Saya Suhaimi Taib, mendapat Sijil Pentadbiran Islam dari Kusza Kuala Terengganu (2002), Kursus Penerbitan Video Koperat Universiti Malaya (2003), Pengarang Warta Darul Iman (2000-2003) Penerbit Siaran Darul Iman (2003-2004), Wartawan Sambilan Berita Harian (1997-1998), Wartawan Harakah (1989-1996).
Menerima Anugerah kewartawanan Esso-Kawat (1997 dan 1998)

Hubungi saya melalui e-mel: seramaesty@yahoo.com atau H/P No: 013-9060111.

Monday, August 11, 2008

Pentadbir IPTA 'lebih senduk drpd kuah'

Aug 11, 08 2:31pm
Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang dicadangkan kerajaan untuk dibentangkan sesi Dewan Rakyat akan datang tidak akan membantu meluaskan ruang kebebasan kepada ahli akademik dan pelajar, kata seorang pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

"Masalah di universiti ini, penguasaan golongan pentadbir yang lebih senduk daripada kuah," kata pensyarah kanan di jabatan sains politik UKM, Dr Ahmad Nidzamuddin Sulaiman.

"AUKU tidak apa. (Persoalanya) pegawai yang cenderung kepada parti (kerajaan) berubah atau tidak?"

Beliau menambah, kebebasan di universiti tidak bergantung kepada pindaan AUKU, sebaliknya "sebahagian pentadbir yang prokerajaan mengambil sikap mengawal aktiviti pelajar dan pensyarah".

Dr Ahmad Nidzamuddin berkata, jika pentadbir universiti tidak bersikap memihak, kebebasan di universiti akan lebih baik.

Penguasaan golongan pentadbir ini ketara di Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UiTM), jelasnya.

Ini menurut maklum balas daripada ahli akademik dan pelajar di kedua-dua pusat pengajian itu, tambahnya.

Pindaan AUKU, tambahnya, jika ingin benar-benar berkesan harus menilai cara penguasaan golongan ini di universiti.

Pelajar dan pensyarah yang menganjurkan aktiviti melibatkan pembangkang akan "dipanggil menghadap" dan diberikan amaran, jelasnya.

Bagaimanapun, menurut pensyarah politik itu lagi, dalam pertemuan pentadbir dengan kakitangan akademik itu, tidak ada apa-apa tindakan diambil.

"Cuma, kalau banyak kali panggil, tidak berani buat lagi," katanya.

Bagi pelajar pula, kata Dr Ahmad Nidzamuddin, permohonan menyambung tinggal di asrama tidak diberikan.

Ahli parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusoff pula menyifatkan pindaan tersebut hanya menyentuh aspek “remeh” seperti soal-soal administratif dan “menguatkan kuasa menteri”.

Dalam seksyen 9, menurut wakil PKR itu, pindaan supaya ketua kampus cawangan dilantik oleh menteri tidak boleh diterima, sepatutnya dibuat oleh naib canselor.

"Sudahlah naib canselor dilantik oleh menteri. Lepas itu tiada kepercayaan kepada naib canselor (melantik ketua kampus cawangan)," katanya.

Pindaan-pindaan lain, tambahnya, seperti memberi kebenaran kepada ahli politik yang menyambung pelajaran bergiat dalam politik sebaliknya tidak perlu dipinda kerana perkara itu dijamin perlembagaan.

Beliau berkata, akta untuk universiti haruslah mementingkan kebebasan akademik, termasuk kebebasan berpersatuan.

Dalam AUKU, masalah paling ketara dalam seksyen 15 yang menyentuh kebebasan mahasiswa berpersatuan, katanya.

Beliau mencadangkan, pindaan AUKU sepatutnya menetapkan kriteria naib canselor dan memberikan kuasa autonomi kepada universiti.

Click Here!

Muslimat usul tubuh 'puteri PAS'

Aug 11, 08 12:11pm

Dewan Muslimat PAS bercadang membawa usul menubuhkan pergerakan wanita muda seumpama Puteri Umno dalam muktamar tahunannya minggu ini.

Setiausaha dewan itu Aiman Athirah al-Jundi memberitahu Malaysiakini hari ini, usul menubuhkan "Dewan Muslimat Muda" telah diterima dan akan dibahaskan oleh perwakilan dewan itu.

"Besar kemungkinan usul tersebut akan dibawa ke muktamar penuh nanti," katanya, sambil menambah usul itu dibawa oleh Dewan Muslimat Melaka.

Keanggotaan pergerakan baru ini khusus buat mereka berusia 18 hingga 40 tahun sebagai satu lagi sayap politik untuk memantapkan perjuangan parti itu.

"Dewan Muslimat yang baru (dicadangkan) ini bukan untuk lawan sesiapa tetapi pelengkap gerak kerja PAS selama ini," kata Aiman Athirah.

Pendekatan dewan baru ini untuk membawa wawasan anak muda dengan gaya orang muda "untuk menjadikan generasi muda lebih terarah dalam politik dan pentadbiran negara", tambahnya.

Beliau menjelaskan, kira-kira 300 perwakilan termasuk barisan ahli jawatankuasa Muslimat dijangka hadir ke muktamarnya pada 14 Ogos di Ipoh.

Cadangan ini termasuk daripada lima usul yang diterima dan dibahaskan minggu ini, sementara enam lagi usul diterima tanpa perbahasan.

