Saya Suhaimi Taib, mendapat Sijil Pentadbiran Islam dari Kusza Kuala Terengganu (2002), Kursus Penerbitan Video Koperat Universiti Malaya (2003), Pengarang Warta Darul Iman (2000-2003) Penerbit Siaran Darul Iman (2003-2004), Wartawan Sambilan Berita Harian (1997-1998), Wartawan Harakah (1989-1996).
Menerima Anugerah kewartawanan Esso-Kawat (1997 dan 1998)

Hubungi saya melalui e-mel: seramaesty@yahoo.com atau H/P No: 013-9060111.

Thursday, July 17, 2008

PAS sokong Anwar enggan beri DNA

Jul 17, 08 4:23pm

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyokong keputusan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang enggan membenarkan Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengambil sampel DNA kerana dikhuatiri akan dimanipulasi pihak berkuasa.

nasharuddin mat isa 03Dalam kenyataan yang dibacakan oleh Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa (kiri), yang juga ahli Parlimen Bachok di Parlimen hari ini, beliau berkata parti ini mengambil pendirian menolak sebarang tuduhan yang berbentuk andaian dan spekulasi.

"Begitu juga dengan penggunaan DNA yang pada bila-bila masa boleh dimanipulasi, diada-adakan dan ditokok tambah bagi menafikan keadilan yang sebenar.

"Saya menyeru kepada semua agar berpegang teguh kepada prinsip Islam dan undang-undang bahawa seseorang itu tidak bersalah selagi tidak terbukti kesalahannya di mahkamah yang diadili.

"Asas ini harus dipegang dalam menilai tuduhan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Di samping itu, Bernama melaporkan beliau juga mengalu-alukan pembebasan Anwar namun memandang berat cara penangkapan yang dibuat terhadapnya.

"Kami memandang berat cara penangkapan Anwar yang dibuat polis semalam yang tergesa-gesa dan kasar walaupun beliau bersedia melaporkan diri dan memberi kerjasama," katanya.

Ditahan semalam

Semalam, Anwar ditahan ketika dalam perjalanan pulang selepas memberi keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan dibawa ke ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Beliau ditahan semalam untuk dirakamkan kenyataannya dan dibebaskan pagi tadi.

Beliau disoal siasat berhubung laporan polis oleh bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat oleh Anwar bulan lalu.

Dalam satu sidang akhbar petang tadi, Anwar menjelaskan bahawa beliau enggan membenarkan sampel DNA diambil atas nasihat peguam dan doktor.

Lagi pula, katanya, simpanan DNA-nya ada dalam tangan polis yang diambil secara paksa pada 1999.

"Apa perlu saya bagi, apa saja boleh jadi," katanya sambil menambah, ini kerana DNA Mohd Saiful pun ada dalam simpanan polis.


Tag: politics Click Here!

Polis: Anwar enggan beri sampel

Jul 17, 08 3:26pm

Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan memberikan sampel darah untuk menguji DNA beliau walaupun telah dibawa ke hospital malam tadi bagi siasatan dakwaan meliwat pembantunya, kata polis.

Beliau ditangkap tengah hari semalam dan disoal siasat di ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Kuala Lumpur sehingga hampir jam 10 pagi tadi untuk mendapat sampel DNA, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Sehubungan itu, katanya, pihak polis akan menggunakan ruang perundangan yang ada untuk mendapatkan contoh DNA Anwar.

Dalam siasatan semalam, kata Ismail, pegawai penyiasat telah meminta Anwar memberi sampel darah untuk tujuan perbandingan DNA.

"Tetapi malangnya Datuk Seri Anwar tidak bekerjasama dengan pihak polis untuk memberi sampel (darah)," katanya dalam satu sidang akhbar di Bukit Aman.

Ismail berkata, pihaknya juga difahamkan bahawa Anwar juga tidak memberi kerjasama untuk mendapatkan sampel darahnya ketika dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) malam tadi.

Ambil kenyataan


Mengulas tindakan pasukan khas polis menahan Anwar di tepi jalan dekat rumahnya di Segambut Dalam semalam, beliau berkata ia dibuat mengikut prosedur dan undang-undang.

