Saya Suhaimi Taib, mendapat Sijil Pentadbiran Islam dari Kusza Kuala Terengganu (2002), Kursus Penerbitan Video Koperat Universiti Malaya (2003), Pengarang Warta Darul Iman (2000-2003) Penerbit Siaran Darul Iman (2003-2004), Wartawan Sambilan Berita Harian (1997-1998), Wartawan Harakah (1989-1996).
Menerima Anugerah kewartawanan Esso-Kawat (1997 dan 1998)

Hubungi saya melalui e-mel: seramaesty@yahoo.com atau H/P No: 013-9060111.

Sunday, July 13, 2008

Presiden PAS di IJN, kini stabil dan ceria



KUALA LUMPUR, 13 Julai (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) petang tadi setelah mengadu tidak sihat.

Menurut Setiausaha Akhbar beliau, Roslan Shahir Dato' Mohd Shahir,keadaan Ustaz Hadi tidak perlu dibimbangkan.

"Setelah menjalani pemeriksaan beliau dinasihatkan berehat dan kini ditempatkan di wad di hospital berkenaan. Keadaan beliau bagaimanapun stabil dan ceria,"jelas Roslan dalam satu kenyataan media kepada Harakahdaily sebentar tadi.

Dalam pada itu, beliau menyeru kepada seluruh ahli dan para pendukung PAS dipohon agar mendoakan kesihatan beliau.

"Semoga Allah SWT memberikan beliau kekuatan untuk terus memimpin parti dan ummah,"ujarnya.

Tag: politics Click Here!

PM: P'raya 2008 bukan satu tragedi

KUALA LUMPUR, 12 Julai - Malaysiakini melaporkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan keputusan pilihanraya umum 8 Mac lalu menyimpan pelbagai rahmat apabila berjaya mendidik Barisan Nasional (BN) untuk tabah menerima erti kegagalan dan kekecewaan dalam usaha murni berjuang untuk rakyat.

Perdana Menteri berkata keputusan yang menyaksikan kemerosotan BN itu bukanlah satu tragedi yang perlu diratapi selama-lamanya dan sebaliknya semua pihak dan parti komponen BN perlu bangkit mulai sekarang untuk memperkukuhkan perjuangan dan usaha mendekati rakyat.


mic 62 agm 120708 abdullah smile"Apa yang berlaku, telahpun berlaku. Apa yang penting ialah reaksi kita selepas itu dan apa yang patut kita lakukan selepas itu.

"Kalau kita tidak sedia melihat perkara ini sebagai satu pengajaran, maka tentulah apa yang akan berlaku kepada kita ialah kesusahan yang berpanjangan...

"Ini adalah perasaan dan sikap saya sebagai Presiden Umno dan Pengerusi BN," katanya ketika merasmikan perhimpunan agung MIC ke-62 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra semalam.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu serta 3,300 perwakilan termasuk ketua cawangan MIC dari seluruh negara, demikian menurut laporan Bernama.

Satu pengajaran

Abdullah berkata, beliau memahami perasaan banyak pihak berikutan kemerosotan prestasi BN dalam pilihanraya itu sehingga ada yang menyifatkannya sebagai satu kegagalan hingga menimbulkan perasaan "dukacita yang amat sangat".

"Perlu diakui dan saya berpendapat, apapun yang merupakan kesusahan, apapun yang merupakan kegagalan dan apapun yang merupakan dukacita yang amat sangat bagi kita, anggaplah ini sebagai satu pengajaran...ini bukan satu tragedi tetapi pengajaran yang memeritkan," katanya.

mic 62 agm 120708 delegatesSehubungan itu, Abdullah berkata semua pihak mesti bersedia melihat apa yang berlaku sebagai satu pengajaran yang tidak akan dilupakan dan ada rahmat serta kebaikan di sebalik setiap perkara yang berlaku.

Perdana Menteri juga memaklumkan bahawa Dewan Tertinggi BN baru-baru ini telah menyediakan satu pelan bagi membolehkan pakatan parti komponenan BN itu gagah semula dan bangkit menyusun usaha membantu rakyat.

Sehubungan itu, Abdullah berharap MIC akan menjadi parti yang lebih baik dan kukuh pada masa akan datang.

"Bagi BN dan parti komponennya yang lain, khususnya Umno, akan tetap bersama MIC pada setiap masa dan memberikan sokongan kepada parti ini," katanya.

Tindakan tidak popular

Perdana menteri juga meminta semua pihak supaya benar-benar memahami tujuan kerajaan BN melaksanakan berapa langkah yang dikatakan "tidak popular" di kalangan rakyat seperti menstuktur semula subsidi petrol dan diesel sehingga harga bahan api itu meningkat.

Katanya kesemua keputusan itu, sehingga ada daripadanya, menimbulkan emuhan rakyat kepada kerajaan terpaksa dibuat bagi memastikan rakyat tidak enanggung beban yang berpanjangan sehingga ke masa akan datang.

