Saya Suhaimi Taib, mendapat Sijil Pentadbiran Islam dari Kusza Kuala Terengganu (2002), Kursus Penerbitan Video Koperat Universiti Malaya (2003), Pengarang Warta Darul Iman (2000-2003) Penerbit Siaran Darul Iman (2003-2004), Wartawan Sambilan Berita Harian (1997-1998), Wartawan Harakah (1989-1996).
Menerima Anugerah kewartawanan Esso-Kawat (1997 dan 1998)

Hubungi saya melalui e-mel: seramaesty@yahoo.com atau H/P No: 013-9060111.

Saturday, June 21, 2008

2,000 ketua cawangan Umno Johor jumpa PM

Jun 20, 08 5:00pm

Kira-kira 2,000 ketua cawangan di Johor akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selama dua hari, mulai esok (hari ini).

Majlis bersama pemimpin itu akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Johor mempunyai bahagian terbanyak - 26 bahagian - dengan 2,013 cawangan dan jumlah ahli teramai - 446,189 orang.

Beberapa pemimpin bahagian Umno di Johor ketika dihubungi mengesahkan pertemuan tersebut dibuat atas jemputan Abdullah yang juga presiden Umno.

Pemerhati politk melihatnya sebagai satu perkembangan yang menarik kerana pertemuan itu diadakan kira-kira sebulan daripada tarikh mesyuarat cawangan bermula pada 17 Julai depan.

Johor adalah antara negeri yang dianggap 'bergolak' selepas Umno kalah teruk dalam pilihanraya umum lalu.

Terlepas tujuh kerusi

Johor yang selama ini dianggap sebagai kubu kuat Umno telah dapat ditembusi oleh pembangkang apabila terlepas enam kerusi Dewan Undangan Negeri kepada PAS dan DAP.

Dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, PAS menang dua kerusi DUN manakala DAP pula menang empat kerusi DUN. DAP juga memenangi satu kerusi Parlimen.

PAS memang di DUN Sungai Abong dan Maharani manakala DAP menang di DUN Skudai, Bentayan, Mengkibol dan Senai. DAP juga menang kerusi Parlimen Bakri.

Dalam pilihanraya umum itu juga, Barisan Nasional (BN) kembali berkuasa apabila memenangi 140 kerusi Parlimen tetapi gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Umno sendiri tewas 38 daripada 117 kerusi Parlimen yang ditandinginya. Umno menang 79 kerusi berbanding 109 kerusi yang dimenanginya pada 2004.

Ekoran itu, pelbagai pihak - yang paling lantang ahli Umno dari Johor - telah menggesa Abdullah meletak jawatan sebagai bertanggungjawab terhadap kekalahan tersebut.

Pertahan jawatan

Mereka mahu peralihan kuasa dilaksanakan dengan Abdullah menyerahkan kuasa kepada Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malah beberapa bahagian Umno telah mengadakan mesyuarat tergempar, termasuk bahagian Batu Pahat di Johor, sebelum Majlis Tertinggi (MT) melarang bahagian-bahagian berbuat demikian.

Oleh itu, pemerhati politik menyifatkan pertemuan dua hari Abdullah dengan ketua-ketua cawangan dari Johor adalah untuk 'menenangkan' keadaan' sebelum mereka mula bermesyuarat bulan depan.

Ini kerana mesyuarat kali ini membabitkan pemilihan parti di peringkat cawangan, bahagian dan di peringkat tertinggi termasuk pemilihan presiden, timbalan presiden, naib presiden dan ahli MT.

Calon presiden memerlukan 30 peratus atau 58 pencalonan dari 191 bahagian Umno, timbalan presiden (20 peratus atau 38 pencalonan), naib presiden (10 peratus atau 19 pencalonan) manakala MT pula ialah 5 peratus atau 10 pencalonan.

Abdullah telah mengumumkan minggu lalu bahawa beliau akan bertanding mempertahankan jawatan presiden yang disandangkan dalam pemilihan Umno Disember depan.

Manakala Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah juga telah mengumumkan kesediaannya untuk dicalonkan bertanding jawatan presiden.

Tag: politics Click Here!

"Beri 20 dalil mengapa Abdullah perlu berhenti" Mufti Perlis

Oleh Zieman, Mstar

Sabtu, 21 Jun 2008

MUFTI Perlis, Dr Asri Zainul Abidin menyarankankan agar mereka yang tidak puas hati dengan Datuk Seri Abdullah Badawi agar senaraikan masalah yang timbul dari kepimpinannya dan beri ruang untuk beliau mengatasinya.


"Jangan sibuk timbulkan isu tidak percaya kepada kepemimpinannya. Bertanya dulu siapa calon yang hendak dilantik dan bukan soalkan siapa yang hendak ditumbangkan. Takut nanti penggantinya lebih buruk.

"Adakah penggantinya lebih baik darinya? Kalau tidak nanti, takut keluar mulut harimau, masuk mulut buaya," kata beliau kepada mStar Online di sini hari ini.

Beliau mengesyorkan agar disenaraikan dulu 20 dalil kenapa Pak Lah perlu berhenti dan 20 dalil bagi membuktikan penggantinya lebih baik dan bukan sekadar menukar orang sahaja.

Tambah beliau, persoalan sekarang tidak berkisar pada Barisan Nasional (BN) lagi kerana dalam BN ada desas desus yang tidak suka kepimpinan Pak Lah.

Menurut Dr Asri, terpulang pada kejujuran Abdullah sendiri untuk mengatasi masalah yang telah disenaraikan ini.

"Jika soal-soal yang membabitkan keluarga, tengok sejauhmana ketulusan beliau menangani masalah ini. Atau adakah ideanya yang tidak cukup bernas supaya kita boleh selesaikan perkara ini dengan lebih objektif kerana situasi ini sudah menjadi sentimen umum," jelasnya.

Beliau turut melahirkan kebimbangan berhubung pengganti Abdullah.

"Mungkin nanti penggantinya juga ada masalah yang sama atau lebih buruk," katanya.

Kata Dr Asri lagi, masalahnya sekarang, sistem demokrasi kita sudah begitu yakni sistem demokrasi ala barat walaupun dicorak dalam acuan sendiri.

"Islam ada pendekatan sendiri untuk mengatasi masalah ini seperti mengadakan majlis syura dengan mereka yang berkenaan. Bukannya mengikut cakap para penyokong dan pengampu," katanya.

Krisis politik sekarang perlu dilihat dengan kaca mata yang lebih objektif, ujar Dr Asri.

"Kalau hendak berbalahpun, berbalahlah tapi kena lihat kesan dari perbalahan itu yang meninggalkan kesan besar pada rakyat.

"Saya sendiri setuju Pasca PRU 12 telah membuktikan beberapa perkara seperti ia berjaya mematahkan keegoaan, keangkuhan dan kesombongan sesetengah ahli politik Barisan Nasional yang selama ini ingat mereka tidak boleh tumbang dan jatuh.