"Saya suka memaklumkan, pihak polis dalam melakukan tangkapan, menahan Datuk Seri Anwar, mengambil kenyataannya, dan juga seterusnya menghantar (beliau) ke hospital untuk pemeriksaan, adalah mengikut lunas-lunas undang-undang yang ada.

Menurut Ismail lagi, tangkapan dibuat selepas pihak polis mengambil keterangan pengadu, mengkaji laporan yang dibuat, dan menemuramah saksi yang ada.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan penyokong Anwar agar tidak terburu-buru membuat andaian berhubung tangkapan Anwar semalam.

"Ini tindakan normal, bukan luar biasa. Pada saya, tidak ada yang luar biasa dalam kes ini," tambahnya.

"Saya ingat beratus-ratus kes itulah prosedur. Kita tangkap kerana kita ada rekod munasabah, kita ada keraguan yang munasabah," katanya lagi.

Mengapa tahan awal

Ismail juga ditanya mengapa polis menahan Anwar telalu awal daripada masa yang dijanjikan beliau untuk ke ibupejabat polis (IPK) Kuala Lumpur.

Menurut laporan, Anwar berkata beliau akan hadir di IPK Kuala Lumpur pada jam 2 petang tetapi beliau ditahan sejam lebih awal, dekat rumahnya di Segambut Dalam, ketika pulang dari ibupejabat BPR di Putrajaya.

"Mereka (pasukan polis) telah dimaklumkan, selepas Datuk Seri Anwar pergi ke (ibupejabat) BPR (di Putrajaya), dia ada buat kenyataan dalam akhbar, nak pergi terus ke IPK.

"Jadi apabila pasukan ini dapat tahu, tengok dia mengikut jalan lain, mereka risau. Jadi mereka terpaksa melakukan tangkapan, sesuai pada masa itu," jelas Ismail.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan Anwar diekori pasukan polis sejurus pulang daripada memberi keterangan kepada BPR.

"(Ada) kemungkinan polis mengekorinya kerana itu adalah tugas polis untuk menahan seseorang," katanya.

Anwar dibogel, diperiksa alat sulit

Jul 17, 08 3:14pm

kemaskini 5:56pm Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah ditelanjangkan sewaktu menjalani pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) malam tadi.

Menurutnya, seluruh badan beliau diperiksa, termasuk bahagian sulitnya.

Secara berseloroh, beliau berkata, mereka juga "ukur apa yang perlu" dan beliau "ikut semuanya (arahan doktor)".

"Saya buat pemeriksaan seluruh badan saya, kemaluan saya termasuk mengukur apa yang perlu dan saya ikut semua," kata Anwar di sidang media di kediamannya di Bukit Segambut petang ini.

Katanya, beliau juga enggan membenarkan gambar fizikalnya diambil kerana bimbang ia dibocorkan kepada umum, termasuk di internet.

"Sudah tentu saya menolak diambil gambar kerana ia akan ada dalam (laman perkongsian video) YouTube. Kamu fikir saya boleh percaya sistem sedia ada," katanya.

anwar ibrahim freed from police ipk detention pc 170708 11Menurut mantan timbalan perdana menteri itu lagi, beliau juga enggan sampel darahnya diambil untuk ujian DNA sewaktu menjalani pemeriksaan kesihatan tersebut.

Anwar berkata beliau enggan membenarkan sampel itu diambil atas nasihat peguam dan doktor.

"Saya berikan beberapa alasan atas nasihat peguam dan pakar-pakar DNA dalam dan luar negara. Pertama, simpanan DNA memang ada dalam tangan polis. Kedua, yang dituduh dalam simpanan polis. Apa saja mungkin berlaku. Apa perlu DNA daripada saya?" katanya.

Lagi pula, tambahnya, simpanan DNA beliau - yang beliau dakwa diambil secara paksa pada 1999 - masih ada dalam simpanan polis.

Sampel darahnya 10 tahun lalu diambil dari HKL atas arahan ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan, waktu itu seorang pegawai penyiasat kesnya.

"Tilamnya dibawa (dalam perbicaraan kes pertama), percikan darah dan sebagainya disebut. Ada percubaan membuat penipuan besar. Apabila kita bongkar, ditarik balik tuduhan yang berkaitan," kata Anwar.

