KUALA TERENGGANU, 23 JUN - Pakatan Rakyat (PR) perlu bertindak bijak untuk meletakkan Barisan Nasional (BN) di ambang kehancuran dan akan hilang kuasa pada bila-bila masa dengan tindakan tersebut.
Adalah tidak bijak jika cadangan usul undi tidak percaya dikemukakan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi didedahkan secara terbuka di hadapan media ketika keupayaan secara zahirnya tidak nampak usul itu mampu mendapat undi majoriti ahli parlimen.
Lainlah sekiranya PR telah memperolehi 30 atau lebih ahli parlimen BN yang dikatakan mahu berpindah ke PR.
Retorik bukan suatu yang relevan untuk mudah diterima rakyat kerana lambat laun kegagalan mengotakan kenyataan sebagaimana apa yang dikatakan oleh Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee dalam satu sidang akhbar baru-baru ini akan diperlekehkan mereka.
Kepimpinan politik PR dalam semua hal perlu bersikap berhati-hati ketika membuat kenyataan dan perancangan kerana BN turut merancang untuk melemahkan mereka dan menghilangkan kepercayaan rakyat kepada parti mereka.
PR tidak perlu menjadi seperti Abdullah, berbohong ketika memberi kenyataan tentang tarikh pilihan raya umum ke 12 yang lalu.
Selepas Abdullah membuat kenyataan tidak akan berlaku pilihan raya umum dalam masa terdekat, esoknya satu kenyataan sebaliknya dikeluarkan.
Sikap tidak tetap pendirian dalam apa jua keadaan sekalipun menyebabkan kredibliti mereka dipertikaikan.
Sementara itu Bernama melaporkan usul undi tak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang diperkatakan Pengerusi SAPP itu, nampaknya tidak akan dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Persidangan hari ini hanya membincangkan satu usul iaitu usul kenaikan harga petroleum dan barangan, yang dibentangkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad, dan ia masih dalam peringkat perbahasan setakat ini.
Shahrir dijadual menggulung dan menjawab perkara-perkara yang dibangkitkan pada perbahasan itu sebelum persidangan hari ini ditangguhkan.
Sehingga berita ini ditulis, kedua-dua anggota Parlimen dari SAPP iaitu Datuk Eric Enchin Majimbun (BN-Sepanggar) dan Datuk Dr Chua Soon Bui (BN-Tawau), yang diuar-uarkan akan menyokong undi tak percaya itu, tidak kelihatan di dewan.
Eric yang dihubungi memberitahu beliau telah pulang ke Sabah kerana melawat seorang saudara yang meninggal dunia, manakala Dr Chua tidak dapat dihubungi.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang ditemui berkata setakat ini pejabat speaker tidak menerima sebarang usul undi tak percaya terhadap Perdana Menteri.
Sebaliknya Ahli Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang telah mengemukakan kepada pejabat Speaker semalam notis bagi usul tergempar untuk membincangkan suatu dakwaan terbaru berhubung kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Menurut Peraturan Mesyuarat 18 (1), sesuatu usul perlu dihantar ke Pejabat Speaker 24 jam sebelum ia boleh dikemuka dalam persidangan dan sama ada usul itu boleh dibentang ataupun tidak, ia terpulang kepada budi bicara Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Yang Dipertua akan menggunakan tiga asas dalam membuat pertimbangan terhadap sesuatu usul tergempar iaitu ia membabitkan perkara yang tertentu, berkepentingan rakyat, dan harus disegerakan.
Beliau mempunyai kuasa menolak sesuatu usul jika ia didapati tidak mematuhi satu daripada tiga asas berkenaan.
Tag: politics Click Here!