Tapi episod itu sudah berlalu dan PRU telah membayar dan menunaikan hasrat rakyat. Sudah cukup pengajaran itu. Orang yang hendak dihukum telahpun dihukum. Jangan bicara lagi pasal hukuman, lihat kesan pada hukuman. Umno pun telah dihukum, yang tinggalpun nyawa-nyawa ikan...," kata Dr Asri.

Kata Dr Asri, jangan disebabkan kita ghairah menumbangkan satu keegoan, kita timbulkan satu keegoaan yang baru. Pihak alternatif hendaklah memastikan mereka tidak mengulangi kesilapan dan kesombongan BN.

"Kini masanya untuk uruskan negara dengan baik bukan untuk berbalah," kata Dr Asri.

Beliau juga berpendapat walaupun kepimpinan Abdullah banyak dikritik, tapi hakikatnya setuju atau tidak Abdullah telah memberikan kebebasan kepada media.

"Memang benar banyak perkara yang kerajaan hendak lakukan tidak boleh dilakukan kerana kerajaan tidak cukup kuat. Tapi kita juga kena akur, di bawah kepimpinan Pak Lak banyak ruang telah diberikan pada pihak akhbar, yang mana peluang ini tidak pernah diberikan sebelum ini. Begitu juga dengan Badan Kehakiman. Jadi kita kena timbang tara dengan adil kesemua kelemahan dan kekuatan Pak Lah secara rasional.

"Buat pertama kali kita menikmati kebebasan akhbar. Cuma ditakuti kebebasan yang diberikan itu akan mengulangi kesilapan Presiden BJ Habibi Indonesia bila mana ia membuka ruang tapi akhirnya ruang itu telah menyusahkannya," kata Dr Asri.

"Sepatutnya apabila kita memberi senjata pada orang, kita sendiri kena tangkas bermain dengan senjata barulah terserlah kehebatan kita. Walau bagaimanapun Pak Lah bukan seorang yang zalim," jelas Dr Asri mengakhiri perbualan.

Konsert: Pemuda PAS jumpa mufti

Jun 20, 08 1:01pm

kemaskini 10:22pm Pemuda PAS Selangor bercadang berjumpa mufti Selangor minggu depan berhubung konsert penyanyi terkenal Ella dan Mas Idaya yang dijadual 6 Julai ini.

"Kita akan berjumpa mufti Isnin ini. Mufti mesti memberikan pandangannya dalam hal ini," kata ketua pergerakan itu Sallehen Mukhyi kepada Malaysiakini hari ini.

Menurutnya, surat rasmi kepada Datuk Seri Tamyes Abdul Wahid akan dihantar hari ini.

Sallehen berkata, Pemuda PAS negeri tetap meneruskan bantahan terhadap konsert tersebut yang diadakan bersempen perlawanan bola sepak persahabatan Piala Sultan Selangor tetapi “perhimpunan membantahnya belum diputuskan.”

“Perhimpunan itu adalah pandangan peribadi saya. Dan perkara itu belum diputuskan dalam mesyuarat,” katanya apabila diminta mengulas kenyataan ketua Pemuda PAS pusat Salahuddin Ayub hari ini.

Ahli parlimen itu dilaporkan memaklumkan perhimpunan bantahan terhadap konsert itu dibatalkan.

Bagaimanapun, Salahuddin menafikan mengeluarkan kenyataan yang dilaporkan dalam The Star.

"Laporan itu tidak benar sama sekali," tegas beliau kepada Harakahdaily.net.

"Tidak timbul masalah mengeluarkan kenyataan yang mengatakan saya mengarahkan perhimpunan yang dicadangkan sebagai langkah terakhir Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor itu dibatalkan," katanya.

Menurut media rasmi parti itu lagi, Pemuda PAS pusat akan bersama-sama dengan Pemuda negeri untuk meneruskan bantahan jika pandangan mereka tidak diambil kira "demi menjaga nama baik Sultan dan imej kerajaan Pakatan Rakyat".

Mengulas rancangan dewan itu di majlis menghadap Sultan Selangor yang dijadualkan sebelum akhir bulan ini, Sallehen berkata pihaknya akan berhujah berdasarkan garis panduan hiburan seperti pernah dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

ella and mas idayu and pas"Kita akan gunakan panduan Jakim sendiri. Hujah kita berasaskan kepada panduan itu," katanya.

Ditanya sama ada bantahan terbuka Pemuda PAS itu membayangkan keretakan dalam kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, beliau berkata:

"Secara terus terang, Selangor belum mempunyai jawatankuasa bersama (antara PAS, PKR dan DAP). Yang ada, hanyalah mesyuarat kerajaan yang melibatkan tiga parti," katanya.

Teguran melalui saluran dalaman, menurutnya, seperti yang sering digunakan Pemuda Umno terhadap pentadbiran kerajaan BN "terbukti tidak menyelesaikan masalah."

"Pemuda Umno yang selalu menggunakan saluran dalaman. Perkara itu sudah lama (diamalkan) dan terbukti tidak menyelesaikan masalah."

Tambahnya, jika konsert itu tetap diadakan, Pemuda PAS akan mengadakan solat hajat.

"Kalau terus juga, kita akan buat solat hajat mohon petunjuk daripada Allah. Tetapi setakat ini, kita tidak merancang ke arah perhimpunan itu," katanya.

Tag: politics Click Here!

Perakuan Sumpah Raja Petra

Sebaik membaca perakuan sumpah Raja Petra dua hari lalu saya segera menghubungi teman peguam memohon penjelasan.

Implikasi perakuan tersebut pastinya menggemparkan kerana tuduhan menjurus kapada penglibatan Datin Seri Rosmah dalam kes pembunuhan. Teman tersebut diminta memberikan bantuan guaman kapada Raja Petra.

Agak sukar kita memberikan pandangan selain desakan agar siasatan polis rapi dan secara profesional. Pet pastinya telah merenung hal tersebut dengan teliti, punyai bukti mempertahankan tuduhannya. Saya mendoakan keselamatan Pet dan kagum dengan keberaniannya!

ANWAR IBRAHIM

100 Hari: Prestasi Awal Pakatan Di Selangor Membanggakan


100 hari dalam mana jua pentadbiran Kerajaan pastinya singkat sekali. Namun prestasi Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor di bawah pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim amat membanggakan.

Pertama, terbukti kini bahawa gabungan kompak KeADILan-PAS-DAP.

Kedua, ketetapan awal melarang pimpinan negeri membazir dengan peralatan pejabat dan kereta baru; menolak sebarang penglibatan pimpinan negeri dalam perniagaan; dan memastikan wakil rakyat mematuhi prinsip pertanggungjawaban.

Ketiga, sepertimana diungkapkan semalam di Stadium Shah Alam, Tan Sri Khalid mengumumkan langkah memacu pertumbuhan pesat seiring dengan program “merakyatkan” pembangunan. Semangat kepedulian ini terangkum dalam langkah pembekalan air percuma, program warga emas, bantuan pendidikan, penyelesaian sebahagian masalah di estet.