"Apa perlu saya bagi, apa saja boleh jadi," katanya sambil menambah, ini kerana DNA Mohd Saiful pun ada dalam simpanan polis.

Sebelum dibawa ke HKL, tambahnya, pegawai-pegawai polis berpangkat ACP dan SAC II memberi jaminan beliau boleh dibebaskan malam tadi selepas menjalani pemeriksaan tersebut.

Namun, sekembalinya daripada HKL, pengawai penyiasat kesnya DSP Jude Pereira mengatakan bahawa beliau perlu memberi keterangan lanjut pada pagi ini.

anwar ibrahim freed from police ipk detention pc 170708 07Semalam, Anwar ditahan ketika dalam perjalanan pulang selepas memberi keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya dan dibawa ke ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Polis menahannya semalam untuk merakam percakapannya dan dibebaskan menjelang 10 pagi tadi.

Tokoh utama pembangkang itu disoal siasat berhubung laporan polis oleh bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat olehnya.

Tambah Anwar, beliau terpaksa tidur di atas simen dalam lokap di tingkat tujuh bangunan IPK itu.

"Saudara tahu lokap apa? Lokap penjenayah besar di Malaysia. Betul, pegawai (polis) layan dengan cukup baik, menyentuh saya pun tidak. Tetapi saya diletakkan berbaring di atas simen sepanjang malam dengan kedudukan (sakit) pinggang saya diketahui," jelas Anwar.

Jelasnya lagi, hanya pada kira-kira 1 tengah malam, isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail datang membawa tuala sebagai alas tidur.

Kesan daripada tidur atas simen tersebut, kata Anwar, beliau mengalami sakit pinggang dan terpaksa mengambil suntikan penahan sakit.

Selepas berbaring sekejap, tambahnya, barulah keadaan kembali baik.

Bagaimanapun, Anwar berkata, sepanjang di sana, pihak polis melayannya dengan baik.

"Saya tidak pertikaikan layanan (baik) pegawai polis di semua peringkat (jawatan) semasa saya di IPK Kuala Lumpur. Memang saya ucapkan terima kasih kepada mereka. Pertama, sebab saya tidak dipukul dan sewaktu memberikan keterangan, saya memberikan kerjasama penuh," katanya.

anwar ibrahim freed from police ipk detention pc 170708 08Beliau juga mempersoalkan tindakan polis enggan memberi salinan laporan Mohd Saiful terhadapnya.

Katanya, beliau bertanya perkara itu dan polis hanya menjawab "diarahkan tidak boleh bagi laporan (kepada Anwar)".

"Siapa yang arah? Timbalan perdana menteri atau isterinya atau ketua polis negara?" katanya di sidang media itu, disambut ketawa pemberita.

Sehubungan itu, Anwar menyuarakan kebimbangannya mengenai kemungkinan laporan pengadu kes tersebut dipinda selepas polis mengambil kenyataannya malam tadi.

"Kalau laporan (Mohd Saiful) itu diberikan pada saya tengah hari ini, siapa tahu bahawa itu adalah laporan yang asli? Dipinda, dipinda, dipinda," katanya.

Mengulas kaedah penangkapannya semalam, Anwar berkata: "Saya kesal kerana polis bertindak begitu. Terutama kenyataan (pengarah Jabatan Siasatan Jenayah) Datuk Bakri (Mohd Zinin) yang mengingatkan saya gaya dan lagak ketua polis negara pada 1998, Tan Sri Rahim Noor.

"(Beliau) cakap dengan angkuh dan tidak benar, umpamanya mengatakan saya enggan untuk ke balai polis."

Anwar turut berterima kasih kepada perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana bersedia menjamin keselamatannya sepanjang dalam jagaan polis.

Bagaimanapun, beliau menolak tanggapan bahawa beliau dibebaskan atas pertolongan perdana menteri.

"Saya tidak fikir begitu. Saya tidak harus masuk (lokap) kalau pelaksanaanya profesional," kata Anwar.

Selain kehadiran lebih kurang 50 wartawan dan jurugambar, kira-kira 200 penyokong turut berkumpul di perkarangan rumahnya.

Beberapa tokoh pembangkang yang hadir di situ termasuklah setiausaha agung PAS Datuk Kamaruddin Jaafar, timbalan ketua menteri Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin; ahli parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud dan ahli jawatankuasa pusat PAS Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.