"Setiap keputusan yang dibuat mungkin tidak popular tetapi kita mesti lakukan juga kerana kerajaan perlu bertanggungjawab demi kepentingan rakyat dan negara," katanya.

Menurutnya, kerajaan BN tidak sanggup mengenepikan tanggungjawab yang diamanahkan apabila sekadar ingin menjadi popular melalui langkah-langkah yang tidak memberikan manfaat kepada rakyat.

"Adalah satu tindakan bodoh jika kerajaan memilih untuk menjadi tidak popular..kenapa kita perlu melakukan sesuatu untuk menjadi tidak popular. Buat apa kita bertindak (supaya) orang marah dan maki pada kita, buat apa?

"Kita fikir tak mahu semua itu tetapi apa yang kita nak lakukan itu ialah sesuatu yang mesti kita lakukan, kita mengambil tindakan ini bukan nak jadi popular.

"Kita boleh menjadi tidak popular tetapi kita mesti bertanggungjawab kepada rakyat dan negara," katanya.

Abdullah berkata kerajaan BN sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk mengatasi masalah yang dihadapi rakyat dan semua pihak akan dimaklumkan dari semasa ke semasa hasil dan keputusan berhubung langkah yang diambil itu.

Perdana Menteri bertekad bahawa walau apapun yang berlaku, kerajaan akan terus membantu dan memberikan keutamaan kepada semua rakyat, tanpa mengira kaum, walaupun mengakui prestasi BN dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu amat mengecewakan bagi kebanyakan pihak.

Peralihan kuasa, Ku Li temui laluan sukar

Ibrahim Othman
Sun | Jul 13, 08 | 11:32:34 am MYT

ORANG yang paling risau dengan perkhabaran pelan peralihan kuasa antara Perdana Menteri (PM), Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) dengan timbalannya, Dato' Seri Najib Tun Razak, ialah Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).

Komen awal Ku Li, PM silap kerana jawatan Presiden Umno bukan milik peribadinya sebaliknya Pak Lah hanya Presiden 'care taker' kerana edah pemilihan Umno didakwanya sudah berlalu, dan ditangguhkan kerana menghadapi PRU 12, Mac lalu.

Kerisauan Ku Li disebabkan, klimaks pertandingan dalam Umno seperti sudah sampai apabila Pak Lah mengumumkan tarikh berundur. Walaupun Ku Li menyatakan hasratnya untuk terus menawarkan diri, banyak pihak berpendapat, sukar bagi bekas Menteri Kewangan dan Presiden Parti Melayu Semangat 46 ini mencukupi quota pertandingan.

Hujah yang diberikan, Ku Li selama ini seperti sudah terputus hubungan dengan ketua-ketua bahagian, lebih-lebih lagi dia tidak duduk dalam kabinet. Pergerakannya agak terbatas dan Ku Li dilihat rancak berkempen apabila selesai PRU 12, sambil menyatakan hasratnya mahu menawarkan diri bertanding jawatan Presiden.

Dalam tahun 2000, Ku Li pernah menawarkan diri bertanding salah satu kerusi naib Presiden, tetapi gagal mendapat cukup percalonan yang menyebabkan dia tidak layak bertanding.

Empat tahun kemudian, iaitu tahun 2004, Ku Li menyatakan hasrat untuk bertanding jawatan Presiden tetapi tidak mendapat sokongan malahan, hanya Umno bahagian Gua Musang sahaja yang mencalonkannya yang sekaligus menyebabkan dia tidak layak bertanding.

Kali ini, ketika semua orang minat bercakap soal undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, tiba-tiba Ku Li dilihat cukup rajin ke sana ke mari, bertemu dengan ahli-ahli Umno di peringkat cawangan, sehingga menimbulkan kekecohan di sesetengah bahagian hingga menyebabkan Ku Li mengeluarkan kenyataan; "ada ketua bahagian menghalang ahli-ahli cawangan bertemu dengannya."

Apa yang menarik, ketika mengadakan pertemuan dengan Umno di Muar, yang melibatkan ahli-ahli dari bahagian Ledang, Bakri, Pagoh dan Muar, terdapat berita yang dilaporkan sebuah akhbar tabloid berbahasa Inggeris, 25 cawangan dari Umno bahagian Pagoh mencadangkan Ku Li sebagai Presiden manakala Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sebagai timbalan Presiden.

Justeru, jika dilihat perkembangan mutakhir, apabila Najib menadah tangan kegembiraan menyambut cadangan Pak Lah mahu pelan peralihan kuasa berjalan 23 bulan dari sekarang, Muhyiddin yang juga Ketua Umno Bahagian Pagoh lebih sesuai beregu dengan Ku Li untuk berhadapan dengan Pak Lah dan Najib.

Cuma, ada sumber yang mengaku rapat dengan Najib dan Muhyiddin memberitahu, Muhyiddin lebih rela berdepan dengan Pak Lah dari berdepan dengan Najib. Maknanya, Muhyiddin tidak bersedia bertanding jawatan Timbalan Presiden jika Najib masih di situ.