Dewan Muslimat sendiri membawa tiga usul - pertama menggesa kerajaan menetapkan tarikh berbeza untuk sambutan hari kekeluargaan seperti hari ibu dan hari bapa yang dianggap lebih sesuai dengan konteks Malaysia.

Aiman Athirah menambah, penetapan tarikh dan bentuk sambutan hari-hari tersebut haruslah bersesuaian dengan budaya negara kita yang tidak mengambil kira konteks khusus Malaysia.

"Masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama Islam adalah agama rasmi. Adakah kita nak sambut (hari-hari tersebut) sama dengan sejarah negara-negara luar?" katanya.

Dewan Muslimat juga mencadangkan penubuhan Akademi Pembantu Rumah Tempatan untuk mengatasi kebergantungan negara kepada pembantu rumah asing.

Jelas Aiman Athirah lagi, dewan itu turut mengusulkan peranan mereka untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat.

Dewan itu juga menerima usul untuk dibahaskan daripada Selangor berkaitan keanggotaan bukan Islam dalam PAS sebagai ahli bersekutu.

Mengenai persiapan persidangan pada Khamis ini, Aiman Athirah berkata ia berjalan lancar dan semua usul dari negeri-negeri telah diterima.

Dewan Muslimat PAS bersidang di Hotel Hill City, Jalan Gopeng, mulai jam 8 pagi.

Naib presiden parti Mohamad Sabu dijadual merasmikan persidangan dewan tersebut. Click Here!

Piawaian BPR berbeza antara PAS dan Umno?

Shirzad Lifeboat
Mon | Aug 11, 08 | 5:54:34 pm MYT

Sekiranya falfasah memulakan penyiasatan penyalahgunaan kuasa seperti digunakan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) turut dikongsi oleh Biro Siasatan Amalan Rasuah (Corrupt Practices Investigation Bureau, CPIB) Republik Singapura, nampaknya tentulah Menteri Kanan Lee Kuan Yew ketika menjadi Perdana Menteri telah disiasat oleh badan tersebut kerana melantik anaknya Lee Hsien Long (Perdana Menteri Singapura kini) menjadi menteri kabinet.

Namun amalan seperti itu tidak dilakukan oleh CPIB. Di republik yang taraf hidup rakyatnya jauh lebih rendah dari rakyat Malaysia satu ketika dulu tetapi kini muncul sebagai sebuah negara maju di dunia, amalan dan undang-undang rasuah mempunyai takrif dan hukuman yang berbeza.

Walaupun peruntukan untuk kesalahan rasuah di republik tersebut adalah penjara lima tahun atau denda SGD100,000 (RM237,000) atau kedua-duanya sekali tetapi sekiranya pesalah terbabit melibatkan kontrak kerajaan atau Ahli Parlimen atau anggota badan awam, maka hukuman penjara boleh dikenakan sehingga tujuh tahun.

Selain daripada itu, menerusi sebuah Akta lain yang diluluskan pada tahun 1989, mahkamah juga boleh memerintahkan harta pesalah dirampas.

Namun bagi memulakan sesuatu penyiasatan berkenaan rasuah di Singapura bukti yang kukuh serta prima facie yang boleh diterima diperlukan.

Tentulah tidak profesional bagi badan itu memulakan penyiasatan semata-mata di atas kekuatan surat layang.

Dan barangkali atas dasar inilah banyak aduan-aduan berupa surat layang mengenai penglibatan orang tertentu dalam kerajaan tidak pernah diendahkan walau betapa besar sekali kes yang diadukan dan melibatkan wang awam dalam kiraan bilion ringgit.

Namun piawian yang serupa nampaknya tidak digunapakai dalam proses memulakan penyiasatan ke atas negeri Kelantan yang dikuasai oleh PAS apabila menantu Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat disiasat kerana telah dilantik selaku Ketua Pegawai Operasi (COO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Apakah BRP sebenarnya mahu memberitahu rakyat di negeri-negeri yang dikuasai oleh pembangkang bahawa kelayakan profesional seseorang untuk memegang sesuatu jawatan dalam sektor awam dengan sendirinya luput sekiranya bapa, bapa mertua, ibu, datuk, nenek mereka adalah Menteri Besar negeri berkenaan?

Akta yang mana agaknya memperuntukkan larangan sedemikian? Jika akta tersebut memang wujud apakah ada peruntukan yang mengecualikan peruntukan tersebut dipakai terhadap negeri-negeri termasuk kerajaan pusat yang dikuasai Umno-BN.

Lagipun sejarah penyiasatan/tindakan membabitkan apa sahaja mengenai kerajaan Umno-BN menunjukkan BPR tidak memulakan siasatan hanya kerana sekeping surat layang, malah tidak juga setelah prima facie penyalagunaan kuasa dapat dibuktikan oleh pihak lain.

Apakah ada piawaian berbeza di antara amalan memulakan siasatan terhadap kerajaan PAS berbanding kerajaan Umno? Click Here!

Zulkifli Nordin masih 'hilang'?

Harakahdaily
Mon | Aug 11, 08 | 3:30:08 pm MYT

KUALA LUMPUR,11 Ogos (Hrkh) - Misteri 'kehilangan' Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Nordin dan khabar angin beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berterusan hingga pagi ini.

MStar Online melaporkan, hingga kini tiada pihak dapat memastikan sejauh mana kebenaran khabar angin yang mula tersebar sejak malam kelmarin itu.

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin ketika dihubungi sebentar tadi turut buntu dengan situasi ketika ini.