Maka dalam ucapan malam tadi saya nyatakan penghargaan kapada barisan pimpinan negeri dan parti sekutu kerana kejayaan awal. Kesempatan tersebut saya menfaatkan untuk mengulas isu kenaikan minyak keterlaluan dan membebankan rakyat. Sewajarnyalah rakyat menuntut perubahan malah sukar dimengerti mengapa wakil rakyat Umno-BN terus bersekongkol dengan sistem rasuah dan membebankan rakyat. Berulangkali saya menyeru akan rakan-rakan Umno-BN segera menyeberang demi menyelamatkan negara Malaysia tercinta.

Saya dan Azizah akan menunaikan umrah inshaAllah. Kebetulan saya diundang menyampaikan pidato di Madinah al-Munawwarah dalam persidangan antarabangsa mengenai Global Knowledge pada Isnin pagi.

Azizah akan segera pulang dan saya akan kembali pada Selasa pagi.

ANWAR IBRAHIM


Tag: politics Click Here!

Air percuma: Syabas kira dari 1 Jun

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) hari ini mengesahkan bahawa bekalan air percuma 20 meter padu kepada penduduk Selangor berkuatkuasa 1 Jun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ruslan Hassan berkata, pihaknya hanya mengambil kira penggunaan air bermula bulan Jun dan untuk pengguna bermeter individu sahaja.

Katanya, pengiraan bagi 20 meter padu percuma itu, sama seperti pengiraan bil-bil bulanan yang dilaksanakan sebelum ini, iaitu mengikut jumlah 31 hari, demikian menurut laporan Bernama.

"Jika tempoh bil yang dikeluarkan Syabas kepada pengguna melibatkan sebahagian penggunaan air dalam bulan Mei, (maka) pengiraan air percuma hanya dibuat ke atas bahagian penggunaan bagi bulan Jun sahaja," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pembahagian pengiraan jumlah hari, hanya akan dibuat apabila berlaku penggunaan air yang bertindih seperti bulan Mei dan Jun 2008.

Bayar rebet

Ruslan berkata, pembayaran untuk 20 meter padu pertama itu dibiayai sepenuhnya oleh Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) bagi pihak kerajaan negeri Selangor.

Menurutnya, pembiayaan air percuma itu tidak termasuk pembayaran bagi pemotongan dan penyambungan bekalan air, penamatan bekalan air akaun yang telah ditutup atau penyesuaian debit bagi penggunaan air secara tidak sah.

Katanya, pemberian air percuma ini untuk kegunaan sehingga 20 meter padu satu-satu bulan sahaja dan jika kegunaan air untuk sesuatu bulan adalah kurang daripada 20 meter padu, jumlah baki meter padu yang tidak digunakan tidak boleh dibawa ke hadapan bagi dimuatkan ke dalam tempoh bil seterusnya.

Beliau berkata, caj minimum sebanyak RM6 tidak akan dikenakan kepada pengguna yang terlibat dengan pemberian 20 meter padu pertama air percuma kerana caj itu telah diambil kira dalam pembayaran oleh KDEB kepada Syabas setiap bulan.

Katanya, pengguna di Selangor juga akan menerima bil yang mencatatkan jumlah penggunaan air serta bayaran 20 meter padu pertama oleh KDEB sebelum catatan jumlah penuh yang perlu dibayar secara jelas dalam bil air mereka bermula 16 Jun.

"Pengguna terlibat yang telah menerima bil sebelum tarikh itu akan mendapat rebet yang akan dimasukkan ke dalam bil bulan Julai," katanya.

Tag: politics Click Here!

Orang PM dipercayai sedang pujuk SAPP kembali ke pangkuan BN

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Hrkh) - Pengerusi BN, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dipercayai sedang mengatur strategi bagi memujuk Pengerusi Parti Maju sabah (SAPP), Dato' Yong Teck Lee supaya kembali ke pangkuan BN.

Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu mendakwa Abdullah yang juga merupakan Presiden Umno itu sedang menghantar orang-orang tertentu bagi menjalankan proses pemujukan ke atas ahli-ahli parlimen SAPP.

"Abdullah akan menggunakan segala kuasa yang dimilikinya untuk mengembalikan kepercayaan SAPP serta parti-parti komponen BN yang lain kepada Umno seterusnya mengekalkan sokongan dan pengaruhnya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Walau bagaimanapun, Mohamad sabu tidak menolak kemungkinan terdapat di kalangan ahli parlimen SAPP yang beralih arah.

"Bahkan terdapat juga kemungkinan wakil rakyat yang berjaya dipujuk," ujarnya.

Mengulas mengenai usul undi tidak percaya yang digembar-gemburkan oleh SAPP untuk dikemukakan pada sidang parlimen bermula 23 Jun ini, beliau kurang pasti akan keberkesanannya.

"Walaupun Anwar Ibrahim ada menyatakan beliau mempunyai cukup sokongan untuk menumbangkan kerajaan BN, saya tidak dapat memastikan mengenai lompat parti ini kerana saya tidak membuat tinjauan," katanya lagi.

Sungguhpun begitu, beliau menyerahkan hal tersebut kepada pimpinan Pakatan Rakyat untuk menguruskannya.

Mohamad Sabu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Dato' Yong Teck Lee semalam bahawa partinya telah hilang kepercayaan terhadap Abdullah dan dua anggota parlimennya Eric Majimbun (Sepanggar) dan Dato' Dr Chua Soon Bui (Tawau) akan menyokong usul tidak percaya kepada Perdana Menteri.

Yong tidak menyebut tentang kemungkinan partinya keluar dari Barisan Nasional (BN) dan siapa yang akan mengemuka undi tidak percaya itu.

Tag: politics Click Here!

Bekas hakim: Dr M mahu kuasai badan kehakiman

Seorang daripada enam bekas hakim yang terbabit dalam krisis kehakiman pada 1988 hari ini mendedahkan bagaimana integriti badan kehakiman telah dicerobohi dengan campurtangan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

bar council judiciary dinner 170408 azmi kamaruddinBekas Hakim Mahkamah Agung, Tan Sri Azmi Kamaruddin mendakwa, Dr Mahathir mahu meminta Artikel 121 dalam Perlembagaan Persekutuan - satu peruntukan mengenai pemisahan kuasa antara badan perundangan, badan kehakiman dan kerajaan.

"Saya rasa beliau mahu memerintah seperti seorang diktator. Beliau (Dr Mahathir) sudah pun mengetuai badan perundangan (dan) beliau mahu badan kehakiman juga diletak di bawah kuasanya. Itulah niatnya," kata Azmi.

Beliau berkata, Dr Mahathir sebenarnya sangat bijak "membunuh dua ekor burung dengan satu batu".

"Saya kata begitu kerana apa yang beliau lakukan sangat bijak kerana beliau mahu meminta perlembagaan dan meletakkan badan kehakiman di bawahnya," tambah Azmi.