Pada peringkat awal, Ku Li dikatakan berminat dengan Muhyiddin sebagai regunya untuk pertandingan ini.

Namun, atas nasihat seorang dua rakan-rakan Ku Li, akhirnya Ku Li berubah pendirian dengan menyebut Najib akan menjadi regunya dan bukan Muhyiddin.

Namun, Najib dilihat lebih selesa bersama Pak Lah daripada berganding dengan Ku Li. Muhyiddin pula, lebih selesa berketuakan Najib daripada Pak Lah atau Ku Li, apabila Ku Li juga tidak 'berminat' dengannya.

Jika Ku Li cukup percalonan, ramai yang meramalkan dia akan menang mudah mengalahkan penyandang jawatan. Tetapi banyak pihak pula menduga, Ku Li tidak mungkin cukup percalonan jika dia tidak mempunyai 'regu' yang kuat sebagai Timbalan Presiden!

Beberapa orang 'kaki sembang politik' berpandangan, Ku Li cukup sukar untuk mendapat sokongan 100 peratus dari seluruh 15 bahagian di Kelantan. Rata-rata, kepimpinan bahagian-bahagian di Kelantan masih setia dengan Pak Lah. Jika ada pun yang kurang 'mesra' dengan Pak Lah mereka dari kem Najib, bukan kem Ku Li.

Dulu, Ku Li ada seorang penyokong setia dalam Umno. Dato' Ibrahim Ali yang mengetuai Umno bahagian Pasir Mas. Namun, sekarang Ibrahim sudah berada di luar Umno dan Pasir Mas diketuai Dato' Abdul Rahim Abdul Rahman, orang kuat Najib.

Kalau bertanya orang yang di luar Umno, mereka lebih mahukan Ku Li menggantikan Pak Lah tetapi di kalangan ketua-ketua bahagian, mereka lebih mahukan Najib untuk dapat berpayung apabila Najib menjadi PM kelak. Ini bacaan mereka dan tiada siapa yang sanggup memperjudikan nasib menyokong secara terbuka Ku Li, yang memungkin mereka mengulangi nasib malang seperti tahun 1987, ketika Ku Li menentang Tun Dr. Mahathir.

Ada juga yang meramalkan, jika Najib bertindak menentang Pak Lah dengan regunya Muhyiddin, Pak Lah mungkin mengambil Tan Sri Mohamad Isa Abdul Samad sebagai regu. Ada juga yang meramalkan Tan Sri Muhammad Muhd Taib mungkin sedia menjadi regu Pak Lah untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Namun, banyak pihak berpendapat, antara Isa dengan Muhammad, Isa lebih popular. Cerita politik akan menjadi lebih menarik jika semua ini berlaku.

Siapa regu Ku Li jika jadi Najib melawan Pak Lah? Ada yang menyebut, Ku Li akan kembali ke pangkuan Dato' Seri Dr. Rais Yatim sudah sudah sekian lama meninggalkannya sejak Parti Melayu Semangat 46 dibubarkan. Rais adalah Timbalan Presiden ketika Ku Li menjadi Presiden S 46 dahulu.

Semua perkiraan ini, dibuat kerana situasi politik Umno masih belum begitu stabil. Ketika Pak Lah mengumumkan pelan peralihan kuasa, Najib dikatakan tidak dibawa berbincang sebaliknya hanya didedahkan ketika Mesyuarat MT berjalan. Najib mungkin serba salah untuk 'mempertahankan dirinya' kerana kebetulan Muhyiddin tidak menghadiri mesyuarat tersebut kerana berada di Osaka, Jepan.

Banyak pihak mendakwa, mereka sudah mendapat 'signal' mengarahkan mereka mencalonkan Najib sebagai Presiden dan Muhyiddin sebagai timbalan. Semua ini dilakukan oleh kumpulan Najib-Muhyiddin yang dikatakan sudah 'sepakat' mahu mengambil alih kepimpinan Umno, menjelang Disember.

Signal ini dikatakan dibuat kerana tiada langsung perbincangan antara Pak Lah-Najib mengenai pelan peralihan kuasa walaupun ada cakap-cakap yang mengatakan Pak Lah mahu terus menerajui Umno dan negara sehingga mencapai usia 70 tahun.

Strategi dan pelbagai tekanan yang dibuat ke atas Pak Lah akhirnya membuatkan Pak Lah terpaksa mengumumkan tarikh pengundurannya tetapi disambut dingin oleh Muhyiddin walaupun Najib kelihatan 'dapat menerima' pelan tersebut.

Paling malang, Ku Li kerana banyak pihak mengatakan, hasratnya menentang Pak Lah sudah tidak relevan lagi, malahan usaha-usaha Umno untuk berdamping rapat dengan beberapa parti pembangkang katanya akan tersekat jika Ku Li menjadi Presiden Umno.

Mereka menyebut, sejarah hitam S 46 dengan Pas mungkin menjadi titik hitam kepada usaha-usaha lain kerana semua sejarah ini memungkinkan parti-parti pembangkang tidak mungkin dapat 'membuat perbincangan' dengan Ku Li jika ada isu-isu kepentingan bersama.

