Saya Suhaimi Taib, mendapat Sijil Pentadbiran Islam dari Kusza Kuala Terengganu (2002), Kursus Penerbitan Video Koperat Universiti Malaya (2003), Pengarang Warta Darul Iman (2000-2003) Penerbit Siaran Darul Iman (2003-2004), Wartawan Sambilan Berita Harian (1997-1998), Wartawan Harakah (1989-1996).
Menerima Anugerah kewartawanan Esso-Kawat (1997 dan 1998)

Hubungi saya melalui e-mel: seramaesty@yahoo.com atau H/P No: 013-9060111.

Saturday, June 28, 2008

Pakatan sulit 'kahwinkan' semula PAS dengan Umno

Oleh Mahfuz Omar

TIDAK semena-mena bertiup kencang cerita PAS sedang berunding dengan Umno untuk mengadakan kerjasama atau pakatan politik, kononnya demi ketuanan politik Melayu. Entah siapa yang memulakannya, tetapi ia telah tersebar luas di blog-blog dan juga berkeliaran dalam sms.

Ramai juga peminat politik yang percayakan desas-desus ini kerana mungkin logik juga kalau hendak dicarikan sebab mengapa PAS perlu bekerjasama dengan Umno. Tetapi ramai yang memandang jejek kepada perbuatan ini jika PAS berhasrat demikian.

"PAS tidak akan menjual maruahnya dengan harga yang murah kepada Umno, sebaliknya akan terus mempertahankan prinsip demi kepentingan dan kebajikan rakyat yang sudah lama dipijak-pijak oleh Umno/BN apatah lagi kini dengan kenaikan harga minyak, kerajaan Umno/BN tergamak membawa satu usul dalam perlimen bagi menghalalkan tindakan untuk menindas rakyat. Maka ternyatalah 129 ahli-ahli perlimen BN menyokong usul untuk menindas rakyat"

Tidak timbul isu ini benar atau tidak, kerana saya sudah pun menafikan adanya rundingan sulit untuk ‘mengahwinkan’ PAS dengan Umno. Lagipun perkahwinan politik seperti ini mungkin ‘tidak sah’ kerana antara PAS dan Umno memang tidak ‘sekufu’.

PAS mempunyai dasar Islam, sedangkan Umno ‘beraqidah’ Islam Hadhari. Jika Umno itu ‘ahli Kitab’ ada juga tendensinya, tetapi dengan Islam Hadhari ini PAS terpaksa menjauhkan diri.

Lagipun PAS amat tidak sekufu dengan Umno kerana PAS adalah parti yang masih suci, sedangkan Umno sudah terpalit dengan noda-noda rasuah, politik wang, kronisme, nepotisme dan macam-macam kebejatan yang lain.

Ada pihak yang berpandangan supaya PAS tidak harus ‘menjual mahal’ dalam konteks kepentingan politik nasional, tetapi isu yang berbangkit sekarang bukannya kepentingan negara, sebaliknya adalah kepentingan survival politik Umno itu sendiri.

Kerjasama ini adalah talian hayat yang amat diharapkan oleh Umno dan sudah tentu mereka sanggup bergolok-gadai untuk memenuhi keperluan PAS demi talian hayat ini.

PAS tidak akan menjual maruahnya dengan harga yang murah kepada Umno, sebaliknya akan terus mempertahankan prinsip demi kepentingan dan kebajikan rakyat yang sudah lama dipijak-pijak oleh Umno/BN apatah lagi kini dengan kenaikan harga minyak, kerajaan Umno/BN tergamak membawa satu usul dalam perlimen bagi menghalalkan tindakan untuk menindas rakyat.

Maka ternyatalah 129 ahli-ahli perlimen BN menyokong usul untuk menindas rakyat.

PAS akan terus memikul amanah dan kepercayaan rakyat kepada Pakatan Rakyat, dan akan terus memberikan pembelaan kepada rakyat yang ditindas oleh kerajaan BN.