"Masih tiada perkembangan yang diperolehi. Khabar angin makin berterusan hingga ke hari ini," katanya.

Hingga jam 10.30 pagi tadi beliau juga gagal untuk menghubungi Zulkifli dan ahli keluarganya bagi mengetahui kedudukan sebenar.

Usaha untuk menjejaki Zulkifli juga masih gagal kerana telefon bimbitnya tidak diaktifkan sejak dua hari lalu.

Kali terakhir beliau muncul di khalayak ramai ialah pagi kelmarin di ibu negara ketika menyertai perhimpunan membantah forum anjuran Majlis Peguam.

Sementara itu semalam, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menyifatkan berita itu sebagai khabar angin semata-mata.

Beliau menafikan berita yang tersiar dalam beberapa laman blog mengenai penahanan Zulkifli di bawah ISA.

"Mana ada beliau ditahan? Ini semua khabar angin dan ini merupakan perbuatan tidak bertanggungjawab oleh segelintir pihak yang sengaja buat spekulasi.

"Polis akan siasat laman blog yang menyiarkan berita berkenaan dan harap orang ramai tidak terpengaruh dengan khabar angin sedemikian," katanya.

Blog berkenaan memberitahu Zulkifli dari KeADILan ditahan di Kulim kira-kira jam 10 malam kelmarin dan tiada maklumat lanjut mengenai ke mana beliau dibawa polis.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul ketika dihubungi pada jam 12.30 tengah hari tadi turut menafikan khabar angin yang mengatakan Zulkifli ditahan polis.

"Dia tak ditahan (polis). Khabarnya dia (Zulkifli) kini sedang bercuti bersendirian tanpa keluarga.

"Saya tak tahu kemana dia menghilangkan diri. Tapi mungkin keluarganya tahu ke mana dia pergi," katanya.

Johari memberitahu beliau mendapat maklumat tersebut daripada keluarga Zulkifli sendiri dan berharap agar media tidak 'mengganggu' mereka sekeluarga.

Tambah Johari, keluarga Zulkifli tidak akan membuat sebarang laporan polis mengenai misteri 'kehilangannya' kerana mereka tahu ke mana beliau 'bercuti'.

Pada 29 September 1998, Zulkifli, 46, pernah ditahan di bawah ISA selama 60 hari kerana terlibat dalam gerakan reformasi bersama Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim. Click Here!

Umno diingatkan jangan ungkit soal perkauman

Mohd Zamirul Mohd Dzaki
Mon | Aug 11, 08 | 1:59:10 pm MYT

Permatang Pauh, 11 ogos (Hrkh) - Ketua Umum Parti KeADILan Rakyat dan bakal calon KeADILan dalam Pilihan raya Kecil Permatang Pauh Dato' Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Umno jangan memainkan isu perkauman dalam pilihan raya Kecil ini nanti.

Jelasnya lagi, Umno hari ini sedar mereka sama sekali tidak akan mendapat sokongan dari pengundi kaum bukan Melayu di Permatang Pauh ini sehingga memainkan isu ketuanan Melayu bagi meraih undi dari pengundi Melayu di sini.

Anwar menegaskan, nasib dan hak orang Melayu tetap akan dibela dan dipertahankan dalam Pakatan Rakyat begitu juga kaum lain.

"Politik perkauman ini sudah tidak releven dan perlu ditolak oleh kita rakyat Malaysia. Politik perkauman ini hanya memperkayakan segelintir pihak dan menindas golongan majoriti yang lain, " ujarnya ketika berceramah di hadapan 20,000 penyokong Pakatan Rakyat di Taman Pauh Sabtu lalu.

Tambahnya lagi, Pakatan Rakyat mahu membawa agenda pembangunan untuk semua kaum agar rakyat tidak lagi terbeban seperti sekarang ini.

"Orang Cina mahu berniaga kita bantu, orang Melayu yang tak berapa tahu berniaga kita ajar agar mereka pandai berniaga," katanya.

Tambahnya, dasar yang dibawa oleh Pakatan Rakyat sama sekali tidak akan mendiskriminasi mana-mana kaum. Oleh itu tidak timbul isu penindasan terhadap mana-mana kaum khususnya kepada orang Melayu seperti mana yang akan dibangkitkan oleh Umno.

Program tersebut yang merupakan siri kempen Pakatan Rakyat di Permatang Pauh sempena 'Jelajah ke Putrajaya' turut dihadiri oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub; Presiden KeADILan, Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. Click Here!

Umno hanya 'nyawa-nyawa ikan' selepas pilihan raya umum

Mohd Sabri Said
Mon | Aug 11, 08 | 1:54:36 pm MYT

Kenyataan Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai pergolakan dalaman Umno termasuk di Bahagian Permatang Pauh membuktikan parti itu hanya tinggal 'nyawa ikan' selepas menghadapi hari-hari luka pilihan raya umum ke-12 lalu.

Bukan sahaja Muhyiddin berkata begitu malahan Timbalan Presiden Umno, Dato' Seri Najib Tun Razak juga mengakui pergolakan dalaman Umno jika dibiarkan akan menjadi nanah berbisa dan akhirnya menjadi bisul yang boleh pecah bila-bila masa.

Jadi, sudah cukup tanggapan dua orang pemimpin atasan Umno itu kerana khuatir ia benar-benar menjadi kenyataan berbanding Presiden Umno merangkap Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah yang masih bermimpi menjadi pemimpin sehingga tahun 2011 nanti.