Semua faktor ini diambil kira, walaupun Ku Li mungkin mendapat sokongan dari bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana pengaruh Dr. Mahathir di dalam Umno sekarang terlalu kecil, jika dibandingkan dengan nama-nama lain seperti Najib dan Muhyiddin.

Ketika Pak Lah menyediakan pelan menurunkan kuasa dan tugas-tugas kepada Najib, Ku Li pula perlulah terus berhempas pulas untuk menagih sokongan. Disebabkan hubungannya selama ini sudah semakin menjarak, bukanlah satu tugas mudah untuk dia menarik balik sokongan itu.

Malahan, ada di antara ketua-ketua bahagian, tidak pernah mengenali Ku Li walaupun mereka pernah mendengar Ku Li adalah bekas Menteri Kewangan dan bekas Menteri Perdagangan dan Perindustrian.

Berbeza dengan Najib dan Muhyiddin, kedua-duanya tidak pernah terputus berada di dalam hirerki Umno, walaupun pada suatu ketika Muhyiddin tewas di kerusi Naib Presiden. Namun, kedudukannya sebagai menteri, tidak pernah tercabut.

Laluan Ku Li sebenarnya semakin sukar tetapi dalam politik, ia bukanlah sesuatu yang mustahil. (Harakahdaily.net)

Tag: politics Click Here!

Dr Syed Azman dalam 'Hujah' TV9 esok



KUALA LUMPUR, 13 Julai (Hrkh) - AJK PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi akan berdebat dengan Ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim dalam rancangan Hujah, TV9, jam 9.00 malam esok (14 Julai).

Syed Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Batu Buruk, Kuala Terengganu akan berhadapan dengan wakil Umno itu dalam debat bertajuk "Politik Kotor Jejas Keharmonian".

Moderator bagi rancangan ini ialah Dr Razali Agus dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Umno Perlu Struktur Semula Organisasi Untuk Tangani Rasuah Politik

KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Usaha untuk membersihkan Umno daripada gejala politik wang atau rasuah politik akan teruji sekali lagi apabila hampir 20,000 cawangan Umno mengadakan mesyuarat agung tahunan masing-masing mulai Khamis ini sehingga 24 Ogos.

Proses ini merupakan fasa pertama pemilihan parti, yang akan berakhir dengan pemilihan pucuk pimpinan tertinggi Umno pada Disember ini.

Sungguhpun tataetika pemilihan Umno telah dikemaskini untuk mengekang amalan rasuah politik ini, ada pihak dalam parti serta pemerhati politik di luar parti berpendapat masalah itu memerlukan usaha yang lebih daripada itu.

Tataetika itu, kata mereka bukan saja tidak mampu menangani rasuah politik yang telah berakar umbi dalam Umno, malah ia juga boleh dimanipulasi oleh anggota yang tidak bertanggungjawab.

Sebaliknya Umno memerlukan satu pendekatan menyeluruh termasuk menstrukturkan semula organisasi itu, jika ia benar-benar serius mahu menangani gejala rasuah politik di dalam parti, kata mereka.

Antara peraturan yang diperketatkan yang dianggap keterlaluan oleh sesetengah pihak pada kali ini ialah larangan ke atas calon daripada menghadiri majlis perjumpaan termasuk kenduri dan tahlil serta larangan anak dan isteri anggota daripada memberi hadiah dan wang kepada anggota parti lain.

Mesyuarat agung tahunan dan pemilihan parti peringkat cawangan Umno ini akan disusuli dengan pemilihan peringkat bahagian mulai 9 Okt hingga 9 Nov dan pemilihan peringkat majlis tertinggi pada perhimpunan agung parti mulai 16 Dis hingga 20 Dis.

Seorang daripada pemimpin parti yang ditemui ialah Ketua Umno Bahagian Batu Pahat Dr Mohd Puad Zarkashi yang berpendapat bahawa tataetika pemilihan parti itu tidak membawa sebarang makna jika parti gagal untuk menguatkuasakannya.

Sehingga kini Umno, katanya belum mempunyai satu struktur khusus untuk tujuan penguatkuasaan dan oleh itu pucuk pimpinan parti hanya bergantung kepada aduan yang dikemukakan oleh anggota parti.

"Pada saya mentadbir Umno ini sama seperti mentadbir negara, jadi kena seriuslah dan dalam kes ini kenalah ada unit macam BPR (Badan Pencegah Rasuah), yang mengawal politik wang dan ia tidak semestinya hanya dikawal ketika dekat pemilihan parti, sepatutnya sepanjang masa.

"Mesti ada BPR, tak kira waktu, ada saja orang main duit, ada saja aduan maka kena ambil tindakan, baru orang rasa takut," kata anggota Parlimen Batu Pahat itu.

Beliau mencadangkan supaya Lembaga Disiplin Umno diperkukuh dan diperluaskan kuasanya agar badan itu berupaya turun ke peringkat akar umbi dan memantau sendiri keseluruhan proses pemilihan parti.