Sejarah telah membuktikan bahawa PAS adalah parti yang paling terbuka di negara ini sehingga menjadi parti yang paling banyak menjalin kerjasama politik. Keterbukaan Islam yang didukung oleh PAS diterjemahkan melalui siri-siri kerjasama sama bukan sahaja dengan orang Melayu, bahkan semua kaum.

PAS pernah duduk semeja dengan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP), MIC dan Persatuan Ceylonese Malaya dalam National Conference pada 1953, kemudian menyertai National Convention yang turut diserati oleh Umno dan MCA mulai September tahun yang sama.

PAS juga berpakat dengan parti-parti kiri ketika memperjuangkan kemerdekaan, sebelum bekerjasama dengan Dato’ Onn dalam pilihan raya 1959. Kerana kerjasama PAS Dato’ Onn menang di Terengganu.

PAS juga mempunyai hubungan yang baik dengan Sosialis Front pada 1959 dan 1964 walaupun pakatan itu dianggotai oleh pendukung sosialis seperti Parti Rakyat, Parti Buruh dan National Convention Party.

Selepas krisis politik 1969, PAS telah memilih untuk bekerjasama dengan Perikatan yang ketika itu sudah disertai oleh parti-parti dari Sabah dan Sarawak, selain PPP dan Gerakan.

Pada 1986, PAS bersama tiga parti lain menubuhkan Harakah Keadilan rakyat (HAK), di samping hubungan dengan masyarakat Cina melalui CCC.

Kemudian PAS menyertai pula Angkatan Perpaduan Ummah (1988-1996) dan Barisan Alternatif (1999-2008) sebelum Pakatan Rakyat ditubuhkan selepas pilihan raya ini. Inilah keterbukaan PAS!

Dengan Umno sendiri, PAS sudah dua kali berpengalaman. Pada 1953, atas usaha keras bapa Perdana Menteri, Ustaz Haji Ahmad Badawi, PAS meninggalkan Dato’ Onn dan National Conference untuk menyertai National Convention yang ditaja oleh Umno-MCA.

"Hari ini apabila Umno sudah tersepit, mereka mencari PAS semula seperti mana Tun Razak lakukan dahulu. Mereka sanggup tawarkan apa sahaja jika PAS bersedia. Tidak cukup dengan itu, dek cemburu oleh kejayaan kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat di lima buah negeri, mereka melancarkan perang saraf kononnya PAS sedang berunding dengan Umno. Mereka mahu PAS renggang dengan rakan Pakatan Rakyat dan terus menggoda PAS supaya terima sahaja tawaran mereka"

Apabila berunding tentang pilihan raya pertama, cadangan PAS untuk membela kepentingan orang Melayu dengan menolak jus soli dalam hak mengundi serta menambahkan wakil ekonomi Melayu dalam Dewan Undangan Persekutuan telah ditolak oleh Umno.

Umno bersikap demikian kerana menjaga kepentingan MCA.

PAS tidak dapat menerima kerjasama yang membunuh bangsa sendiri, lalu keluar daripada National Convention sebelum 1953 berakhir.

Apabila berlaku peristiwa 13 Mei 1969, PAS memandang kepentingan perpaduan nasional dan survival politik orang Melayu. Walaupun Muktamar Khas PAS meluluskan dengan majoriti mudah – sebagai tanda berat hati PAS – Kerajaan Campuran PAS-Perikatan dibentuk pada 1973.

Kemudian PAS bersama-sama parti lain menubuhkan Barisan Nasional pada 1974. PAS yang mencadangkan nama Perikatan ditukar kepada BN dan simbol dacing itupun dicadang oleh Dato’ Mohd Asri bagi menggantikan Kapal Layar.

Tun Ghafar Baba melukiskan simbol dacing itu. Tetapi Umno mengkhianati PAS dengan memainkan peranan untuk melagakan pimpinan PAS di Kelantan, kemudian didaruratkan Kelantan.

Akibat darurat itu, PAS kehilangan Kelantan yang dikuasainya sejak 1959. PAS terpaksa menentang usul mendaruratkan Kelantan kerana percaya ada tujuan politik sulit di sebalik undang-undang darurat itu.