Tag: politics Click Here!

Wan Azizah Terperangkap Dalam Lif IPKKL

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail terperangkap di dalam lif di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) Rabu malam ketika beliau melawat dan menghantar barang untuk suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini sedang ditahan di IPKKL bagi siasatan tuduhan kes liwat.

Semasa kejadian pada pukul 11.50 malam, lif dipercayai tersekat ketika Dr Wan Azizah yang ditemani anaknya Nurul Hana, menekan butang lif.

Sementara itu, Balai Bomba Hang Tuah mengesahkan menerima panggilan pada 12.02 pagi mengenai kejadian tersebut dan satu jentera bomba dikejarkan dan sampai ke tempat kejadian pada pukul 12.08 pagi.

Dr Wan Azizah dan anaknya berjaya dikeluarkan pada pukul 12.25 pagi.

Tag: politics Click Here!

Anwar Enggan Beri DNA Bimbang Dimanipulasi Pihak Berkuasa, Kata Peguam

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak membenarkan Hospital Kuala Lumpur mengambil sampel DNA beliau kerana beliau khuatir ia akan dimanipulasi oleh pihak berkuasa, kata peguamnya Sankara N. Nair.

Katanya mereka bimbang DNA akan dimanipulasi kerana pasukan penyiasat dalam kes liwat membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu pada 1998 juga terlibat dalam siasatan kali ini.

"Lagipun DNA (Anwar) telah diambil masa kes dahulu (1998), kenapa perlu ambil lagi," kata Nair.

Anwar, yang ditahan oleh sepasukan polis berhampiran rumahnya di Bukit Segambut di sini pada 1 tengah hari semalam, dibebaskan dengan jaminan polis pagi ini.

Semalam, Anwar menolak permohonan polis untuk mendapatkan sampel DNA secara sukarela. Polis juga gagal mendapatkan kebenaran beliau untuk mengadakan pemeriksaan perubatan penuh terhadapnya semasa berada di HKL.

Bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, membuat laporan polis pada 28 Jun lepas mendakwa dirinya diliwat oleh Anwar pada 26 Jun lepas. Anwar telah memfailkan saman mendakwa Mohd Saiful membuat laporan palsu.

Tag: politics Click Here!

AJK MCA diura-ura sertai PKR

Jul 17, 08 12:00pm
Ahli jawatankuasa pusat MCA Dr Tan Yee Kew meninggalkan MCA dan bakal mencetuskan kegemparan baru apabila bekas setiuasaha parlimen ini diura-urakan akan menyertai PKR.

Dalam sidang media mengumumkan keputusannya keluar parti hari ini, Dr Tan berkata "PKR satu pilihan yang baik" apabila diminta mengulas ura-ura itu.

Bagaimanapun beliau akan mengumumkan parti baru yang bakal disertainya tidak lama lagi.

"Bibit sistem dua parti telah ditunjukkan di negara ini pada 8 Mac... Saya yakin masanya telah tiba satu perubahan politik dalam negara kita," katanya.

Mengulas usahanya menyokong sistem dua parti - antara BN dan Pakatan - yang sedang terbentuk selepas pilihanraya umum Mac lalu, beliau berkata:

"Sama ada sistem dua parti akan tenggelam akarnya di bumi Malaysia, sekaranglah ketikanya membuat keputusan.

"Sebagai seorang individu, kekuatan saya terhad. Bagaimanapun, jika dalam masa perubahan politik yang kritikal, saya boleh memberi sedikit bantuan, tidak kira bagaimana remehnya nanti, ia masih satu langkah yang bernilai diambil."

Dr Tan, bekas timbalan ketua Wanita MCA, diura-urakan akan dilantik pengerusi Majlis Perbandaran Klang jika menyertai Pakatan Rakyat.

Dalam kenyataan di sidang media di Klang, beliau menyatakan MCA gagal memperjuangkan nasib kaum Cina dan BN sendiri tidak mampu mengatasi pelbagai masalah rasuah, diskriminasi kaum, salah guna kuasa dan jurang kaya-miskin yang semakin meluas.