Bagi kedua-dua regu Najib dan Muhyidin tahun 2011 begitu menyiksakan kerana ia terlalu lama dan tidak pasti apa pula bakal terjadi dalam jangkamasa tersebut.

Adakah pembangkang makin kuat atau sudah berjaya tubuh kerajaan baru melalui Pakatan Rakyat sepertimana yang diwar-warkan oleh Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam setiap kali pidatonya.

Atau adakah rakyat sendiri akan menikam pemerintah Barisan Nasional (BN) yang dikategorikan sebagai zalim dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Apa pun kemunculan semula Dato' Seri Anwar ke arena politik tanahair amat dibimbangi Umno dan BN maka sebab itu usaha menyekat kemaraannya mendaki Putrajaya diatur dengan pelbagai strategi.

Isu liwat bab kedua sudah dicanangkan dan usaha menangkapnya sedang dirancang semata-mata untuk menghalangnya menyertai pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos ini hasil pengorbanan isteri tercinta, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang sanggup memberi laluan untuk suaminya mencipta sepakan 'hatrik' demi menyelamatkan maruah negara yang sudah tercalar ekoran beberapa kelemahan pentadbiran BN.

Hasil turun padang Najib dan Muhyiddin baru-baru ini jelas mendapati Umno kian parah dan perlu diperbaiki demi masa depan orang melayu yang mengharapkan Umno sebagai dahan untuk bertaut.

Najib meminta semua cawangan dan bahagian Umno dalam Parlimen Permatang Pauh melupakan seketika pergelutan merebut jawatan dalam Umno sebaliknya memberikan sepenuh perhatian pada pilihan raya kecil Permatang Pauh kerana kekalahan BN itu kelak pastinya menambah keruntuhan kepercayaan rakyat pada BN.

Sebab itu, mereka terpaksa mempergunakan banyak cabang bagi mempastikan 'nyawa ikan' Umno dapat diselamatkan termasuklah Perhimpunan Penyatuan Melayu Pulau Pinang yang diadakan di Padang Utara Politeknik Seberang Perai yang terletak di Kampung Pertama Permatang Pauh baru-baru ini.

Sebenarnya Umno terpaksa berselindung di sebalik Sekretariat Perhimpunan Penyatuan Melayu Pulau Pinang untuk menempa kejayaan penganjurnya jika tidak tentunya kerusi lebih banyak daripada kehadiran.

Bukan itu sahaja mereka juga terpaksa pergunakan nama bekas Ketua Angkatan Muda KeADILan, Ezam Mohd Nor dan Senator Jins Shamsudin untuk menceritakan kepentingan melayu di Pulau Pinang kerana tanpa Umno politik orang melayu mudah dipersendakan oleh kaum lain.

Tambahan lagi, bermatlamat menyelamatkan kedaulatan melayu yang kononya kini telah di dinafikan hak bila mana Pakatan Rakyat memerintah Pulau Pinang pada 8 Mac lepas.

Inilah lakonan Umno bila nyawanya ibarat 'nyawa ikan' khususnya di Pulau Mutiara walaupun pada dasarnya Umno masih memenangi 11 kerusi tapi pada hakikatnya ia retak menunggu belah. Click Here!

Kes umat Islam, hanya Mahkamah Syariah beri keadilan - Presiden

GELUGOR, 11 Ogos (Hrkh) - Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS mahukan isu liwat yang dikait dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim dibawa ke mahkamah syariah dan bukannya dibicarakan di mahkamah sivil.

Beliau berkata, kes liwat yang membabitkan orang Islam adalah perkara jenayah di dalam perundangan Islam sama seperti kes zina dan lain-lain maka ianya perlu dibawa ke mahkamah syariah.

"Negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat seperti Selangor perlu menggubal perundangan tersebut kerana melalui mahkamah syariah sahaja keadilan dapat diperolehi," katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen PAS Pulau Pinang di Dewan SEAMO, RECSAM semalam.

PAS juga, tambah Dato' Seri Abdul Hadi, menolak sebarang bentuk campur tangan kuasa luar dalam penyelesiaan pertuduhan kes liwat terhadap Anwar.

"Kalau Amerika nak campur tangan, biar mereka selesaikan di Gautonama dulu" katanya.

Menurutnya lagi, pertuduhan liwat yang dikenakan terhadap Dato' Seri Anwar adalah satu kezaliman.

Ini kerana, ianya dilihat sebagai taktik Umno untuk memusnahkan masa depan politik mantan Timbalan Perdana Menteri itu.

"Kita perlu bersimpati kepada mereka yang dizalimi walaupun kepada mereka bukan dari ahli parti kita," katanya.

Tambahnya lagi, menurut Islam seseorang itu tidak bersalah selagi dia belum didapati atau berjaya dibuktikan bersalah.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Dr Mujahid Yusuf Rawa; Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Salleh Man; Penyelaras Pilihan raya PAS Pusat di Permatang Pauh, Wan Rahim Wan Abdullah dan beberapa pemimpin PAS lain. Click Here!

PAS akan pastikan PKR menang

Oleh Bernama
Isnin, 11 Ogos 2008

Pulau Pinang: Pas telah mengarahkan seluruh jenteranya untuk memastikan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim menang dalam pilihan raya kecil kawasan Parlimen Permatang Pauh.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sokongan itu selaras dengan semangat kerjasama yang kukuh antara PAS bersama pakatan pembangkang.