Azmi memberitahu pemberita demikian selepas menerima bayaran ex-gratia yang disampaikan sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.

Zaid menyerahkannya kepada Azmi di rumah bekas hakim tersebut, dekat Jalan Ampang di Kuala Lumpur hari ini. Mereka berdua bagaimanapun enggan menyatakan jumlah yang diterima itu.

Berbalik kepada Dr Mahathir, bekas hakim itu juga berkata, ketika waktu kritikal pada 1988, Dr Mahathir sedang menghadapi satu kes di mana 11 penyokong Tengku Razaleigh Hamzah, yang mencabarnya bagi jawatan presiden, telah membawa perkara itu ke mahkamah.

"Itulah sebabnya beliau mahu badan kehakiman diletakkan di bawahnya. Saya pasti beliau tidak akan menafikannya," tambah Azmi.

Pertelingkahan antara Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh kemudiannya membawa kepada pengharaman Umno. Umno baru ditubuhkan kemudiannya.

Azmi juga mendedahkan bagaimana penggantungan perkhidmatannya telah membunuh kariernya sebagai seorang hakim kanan.

Azmi: Dr M bunuh karier saya

"Saya hilang kenaikan pangkat dan kekananan saya bila semua ini berlaku. Ketika itu, dalam hirarki hakim-hakim, saya di tempat keenam bila perkhidmatan saya digantung.

"Dan bila saya didapati tidak bersalah (oleh tribunal), saya kekal di tempat keenam dan dinaikkan pangkat ke tempat kelima hanya selama 10 tahun, manakala mereka yang di bawah saya, telah melompat melepasi saya," kata Azmi.

Azmi dan lima lagi hakim kanan, termasuk Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Salleh Abbas (kini) telah dihadapkan ke tribunal pada 1988 yang berakhir dengan pemecatan tiga hakim mahkamah agung, termasuk Salleh manakala yang lainnya digantung perkhidmatan.

Sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memulihkan integriti badan kehakiman ekoran tekanan daripada masyarakat perundangan, yang mencapai kemuncaknya selepas pendedahan klip video Lingam, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi - pada 17 April lalu - berkata kerajaan akan membayar ex-gratia kepada mereka.

tun salleh abas zaid ibrahim ex gratia payment 200608 01Zaid juga menyampaikan bayaran tersebut kepada Salleh di rumahnya di Setiawangsa. Semua hakim-hakim lain yang turut terbabit, juga menerima bayaran ex-gratia mereka.

Salleh menyambut baik bayaran tersebut sebagai satu usaha ikhlas oleh pihak kerajaan untuk "menamatkan
peristiwa krisis kehakiman 1988 yang memalukan itu".

"Walaupun sukar bagi sukar kreajaan untuk memohon maaf sepenuhnya dalam keadaan politik sekarang, bayaran ex-gratia itu merupakan satu kompromi dan mencerminkan keberanian kerajaan untuk berbuat demikian," kata bekas hakim negara itu.

Sementara itu, Zaid berkata kerajaan mesti belajar daripada apa yang telah berlaku.

"Satu daripadanya ialah prinsip pemisahan kuasa di mana tiada campurtangan dalam badan kehakiman oleh pihak eksekutif, mesti dihormati dan kerana itulah saya mencadangkan kabinet mengembalikan semula Artikel 121 Perlembagaan Persekutuan.

tun salleh abas zaid ibrahim ex gratia payment 200608 02"Jika kita dapat lakukan ini, maka ia bermakna prinsip yang Azmi dan Salleh cuba pertahankan pada 1988 akan mencapai objektifnya. Kita tidak mahu seorang diktator memerintah negara ini di mana beliau seorang sahaja yang boleh mengatur segala-galanya. Kita mahu badan kehakiman mempertahankan demokrasi," kata Zaid.

Katanya, perkara kedua yang perlu dipelajari ialah mempunyai hakim-hakim perlunya berani dan berhemah tinggi yang integriti mereka tidak dapat dipersoalkan.

Tag: politics Click Here!

SAPP Tidak Mungkin Dapat Bawa Usul Tidak Percaya Di Dewan Rakyat Isnin Ini - Pas

KUALA TERENGGANU, 19 Jun (Bernama) -- Pesuruhjaya PAS Terengganu Datuk Mustafa Ali berkata tindakan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee ingin mengusulkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat yang bermula Isnin ini, tidak mungkin dapat dilaksanakan.

Mustafa berkata, ini kerana Dewan Rakyat mempunyai kriteria tertentu untuk membenarkan usul dibahaskan iaitu mustahak, tertentu dan perlu disegerakan.

"Bagi saya dalam usul tergempar ini, SAPP tidak boleh buatlah sebab Yang Dipertua Dewan akan mengatakan ini tidak perlu disegerakan sebab kerajaan masih ada," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Katanya tindakan Yong itu hanya sia-sia kerana bilangan 82 anggota Parlimen pembangkang yang ada belum cukup untuk meluluskan undi tidak percaya itu.

Beliau berkata, untuk membawa usul itu, ia perlu perbincangan rapi dan teliti kerana jika ia gagal, akan memalukan.

-- BERNAMA

Kepimpinan SAPP Setuju Dengan Usul Undi Tak Percaya Terhadap Abdullah

KOTA KINABALU, 20 Jun (Bernama) -- Majlis Tertinggi (MT) Parti Maju Sabah (SAPP) hari ini bersetuju supaya usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dikemukakan di Dewan Rakyat pada Isnin ini, namun pada masa yang sama tidak membuat sebarang keputusan untuk keluar dari Barisan Nasional (BN).

"Ia merupakan konsensus. Pendirian kita sebelum kita membuat keputusan ialah semua anggota majlis akan menerima apa sahaja keputusan yang akan dibuat Majlis Tertinggi tanpa mengambil kira pandangan masing-masing.

"Setelah bersetuju tentang ini, keputusannya ialah kita akan menyetujui cadangan usul undi tidak percaya oleh dua Anggota Parlimen kita terhadap Perdana Menteri," kata Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar MT.

Ditanya mengenai siapa yang akan mengemukakan usul itu, belliau berkata ia akan diputuskan kemudian dan menjelaskan bahawa usul itu tidak semesti dikemukakan Isnin ini.

"Tidak semestinya minggu depan, sebenarnya artikel berita yang berkata 23 Jun, tetapi kita berkata semasa sidang Parlimen yang bermula 23 Jun," kata Yong.

Mengenai keanggotaan SAPP dalam BN, beliau berkata mereka membincangkannya tetapi tiada keputusan dibuat untuk keluar daripada BN.

Seramai 36 daripada 38 anggota majlis tertinggi parti itu, kecuali timbalan presiden iaitu MP Sepanggar, Datuk Eric Enchin Majimbun dan Adun Likas, Datuk Liew Tech Chan yang sedang berada di luar negara, tidak menghadiri mesyuarat tersebut di ibu pejabat parti di Luyang, dekat sini.