Tetapi PAS tidak mengkhianati BN dengan keluar dari pakatan itu seperti yang dilakukan oleh PBS pada 1990 dahulu. Sebaliknya, Umno yang mencadangkan supaya PAS disingkirkan pada Disember 1977 dan akhirnya PAS tidak lagi sebulu dengan Umno.

Sejak itu, PAS sentiasa ditindas dalam berbagai-bagai isu seperti Pembunuhan Memali, Ops Lalang, Ops Kenari dan lain-lain. Namun, PAS masih bersedia duduk semeja dengan Umno ketika membantah isu nuklear dan isu Palestin kerana kepentingan kemanusiaan.

Hari ini apabila Umno sudah tersepit, mereka mencari PAS semula seperti mana Tun Razak lakukan dahulu. Mereka sanggup tawarkan apa sahaja jika PAS bersedia. Tidak cukup dengan itu, dek cemburu oleh kejayaan kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat di lima buah negeri, mereka melancarkan perang saraf kononnya PAS sedang berunding dengan Umno.

Mereka mahu PAS renggang dengan rakan Pakatan Rakyat dan terus menggoda PAS supaya terima sahaja tawaran mereka.

PAS sedar tawaran ini bukannya untuk menjayakan matlamat politik PAS, tetapi memberikan nyawa baru kepada Umno yang sudah tidak diyakini lagi oleh rakan-rakan BN mereka. Bila adalah wartawan mengatakan PAS adalah ‘real kingmaker’, Umno merasakan PAS pasti terjerat.

"Kalau kita percayakan khabar angin ini, maka kita seolah-olah tidak siuman sebenarnya, bahkan Umno sendiripun tidak siuman jika terus mewar-warkan berita palsu ini. Bukan PAS namanya jika kita meninggalkan harapan besar rakyat, kerana mengejarkan pangkat dan wang ringgit yang ditaburkan"

PAS tidak akan mengambil sikap demikian walaupun ada pandangan pemerhati politik picisan yang melihat bahawa PAS perlu memanfaatkan peluang ini jika mahu melaksanakan dasar-dasar Islam yang diperjuangkannya.

Pemerhati-pemerhati politik ini berpandangan bahawa PAS masih sukar ‘bernafas’ dalam Pakatan Rakyat yang ada DAP ini. Mereka membangkitkan keadaan di Selangor yang lebih ‘mesra kandang babi’ daripada ‘mesra masjid’.

Inilah peluang PAS untuk memaksa Umno melaksanakan Islam, kata mereka. Ada kebenarannya.

Tetapi kepimpinan PAS melihat bahawa tawaran kerjasama dengan Umno ini tidak akan membawa PAS ke matlamatnya, sebaliknnya menjadi alat untuk memulihkan semula Umno yang sudah parah itu.

Pada saya, walaupun banyak perkara yang perlu dirunding dan disepakati oleh parti-parti dalam Pakatan Rakyat yang memerintah di lima negeri, tetapi semua harus faham umur Kerajaan Pakatan Rakyat baru mencapai 100 hari dan amat memerlukan kesabaran komitmen semua pihak.

PAS tetap bersabar dengan karenah rakan-rakan yang baru belajar memerintah dan yakin rakan-rakan Pakatan Rakyat tidak memandang sebelah mata kepada PAS.

Kesemua pihak dalam Pakatan Rakyat mestilah boleh menerima dan memberi yang penting semua parti mesti setia sebagai rakan pakatan.

Ketiga-tiga parti mesti melihat bahawa setiap antara mereka ada wibawanya yang harus dihormati, dengan itu sahaja pakatan ini boleh dipertahankan.

Jika ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat adil sesama senndiri, maka saraf Umno untuk memecahkan pakatan ini akan menjadi seperti menjual buah yang tidak laku dan akhirnya busuk begitu sahaja.