"MCA terpaksa berhempas-pulas untuk mempertahankan kepentingan kaum, tetapi kadangkala berakhir dengan menyerah dan kompromi," kata Dr Tan.

Beliau juga melahirkan rasa kecewanya dengan persaingan puak dalam MCA dan desakan pembaharuan yang gagal dilaksanakan oleh barisan pemimpin parti.

"Dalam parti, amalan berpuak-puak telah menyebabkan pertelingkahan dalaman dan membiarkan amalan-amalan yang tidak baik seperti wujudnya ahli hantu.

"Pendedahan kebanyakan isu parti sejauh ini tidak diatasi secara adil dan saksama.

"Saya cuba memperjuangkan untuk pembaharuan tetapi kecewa melihat perjuangan parti yang bermula atas nama demokrasi dan reformasi, berakhir hanya dengan pertukaran kepimpinan dan peralihan kuasa, tetapi perubahan telah tidak dilaksanakan dengan jujurnya," kata bekas setiausaha parlimen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Tag: politics Click Here!

Anwar bebas dengan ikat jamin

Jul 17, 08 9:30am

Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dibebaskan dengan ikatjamin pagi ini.
Beliau dilihat keluar bersama anggota keluarga dan peguamnya dengan kereta pada jam 9.45 pagi.

Beliau balik ke rumahnya di Bukit Segambut, Kuala Lumpur dan dijangka mengadakan sidang akhbar pada jam 2 petang.

Anwar tidak menghadapi sebarang dakwaan tetapi diminta datang semula ke balai polis pada 18 Ogos depan.

Awal pagi ini, peguam Sankara Nair memberitahu pemberita di luar ibupejabat polis Kuala Lumpur, tempat Anwar ditahan semalaman, bahawa mantan timbalan perdana menteri itu akan dibebaskan jam 1 petang.

Menurutnya, Anwar mengadu sakit belakang selepas tidur di atas lantai simen malam tadi.

Pada jam 9.30 pagi isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba bersama anak-anaknya dan masuk ke dalam bangunan IPK Kuala Lumpur. Mereka beredar bersama Anwar 15 minit kemudiannya.

Anwar sedang berihat di rumahnya manakala para petugas media, termasuk media asing, sedang menunggu di luar.

Pada kira-kira jam 10.45 pagi, Wan Azizah dan anak sulungnya, Nurul Izzah keluar dari rumah tersebut.

"Suami saya dalam kesakitan," kata presiden PKR itu sebelum beredar keluar.

Petra diseret ke mahkamah

Jul 17, 08 11:26am

Penulis blog terkenal Raja Petra Kamarudin ditahan dan dibawa ke Mahkamah Jalan Duta untuk didakwa berhubung akuan berkanunnya yang mengaitkan isteri timbalan perdana menteri dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Beliau dijangka didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan berhubung akuannya 18 Jun lalu yang mengaitkan Rosmah Mansor dengan pembunuhan wanita Mongolia itu.

Raja Petra dan peguamnya tiba di ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada jam 10 pagi.

Isterinya Marina Lee Abdullah bimbang Raja Petra sekali lagi enggan diikat jamin dan berada tahanan seperti sebelum ini.

"Ini adalah kesalahan yang boleh diikat jamin. Saya harap dia tidak akan mengejutkan saya lagi dan enggan diikat jamin," katanya.

Dua bulan lalu, apabila Raja Petra didakwa dengan tuduhan hasutan kerana menyiarkan artikel bertajuk 'Let's send the Altantuya murderres to hell' dalam lamanwebnya Malaysia Today, dia enggan diikat jamin.

Dia bagaimanapun bersetuju diikat jamin tiga hari kemudiannya setelah bermalam di Penjara Sungai Buloh.

Anwar bermalam dalam tahanan

Jul 16, 08 8:38pm

kemaskini 12:29am Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bermalam dalam tahanan polis selepas beliau ditangkap tengah hari tadi, demikian dimaklumkan oleh ketua penerangan PKR Tian Chua.

Isterinya dan presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir di ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Kuala Lumpur kira-kira jam 11.25 malam.

Naib presiden PKR Mohamad Azmin Ali, bersama seorang lagi naib presiden Sivarasa Rasiah dan ahli parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff juga masuk ke bangunan IPK - tidak lama selepas Anwar dibawa pulang dari hospital Kuala Lumpur pada 10.35 malam.