Mesyuarat itu membincangkan hala tuju parti ekoran pengumuman Yong kelmarin bahawa parti itu hilang keyakinan terhadap kepimpinan perdana menteri.

Semalam Dewan Tertinggi BN mengadakan mesyuarat tergempar di Kuala Lumpur dan membuat keputusan tiada tindakan bakal diambil terhadap SAPP buat ketika ini kerana berpendapat keputusan untuk mengemukaan usul undi tidak percaya itu sebagai pandangan persendirian dan bukan pandangan parti.

Ditanya sama ada keputusan mesyuarat hari ini bermakna SAPP akan terus menjadi anggota BN, Yong berkata: "Itu anda kena tanya kepimpinan BN, kerana saya hairan mengapa SAPP sebagai sebuah parti komponen tidak diberitahu dan dijemput ke mesyuarat (MT BN) semalam.

"Pada pengetahuan saya, mesyuarat semalam mempunyai satu agenda iaitu untuk memecat SAPP, tetapi ia tidak menjadi kenyataan atas sebab yang tidak diketahui.

Sekiranya tiada agenda untuk memecat SAPP, kenapa SAPP tidak dijemput. Jika anda bertanya saya adakah kita masih dalam BN, saya akan menjawab tolong minta penjelasan daripada setiausaha agung BN," katanya.

Ditanya mengenai pendirian timbalannya, Datuk Raymond Tan yang juga timbalan ketua menteri, beliau berkata Raymond telah melahirkan pandangan tentang pilihan yang ada pada parti itu, namun parti telah membuat keputusan bahawa semua perlu menerima sebarang keputusan yang dicapai.

Yong menafikan beliau ditawarkan ganjaran besar daripada Penasihat Parti Keadailan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Katanya semasa pertemuan dengan Anwar, mereka hanya membincangkan isu semasa yang dihadapi Asia. Beliau yakin partinya akan terus kukuh selepas ini.

Yong berkata beliau akan menganjurkan roadashow mulai esok untuk memberi penerangan kepada rakyat berhubung keputusan SAPP mengemukakan usul undi tidak percaya itu.


-- BERNAMA

Anggota Parlimen SAPP Terima Padahnya Jika Teruskan Rancangan

PUTRAJAYA, 20 Jun (Bernama) -- Dua anggota Parlimen Parti Maju Sabah (SAPP) akan berhadapan dengan tindakan disiplin daripada Barisan Nasional (BN) jika mereka meneruskan rancangan untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Parlimen.

Menegaskan perkara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata apa jua tindakan kedua-dua mereka, jika ia melanggar kod etika disiplin BN, ini akan menyebabkan mereka dihukum kerana melanggar disiplin parti.

"Secara teknikal mereka tidak boleh (mengemukakan usul) kerana kuasa itu terletak pada Speaker. Ia mungkin tidak berlaku.

"Tetapi apa pun, sebarang cubaan di Parlimen boleh dianggap sebagai melanggar disiplin BN, oleh itu tindakan sewajarnya boleh diambil terhadap mereka... ini semua bergantung kepada tindakan mereka," kata Najib, yang juga Ketua Whip BN.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelaburan dan Infrastruktur, beliau berkata penyerahan kuasa oleh Abdullah kepada beliau dan keputusan SAPP untuk mengemukakan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri adalah dua isu berlainan.

Pada Rabu, SAPP yang berpusat di Sabah mengisytiharkan bahawa parti itu hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri dan dua anggota Parlimen parti itu Datuk Eric Enchin Majimbun (Sepanggar) dan Datuk Dr Chua Soon Bui (Tawau) akan menyokong usul undi tidak percaya terhadap Abdullah pada sidang Dewan Rakyat, yang bermula Isnin ini.

Semalam, pada mesyuarat tergempar Dewan Tertinggi BN, semua parti komponen BN sebulat suara menyatakan sokongan padu terhadap Abdullah dan pada masa yang sama mengutuk Presiden SAPP Datuk Seri Yong Teck Lee berikutan tindakan terkini parti itu.

Majlis Tertinggi SAPP selepas bermesyuarat selama lima jam di Kota Kinabalu hari ini meluluskan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

"Penyerahan kuasa (oleh Abdullah kepada Najib) dan undi tidak percaya adalah dua isu berlainan. Apa jua keputusan dan pendapat mereka tidak boleh mengetepikan disiplin BN.

"BN adalah sebuah institusi yang mempunyai peraturan dan langkah-langkah disiplin yang jelas dan tindakan itu amat diketahuai para anggotanya.

Ia menerangkan dengan jelas apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh anggota BN," kata Timbalan Perdana Menteri.

Beliau juga berkata Dewan Tertinggi BN berkuasa penuh untuk membuat "apa-apa keputusan" berhubung dengan tindak-tanduk mana-mana parti komponen BN.

"Daripada segi peranan pejabat whip, jelas dasar BN yang ada kaitan dengan perilaku setiap ahli Parlimen ialah untuk tidak membuat sesuatu usul yang bertentangan dengan kepentingan dan maruah BN.

Jadi kalau dua ahli Parlimen teruskan tindakan mereka dalam Parlimen ia bererti bahawa tindakan itu adalah merupakan pelanggaran kod displin BN," kata Najib.

-- BERNAMA



Tag: politics Click Here!

Pakatan Rakyat Dakwa Boleh Bentuk Kerajaan

SHAH ALAM, 21 Jun (Bernama) -- Pakatan Rakyat mendakwa dapat menubuhkan kerajaan pusat yang baru tidak lama lagi.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata gabungan tersebut kini hanya memerlukan 28 lagi Anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menyertainya sebelum dapat membentuk kerajaan.

Ini berikutan dua Anggota Parlimen dari Parti Maju Sabah (SAPP) akan mengemukakan usul undi tidak percaya kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Dewan Rakyat nanti, katanya pada majlis sambutan 100 hari pemerintahan Pakatan Rakyat di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Perak dan Kelantan, di sini malam ini.

Beliau juga berkata Anggota Parlimen Pakatan Rakyat akan membantah usul untuk menyokong kenaikan harga minyak oleh kerajaan, yang akan dibangkitkan Anggota Parlimen BN pada persidangan Dewan Rakyat Isnin ini.

-- BERNAMA



Tag: politics Click Here!

Johan Jaafar engkar arahan PM sambung kontrak Firdaus?

Fadilah Abdul Ghafar

Isu-isu panas di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semenjak tahun 2005 hingga kini masih belum padam. Perkara-perkara yang berbangkit seperti kemandulan, kegelapan dan keterpinggiran DBP tersebut bermula semenjak Dato' Johan Jaafar dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola DBP mengganti Tan Sri Kamarul Ariffin pada tahun 2005.