Tetapi, jika kita sengaja membiarkan ketidakpuasan hati ahli-ahli dan penyokong-penyokong pakatan di bawah, mungkin mereka akan berubah sikap terhadap pakatan ini. Sebab itu mungkin ada ahli dan penyokong-penyokong bersikap positif dengan desas-desus kerjasama ini.

PAS sudah beberapa kali belajar daripada ‘eksploitasi politik’ Umno ini dan adalah mustahil PAS dipatuk pada lubang yang sama sekali lagi.

Pimpinan tertinggi PAS sudah bertegas bahawa tidak akan ada rundingan dan kerjasama politik PAS-Umno selagi Umno dengan wajah yang sedia ada. Mursyidul Am PAS sudah bertegas dalam soal ini.

Pada masa ini ahli-ahli PAS atau ahli serta penyokong Pakatan Rakyat jangan terpengaruh dengan dakyah palsu ini. Ia adalah serangan minda untuk melumpuhkan Pakatan Rakyat bagi menyelamatkan masa depan Umno.

Pimpinan PAS amat sedar tentang siuman atau tidak untuk menerima kerjasama ini.

Kalau kita percayakan khabar angin ini, maka kita seolah-olah tidak siuman sebenarnya, bahkan Umno sendiripun tidak siuman jika terus mewar-warkan berita palsu ini.

Bukan PAS namanya jika kita meninggalkan harapan besar rakyat, kerana mengejarkan pangkat dan wang ringgit yang ditaburkan.

Lebih tidak siuman jika kagum dengan dunia sehingga melupakan perjuangan panjangnya. Adalah menjadi tanggungjawab PAS untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat yang dibinanya dan ‘memuziumkan’ Umno bersama kebobrokannya.


Tag: politics Click Here!

Karpal: Ambil tindakan terhadap Hakim Chin

Pengerusi DAP Karpal Singh semalam dilaporkan menggesa kerajaan mengambil tindakan terhadap Hakim Mahkamah Tinggi Sibu, Datuk Ian Chin Hon Chong sekiranya dakwaan Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap hakim itu mempunyai merit.

Beliau berkata Dr. Mahathir patut diberikan peluang untuk mempertahankan diri berhubung dakwaan yang dibuat oleh Chin bahawa bekas perdana menteri itu telah mengugut para hakim pada 1997 untuk membuat keputusan yang memihak kepada kerajaan dan beliau menghantar para hakim mengikut 'kem pemulihan.'

"Chin tidak patut menyalahgunakan proses mahkamah untuk membuat pendedahan dengan mengutuk Dr .Mahathir dan sepatutnya berani membuat kenyataan terhadap Dr. Mahathir dengan tidak berselindung disebalik imuniti jubah hakim untuk memberikan peluang kepada Dr. Mahathir untuk mendakwanya di mahkamah," kata Karpal dalam kenyataan.

Baru-baru ini, Chin, semasa mendengar kes pertikaian terhadap keputusan pada pilihan raya umum 8 Mac lepas di Sarawak, mendedahkan bahawa hakim diugut dipecat jika mereka membuat keputusan yang tidak memihak kepada kerajaan.

Dr Mahathir semalam bertanya sama ada kerajaan akan menubuhkan tribunal untuk menyiasat Chin atas dakwaan melanggar tataetika badan kehakiman.

Bekas perdana menteri itu mendakwa Chin telah tidak mendedahkan mengenai laporan polis yang dibuat terhadapnya kerana mendengar kes yang beliau mempunyai kepentingan peribadi.

- Bernama

PAS Belum Buat Keputusan Untuk Boikot Pilihan Raya Kecil Sanglang

Bernama melaporkan, PAS belum membuat sebarang keputusan sama ada akan memboikot Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang, Perlis yang diisytiharkan kosong oleh Mahkamah Pilihan Raya baru-baru ini.

Walaupun sebelum ini terdapat ura-ura menyatakan kemungkinan parti itu akan memboikot pilihan raya kecil itu, namun Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustafa Ali berkata, pihaknya masih menunggu keputusan rayuan petisyen Dun Sanglang yang dikemukakan di Mahkamah Persekutuan hari ini sebelum membuat sebarang ketetapan berhubung isu itu.

