KUALA TERENGGANU, 30 Julai (Bernama)-- Badan Pencegah Rasuah (BPR) tidak menolak kemungkinan memanggil bekas pemimpin negeri ini bagi memberi keterangan berhubung siasatan terhadap penganjuran Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun di Pulau Duyong dan pembangunan Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan, jika terdapat keperluan berbuat demikian.
Pengarah BPR Terengganu Sharuddin Sapian berkata pihaknya sentiasa mengamalkan dasar responsif dan telus dengan memanggil sesiapa sahaja tanpa memilih kasih.
"Kita akan panggil sesiapa sahaja kalau mereka ada maklumat untuk membantu siasatan berhubung kedua-dua kes itu," katanya ketika dihubungi di sini, Rabu.
Beliau menjelaskan,sebelum ini pihaknya telah pun memulakan siasatan awal berhubung dakwaan terdapatnya penyelewengan dalam penganjuran Piala Monsun dan pelaksanaan projek TTI, namun tiada asas yang kukuh untuk BPR meneruskan siasatan terhadap kedua-dua projek berkenaan.
Bagaimanapun, Sharuddin berkata ekoran kenyataan yang dibangkitkan oleh Menteri Besar Datuk Ahmad Said dalam satu sidang media Jumaat lepas yang mahukan BPR turut menjalankan siasatan berhubung kedua-dua projek tersebut, BPR telah membuka semula kertas siasatan kes-kes itu.
"Kita akan tunggu Menteri Besar balik daripada umrah kerana beliau yang bangkitkan isu itu. Mungkin dia ada maklumat yang lebih fokus," katanya.
Ahmad kini sedang menunaikan umrah dan dijangka pulang ke tanah air pada 5 Ogos ini.
Sharuddin turut meminta sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat tentang kes tersebut supaya tampil untuk memberi keterangan dan menyerahkan segala dokumen berkaitan, bagi membantu siasatan.
Sementara itu, beliau berkata siasatan kes penyenggaraan 16 buah Proton Perdana V6 Executive kerajaan negeri yang mencecah RM1.07 juta bagi tempoh empat tahun lepas sejak 2004, kini berada pada peringkat akhir.
Setakat ini, katanya lebih 20 saksi telah dipanggil memberi keterangan dan lima pengusaha bengkel kereta telah pun ditahan reman berhubung penyelewengan dalam kes itu, yang turut mendapat perhatian Kabinet dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Beliau, bagaimanapun enggan mengulas tarikh mereka yang terbabit, untuk dihadapkan ke mahkamah.
Sharuddin berkata BPR juga akan memanggil exco serta pegawai kanan kerajaan negeri untuk memberi keterangan jika terdapat keperluan berbuat demikian.
"Namun, setakat ini belum ada exco atau pegawai kanan kerajaan negeri yang dipanggil untuk memberi keterangan," katanya.
Click Here!