Sebelum itu, 10 kenderaan polis mengiringi Anwar ke hospital dari ibu pejabat polis itu pada jam 8.35 malam dan sampai kira-kira 10 minit kemudian.

Anwar dimasukkan ke wad diraja dengan kawalan kira-kira 40 anggota polis untuk rawatan biasa.

Mohamad Azmin dan Yusmadi kelihatan masuk ke wad itu jam 10 malam.

Sebelum itu, Mohamad Azmin bersama ketua perhubungan PKR Pulau Pinang, Datuk Zaharin Mohd Hashim bertemu perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di bangunan Parlimen.

Pertemuan bermula jam 9 malam, yang melibatkan menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berlangsung kira-kira 45 minit.

Mohamad Azmin berkata Abdullah memberi jaminan "tiada kejadian mata lebam" seperti 1998.

Anwar kelihatan keluar jam 10.20 malam dengan konvoi lima kenderaan polis menuju IPK.

Kira-kira 50 penyokongnya yang berkumpul di hospital melaungkan slogan "reformasi" dan "hidup Anwar" dengan disambut lambaian tangan Anwar.

Lebih 30 wartawan dan jurugambar berada di luar wad itu yang dipisahkan oleh garisan polis.

Beliau tiba di IPK kira-kira 10.35 malam dan sempat melambai kepada kumpulan penyokongnya di pinggir Jalan Hang Tuah yang menunggu sejak siang.

Anwar sebelum ini memberi keterangan kepada polis enam jam mulai 2.30 petang selepas dibawa ke IPK jam 1.11 petang tadi.

Beliau ditangkap sewaktu hampir tiba di kediamannya di Segambut Dalam, Kuala Lumpur tengah hari tadi selepas memberikan keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya berhubung isu dakwaan pemalsuan laporan ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan dan peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Kira-kira 500 penyokong penasihat PKR berkumpul di pinggir Jalan Hang Tuah sejak beliau ditahan tengah hari tadi.

Awal malam ini, mereka menyalakan lilin dan melaungkan slogan "reformasi."

Manakala sekumpulan 50 anggota polis, termasuk berpakaian biasa, berada di seberang jalan - sebelah bangunan IPK.

Mereka bersurai dengan aman sejurus selepas tengah malam ini selepas diarahkan oleh polis.

Malaysiakini difahamkan satu mesyuarat tergempar Majlis Pimpinan Tertinggi PKR akan diadakan di ibu pejabat parti di Tropicana, Petaling Jaya.

Taklimat tentang perkembangan penahanan Anwar disampaikan oleh timbalan presiden Dr Syed Husin Ali.

Tag: politics Click Here!

Kami dikepung, kata peguam

Jul 16, 08 6:12pm
"Saya berada di dalam kereta bersamanya ketika apabila beliau ditahan. Kami dikepung. Mereka (pasukan polis) berkata 'anda ditahan'"

nude ear squat video clip 161205 sankara nairPeguam Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim - N Sankara Nair - memberitahu pemberita demikian ketika menceritakan apa yang berlaku ketika Anwar ditahan tengahari tadi.

Katanya, anggota polis tidak menunjukkan sebarang waran tangkap ketika mereka menahan Anwar dekat rumahnya di Segambut Dalam.

Bagaimanapun, katanya, Anwar tidak digari ketika dibawa masuk ke dalam kenderaan pacuan empat roda yang bercermin gelap.

Menurut Sankara, penahanan Anwar tiada kena mengena dengan keengganannya hadir di IPK KL Isnin lalu.

"Malah, beberapa minit sebelum beliau ditahan, pegawai penyiasat, DSP Jude Pereira menelefon kita bertanyakan sama ada kami akan datang. Kami jawab, kami akan berada di sana tepat jam 2 petang," katanya.

"Jika Anwar tidak hadir pada jam 2 petang, maka saya faham mengapa beliau perlu ditahan. Pihak polis telah melanggar kepercayaan dan keyakinan kami sebelum ini terhadap mereka," katanya.

Pada 28 Jun lalu, bekas pembantu Anwar - Mohd Saiful Bukhari Azlan - telah membuat laporan polis, mendakwa dia telah diliwat oleh ketua umum PKR itu.