"Biasanya mahkamah akan membuat keputusan dalam masa enam bulan dan kita mengambil tindakan tunggu dan lihat sekarang ini. Saya tidak boleh kata, sama ada PAS akan boikot pilihan raya kecil DUN Sanglang ataupun sebaliknya," katanya pada majlis dialog sempena program ramah mesra PAS Terengganu bersama media di sini hari Khamis lalu.

Program yang julung-julung kali diadakan oleh Pas Terengganu itu bertujuan memupuk hubungan lebih baik dengan media selain mendapatkan maklum balas mengenai prestasi parti pembangkang itu di negeri ini pada Pilihan Raya Umum 8 Mac lalu.

Menurut Mustafa, walaupun parti itu masih belum membuat sebarang pendirian berhubung perkara itu, namun PAS telahpun menggerakkan jentera pilihan raya kecilnya di Sanglang bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Sementara itu, Mustafa berkata PAS berhasrat mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said untuk membincangkan beberapa isu berhubung penyerahan wang royalti minyak dari Kerajaan Pusat.

Katanya, parti itu telahpun menghantar surat kepada Pejabat Menteri Besar untuk mengadakan perjumpaan itu.


Tag: politics Click Here!

Wartawan wajar boikot parlimen

Pertelagahan Kelab Anggota Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz mengenai kebebasan pergerakan wartawan di bangunan parlimen sebagai manifestasi perpecahan di kalangan anggota parlimen Barisan Nasional (BN).

Isu menghadkan pergerakan media membuat liputan di parlimen sepatutnya tidak timbul langsung kerana pihak kerajaan perlu memberi kebebasan sewajarnya untuk para wartawan membuat liputan di dewan yang mulia itu.

Bagaimanapun dengan usaha menghalang pergerakan media di tempat sebaik itu menimbulkan persepsi negatif terhadap BN.

Pemboikotan wartawan terhadap persidangan parlimen baru-baru ini memang suatu yang wajar sebagai protes terhadap tindakan tidak profesional ahli parlimen BN terhadap tugas wartawan di bangunan tersebut.

Insiden menghalang kebebasan wartawan di parlimen suatu sikap tidak mesra media dan akibatnya memberi kesan hubungan buruk antara pihak terbabit dengan media di masa akan datang.

Perlu disedari, mana-mana pemimpin yang mesra wartawan bahkan boleh menguasai media, dia akan menang dalam kepimpinan dan politiknya.

Justeru sikap suka bermusuh dengan wartawan akan memberi kesan buruk terhadap kepimpinan seseorang sekaligus dia tidak akan lagi menjadi popular di masa akan datang.

Sementara itu, Bernama melaporkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu pertelingkahan dan perang mulut antara Kelab Anggota Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berhubung isu menghalang petugas media memasuki lobi Parlimen Selasa lepas, dihentikan.

Najib yang juga Ketua Whip BN di Parlimen dan Timbalan Pengerusi BN berkata perbalahan dalam mana-mana kumpulan dalam BN bukanlah merupakan perkembangan yang sihat.

"Saya harap ia tidak berterusan. Kita mesti mencari usaha untuk meredakan dan mendamaikan keadaan ini supaya kita memberi fokus kepada tanggungjawab kita dalam Parlimen iaitu membahas isu-isu yang berkaitan kepentingan rakyat dan membela nasib rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan antarabangsa "Meeting of Minds: Developing the Malaysia Master Brand" di sini Sabtu lepas.

Ditanya sama ada beliau akan mengeluarkan arahan supaya perkara itu dihentikan Najib berkata:" Tak apalah, saya akan bisik (kepada mereka yang berkenaan)."

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perang mulut itu yang bermula apabila Nazri melabelkan BNBBC sebagai kelab samseng kerana telah bertindak membuka penghadang yang diletakkan di lobi Parlimem bagi membataskan pergerakan wartawan ketika di bangunan Parlimen.