“Sebelum ini pun kita telah beri kerjasama yang baik. Pada pilihan raya kecil ini sekali lagi kita akan turun padang membantu bagi memastikan kerusi tersebut terus kekal milik PR,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pas Pulau Pinang di sini hari ini. Click Here!

Ada pemimpin Pakatan dengki pada Anwar

Aug 8, 08 8:43pm
Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendedahkan berlakunya hasad dengki dalam Pakatan Rakyat terhadap penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada memenangi pilihanraya kecil Permatang Pauh, 26 Ogos ini, demikian lapor Bernama hari ini.

Agensi berita nasional itu melaporkan menteri besar Kelantan berkata, terdapat pihak cuba sabotaj bagi memastikan Anwar tidak berjaya menjadi ahli parlimen Permatang Pauh.

"Saya dapati memang ada orang yang dengki kepada Anwar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran MATA peringkat negeri hari ini.

Beliau mengulas hasrat Anwar untuk bertanding dalam pilihanraya kecil itu.

Pilihanraya kecil itu diadakan setelah Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengosongkannya bagi memberi laluan kepada suaminya bertanding.

Nik Abdul Aziz juga menasihatkan pihak yang menyimpan perasaan dengki itu agar melupakan hasrat mereka demi kebaikan Pakatan Rakyat.

"Beri peluang kepada Anwar untuk masuk jadi ahli parlimen di Dewan Rakyat," katanya.

Beliau berkata walaupun wujud jurang perbezaan dalam ideologi politik dengan PKR, PAS harus akur untuk menyokong PKR dalam pilihanraya kecil kawasan parlimen itu.

Katanya, beliau mengakui perbezaan pandangan dari segi politik antara PKR dan PAS, namun di bawah semangat Pakatan Rakyat, parti itu harus bekerjasama.

"PAS perlu memberi sokongan kepada Anwar walaupun dari segi politik tidak serupa," katanya.

Nik Abdul Aziz berkata beliau menyokong Anwar kerana mendapati penasihat PKR itu merupakan pemimpin Melayu yang berpengalaman dalam pentadbiran negara dan dikenali di peringkat antarabangsa. Click Here!

Permatang Pauh: Mungkinkah cita-cita Anwar tercapai?

Pilihan raya kecil Permatang Pauh bermula 16 Ogos ini (hari penamaan calon) dan akan berakhir pada 26 Ogos (hari pengundian).

Sudah pasti satu medan pertempuran politik mungkin terhebat ataupun terkotor perancangannya dari Barisan Nasional (BN) akan berlaku kerana parti itu berhasrat menyekat Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya menjadi ahli parlimen.

Rakyat Malaysia akan menyaksikan bagaimana media pro BN merancang mengatur fitnah dan serangan saraf terhadap Anwar dengan pelbagai cara sehingga orang ramai khususnya pengundi Permatang Pauh terpengaruh dengan serangan itu.

Anwar sendiri menyuarakan isu ini di samping ia menjadi tradisi BN sejak sekian lama. Satu ketika dahulu penulis sendiri pernah dimaklumkan bagaimana BN, membuat perancangan untuk menghancurkan Kesatuan Angkatan Perpaduan Ummah (sekitar tahun 1990-an) dengan menyebarkan sketsa karton kepala ular bercabang mengandungi kepala pemimpin-pemimpin tertinggi pembangkang.

Gambar berkenaan difahamkan telah menimbulkan prejudis di kalangan pengundi Melayu ketika itu sehingga ia memberi kesan terhadap kemenangan pembangkang dalam pilihanraya umum tahun 1990.

PAS hanya berjaya memerintah Kelantan tetapi PAS gagal menawan negeri-negeri lain di seluruh semenanjung, Sabah dan Sarawak, begitu juga parti-parti lain.

Biasanya strategi pilihanraya dibuat sejak awal hari penamaan calon dan unit gerak saraf parti bermula lebih awal dari itu.

Pertarungan pilihna raya kecil biasanya banyak memberi kelebihan kepada parti kerajaan tetapi kedudukan sekarang Pulau Pinang berada di bawah kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di peringkat negeri manakala BN di peringkat Pusat.

Badan Pencegah Rasuah (BPR) dipercayai dikerah untuk kenumpukan perhatian terhadap pilihan raya kecil ini terutama jika ada dakwaan penyelewengan rasuah dan salahgunakuasa dilaporkan terutama dari pihak BN.

Mungkin tidakan segera diambil terhadap mana-mana eleman yang berpunca dari dakwaan kesalahan dan jenayah yang dibuat ataupun dikatakan dibuat oleh agent-agent Anwar atu PR.

BN sudah pasti mengatur strategi supaya ahli-ahli serta penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PR sendiri memberi tumpuan kepada isu-isu seumpama itu supaya gentera pilihan raya pembangkang kurang memberi tumpuan kepada bagaimana mahu melipatkan ganda strategi menawan hati pengundi Permatang Pauh.

Strategi terbaik mana-mana peperangan ialah biar lawan menjadi penangkis serangan dan halang serangan balas parti lawan dari kita menjadi sebaliknya. Sesuatu parti perlu menjadi peneraju isu bukan sebaliknya.

Dipercayai sistem 'anak angkat' menjadi amalan BN dengan mengerahkan puteri Umno melaksanakan aktiviti berbentuk kemasyarakatan itu dengan menyogok sejumlah wang kepada keluarga pengundi untuk menyekat pengaruh kempen PR dari sampai ke tangga rumah terbabit.