"Berikan mereka kuasa, bukan setakat terima aduan saja, tapi juga menguatkuasakannya. Lagi satu rasuah politik ini berlaku sepanjang masa, bukan semasa pemilihan parti sahaja," katanya.

Beliau berkata Umno juga perlu menyediakan kaedah membuat aduan yang jelas, memandangkan cara sedia ada boleh dipertikaikan dan boleh menyebabkan aduan rasuah politik ditolak.

"Sekarang aduan macam standard, fotostat duit, duit yang diterima tu, dia kata orang ni bagi dia duit RM50, jadi dia fotostat ini bahan bukti. Dan kemudian akuan bersumpah. Setakat itu sahaja.

"Kadang-kadang orang boleh kata duit itu mungkin duit dia sendiri, saja dia nak menganiaya orang itu, sebab itu kaedahnya mesti jelas," katanya

Beliau juga menyarankan supaya Umno lebih menekankan kepada usaha membentuk pemikiran dalam kalangan anggotanya bahawa rasuah itu jijik dan pengamalnya adalah penjenayah.

"Apabila dia melihat politik wang itu sebagai rasuah dan rasuah itu jenayah, mahukah dia memilih pemimpin dia yang dianggap sebagai penjenayah. Takkan kita nak anggota-anggota MT (Majlis Tertinggi) kita, presiden, naib presiden, ketua bahagian penjenayah" katanya.

Ketua Umno Bahagian Cheras Senator Datuk Syed Ali Alhabshee juga sependapat dengan Dr Mohd Puad bahawa rasuah politik bergantung kepada mentaliti anggotanya.

"Kalau ada peraturan sekalipun, mentaliti anggota kata tak apa terima wang politik, tak berkesan juga. Yang penting pucuk pimpinan cari jalan bagaimana nak ubah mentaliti ini," katanya.

Beliau juga menegaskan rasuah wang tetap akan berleluasa selagi pemimpin dan bakal pemimpin hanya berpolitik untuk kepentingan diri sendiri.

"Dulu zaman pemimpin-pemimpin lama, mana ada rasuah politik ini. Sebabnya mereka ikhlas nak bantu orang Melayu. Sekarang dah lain. Jadi ini kena ubah dulu," katanya.

Sementara itu pemerhati memberi pandangan berbeza tentang bagaimana rasuah politik boleh ditangani.

Prof Mohammad Agus Yusoff misalnya berpandangan Umno perlu menggariskan definisi jelas yang membezakan politik wang dan wang untuk berpolitik.

"Nak berpolitik juga memerlukan duit. Kalau tak macam mana nak anjur kegiatan, nak berkempen. Yang salah ialah politik wang iaitu memang jelas duit itu diguna untuk beli undi," kata pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia itu.

Selain itu katanya, Umno juga perlu menghapuskan sistem kuota dalam pemilihannya kerana sistem itu mengundang rasuah politik.

"Kuota meletakkan syarat bahawa untuk bertanding bagi jawatan yang ini, calon perlu menerima sejumlah pencalonan dari peringkat bahagian, untuk jawatan lain, banyak ini pula pencalonannya. Tidakkah ini mengundang politik wang.

"Hapuskan kuota, barulah orang kata setiap orang mempunyai peluang yang sama untuk bertanding. Duit dah tak jadi isu sebab semua orang layak dan terpulang kepada perwakilan untuk memilih siapa yang boleh pimpin mereka," katanya.

Pandangan beliau dikongsi Prof Dr Ahmad Atory Hussein yang menyifatkan ketiadaan definisi jelas politik wang sebagai antara faktor utama gejala itu berleluasa di dalam Umno.

"Orang boleh kata, si anu bagi duit dekat si polan, tapi kalau yang menyogok dan yang disogok tak mengaku macam mana nak buktikan. Mungkin juga si anu bagi tapi sebab nak tolong si polan yang tak ada duit untuk ubatkan anak dan sebagainya. Adakah ini akan dikira politik wang" katanya.

Pensyarah Fakulti Pengurusan Awam dan Undang-Undang Universiti Utara Malaysia itu bagaimanapun bersetuju dengan pandangan Dr Mohd Puad dan Syed Ali bahawa mentaliti anggota Umno perlu diubah.

Bagi Prof Datuk Dr Zainal Kling pula gejala rasuah politik dalam Umno berpunca daripada budaya orang Melayu yang berasas kepada peribahasa `orang berbudi kita berbahasa.'

"Katakanlah, seorang pemimpin beri bantuan kewangan kepada anak seorang ahli untuk lanjutkan pelajaran, sudah pasti ahli Umno itu akan rasa terhutang budi dan kemudian mesti nak bayar balik budi itu.

"Sama juga dengan pergi kenduri kahwin, lepas tu bagi hadiah macam peti sejuk ke, atau sejumlah besar duit. Takkah ini dikira rasuah. Tetapi kalau tak diberi apa kata orang. Di sinilah timbulnya manipulasi Tataetika itu," katanya.

