hormatlah.

Jadi, Tuan Haji sendiri tidak bersetuju?

Bagi orang yang buat, saya tidak menghalang. Bagi peribadi sendiri, saya tidak buat. (Ketawa) Saya tidak kata, tidak setuju. Saya tidak kata sampai tidak setuju. Saya tidak buatlah. Saya pun macam orang lain, tunggu dan lihat.

Jadi Tuan Haji tidak terlibat dalam rundingan ini?

Tidak, tidak. Dan PAS belum membuat apa-apa keputusan, tunggu waktu dan ketikanya.

PAS belum membuat keputusan?

Maksudnya kalau sungguh ada usaha melompat (kepada Pakatan Rakyat), kita akan buat mesyuarat segera. Buat masa ini, pandangan-pandangan pemimpin PAS adalah pandangan peribadi.

mohamad sabu 040908 02Jadi, PAS rasmi untuk bersama Pakatan Rakyat atau tidak selepas 16 September?

Kita tunggu dululah. Sekarang ini pun khabar angin. Khabar angina, kita hendak mesyuarat macam mana? Tidak sempat lagi. Tetapi tengoklah keadaan.

Bagaimana sikap pemimpin PAS di peringkat atasan?

Saya tidak mahu memberi komen tentang pendapat orang lain. Tetapi pada hemat saya, saya hendak tumpukan untuk pilihanraya umum akan datang.

Saya yakin Umno tidak dapat (bertahan)... kita tengok keadaan di (pilihanraya kecil) Permatang Pauh baru-baru ini dan tangkapan-tangkapan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) sekarang ini (terhadap pemimpin Umno)...

Barangkali mereka pun tahu pemerintahan Umno akan berakhir dan kalau hendak ambil (rasuah), biarlah ambil sekarang sebelum bertukar kerajaan.

Kita dengar khabar ahli-ahli BN yang hendak melompat ini kebanyakannya dari Sabah dan Sarawak – mereka yang bukan Islam, bukan Melayu. Adakah ini yang menjadi kebimbangan PAS?

Macam saya kata (tadi), sekarang ini semua di peringkat khabar angin. Katanya ada juga (ahli parlimen) Umno dari Semenanjung. Katanya, dari Johor. Itu semua khabar angin daripada SMS, penulis blog. Jadi, (maklumat) tidak menentu.

Saya yakin, saya tidak tahu, tetapi Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) akan memanggil mesyuarat apabila keadaan berlaku. Sekarang, kita boleh memanggil (mesyuarat) dalam masa 24 jam sahaja. Jadi, di peringkat khabar angin ini, kita biar dulu.

Jadi, PAS bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan? Belum ada keputusan rasmi?

Belum, belum. Kalau ada, pandangan peribadi. Tidak melambangkan (pandangan) parti. Dan pandangan peribadi, semuanya akan tunduk pada keputusan parti bila keputusan dibuat nanti.

Jika wakil rakyat BN hendak melompat dianggap tidak beretika, bagaimana pula jika parti komponen BN hendak menyertai Pakatan?

Saya nampak begini saja. Yang baiknya, (perubahan) dalam pilihanraya akan datang. Baiknya apabila rakyat membuat perubahan. Ertinya kalau naik Pakatan Rakyat (sebagai kerajaan pusat), berlaku penyelewengan, mudah rakyat hendak tumbangkan. Ini proses yang baik.

Memberi kuasa membuat pilihan kepada rakyat?

Itu yang mudahnya, kalau kata mereka naik dijamin lebih baik, saya belum nampak.

Kalau kita membentuk kerajaan baru dengan melompat parti, adakah ini boleh dikatakan tidak menggambarkan kehendak rakyat?

Itu yang saya sebut tadi itu, pandangan peribadi saya itu. Kalau terjadi, saya serahlah kepada parti dan keadaan sesudah itu. Secara peribadinya, saya tidak berusaha, saya tidak bertanya, saya pun menunggu macam orang lain menunggu.

Sebab saya mahu lima negeri ini tunjuk kehebatan mereka memerintah dan mengambil alih dalam pilihanraya akan datang.

Tetapi setakat Tuan Haji berhubung dengan kawan-kawan dalam PKR dan DAP, apa reaksi mereka setakat ini?

Macam biasa. Ada yang percaya, ada yang... (ketawa kecil). Saya tidak berhubung dengan orang yang membuat kerja itu, saya tidak tahulah. Tiada komenlah.

Di kalangan PAS, ada pemimpin yang terlibat?

Wallahu a’lam. Tidak ada. Saya ingat tidak ada. Tidak dengar. Saya tidak tahu. Kalau ada, saya tidak tahulah.