Johan terlalu banyak mencampuri urusan pengurusan di DBP yang tidak sepatutnya dilakukan oleh beliau kerana tugas pengurusan di DBP berada di bawah arahan Ketua Pengarah DBP.

Jika beberapa waktu yang lalu sewaktu Dato' Rahim Bakar dan Kamarul Arifin menjadi Pengerusi Lembaga Pengelola, DBP sangat teguh dan aman damai kerana Pengerusi Lembaga Pengelola waktu itu berjalan di atas landasan Akta DBP 903 yang betul.

Tetapi setelah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP bertukar tangan kepada Johan, beliau mulai membuat onar dengan pelbagai kerenahnya dan membelakangkan peraturan-peraturan yang sepatutnya dipatuhi.

Beliau bukan sahaja mencampuri urusan pengurusan DBP, sebaliknya membelakangkan pihak pengurusan DBP dalam beberapa perkara. Contoh yang nyata iaitu mengenai pelantikan Timbalan Ketua Pengarah DBP yang sehingga kini belum tampak jalan penyelesaiannya.

Kini timbul pula isu yang baru iaitu berkaitan dengan pelantikan atau penyambungan Dato' Dr. Firdaus Abdullah selaku Ketua Pengarah DBP.

Menurut sumber-sumber dari Bahagian Dasar, sepatutnya Firdaus sudah dilantik menjadi Ketua Pengarah DBP untuk tempoh dua tahun lagi. Sebab Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri sudah pun mengeluarkan arahan kepada Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein bertarikh 21 Mei 2008 supaya Firdaus dilantik atau disambung semula perkhimatannya di DBP untuk tempoh selama dua tahun.

Tetapi kerana kelicikan dan niat tersurat Johan, pelantikan atau penyambungan tugas Firdaus sengaja dilengah-lengahkan. Maka tidak hairanlah jika dalam Mesyuarat Penuh Lembaga Pengelola DBP pada 26 Mei 2008, tentang penyambungan tugas Firdaus oleh Perdana Menteri dengan sengaja tidak dibentangkan kepada ahli Lembaga Pengelola DBP.

Kesan daripada tidak adanya Ketua Pengarah, DBP kini makin kacau-bilau, apabila para balaci Johan bermaharalela sehingga wujud istilah 'pemerintahan Bintang Tiga' di DBP.

Selain itu, para pengikut Johan dan mungkin dengan restunya mempertikaikan hak, fungsi dan kedudukan Kesatuan Pekerja-Pekerja DBP dan cuba mengharamkan Kesatuan Pekerja-Pekerja DBP.

Untuk melemahkan aktiviti Kesatuan Pekerja-Pekerja DBP, orang-orang Johan telah meminta Pengawai Bahagian Kewangan dan Gaji JPA mengeluarkan arahan bahawa kakitangan S/N 41 ke atas tidak boleh memegang jawatan dan keahlian Kesatuan Pekerja-Pekerja DBP.

Sedangkan pihak berkenaan barangkali lupa, tolol atau bahlul, bahawa kewujudan Kesatuan Pekerja-Pekerja DBP bukan di bawah Bahagian Kewangan dan Gaji JPA, tetapi di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Kebahlulan pihak personal DBP tersebut diikuti pula oleh kebahlulan Pengurus Kewangan DBP, Azah Wahab apabila beliau bertindak sewenang-wenangnya mengikut hawa nafsu jahatnya iaitu memberhentikan pemotongan gaji para pekerja yang menjadi ahli Kesatuan Pekerja-Pekerja DBP sebagai yuran bulan ahli kepada Kesatuan Pekerja-Pekerja DBP yang sudah hampir 50 tahun tidak menimbulkan persoalan sedemikian.

Dan yang lebih bangang dan bahlul, apabila pihak balaci Johan menubuhkan Majlis Bersama Jabatan (MBJ) yang baru (haram) di DBP untuk menggantikan MBJ yang sah dari segi undang-undang.

Atas perbuatan para balaci Johan tersebut, pihak Ceupacs (Kesatuan-Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Awam) telah menghantar surat teguran kepada pihak pengurusan DBP dan hendak mengadakan pertemuan tentang sikap pengurusan yang anti Kesatuan Pekerja-Pekerja DBP.

Berkaitan dengan isu pelantikan atau penyambungan Ketua Pengarah DBP tersebut Johan cuba memutarbelitkan arahan Perdana Manteri. Sedangkan pada 26 Mei 2008, Dato' Dr. Azmi (Setiausaha Sulit Khas) kepada Menteri Pelajaran sudah pun mengeluarkan surat kepada Johan selaku Pengerusi Lembaga Pengelola DBP supaya mengambil tindakan bagi menguruskan pelantikan atau penyambungan tugas Firdaus sebagai Ketua Pengarah DBP.

Namun, ternyata surat Pejabat Menteri Pelajaran dan surat arahan Perdana Menteri tersebut tidak diendahkan oleh Johan, malah diingkarinya.

Sebaliknya, dalam mesyuarat penuh Lembaga Pengelola DBP yang diadakan pada 26 Mei 2008, persoalan penyambungan atau pelantikan semula Fidaus dibincangkan secara umum dan tidak memaklumkan akan surat arahan Perdana Menteri, sedangkan pada mesyuarat lembaga pengelola DBP tersebut KSU Kementerian Pelajaran Malaysia ikut hadir bersama.

Mustahil KSU Kementerian Pelajaran tidak mengetahui akan arahan Perdana Menteri tersebut. Sepatutnya dalam Mesyuarat Lembaga Pengelola DBP tersebut, soal pelantikan Firdaus sebagai Ketua Pengarah DBP tidak wajar ditangguh dan dipersoalkan kerana pelantikan atau penyambungan semula tugas Firdaus sebagai Ketua Pengarah DBP adalah atas arahan Perdana Menteri.

Dalam hubungan ini, apakah muslihat Johan dan KSU Kementerian Pelajaran Malaysia?

Dalam waktu yang sama juga terdengar ura-ura bahawa Johan telah bersepakat dengan KSU Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menghantar memorandum kepada Perdana Menteri bagi menolak pelantikan atau penyambungan semula tugas Firdaus sebagai Ketua Pengarah DBP.

Oleh sebab itulah hingga hari ini, surat pelantikan atau penyambungan semula Firdaus sebagai Ketua Pengarah DBP sengaja dilengah-lengahkan.

Dalam hubungan ini, tidak hairanlah jika Johan bersama balaci-balacinya di DBP semenjak awal lagi telah menghantar surat edaran (survey) yang sangat tidak bersopan kepada kakitangan DBP supaya membuat pilihan sama ada bersetuju atau tidak bersetuju melantik atau menyambung semula Firdaus sebagai Ketua Pengarah DBP. Surat edaran tersebut kononnya sudah mendapat keizinan pihak-pihak (pengurusan) tertentu DBP.

Sedangkan kakitangan DBP sudah mengetahui akan niat jahat yang tersirat serta 'master mind' di sebalik surat edaran tersebut.