Beliau seterusnya menyarankan supaya Umno meletakkan syarat yang mengehadkan jumlah wang yang boleh diberi sebagai `buah tangan' dan jika ia melibatkan hadiah yang besar maka perlu dimaklum kepada cawangan atau bahagian masing-masing.

"Macam yang kerajaan buat untuk kakitangannya, yang mana mereka perlu serahkan hadiah yang besar-besar sampai beratus ribu ringgit nilainya kepada kerajaan, dan cuma yang kecil-kecil sahaja boleh disimpan," katanya.

Menerusi pendekatan itu katanya, mudahlah untuk Umno mengesan sama ada yang diberi itu adalah `buah tangan' atau sememangnya `habuan'.

Tag: politics Click Here!

Perak Berhasrat Wujudkan Bandar Volkswagen Pertama Di Dunia

IPOH, 12 Julai (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak bercadang memajukan sebuah bandar bertaraf dunia sempena jenama kenderaan Volkswagen (VW) sebagai satu produk pelancongan yang diminati di seluruh dunia, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Beliau berkata bandar VW yang pertama di dunia itu akan menawarkan kepelbagaian gabungan berkaitan dengan kenderaan buatan Jerman itu.

"Memandangkan pertambahan peminat yang kini menjadi pengumpul kenderaan jenama ini di serata pelosok dunia, adalah tidak mustahil bandar pelancongan ini dilengkapi dengan perkhidmatan membekal alat-ganti dan sebuah galeri pameran jenama itu.

"Mungkin akan ada sebuah bengkel dan makmal bagi peminat untuk mengkaji kehebatan kenderaan VW yang tahan lasak dan usia yang panjang ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Volkswagen Ipoh 2008 di Dataran Ipoh di sini Sabtu.

Ketika ditanya sama ada kerajaan negeri mempunyai lokasi sesuai untuk tujuan itu dan bila bandar VW itu boleh diwujudkan, Mohammad Nizar berkata perkara itu perlu dibincangkan dengan Jawatankuasa Pelancongan negeri dan pihak berkaitan terlebih dahulu.

"Tetapi kita melihat ia mempunyai potensi besar bagi menarik kedatangan pelancong ke negeri ini termasuklah dari Jerman. Kita akan wujudkan sebuah kawasan di luar kawasan bandar raya yang serba lengkap dengan hotel dan restoran bagi semua pemilik dan peminat VW berhimpun," katanya.
Tag: politics Click Here!

Protes ahli Umno menjadi-jadi

Bernama melaporkan Mesyuarat Agung Khas Umno bahagian Muar di sini semalam sebulat suara meluluskan usul mendesak Majlis Tertinggi Umno memansuhkan kuota pencalonan jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Anggota Majlis Tertinggi (MT).

Bahagian itu mencadangkan agar setiap calon hanya perlu mendapat 10 pencalonan daripada bahagian Umno yang sah untuk melayakkan diri bertanding jawatan itu.

Mengikut fasal 9.5 Perlembagaan Umno, calon Presiden perlu mendapat 30 peratus pencalonan daripada jumlah bahagian Umno yang sah untuk melayakkan diri bertanding, 20 peratus bagi jawatan Timbalan Presiden, 10 peratus untuk mereka yang menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden dan lima peratus bagi jawatan Anggota Majlis Tertinggi.

Seramai 308 perwakilan dari 131 cawangan Umno bahagian yang menghadiri persidangan di Dewan Tun Sulaiman Ninam Shah di Jalan Meriam di sini mengangkat tangan tanda setuju sebaik sahaja Timbalan Pengerusi Tetap, Muntaha Kailan memanggil perwakilan untuk membuat keputusan mengenai usul itu.

Perwakilan Umno bahagian berkenaan juga meluluskan usul agar pencalonan bagi jawatan ketua Umno bahagian turut dipinda dengan mengehadkan dua pencalonan sahaja untuk melayakkan diri bertanding jawatan itu.

Terdahulu, ketika membentangkan usul berkenaan, Anggota Jawatankuasa Umno bahagian Muar, Zakaria Mahadi berkata pindaan itu penting untuk membolehkan pemilihan jawatan tertinggi dalam parti dilaksanakan secara demokratik.

Ia juga bagi membolehkan setiap anggota yang berkebolehan dan mempunyai ciri kepimpinan mendapat peluang bertanding jawatan, sekali gus menghidupkan demokrasi dalam parti di semua peringkat.

Dengan ini jelas bahawa arus akar umbi Umno, melihat pucuk pimpinan parti itu kini tidak relevan lagi bagi memimpin parti dan menerajui pemerintahan negara kerana jika masih demikian sudah pasti fasal 9.5 perlembagaan parti itu tidak akan dipinda bahkan kuota berkenaan tidak berbangkit untuk dipinda.

Selama ini pun tidak berbangkit soal pindaan berkenaan kerana ahli Umno yakin dengan kepimpinan yang sedia ada.