Ekoran itu BNBBC menganggap perbuatan Nazri keterlaluan dan akan membincangkan bentuk tindakan yang wajar diambil ke atas menteri itu Isnin ini dan Nazri pula mencabar BNBBC mencadangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya memecat beliau sebagai menteri.

Isu itu tercetus Selasa lepas apabila wartawan yang bertugas membuat liputan persidangan Dewan Rakyat dihalang membuat liputan di lobi Parlimen dengan alasan tidak mahu melihat kawasan berkenaan bercelaru.


Tag: politics Click Here!

Idea Pak Lah lapok dan kaku

Tidak akan kelihatan pembaharuan sosio ekonomi dan politik akan dibentuk di bawah kepimpinan Perdana Menteri Barisan Nasional (BN) sekarang, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana parti itu sudah bankrup visi dan misi.

Siapa pun memimpin parti dan kerajaan, selagi Umno/BN masih memerintah negara, rakyat terus berada di takuk lama. Idea pemerintahan terus menerus dicanang mengikut stail lapok milik Umno kerana dasar dan prinsip perjuangannya tidak pernah berubah sejak ditubuhkan.

Apa yang diwacanakan dalam parlimen ialah bersifat stereotype walaupun menyentuh soal kritikal seperti kenaikan harga minyak dan inflasi yang semakin meningkat sekarang.

BN di bawah Pk Lah tidak akan bersungguh-sungguh memerangi fenomena ini. Jika adapaun ia hanya bertujuan meredakan kemarahan rakyat buat seketika.

Ini terbukti dalam kes kenaikan harga minyak. Rebat tida akan menyelesaikan permasalahan kesan kenaikan harga minyak berkenan.

Antara kesannya ialah kenaikan harga barang pengguna tidak lagi terkawal sejak Pak Lah menjadi perdana menteri.

Ia hampir setiap minggu termasuk bahan-bahan yang keluarkan berasaskan minyak seperti plastik dan seumpamanya. Bahan-bahan binaan harganya pun turut naik.

Sikap dan idea Pak Lah seolah-olah sudah mati, tidak boleh memberi impak yang berkesan terhadap menangani permasalah rakyat sekarang dalam semua aspek.

Justeru Pakatan Rakyat menyifatkan tiada sebarang pembaharuan dalam pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) oleh Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa berkata, pembentangan tersebut merupakan perkara yang sama diulangi oleh Abdullah.

Ini katanya yang juga Ahli Parlimen Bachok, fakta-fakta yang disebutnya itu boleh dipertikaikan khasnya mengenai kesejahteraan hidup rakyat.

"Kita semua sedia maklum mutakhir ini rakyat sedang mengalami penderitaan yang cukup teruk di segi taraf kehidupan.

"Jadi saya tidak nampak apa yang baru dalam pembentangan tersebut. Ia hanya satu ulangan kepada kenyataan-kenyataan sebelum ini dan tidak memberikan sebarang pembaharuan, konkrit dan solid untuk masa depan kesejahteraan hidup rakyat secara umum," katanya yang ditemui di Lobi Parlimen.

Dalam pembentangan kajian separuh penggal RMK-9 di parlimen baru-baru ini, Abdullah berkata kerajaan akan melaksanakan enam strategi utama bagi menangani ketidaksamaan sosioekonomi di antara kumpulan etnik, wilayah bandar dan luar bandar.

Strategi tersebut ialah membasmi kemiskinan, menambah baik pengagihan pendapatan, menyusun semula hak milik, menyusun semula guna tenaga, mencapai keseimbangan wilayah dan membangunkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB).

Sementara itu Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar yang juga Ahli Parlimen Tumpat berkata, rakyat mengharapkan akan ada pengumuman dasar-dasar penting dan inisiatif-inisiatif baru.

Katanya yang ditemui di Lobi Parlimen, kerajaan sendiri mengakui kadar inflasi berada di peringkat teruk.

"Harga minyak dinaikkam pada kadar yang tak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia dan dunia.