Manakala Anwar pula mendakwa, ia merupakan satu konspirasi politik terhadapnya, tetapi ia dinafikan oleh pemimpin kerajaan.

Sankara berkata, pihak polis mesti menjelaskan tujuan Anwar ditangkap secara begitu.

anwar ibrahim arrest 160708 09Beliau juga menegaskan bahawa mengikut undang-undang, Anwar tidak perlu memberi contoh DNA kepada pihak polis.

Polis mula merakam kenyataan Anwar pada kira-kira 2.50 petang mengenai dakwaan liwat terhadapnya.

Adalah dipercayai Naib Presiden PKR, R Sivarasa - yang juga seorang peguam - hadir bersama Anwar.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Ismail Omar mengesahkan bahawa Anwar telah ditahan, dan berkata mantan timbalan perdana menteri itu adalah suspek dalam kes liwat dan perlu menjalani pemeriksaan kesihatan.

Menurut AFP, beliau berkata, Anwar belum didakwa dengan apa-apa tuduhan lagi dan oleh itu, meminta supaya jangan dibuat sebarang kesimpulannya.

Beliau berkata, pihak polis perlu merakamkan kenyataan Anwar bagi menyiapkan siasatan.

Menurut Ismail lagi , sebaiknya semua fakta dikumpulkan, maka pihak polis akan membuat keputusan mengenainya.

Polis boleh menahan Anwar selama 24 jam dan selepas itu mereka perlu mendapatkan perintah mahkamah untuk tahanan reman sehingga 14 hari.

Tidak dapat dipastikan mengapa Anwar ditahan walaupun beliau telah bersetuju untuk disoalsiasat oleh pihak polis.

Anwar sepatutnya hadir di IPK Kuala Lulmpur pada hari Isnin untuk memberi kenyataan.

Bagaimanapun, beliau enggan berbuat demikian, dengan mendakwa pihak polis bertindak secara tidak profesional dan mengugut kakitangan dan anggota keluarganya, ketika hendak menyerahkan perintah mengikut Seksyen 111, Kanun Prosedur Jenayah, Ahad lalu.

Semalam, pihak polis memberi kata dua kepada Anwar supaya hadir di IPK Kuala Lumpur pada jam 2 petang atau menghadapi kemungkinan ditahan.

Tag: politics Click Here!

Anwar minta penyokong bertenang

Jul 16, 08 4:41pm
Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta para penyokongnya dan rakyat Malaysia supaya bertenang ekoran tindakan polis menahannya hari ini.

Beliau juga meminta mereka supaya menolak sebarang percubaan provokasi, yang boleh dijadikan alasan untuk mengisytiharkan keadaan darurat.

Mantan timbalan perdana menteri itu menyatakan demikan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat beliau petang ini.

Pagi tadi, Anwar memberi kenyataan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya berhubung laporannya terhadap ketua polis negara (KPN) Tan Sri Musa Hassan dan peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail berhubung insiden 'mata lebam' pada 1998.

Menurut kenyataan itu lagi, semua ini merupakan ulangan episod yang berlaku terhadap Anwar pada 1998.

Sehubungan itu, katanya, rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa tidak akan bertolak ansur jika sesuatu yang tidak baik berlaku terhadap Anwar.

"Kami ingin mengingatkan perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai janjinya untuk memastikan Anwar diberi perlindungan," tambah kenyataan itu lagi.

Menurutnya, Anwar ditahan di luar rumahnya di Segambut Dalam, Kuala Lumpur pada jam 1.05 tengahari tadi.

Mantan timbalan perdana menteri itu dijadual memberi kenyataan kepada ibu pejabat polis (IPK) Kuala Lumpur pada jam 2 petang berasaskan kepada persetujuan yang dicapai dengan pihak polis pada hari Selasa.

Kenyataan itu berkata, Anwar baru pulang ke rumahnya dari ibu pejabat BPR selepas memberi keterangan berhubung laporan polis yang difailkan berhubung kes penyembunyian fakta, yang membabitkannya pada 1998.

Menurutnya, ketika beliau menghampiri rumahnya, 10 kereta polis, separuh daripadanya tidak bertanda, memintas kereta yang dinaiki Anwar.