Tetapi tidak dimaklumkan secara rasmi kepada parti?

Tindakan individu itu kita tidak tahulah sebab di parlimen mereka bertemu, minum kopi sekali, macam-macamlah. Boleh berjumpa, berbincang di kantin, kedai kopi, dan pertemuan itu dianggap sebagai rundingan pun boleh juga. Dan kita tidak tahulah.

Jadi, boleh kita katakan sikap PAS menjelang 16 September ini sebagai "tunggu dan lihat"?

Tunggu dan lihat. Secara rasminya, tunggu dan lihat.

Jika berlaku, adakah sukar untuk membuat keputusan? Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin. Dan PAS belum membuat keputusan. Apakah keadaan ini menjejaskan pembentukan kerajaan pada 17 September?

Kita (PAS) tengoklah dulu. Kita bertemu segera dan kita tidak boleh memberi komen sekarang. Hendak kena tengok dahulu.

Tetapi penilaian itu nanti berdasarkan apa? Berdasarkan ahli-ahli parlimen BN yang masuk Pakatan atau bagaimana?

Penilaiannya kita hendak lihat... Saya tidak mahu komen apa lagi. Saya tidak tahu perkara ini. Tengoklah jadi atau tidak (16 September ini).

Dan amaran daripada (perdana menteri) Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kemungkinan beliau mengisytiharkan darurat dan kita pun... Perkara ini (hanya) andaian-andaian.

Saya (lebih) bimbang apabila saya menonton laporan TV malam tadi, ada satu badan antarabangsa (yang menyatakan) elakkan, gantungkan pelaburan di dua negeri ini, Thailand dan Malaysia.

Dan ini saya lebih bimbang kerana ia melibatkan ekonomi, pekerjaan rakyat dan sebagainya. Perkara itu saya lebih bimbang. Jadi, kita main spekulasi, tiba-tiba perkara itu (lompat parti) tidak jadi, beratlah.


Bahagian II esok: Masalah pemimpin ulama PAS bawah 40 tahunClick Here!

Pak Samad Ismail meninggal dunia

Sep 4, 08 2:12pm
kemaskini 6:50pm Tokoh Kewartawanan Negara Tan Sri Abdul Samad Ismail meninggal dunia kira-kira 5.58 petang tadi di Pusat Perubatan Pantai selepas menghadapi jangkitan paru-paru penghujung bulan lalu.


Kesihatan keadaan allahyarham semakin merosot hari ini, dengan buah pinggangnya sangat lemah, kata anaknya Nuraina.

"Keadaannya tidak bagus langsung, walaupun mesin dialisis sudah dipasang ia tidak menunjukkan perubahan.

"Malah doktor memberitahu buah pinggang ayah sangat lemah ketika ini dan hari ini doktor akan melakukan dialisis lagi untuk melihat perkembangan seterusnya," katanya tengah hari tadi.

samad ismail died past away al fatihah 040908Abdul Samad, 84, yang lebih dikenali sebagai Pak Samad, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Pantai pada 25 Ogos lalu akibat jangkitan paru-paru.

Keadaan kesihatan beliau, yang juga mesra dengan panggilan Pak Samad, menunjukkan kemajuan pada peringkat awal sebelum kembali tenat sejak Sabtu lepas setelah masalah jangkitan paru-parunya merebak ke organ lain.

Jenazah beliau akan disemadikan di perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Jumaat, esok.

Pak Samad, dilahirkan di Geylang, Singapura pada 18 April 1924. Beliau menamatkan persekolahan Senior Cambridge pada 1940.

Pak Samad mula menempuh alam pekerjaan dengan Utusan Melayu ketika berusia 16 tahun, kemudian sebagai pengarang Berita Malai (1944) pada zaman Jepun sewaktu berusia 20 tahun.

Pada 1946, beliau dilantik sebagai penolong pengarang, Utusan Melayu. Beliau juga pernah bertugas sebagai wakil Utusan Melayu di Jakarta.

Pada 1959, Pak Samad dilantik sebagai pengarang pertama akhbar Berita Harian, sebelum menjadi pengarang urusan bagi kumpulan akhbar The New Straits Times (1974).

Pada 1984, Pak Samad dilantik sebagai penasihat jabatan pengarang bagi kumpulan akhbar berkenaan sehingga beliau bersara pada 1988.

Pak Samad aktif dalam pergerakan politik. Pada 1947, bersama-sama Abdul Aziz Ishak, beliau menubuhkan Gerakan Angkatan Muda (Geram). Penubuhan itu menjadi anggota Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) bawah pimpinan Dr Buhanuddin Al-Helmi dan All-Malayan Council of Joint Action (AMCJA) di bawah pimpinan Tan Cheng Lock.