"Bagaimanapun malang sekali tidak ada apa-apa yang baru kita dengar dan tidak ada apa-apa yang boleh melegakan hati rakyat yang sedang tertunggu hadiah yang mereka akan perolehi daripada kerajaan Barisan Nasional," katanya dan beliau percaya rakyat hampa dengan ucapan Abdullah itu

Ketua Pembangkang, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang sependapat dengan Nasharudin dan Dato' Kamarudin berkata, dalam keadaan kerajaan menaikkan harga minyak mereka meminta pula rakyat mengorbankan cara hidup.

Sekali gus, kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, kehidupan rakyat terbanyak terseksa terutamanya golongan miskin.

"Ini adalah satu kontradiksi apabila mereka menaikkan harga minyak dan dengan sendirinya menyeksa dan menyusahkan golongan berpendapatan rendah," katanya.

Malah katanya, kerajaan tidak mengambil kira langkah drastik tersebut menyusahkan hidup rakyat.

Katanya, sememangnya beliau memahami bahawa negara tidak boleh menanggung subsidi begitu lama.

Namun katanya, kerajaan boleh melakukannya secara berperingkat kerana kerajaan masih lagi ada dana.

"Ini menunjukkan rancangan kerajaan tidak menyeluruh selepas diberikan peningkatan harga petrol mereka terus memberi rebat kepada rakyat dan selepas itu akan memotong elaun menteri," katanya.

Cara tersebut katanya, menggambarkan pengurusan tidak mengambil kira dan memikir secara menyeluruh.

Dengan itu katanya, pembentangan kajian separuh penggal RMK-9 tidak ada perubahan untuk rakyat.


Tag: politics Click Here!

Penyerahan royalti secara politik, tidak telus

Oleh Suhaimi Taib

PAS Terengganu akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said bagi membincangkan isu royalti petroleum dan gas tidak lama lagi.

Pesuruhjaya PAS negeri itu, Dato’ Haji Mustafa Ali berkata, PAS berhasrat mengada pertemuan dengan menteri besar negeri berkenaan bagi mengetahui sejauh mana status royalti berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika bercakap di Majlis Ramah Mesra Bersama Wartawan Terengganu di sebuah hotel terkemuka di Kuala Terengganu baru-baru ini.

PAS memikirkan bahawa royalti petroleum dan gas menurut undang-undang adalah hak rakyat dan negeri Terengganu yang tidak boleh diganggu gugat.

Dalam tafsiran pentadbiran kerajaan negeri ialah, ia perlu menjadi hasil negeri yang dimasukkan dalam item kumpulan wang yang disatukan dan perbelanjaannya dijadikan enakmen dan dibahaskan serta diluluskan dalam dewan undangan negeri berkenaan.

Perkara ini dijelaskan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS, Dato’ Haji Wan Abdul Muttalib Embong di majlis yang sama.

Masih tidak diketahui secara jelas bagaimana penyerahan kuasa pengendalian wang royalti tersebut dari Kerajaan Pusat kepada kerajaan negeri sama ada ia diserahkan secara undang-undang atau ia merupakan satu penyerahan politik.

Jika ia penyerahan secara undang-undang mesti ada satu keputusan dibuat secara undang-undang kerana kes ini masih terperap dalam mahkamah.

Dengan kata lain ia boleh diselesaikan di luar mahkamah antara pihak kerajaan negeri, kerajaan pusat dan pihak mahkamah jika kes ini mahu diselesaikan secara jujur.
Setakat rencana ini ditulis belum ada penyelesaian sedemikian rupa dibuat oleh pihak-pihak terbabit.
Jelaslah penyerahan royalti minyak yang dibuat oleh kerajaan pusat kepada kerajaan negeri sempena lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai suatu penyerahan politik.

Penyerahan sedemikian rupa adalah satu tindakan tidak kosisten yang boleh berubah bila-bila masa sekiranya kerajaan pusat di bawah Barisan Nasional (BN) merasakan royalti berkenaan perlu ditarik balik semula pada bila-bila masa dikehendaki.