Sekumpulan 20 orang anggota komando menghampirinya, sekaligus mengingatkan kembali insiden ketika Anwar ditahan di rumahnya pada September 1998.

Seorang pegawai mendatangi Anwar dan mengarahkannya menaiki kereta polis yang tidak bertanda untuk dibawa ke ibu pejabat polis Kuala Lumpur. Peguam beliau tidak dibenarkan ikut bersamanya dalam kereta polis tersebut.

Menurut kenyataan tersebut, Anwar ditahan kurang 15 jam selepas beliau mengambil bahagian dalam perdebatan mengenai kenaikan harganya minyak yang disiarkan secara langsung malam tadi.

Tag: politics Click Here!

Raja Petra terima waran tangkap

Jul 16, 08 4:43pm
Polis mengeluarkan waran tangkap terhadap penulis blog terkenal Raja Petra Kamarudin berhubung siasatan akaun berkanunnya yang mengaitkan isteri timbalan perdana menteri dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Raja Petra dikehendaki hadir di ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Kuala Lumpur jam 10 pagi esok.

Peguam pengendali Malaysia Today menerima waran itu pagi ini dan
Raja Petra mengesahkan perkara itu dengan polis petang ini, kata isterinya Marina Lee Abdullah.

Dalam akuan berkanunnya bertarikh 18 Jun lalu, Raja Petra menuduh Rosmah antara tiga individu yang berada di tempat kejadian ketika wanita Mongolia itu dibunuh pada 19 Oktober 2006.

Katanya, beliau mendapat maklumat yang boleh dipercayai bahawa antara kira-kira jam 10 malam 19 Oktober 2006 dan awal pagi berikutnya, malam mangsa dibunuh, terdapat dua orang lagi di tempat kejadian.

Beliau menamakan dua individu itu sebagai seorang kolonel, yang menurutnya pakar bom 'C4' dan isterinya yang dikatakan pengawal peribadi Rosmah.

Laporan perisikan

Mayat Altantuya ditemui telah hancur dibom dengan 'C4' di sebuah kawasan hutan di Puncak Alam, Shah Alam. Kes perbicaraan pembunuhannya masih berjalan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Dalam akuan itu, Raja Petra mendakwa kolonel itu yang memasang bom C4 di beberapa tempat di badan Altantuya, dengan disaksikan oleh Rosmah dan pengawal peribadinya.

Raja Petra mendakwa lagi, beliau membuat akuan itu kerana beliau mempunyai maklumat yang boleh dipercayai mengenai pembabitan orang-orang berkenaan yang sehingga ini belum dikaitkan atau dipanggil sebagai saksi oleh pihak pendakwaraya dalam kes perbicaraan kes tersebut.

Penulis blog sensasi itu berkata, beliau juga membuat akuan bersumpah tersebut kerana beliau sedar bahawa menjadi kesalahan jika tidak mendedahkan bukti-bukti yang boleh membantu polis dalam siasatan kes jenayah.

Datuk Seri Najib Razak dan isterinya menafikan pembabitan mereka dengan Altantuya dan kes tersebut seperti dakwaan Raja Petra.

Pada 27 Jun lalu, Lt Kol. Aziz Buyong dan isterinya Lt Kol. Norhayati Hassan dilaporkan menuntut Raja Petra membayar RM1 juta kerana menfitnah mereka dan juga menarik balik akuan itu dari blognya.

Rosmah, Aziz dan Norhayati telah disiasat polis penghujung bulan lalu.

Tag: politics Click Here!

Terima kasih kerana sumbangan anda. Sumbanglah untuk kebaikan perjuangan kita bersama.

Can't find what you're looking for? Try Google Search!

Google
 

Umno Sarkas

ANDA ADA MAKLUMAT ISU NEGARA?

Sila emailan kepada saya di seramaesty@yahoo.com atau hubungi saya di talian 013-9060111.

TERIMA KASIH ATAS KERJASAMA ANDA

Feedback Form

Join the Mailing List
Enter your name and email address below:
Name:
Email:
Subscribe  Unsubscribe 

Dr. Irfan menjelaskan Perniagaan Internet secara mudah kepada anda

Free Viral Advertising