BN juga mungkin mengatur strategi membuat culaan dengan menggunakan Mahasiswa mahasiswi yang bergerak seperti pegawai Jabatan Perangkaan melawat rumah ke rumah untuk bertanyakan tentang kedudukan isi rumah dan kecenderungan mereka terhadap politik.

BN juga melalui kerajaan pusat dipercayai mengarahkan 'inteligent' askar dan polis untuk melihat kecenderungan pengundi dari sekarang dan mencadangkan strategi yang seharusnya diubah dan dibuat sejak dari sekarang untuk melihat kemenangan BN di kawasan paling panas dalam negara itu.

Ia sebelum ini menjadi amalan biasa dan penulis pernah berdepan dengan mereka ini dan menerima maklumat dari mereka.

Sogokan wang sudah pasti tidak terhingga lagi. Biasanya sukar untuk didedahkan walaupun diketahui umum kerana pengundi sendiri tidak sanggup menampilkan diri untuk membuat laporan kepada pihak polis dan BPR.

Ia sedikti sebanyak terkesan terhadap pilian raya tersebut kepada sesiapa sahaja yang memenanginya apatah lagi jika Anwar menang.

Saya percaya petisyen pilihan raya akan dikemukakan selepas kemenangan sama ada Anwar menang atau calon BN menang oleh 'agent' parti yang kalah.

Bererti pertarungan semakin sengit kerana politik negara sekarang mengalami perubahan. Trend lama pada pemikiran rakyat iaitu politik sekadar untuk mendapat duit pilihan raya, sekadar mudah dapat sokongan wakil rakyat untuk mendapat kerja atau seumpamanya mula dianggap tidak relevan dan agak terkebelakang kerana ramai rakyat Malaysia hari ini sudah celik maklumat.

Sekarang mereka mahu survival hidup mereka lebih selesa dan mendapat layanan seadilnya dari pihak pemerintah.

BN tidak berupaya mempelopori suara hati rakyat itu sudah pasti BN terus terpukul dengan sikap 'underdog'nya itu.

Parti itu kalah berdepan dengan rakyat tanpa menggunakan kuasa tetapi dia sentiasa menang bila memperalatkan jentera kerajaan bagi menyerang pembangkang khususnya dengan menggunakan media pro kerajaan dan jentera kerajaan yang lain.

Ini antara kelebihan BN sejak 50 tahun lalu. Bagaimanapun ia semakin terhakis kerana perubahan sikap rakyat itu sendiri. Lebih 50 peratus rakyat Malaysia hari ini tidak lagi cenderung kepada propaganda BN (yang terpengaruh ialah rakyat buta huruf dan masyarakat pendalaman) walaupun ia disiarkan setiap hari ke kaca televisyen dan dipancar ke seluruh isi rumah rakyat negara ini secara percuma.

Rakyat akan menyaksikan pertarungan ini sekali lagi di Permatang Pauh tetapi lebih hebat dari pilihan raya kecil sebelum ini.

Ijok antara contoh pilihan raya kecil yang disertai PKR dan akhirnya calon parti itu Tan Sri Khalid Ibrahim kalah dalam suasana rakyat mula melihat kepada agenda pembangkang tetapi masih ragu-ragu dengan keupayaannya apa lagi untuk hanya satu kerusi di Ijok.

Sekarang suasana sudah berubah, rakyat sudah mula menaruh keyakinan terhadap PR dan suara hari rakyat ini semacam mengharapkan kejayaan kepada PR untuk mengambil alih kerajaan dari BN dewasa ini.

Insprisasi mereka itu belum berubah kerana tidak ada perubahan ketara kepada keutuhan dan semangat PR menuju ke Putrajaya dewasa ini. Strategi ke arah itupun dipercayai telah diatur. Sejauh mana kejayaannya, tidak begitu pasti walaupun Anwar menaruh keyakinan terhadapnya.

Mungkinkah cita-cita Anwar tercapai? Terserahlah kepada Allah dan rakyat menentukannya.

Click Here!

Anwar kata sukar untuk beliau menang

Oleh Bernama
Isnin, 11 Ogos 2008

BUKIT MERTAJAM: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) hari ini mengakui menghadapi laluan sukar untuk memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos ini ekoran pelbagai fitnah yang timbul mengenai dirinya.

Beliau berkata pelbagai fitnah yang dilemparkan terhadapnya itu disebarkan pihak tertentu bagi menggagalkan usahanya memenangi kerusi berkenaan.

"Saya tak jangka ia mudah kerana banyak halangan daripada orang yang menentang kita. Saya berasa sedikit sukar kerana fitnah akan bertambah dan rasuah juga akan bertambah.

"Tapi saya yakin kerana nampak sokongan rakyat bertambah baik dan mudahmudahan kita akan menang," katanya dalam ucapan ringkas kepada kirakira 200 penyokongnya selepas menunaikan solat hajat di Masjid Nadhoh di sini hari ini.

Solat hajat itu, yang turut disertai isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Naib Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, diadakan pada pukul 9 pagi ini bagi mendoakan kemenangan beliau pada pilihan raya kecil itu kelak.

Anwar, yang juga bekas timbalan perdana menteri, mendakwa PKR melalui pengalaman sukar ketika menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri di Ijok berikutan adanya pengaruh wang untuk meraih undi.

Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh diadakan berikutan tindakan Dr. Wan Azizah, yang juga Presiden PKR mengosongkannya bagi memberi laluan kepada suaminya untuk bertanding semula kerusi itu.

Anwar pernah mewakili kerusi itu sebagai wakil Barisan Nasional (BN) mulai 1982 sehingga terpaksa melepaskannya kerana dikenakan tindakan mahkamah kerana kesalahan rasuah dan liwat pada 1999.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 16 Ogos sebagai tarikh penamaan calon manakala 26 Ogos sebagai hari pengundian.

Pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, Dr. Wan Azizah menang dengan majoriti 13,398 menewaskan calon BN Datuk Pirdaus Ismail.

Sementara itu semasa berceramah pada satu majlis di sini malam tadi, Anwar secara tidak rasmi memulakan kempen pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh dengan membuat janji bertemakan "Agenda Permatang Pauh".

Anwar berkata, jika Pakatan Rakyat berjaya menubuhkan kerajaan pusat dan beliau terpilih menjadi "perdana menteri", agenda Permatang Pauh adalah agenda pembangunan rakyat iaitu menurunkan harga minyak sebanyak 70 sen, menurunkan harga barang dan membasmi kemiskinan.

"Pilihan raya di Permatang Pauh ini ialah pilihan raya agenda Permatang Pauh... kita tidak mahu sentuh manamana isu peribadi walaupun mereka (BN) lanyak (hentam) saya," kata beliau.

Sambil mempertahankan tindakan Dr. Wan Azizah yang mengosongkan kerusi itu dan dikatakan mengkhianati rakyat Permatang Pauh yang mengundi beliau, Anwar berkata tindakan isterinya ialah untuk menunaikan janji kepada rakyat di situ.

"Pada pilihan raya lepas Azizah (Wan Azizah) telah berjanji kepada rakyat Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada saya jika beliau menang dan sekarang ini beliau telah menunaikan janjinya", kata beliau. Click Here!

PKR Adakan Pertemuan Semua Ketua Bahagian Di Seluruh Negara Bincang Strategi

BUTTERWORTH, 10 Ogos (Bernama) -- Parti Keadilan Rakyat (PKR) semakin giat mengorak langkah termasuk mengadakan perbincangan dengan kira-kira 200 ketua bahagian dari seluruh negara bagi membincang strategi parti pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, 26 Ogos ini.

Bendahari PKR bahagian Permatang Pauh Sim Bak Seong berkata perbincangan yang diketuai Naib Presiden PKR Dr Lee Boon Chye hari ini bertujuan membincangkan mengenai strategi memikat pengundi kaum Cina.

"Perbincangan ini difokuskan kepada kawasan Cina dan juga untuk beri penerangan kepada mereka (pengundi Cina) mengenai isu yang membabitkan kaum itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata setakat ini, sebanyak 15 bilik gerakan PKR dibuka di kawasan Parlimen Permatang Pauh.

Sementara itu, Lee yang ditemui pemberita kemudian berkata jentera pilihan raya PKR dan Pakatan Rakyat telah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya itu nanti.

Katanya, parti itu akan membawa tiga isu semasa kempen pilihan raya iaitu, perpaduan negara, ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Click Here!

Mahathir nak keluar dari Malaysia jika Anwar jadi PM

Oleh Mstar
Isnin, 11 Ogos 2008
TUN Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau rela berhijrah ke luar negara jika Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri pada 16 September ini, seperti yang dilaung-laungkan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, beliau tidak mahu individu seperti Anwar yang pernah 'menikamnya dari belakang' ketika menjadi timbalannya dahulu mentadbir negara ini.

''Jika dia (Anwar) jadi Perdana Menteri, saya nak keluar dari negara ini. Bagilah semua pada dia," katanya ketika menjawab soalan daripada seorang peserta pada forum bertajuk Cabaran Melayu Masa Kini: Memperkasakan Melayu anjuran Barisan Bertindak Akar Umbi Melayu Terengganu di Kuala Terengganu semalam.

Dr. Mahathir memecat Anwar pada September 1998 daripada jawatan Perdana Menteri dan dibuang Umno pada masa yang sama.

Beliau pula keluar Umno pada 19 Mei lalu.

Selepas sabit kesalahan Anwar tidak dibenarkan bertanding dalam pilihan raya termasuk pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.

Bagaimanapun Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat akan bertanding dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh bulan lalu dan yakin akan kembali ke Dewan Rakyat 27 Ogos ini serta membentuk kerajaan persekutuan menjelang 16 September.

Dr. Mahathir yang dipetik Mingguan Malaysia berkata, beliau yakin Anwar tidak akan berpeluang menjadi Perdana Menteri seperti yang diharap-harapkannya pada 16 September ini walaupun beliau yakin memenangi pilihan raya kecil kawasan Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos ini.

Sementara itu dalam ceramah hampir 45 minit kepada kira-kira 200 penyokongnya selepas menunaikan solat hajat di Masjid Nadhoh di Butterworth pagi ini, Anwar juga mempertikaikan kes liwat yang dihadapinya dengan mendakwa ia fitnah untuk memalukan dirinya, malah tidak berdendam dengan sesiapa serta telah memaafkan Dr. Mahathir.

"Saya tidak dendam dengan sesiapa pun dan telah memaafkan semua orang yang mengaibkan saya", katanya.