Di samping itu, dari sumber-sumber yang boleh dipercayai, KSU Kementerian Pelajaran Malaysia juga telah meminta jasa baik orang tertentu yang baik dengan kakitangan DBP, meminta supaya memujuk Kesatuan Pekerja-Pekerja DBP, badan-badan penulis, individu-individu tertentu menghantar memorandum kepada Perdana Menteri melaluinya (KSU) atau Menteri Pelajaran menolak perlantikan semula Firdaus sebagai Ketua Pengarah DBP.

Dalam perkara ini, apakah hak KSU Kementerian Pelajaran Malaysia menentukan siapa yang berhak menjadi Ketua Pengarah DBP?

Sedangkan tali hayatnya sendiri di Kementerian Pelajaran pun sudah hampir tamat dan tidak mungkin disambung lagi kerana banyak pihak di Kementerian Pelajaran Malaysia tidak menyukai akan sikap dan sifat beliau. Adakah KSU juga bercita-cita untuk menjadi Ketua Pengarah DBP?

Dalam persoalan tersebut, ternyata Johan dan KSU Kementerian Pelajaran Malaysia telah bersepakat dan sekali gus berniat jahat untuk tidak memberi laluan kepada Firdaus menyambung tugasnya di DBP kerana beberapa kes yang berlaku di DBP sebelum ini melibatkan perancangan sulit mereka.

Andaikata Firdaus kembali bertugas sebagai Ketua Pengarah Eksekutif DBP sudah tentu agenda tersembunyi mereka sukar dilaksanakan dengan lancar dan licin.

Sekiranya mereka berdua tidak berniat jahat, kenapakah perlantikan Firdaus sebagai Ketua Pengarah DBP sengaja ditangguh-tangguhkan? Sedangkan mereka mengetahui akan penyambungan atau pelantikan semula Firdaus tersebut atas arahan Perdana Menteri sendiri. Dalam persoalan ini, ternyata mereka dengan sengaja telah mengingkari arahan Perdana Menteri.

Atas tindakan yang disengajakan oleh Johan dan KSU Kementerian Pelajaran Malaysia tersebut sewajarnya mereka berdua diberi surat tunjuk sebab dan diambil tindakan disiplin yang atas keingkaran mereka itu. Mereka ini patutnya sudah boleh dipecat atas keingkaran dan membelakangkan arahan Perdana Menteri.

Sayugia diingatkan bahawa segala permasalahan yang timbul di DBP adalah kerana Johan telah mempermainkan ahli-ahli Lembaga Pengelola DBP yang lain.

Dan segala masalah yang dihadapi oleh DBP dan Firdaus dalam menjalankan tugasnya sebagai Ketua Pengarah DBP sebelum ini adalah disebabkan oleh kerenah Johan juga yang sering kali mengganggu urusan eksekutif.

Segala haru-biru di DBP tersebut sudah diketahui oleh para Menteri Kabinet melalui Jawatankuasa Integriti Parlimen. Dengan perbuatan Johan dan para balacinya itu, imej DBP semakin buruk dan sekali gus mencalar reputasi Dato' Seri Hishamuddin, Menteri Pelajaran Malaysia kerana ketidaktegasannya serta menyambung kembali Johan yang membuat kacau-bilau di DBP sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola untuk tempoh dua tahun lagi.


Tag: politics Click Here!

BN tidak boleh bertindak membelakangi YDP Agong

Tarmizi Mohd Jam

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Hrkh) - Profesor Dr Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengingatkan parti-parti politik supaya tidak bertindak membuta tuli dalam menghadapi kemelut politik negara dengan membubarkan Parlimen atau mengisytiharkan darurat.

Beliau menegaskan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai peranan yang sangat penting di dalam mententeramkan keadaan politik yang tidak menentu sekarang.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kemungkinan apa yang akan berlaku, selepas Parti Maju Sabah (SAPP) yang dipimpin Dato' Yong Teck Lee mengisytiharkan partinya akan membawa atau menyokong undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam sidang Parlimen yang akan bermula minggu depan.

Ekoran tindakan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu, pelbagai spekulasi telah timbul. Ini termasuklah tindakan mengadakan pilihan raya mengejut oleh BN untuk menyelamatkan dirinya.

Selain itu, tegas beliau, ada yang bimbang bahawa perisytiharan darurat akan dibuat bagi mengelakkan kejatuhan kerajaan BN melalui undi tidak percaya di parlimen.

"Oleh kerana kemungkinan-kemungkinan itulah maka Perlembagaan secara idealnya memberi ruang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk bertindak bebas dari nasihat atau pengaruh kerajaan yang memerintah," tegas Aziz.

Beliau yang juga pakar Perlembagaan, mengingatkan bahawa kedudukan dan peranan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berperlembagaan tidak harus disamakan dengan cop getah yang perlu melaksanakan apa sahaja yang diminta oleh kerajaan.

"Raja berperlembagaan sebenarnya lebih merujuk kepada seorang raja yang bertindak selaras dengan tuntutan dan semangat demokrasi bukan mengikut nasihat membuta tuli", tambah beliau.

Mengenai pilihan raya mengejut Aziz berkata ia hanya boleh dilakukan sekiranya Yang di-Pertuan Agong berkenan dengan permohonan Perdana Menteri untuk membubarkan Dewan Rakyat.

Aziz berkata di bawah Perlembagaan kuasa itu adalah kuasa baginda dan Perdana Menteri tidak boleh memaksa Yang di-Pertuan Agong. "Perkara 40(2)(b) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa ia adalah kuasa budibicara Yang di-Pertuan Agong," tambahnya lagi.

Dua minggu lalu Aziz berkata bahawa di dalam senario sekarang adalah tidak wajar untuk Yang di-Pertuan Agong membubarkan dewan bagi membolehkan pilihan raya semula diadakan.

Beliau menjelaskan, meskipun kuasa itu kuasa budibicara baginda diberi tanggungjawab untuk menilai keadaan dan mempastikan bahawa kepentingan negara dan rakyat mengatasi segala-galanya.

"Inilah sebabnya mengapa Suruhanjaya Reid meminta Yang di-Pertuan Agong melihat pengalaman negara-negara Komanwel yang lain," tegas beliau.


Aziz menjelaskan di dalam keadaan sekarang pembubaran dewan adalah tidak perlu kerana dua sebab.

"Yang pertama kita sudah mendengar hasrat untuk membawa usul undi tidak percaya di parlimen. Dengan demikian Yang di-Pertuan Agong mesti menunggu sehingga usul itu dikemukakan dan melihat hasilnya. Sekiranya Yang di-Pertuan Agong berkenan membubarkan dewan maka baginda akan dilihat menyebelahi kepentingan Barisan Nasional dan ini tidak selaras dengan ideal Perlembagaan yang mahukan baginda bebas dari politik dan melindungi proses Perlembagaan," tegas Aziz.