Bagaimanapun dengan prestasi buruk pilihan raya umum ke 12, kepimpinan sedia ada khususnya Presiden parti itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak, tidak berupaya menjadikan Umno sebagai parti orang Melayu yang disegani lawan dan kawan.

Bahkan tidak mampu meraih sokongan majoriti rakyat berbilang kaum terhadap Barisan Nasional (BN) yang diterajuinya.

Dengan kekalahan teruk BN sehingga hilangnya majoriti dua pertiga penguasaan di Dewan Rakyat, ahli Umno akar umbi sudah membuat penilaian serius terhadap pucuk pimpinan parti tersebut dengan mencadangkan suatu perubahan berlaku agar satu jalan bagi membolehkan pucuk pimpinan sedia ada disingkirkan dibuka dengan seluas-luasnya.

Jalan itu ialah memansuhkan kuota pertandingan jawatan tertinggi parti itu kepada had yang dicadangkan itu bagi membolehkan angin demokrasi ditiupkan semula ke dalam parti berkenaan.

Keputusan pertemuan kepimpinan tertinggi sebelum ini, sudah tidak diendahkan lagi oleh ahli Umno Muar supaya memberi sokongan penuh kepada pucuk kepimpinan parti itu agar jawatan tertinggi khususnya Presiden dan Timbalan Presiden, tidak dipertandingkan.

Suara protes ahli sebelum ini sudah begitu lantang kedengaran dari seluruh pelusuk negara dan dipercayai ia akan menjadi-jadi sehingga tiba Perhimpunan Agung Umno Disember ini.

Prestasi kedua-dua pucuk kepimpinan parti itu, Abdulah dan Najib mendapat penilaian buruk ahli parti itu, apabila kedua-duanya tidak berupaya meletakkan negara dan parti itu dalam kedudukan selesa.

Kehilangan banyak negeri yang kini dikuasai pakatan rakyat termasuk Wilayah Persekutuan cukup merungsingkan ahli parti itu. Sudah pasti mereka meletakkan kesilapan besar kepada pucuk kepimpinan parti bagaimana Abdullah dan Najib tidak berkemampuan mengenalpasti kehendak rakyat dan cepat mengatasi segala kepincangan berlaku dalam pentadbiran negara khususnya isu berkaitan dengan skendal berkait dengan kepimpinan negara, konspirasi politik,rasuah, kenaikan harga minyak dan kenaikan harga barang, sebelum tibanya pilihan raya umum ke 12, 8 Mac lalu.

Sogokan pilihan raya tidak lagi mengikat pengundi untuk terus mengundi BN dalam pilihan raya umum lalu di kebanyakan negeri di pantai Barat dan Utara Semenanjung apa lagi pengundi-pengundi di bandar di kebanyakan negeri.

Parti itu hanya mencurahkan wang untuk menempah kuburnya sendiri. Yang pentingnya ialah dasar parti dan sikap kepimpinannya perlu berubah.

Hasrat rakyat untuk melihat bebanan kehidupan mereka akibat kepincangan politik dan kejatuhan ekonomi berpunca dari salah urus pucuk pimpinan negara dikurangkan atau dihapuskan terus, perlu diberi perhatian serius oleh Umno.

Sepatutnya bukan sekarang tetapi sejak Umno itu wujud, 50 tahun lalu. Rakyat sekarang majoritinya bukan jenis mereka yang mudah dicucuk hidung seperti dulu, ketika mereka berada di ambang merdeka atau selepas beberapa tahun mengecapi kemerdekaan negara dari penjajah.

Sekarang mereka sudah pandai mengkaji sejarah politik negara dan peka merasai kepincangan politik dan ekonomi kerana rakyat yang buta huruf zaman pasca kemerdekaan sudah lama pergi.

Tinggal hari ini, rakyat yang celik sejarah, bermaklumat, sensitif terhadap kelemahan yang berlaku dan suka memprotes untuk melihat perubahan segera berlaku bagi membebaskan diri mereka dari belenggu kehancuran politik dan budaya dan ekonomi negara.

Mereka percaya Malaysia bukan negara miskin, hasil bumi masih banyak khususnya hasil petroleum dan gas mencecah puluhan bilion ringgit setahun.

Mereka mempertikaikan kemana perginya wang begitu banyak sedangkan kehidupan mereka masih dicengkam kemelut ekonomi dan politik berpanjangan. Kenapa wang negara yang begitu banyak tidak dimanfaatkan untuk mengatasi semua masalah itu?

Apa lagi mereka menerima maklumat kepimpinan negara terbabit dengan skendal rasuah dan skendal membocorkan wang khazanah negara itu untuk kepentingan kroni dan keluarga sendiri.

Ia menjadi cetusan kemarahan mereka dan akibatnya Umno dan pemimpinnya menerima desakan supaya hentikan kegiatan buruk itu atau mereka sendiri perlu disingkirkan dari menerajui negara.

Tag: politics Click Here!

Polis Ambil Keterangan Peguam Anak Saudara Balasubramaniam

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Polis hari ini memanggil peguam kepada R. Kumaresan, anak saudara penyiasat persendirian P. Balasubramaniam, bagi merekod kenyataannya.