Tidak dinafikan bahawa penyelesaian undang-undang pun tidak boleh menjamin wang royalti petroluem Terenganu sebanyak lima peratus itu tidak diganggu gugat oleh sesiapa khususnya kerajaan pusat.
Ini kerana BN dengan kuasa politiknya berupaya melanggar segala undang-undang yang diluluskannya sendiri di Parlimen termasuk Akta Pembangunan Petroleum dan Gas dan telah terbukti sebelum ini apabila royalti itu dirompak dari negeri Terengganu ketika BN merasa tergugat dengan PAS yang memerintah negeri itu mulai 1999 hingga 2004.

Ini berikutan Haji Awang Jabar seorang bekas wakil rakyat BN membawa usul menarik balik royalti tersebut dalam Perhimpunan Agung Umno di zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Presiden parti itu dan perdana menteri Malaysia tidak lama dulu.

Perkara ini didedahkan oleh Dato’ Mustafa ketika bercakap dalam forum berkait dengan royalti minyak anjuran Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) di Kuala Ibai, Kuala Terenganu baru-baru ini.
Penyelesaian politik bukan tidak perlu tetapi ia tidak boleh memperkukuhkan kedudukan perlunya royalti itu tidak diganggu gugat oleh mana-mana pihak sebagai hasil negeri Terengganu melainkan dengan satu keputusan undang-undang.
Kerajaan Terengganu sekali lagi boleh mencabar mana-mana pihak khususnya kerajaan pusat di mahkamah sekiranya wang royalti berkenaan ditarik balik semula.

BN memang bimbang dengan kekuatan PAS di Terengganu. Sebab itulah parti itu sanggup melanggar atau memperkosa undang-undangnya sendiri dengan merompak royalti petroleum tersebut.

Umno bimbang PAS terus memerintah Terengganu lebih bimbang dari PAS terus memerintah Kelantan.

Sebab itu konspirasi politik dirancang begitu rupa sehingga PAS hanya berupaya memerintah sepenggal sahaja di negeri tersebut.

Ini kerana antara lain kebanyakan kepimpinan tertinggi PAS berasal dari Terengganu atau dengan kata lain parti itu masih didominasikan oleh kepimpinan dari Terengganu.

Merampas royalti petroleum sebagai satu strategi terbesar untuk melemahkan kerajaan Terengganu di bawah PAS di samping laporan media yang berat sebelah terhadap PAS ketika itu.

Strategi kedua terbesar ialah memonopoli daftar pengundi pilihan raya dengan mendaftar dan memasukkan seberapa ramai pengundi BN dalam senarai daftar berkenaan walaupun bukan penduduk bermustautin untuk mempastikan kemenangan besar parti itu dalam dua pilihan raya umum ke 11 dan 12 yang lalu (2004 dan 2008).

Strategi ini memberi kejayaan besar kepada Umno/BN di Terengganu khususnya pada pilihan raya umum lalu.

Walaupun parti itu terpukul dengan kekalahan teruk di beberapa buah negeri di Pantai Barat termasuk Selangor, Kedah, Perak dan Pulau Pinang di samping kecundang merampas Kelantan dari tangan PAS, parti itu masih bergembira menang besar di Terengganu.

Justeru persoalan penting di sini ialah apakah status sebenar royalti petroleum dan gas Terengganu sekarang?

Penulis menyifatkannya sebagai satu penyerahan politik kerana tidak ada satu maklumat jelas mengenai dasar penyerahan tersebut.



Tag: politics Click Here!

Terima kasih kerana sumbangan anda. Sumbanglah untuk kebaikan perjuangan kita bersama.

Can't find what you're looking for? Try Google Search!

Google
 

Umno Sarkas

ANDA ADA MAKLUMAT ISU NEGARA?

Sila emailan kepada saya di seramaesty@yahoo.com atau hubungi saya di talian 013-9060111.

TERIMA KASIH ATAS KERJASAMA ANDA

Feedback Form

Join the Mailing List
Enter your name and email address below:
Name:
Email:
Subscribe  Unsubscribe 

Dr. Irfan menjelaskan Perniagaan Internet secara mudah kepada anda

Free Viral Advertising