Sebab yang kedua, bahasnya, wujudnya potensi pembentukan kerajaan baru tanpa melalui pilihan raya. Beliau menjelaskan sama ada melalui undi tidak percaya atau lompat parti, sebuah kerajaan baru sebenarnya boleh dibentuk.

"Cara ini jelas lebih murah dan lebih menjimatkan masa. Lagipun pilihan raya baru sahaja diadakan," ujarnya.

Bagaimanapun, Aziz berasa ragu sekiranya pilihan raya adalah satu pilihan yang sesuai ekoran kenaikan harga minyak kerana isu itu menyebabkan kerajaan yang memerintah sekarang tidak lagi popular.

Mengenai pemerintahan darurat di bawah Perkara 150, Aziz berkata ia adalah tidak baik kerana krisis politik yang ada sekarang boleh ditangani melalui proses dan prosedur biasa yakni undi tidak percaya dan seterusnya.

"Dalam soal ini Yang di-Pertuan Agong mesti menolak nasihat untuk mengisytiharkan darurat kerana ia akan menyebabkan Perlembagaan digantung dan kerajaan yang ada diberi kuasa untuk membuat undang-undang tanpa ke parlimen. Ini berbahaya", tegas Aziz.

Tag: politics Click Here!

Petra: Isteri Najib di 'lokasi jenayah'

Jun 20, 08 10:33pm

Siapa lagi kalau bukan Raja Petra Kamaruddin - walaupun Datuk Seri Najib Razak beberapa kali menafikannya sebelum ini.

Kali ini pengendali blog Malaysia Today meningkatkan kredibiliti dakwaannya melalui satu akuan bersumpah di mahkamah tinggi Kuala Lumpur kelmarin - masih lagi mengaitkan isteri timbalan perdana menteri dengan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Seperti artikelnya awal bulan lalu yang menyeretnya ke mahkamah, yang pernah dijawab dan dijelaskan oleh setiausaha akhbar timbalan perdana menteri, akuan bersumpah ini diberikan perhatian serius oleh pihak Najib.

"Kami sedang meneliti perkara ini. Akuan bersumpah itu memang membingungkan dan mengelirukan," kata setiausahanya Datuk Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad kepada Malaysiakini hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara khusus bentuk-bentuk tindakan seterusnya yang bakal diambil.

Najib dan Rosmah telah berulangkali menafikan mereka ada kaitan dengan kes pembunuhan berprofil tinggi itu dan menyifatkan dakwaan tersebut tidak lebih daripada perbuatan untuk "memfitnah dan mereka-reka cerita".

Dalam akuan sumpahnya, Raja Petra menuduh Rosmah antara individu yang berada di tempat kejadian ketika Altantuya dibunuh pada 19 Oktober 2006.

Katanya, beliau mendapat maklumat yang boleh dipercayai bahawa antara kira-kira jam 10 malam 19 Oktober 2006 dan awal pagi berikutnya, malam mangsa dibunuh, terdapat tiga orang lagi di tempat kejadian.

Beliau menamakan dua individu lagi itu sebagai seorang kolonel, yang menurutnya seorang pakar bom 'C4' dan isterinya yang yang dikatakan pengawal peribadi Rosmah.

Laporan perisikan

Mayat Altantuya didakwa telah hancur dibom dengan 'C4' di sebuah kawasan hutan di Puncak Alam, Shah Alam. Kes perbicaraan pembunuhannya masih berjalan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Dalam akuan itu, Raja Petra mendakwa kolonel itu yang memasang bom C4 di beberapa tempat di badan Altantuya, dengan disaksikan oleh Rosmah dan pengawal peribadinya.

Raja Petra mendakwa lagi, beliau membuat akuan itu kerana beliau mempunyai maklumat yang boleh dipercayai mengenai pembabitan orang-orang berkenaan yang sehingga ini belum dikaitkan atau dipanggil sebagai saksi oleh pihak pendakwaraya dalam kes perbicaraan kes tersebut.

Penulis blog sensasi itu berkata, beliau juga membuat akuan bersumpah tersebut kerana beliau sedar bahawa menjadi kesalahan jika tidak mendedahkan bukti-bukti yang boleh membantu polis dalam siasatan kes jenayah.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Raja Petra mengesahkan kandungan akuan bersumpah tersebut - yang kini dimuatkan di sebuah blog (bukan Malaysia Today).

Beliau juga mendakwa dalam akuannya itu bahawa beliau mendapat maklumat bahawa perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyedari mengenai dakwaan pembabitan isteri Najib.

Raja Petra mendakwa lagi, Abdullah menerima satu laporan bertulis daripada pihak perisikan tentera, yang mengesahkan pendedahan beliau itu.

Laporan tersebut, dakwa Raja Petra, kemudiannya diserahkan kepada menantu perdana menteri, Khairy Jamaluddin untuk disimpan dengan selamat.

Selain Abdullah dan Khairy, dakwa Raja Petra, "seorang Sultan juga telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut dan menyedari tentang tuduhan berkenaan."

Dakwaan terbaru

Penulis itu bagaimanapun tidak mendedahkan beberapa nama yang didakwanya mempunyai maklumat tentang perkara itu.

Raja Petra berkata, beliau membuat akuan bersumpah itu untuk menggesa semua pihak berkenaan tampil bagi mendedahkan maklumat sebenar agar polis dapat menjalankan siasatan terperinci.

Dalam temubual melalui telefon, Raja Petra menjelaskan alasannya tidak melaporkan dakwaan terbarunya itu kepada polis.

Penulis blog berkata, memandangkan tiada tindakan diambil terhadap laporan polisnya pada 2001 - ketika beliau mendakwa dipukul oleh seorang pegawai polis berpangkat tinggi - beliau tidak yakin lagi untuk membuat laporan polis.

Polis telah menyiasat Raja Petra awal bulan lalu berhubung artikelnya bertajuk 'Let's send the Altantuya murderers to hell' - juga mengaitkan Najib dan Rosnah dalam kes pembunuhan kontroversi itu.

Penganalisa politik Abdul Razak Baginda - yang dikaitkan dengan menteri pertahanan itu - dan dua anggota polis pasukan khas UTK sedang dibicarakan berhubung pembunuhan wanita Mongolia itu.

Jika sabit kesalahan, ketiga-tiganya boleh dikenakan hukuman mati.


Tag: politics Click Here!

Terima kasih kerana sumbangan anda. Sumbanglah untuk kebaikan perjuangan kita bersama.

Can't find what you're looking for? Try Google Search!

Google
 

Umno Sarkas

ANDA ADA MAKLUMAT ISU NEGARA?

Sila emailan kepada saya di seramaesty@yahoo.com atau hubungi saya di talian 013-9060111.

TERIMA KASIH ATAS KERJASAMA ANDA

Feedback Form

Join the Mailing List
Enter your name and email address below:
Name:
Email:
Subscribe  Unsubscribe 

Dr. Irfan menjelaskan Perniagaan Internet secara mudah kepada anda

Free Viral Advertising