Peguam itu -- N. Surendran -- tiba di Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan di Kompleks Kerajaan Bukit Perdana di sini pada pukul 3 petang dengan ditemani presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan dan tiga anggota majlis itu.

"Saya menerima faks daripada polis berhubung perkara ini pada pukul 3.45 petang semalam yang bertulis '...polis sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 199 Kanun Keseksaan berhubung kenyataan palsu yang dibuat dalam sesuatu akuan berkanun...', dan arahan untuk mengambil keterangan saya adalah mengikut Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas keluar daripada bangunan itu pada pukul 5 petang, beliau berkata: "Saya hanya menjawab sebahagian soalan kerana ia menyalahi etika guaman," katanya.

Beliau berkata tindakan polis memanggilnya merupakan satu perkara luar biasa kerana kebiasaannya hanya anak guam yang dipanggil untuk direkodkan keterangan.

-- BERNAMA

Tag: politics Click Here!

Umno Bahagian Muar Lulus Usul Mansuhkan Kuota Pencalonan Jawatan Tertinggi

MUAR, 12 Julai (Bernama) -- Mesyuarat Agung Khas Umno bahagian Muar di sini hari ini sebulat suara meluluskan usul mendesak Majlis Tertinggi Umno memansuhkan kuota pencalonan jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Anggota Majlis Tertinggi (MT).

Bahagian itu mencadangkan agar setiap calon hanya perlu mendapat 10 pencalonan daripada bahagian Umno yang sah untuk melayakkan diri bertanding jawatan itu.

Mengikut fasal 9.5 Perlembagaan Umno, calon Presiden perlu mendapat 30 peratus pencalonan daripada jumlah bahagian Umno yang sah untuk melayakkan diri bertanding, 20 peratus bagi jawatan Timbalan Presiden, 10 peratus untuk mereka yang menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden dan lima peratus bagi jawatan Anggota Majlis Tertinggi.

Seramai 308 perwakilan dari 131 cawangan Umno bahagian yang menghadiri persidangan di Dewan Tun Sulaiman Ninam Shah di Jalan Meriam di sini mengangkat tangan tanda setuju sebaik sahaja Timbalan Pengerusi Tetap, Muntaha Kailan memanggil perwakilan untuk membuat keputusan mengenai usul itu.

Perwakilan Umno bahagian berkenaan juga meluluskan usul agar pencalonan bagi jawatan ketua Umno bahagian turut dipinda dengan mengehadkan dua pencalonan sahaja untuk melayakkan diri bertanding jawatan itu.

Terdahulu, ketika membentangkan usul berkenaan, Anggota Jawatankuasa Umno bahagian Muar, Zakaria Mahadi berkata pindaan itu penting untuk membolehkan pemilihan jawatan tertinggi dalam parti dilaksanakan secara demokratik.

Ia juga bagi membolehkan setiap anggota yang berkebolehan dan mempunyai ciri kepimpinan mendapat peluang bertanding jawatan, sekali gus menghidupkan demokrasi dalam parti di semua peringkat.

Mesyuarat itu juga meluluskan usul ketuanan Melayu dan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, yang dibawa oleh Ketua Pergerakan Pemuda Umno bahagian Muar, Razali Ibrahim yang juga Anggota Parlimen Muar.

Sementara itu, Ketua Umno cawangan Bandar A, Datuk Kadar Shah Tun Sulaiman mahu anggota Umno Johor bersatu untuk mengembalikan demokrasi dalam parti di semua peringkat.

Jika ini dapat dilakukan, beliau berkata Umno bukan sahaja kuat, bahkan akan kekal menjadi sebuah parti yang menjadi teras kepada Barisan Nasional (BN) yang relevan kepada orang Melayu pada masa depan.

"Kita harus mengambil iktibar daripada keputusan pilihan raya umum ke-12 Mac lalu di mana kita kalah di empat buah negeri selain gagal mengambil balik Kelantan daripada PAS.

"Kegagalan itu adalah kerana rasa kecewa orang Melayu dengan sikap sesetengah pemimpin Umno yang tidak mahu mendengar pandangan mereka menyebabkan mereka mengundi pembangkang pada pilihan raya umum yang lalu," katanya.

-- BERNAMA


Tag: politics Click Here!

Terima kasih kerana sumbangan anda. Sumbanglah untuk kebaikan perjuangan kita bersama.

Can't find what you're looking for? Try Google Search!

Google
 

Umno Sarkas

ANDA ADA MAKLUMAT ISU NEGARA?

Sila emailan kepada saya di seramaesty@yahoo.com atau hubungi saya di talian 013-9060111.

TERIMA KASIH ATAS KERJASAMA ANDA

Feedback Form

Join the Mailing List
Enter your name and email address below:
Name:
Email:
Subscribe  Unsubscribe 

Dr. Irfan menjelaskan Perniagaan Internet secara mudah kepada anda

Free Viral Advertising