Pak Samad juga terbabit dalaqm pakatan Anti-British League bersama-sama PB Sharma, JJ Putucheary, Devan Nair dan John Eber.

Beliau pernah ditangkap dua kali di Singapura oleh pemerintah British (1946 dan 1951). Ekoran daripada Peristiwa Natrah pada 1951, beliau dipenjarakan di Pulau Sekinchan kerana dituduh sebagai penghasut yang menyebabkan peristiwa perkauman.

Pada 1976, Pak Samad ditangkap lagi, tetapi kali ini oleh kerajaan Malaysia, di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana dituduh bersimpati dengan komunis.

Beliau dibebaskan pada 1981 oleh pentadbiran Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad yang mengambil alih pentadbiran daripada Tun Hussein Onn (yang memenjarakan Pak Samad).

Pak Samad turut menyertai rombongan "Malaysia Merdeka" yang pertama ke London (1953). Pembabitan Pak Samad dalam politik secara aktif bermula pada pertengahan dekad 1950-an apabila beliau turut terbabit dalam penubuhan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Singapura pada 1954.

Beliau kemudian menyertai dan memimpin Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) Singapura pada 1958.

Pak Samad menceburi bidang penulisan kreatif sejak zaman pemerintahan Jepun. Cerpen ciptaan awalnya terkumpul dalam antologi seperti Mekar dan Segar (1959) dan Karangan Bunga Dari Selatan (1963).

Cerpen yang ditulis pada dekad 1960-an dan belum pernah tersiar sebelum itu, akhirnya dikumpulkan dalam dua kumpulan persendiriannya yang berjudul Temasya Tinta (1967) dan Mastura (1967).

Antara 1966 hingga 1975, Pak Samad menghasilkan 11 buah novel dan empat buku bimbingan penulis dan wartawan. Antara novel yang dihasilkannya ialah Patah Sayap Terbang Jua (1966), Tembok Tidak Tinggi (1967), Kail Panjang Sejengkal (1967), Detik-Detik Cemas (1969), Hussen Zet (1960) dan Sutinah (1975).

Buku lain termasuklah Mengasah Bakat (1966), Kursus Wartawan (1966), Bimbingan Penulis (1967) dan Memoir A Samad Ismail di Singapura (1993).

Sebagai seorang aktivis bahasa dan budaya, Samad turut menyarankan peningkatan penggunaan bahasa Melayu dan di kemuncak perjuangannya, beliau menyokong penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mula dicetuskan pada 1968.

Selaras dengan perjuangannya dalam bidang sastera, beliau menjadi pengasas Angkatan Sastewawan 50 (Asas 50) di Singapura dan Persatuan Penulis Nasional (Pena) di Kuala Lumpur.

Pada 1971, Pak Samad dilantik sebagai ahli panel Hadiah Karya Sastera anjuran kerajaan. Pada 1974, Pak Samad menerima Anugerah Ramon Magsaysay.

Pada 1976, Kerajaan Malaysia menganugerahkan Hadiah Pejuang Sastera kepada Pak Samad di atas jasa dan sumbangannya dalam bidang penulisan.

Pada 1987, beliau dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah oleh UKM, sementara Institut Akhbar Malaysia (IAM) memberikannya gelaran Tokoh Wartawan Negara.

Tan Sri Samad dilantik sebagai Karyawan Tamu selama dua tahun di UKM (1991-1993). Kemudian mulai Oktober 1993, beliau menjadi Karyawan Tamu di Jabatan Penulisan Universiti Malaya.

Sejak 1992, Pak Samad dilantik sbeagai pengerusi Panel Menggubal Dasar Komunikasi Negara. Pada tahun itu beliau dianugerahi darjah kebesaran daripada Yang di-Pertuan Agong yang membawa gelaran Tan Sri.

Terima kasih kerana sumbangan anda. Sumbanglah untuk kebaikan perjuangan kita bersama.

Can't find what you're looking for? Try Google Search!

Google
 

Umno Sarkas

ANDA ADA MAKLUMAT ISU NEGARA?

Sila emailan kepada saya di seramaesty@yahoo.com atau hubungi saya di talian 013-9060111.

TERIMA KASIH ATAS KERJASAMA ANDA

Feedback Form

Join the Mailing List
Enter your name and email address below:
Name:
Email:
Subscribe  Unsubscribe 

Dr. Irfan menjelaskan Perniagaan Internet secara mudah kepada anda

Free Viral Advertising