Anwar, yang genap berusia 61 tahun hari ini, berkata: "Pada 27 Ogos ini saya masuk Parlimen, 30 Ogos Perdana Menteri bentang bajet (Bajet 2009) dan kemudian kita gegarkan parlimen dan kita ambil alih jadi kerajaan".Click Here!

Muhyiddin Tetap Pertahan Jawatan Naib Presiden Umno

KUALA TERENGGANU, 10 Ogos (Bernama) -- Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin tetap dengan pendirian untuk mempertahankan kedudukannya itu pada pemilihan parti Disember ini, dan tidak akan bertanding jawatan lebih tinggi meski pun mendapat pencalonan untuk merebut jawatan berkenaan.

Katanya, beliau telah membuat pendirian yang jelas mengenai perkara itu dan tidak akan berganjak daripada keputusan tersebut.

"Saya telah buat kenyataan secara bertulis, tidak perlu berdolak-dalik...itulah pendirian saya.

(Bagaimanapun), saya tidak boleh halang (jika ada yang mencalonkan saya untuk jawatan lebih tinggi) dengan apa yang saya putuskan," katanya selepas menyampaikan taklimat Tata Etika Umno kepada pemimpin Umno Terengganu di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian ketika ditanya mengenai pendiriannya jika menerima pencalonan bagi jawatan lebih tinggi daripada Naib Presiden Umno pada pemilihan parti Disember ini.

Sebelum ini, Umno cawangan Permas Tujuh di Johor, mengemukakan usul supaya Muhyiddin bertanding jawatan presiden parti itu tetapi ia ditarik balik sebaik beliau membuat pengumuman untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden Umno.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata beliau tidak boleh menghalang jika ada cawangan atau Bahagian Umno yang mencalonkan beliau untuk jawatan lebih tinggi kerana itu adalah hak mereka yang perlu dihormati.

"Itu hak ahli...saya hendak buat macam mana. Maksudnya, pendirian saya jelas, kalau sudah buat keputusan, bagaimana hendak berubah," katanya.

Ketika diminta mengulas saranan Badan Perhubungan Umno Terengganu supaya jawatan Ketua Umno Bahagian tidak dipertandingkan, Muhyiddin berkata perkara itu tidak dihalang dan tidak termaktub dalam perlembagaan parti.

"Jika sudah ada perbincangan tetapi ahli tidak mahu mematuhinya, mereka mempunyai hak memilih untuk mengadakan pertandingan dan Umno negeri tidak boleh halang kerana ia merupakan proses demokrasi.

"Perundingan perlu ikhlas, bukan melibatkan dua atau tiga orang sahaja dan kemudian paksa semua orang terima," katanya. Click Here!

Rafidah Perlu Sedia Dicabar Pertahan Jawatan Ketua Wanita Umno

KUALA TERENGGANU, 10 Ogos (Bernama) -- Ketua Pergerakan Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz perlu bersedia menghadapi kemungkinan dicabar pada pemilihan parti itu Disember ini, walaupun beliau dan naibnya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada dasarnya bersetuju dengan formula peralihan kuasa antara kedua-dua mereka, selewat-lewatnya Jun tahun depan.

Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata dalam proses pemilihan jawatan parti, anggota yang berhak menentukan pemimpin yang mereka mahu dan beliau percaya Shahrizat tidak boleh menolak untuk bertanding jika mendapat banyak pencalonan bagi merebut jawatan tertinggi pergerakan itu.

"Bukan saya suruh (bertanding)...maksud saya memang dalam situasi mana pun, bukan saja Wanita, (malah) Pemuda, Puteri atau Bahagian Umno, hak ahli adalah hak ahli (untuk mencalonkan mana-mana pemimpin). Pemimpin boleh kata begini (peralihan kuasa) tetapi kalau ahli beri pandangan lain, siapa pun tidak boleh halang.

"Sama ada mereka sudah muafakat saya pun tidak pasti, saya (cuma) baca dalam media.

Formula ini kita (Majlis Tertinggi Umno) terima tetapi kalau ahli tidak terima, adakah kita boleh sekat. Mungkin ahli lebih tahu pemimpin yang mereka mahu," katanya selepas menyampaikan taklimat Tata Etika Umno kepada pemimpin Umno Terengganu di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rasional pelan peralihan kuasa daripada Rafidah kepada Shahrizat, iaitu enam bulan selepas pemilihan parti itu Disember ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata hak menentukan kepimpinan parti itu bukan terletak di tangan pemimpin itu sendiri sebaliknya sebagai sebuah organisasi yang mengamalkan demokrasi, anggota yang mempunyai kuasa membuat keputusan tersebut.

Beliau berkata seperti juga proses pilihan raya bukan wakil rakyat yang menentukan kemenangan mereka tetapi keputusan itu adalah di tangan rakyat yang membuat pemilihan itu.Click Here!

Terima kasih kerana sumbangan anda. Sumbanglah untuk kebaikan perjuangan kita bersama.

Can't find what you're looking for? Try Google Search!

Google
 

Umno Sarkas

ANDA ADA MAKLUMAT ISU NEGARA?

Sila emailan kepada saya di seramaesty@yahoo.com atau hubungi saya di talian 013-9060111.

TERIMA KASIH ATAS KERJASAMA ANDA

Feedback Form

Join the Mailing List
Enter your name and email address below:
Name:
Email:
Subscribe  Unsubscribe 

Dr. Irfan menjelaskan Perniagaan Internet secara mudah kepada anda

Free Viral Advertising