Saya Suhaimi Taib, mendapat Sijil Pentadbiran Islam dari Kusza Kuala Terengganu (2002), Kursus Penerbitan Video Koperat Universiti Malaya (2003), Pengarang Warta Darul Iman (2000-2003) Penerbit Siaran Darul Iman (2003-2004), Wartawan Sambilan Berita Harian (1997-1998), Wartawan Harakah (1989-1996).
Menerima Anugerah kewartawanan Esso-Kawat (1997 dan 1998)

Hubungi saya melalui e-mel: seramaesty@yahoo.com atau H/P No: 013-9060111.

Sunday, June 15, 2008

Siasah syariah di negeri Pakatan

Dewan Pemuda PAS Pusat kini dalam proses merangka agenda untuk melaksanakan undang-undang Islam, Siasah Syariah, di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang, kata Timbalan Ketuanya, Azman Shapawi.

Beliau dipetik sebagai berkata, antara perkara yang bakal dilaksanakan dalam Siasah Syariah ialah berkaitan dengan pengharaman tempat perjudian, menghadkan premis penjualan arak, dan etika pakaian di pejabat.

Sebuah jawatankuasa, tambahnya, telah ditubuhkan bagi membincangkan dengan lebih terperinci pelaksanaannya di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor .

"Kita akui bukan mudah untuk melaksanakannya kerana di beberapa negeri pembangkang seperti Pulau Pinang dan Perak, PAS hanya mempunyai suara yang terhad.

"Bagaimanapun, kita akan cuba sedaya upaya dalam hal ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Kelantan ke-49 di Kota Bharu hari ini.

Menurut laporan Bernama, Azman Shapawi berkata satu seminar untuk membincangkan perkara ini di kalangan anggota Pemuda PAS seluruh negara, akan diadakan pada Ogos ini.

'Tidak jejas hubungan'

Seminar itu, katanya, antara lain akan membincangkan kaedah paling sesuai digunakan di negeri-negeri berbeza.

"Misalnya di Kelantan PAS menguasai negeri manakala di negeri-negeri pembangkang lain yang bukan diketuai PAS, pelaksanaannya akan disesuaikan dengan undang-undang negeri di samping mengambil kira majoriti masyarakat setempat," katanya.

Jelasnya, walaupun ada di kalangan pembangkang terutama DAP masih tidak sepakat berkaitan pelaksanaan undang-undang sebegini, beliau percaya masih ada ruang untuk pelaksanaannya memandangkan tidak semua pemimpin parti itu mengambil pendekatan yang sama.

"Kalau kita lihat pemimpin DAP di Pulau Pinang amat terbuka dan bertoleransi, termasuk menaikkan elaun guru KAFA," katanya.

Beliau yakin perkara itu tidak akan menjejaskan hubungan baik di antara parti pembangkang kerana masing-masing faham dalam keadaan sekarang, setiap parti tidak boleh bergerak sendiri.

"PAS tak boleh bergerak sendiri, DAP pun tak boleh bergerak sendiri, Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Selangor pun tak dapat bergerak sendiri, jadi masing-masing perlu menyokong dan bertolak ansur di
antara satu sama lain," katanya.

Minyak: Lebih ramai jadi miskin

Jun 15, 08 5:38pm

Kenaikan mendadak harga minyak sejak 5 Jun akan menjejaskan sasaran kerajaan untuk menghapuskan sepenuhnya kemiskinan tegar menjelang 2010, kata beberapa penganalisis ekonomi.

Mereka yakin kenaikan harga petrol sebanyak 40 peratus dan diesel pula lebih 60 peratus pasti memberi kesan negatif terhadap rancangan itu walau menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Amirsham A. Aziz pada April lalu berkata beliau yakin kerajaan akan berjaya mencapai sasarannya menghapuskan kemiskinan.

Sesetengah ahli ekonomi kurang yakin dengan memberi alasan bahawa, berdasarkan kuasa membeli yang ada kini, lebih banyak rakyat sebenarnya boleh dianggap tergolong dalam kelompok "miskin".

Ahli ekonomi kanan Bank Islam Malaysia, Azrul Azwar Ahmad Tajudin berkata andaian ini dibuat berdasarkan kuasa membeli dalam kalangan rakyat yang kini menurun dengan ketara berikutan pelaksanaan langkah penyusunan semula subsidi bahan api.

"Seperti sebelum ini, kenaikan harga bahan bakar akan menyebabkan harga semua benda lain turut meningkat, daripada makanan, hinggalah kepada barang keperluan, termasuk perkhidmatan.

"Bagi golongan miskin, kenaikan harga bahan bakar baru-baru ini memberi pukulan hebat terhadap kehidupan mereka. Sejak setahun lepas, mereka terpaksa bergelut untuk hidup akibat kenaikan kos makanan.

"Kini, mereka menerima satu lagi pukulan apabila harga bahan bakar melonjak, sedangkan pendapatan mereka tidak bertambah," katanya, lapor Bernama.

Sambil mengkategorikan isi rumah yang berpendapatan kurang RM1,500 sebulan sebagai keluarga miskin, Azrul Azwar berkata sebelum ini, kumpulan berkenaan membelanjakan 40 hingga 50 peratus daripada pendapatan mereka untuk membeli makanan dan apabila harga bahan bakar meningkat sekarang, mereka terpaksa mengikat perut bagi memenuhui keperluan lain.

"Saya rasa pendapatan yang dikategorikan sebagai garis kemiskinan sekarang tidak relevan dengan kos sara hidup yang meningkat hari demi hari. Bagi saya, ia sepatutnya jauh lebih tingi, mungkin sekitar RM1,500 sebulan," beliau dipetik sebagai berkata.

Menurut pengiraan 2005, garis kemiskinan bagi seluruh negara ialah pendapatan bulanan sebanyak RM691, manakala bagi Semenanjung jumlahnya RM661, Sabah (RM888) dan Sarawak (RM765). Pengiraan ini bagi keluarga yang mempunyai lima anggota.

Bagi meringankan beban golongan ini, Azrul Azwar mencadangkan agar kerajaan memperuntukkan sebahagian daripada RM2 bilion yang diperoleh melalui langkah berjimat-cermat yang diumumnya baru-baru ini, untuk diagihkan kepada golongan terbabit.

"Bukan bantuan dalam bentuk wang. Sebaliknya kerajaan perlu mengenal pasti siapakah yang tergolong dalam kumpulan ini dan membantu mereka dalam bentuk lain," katanya.

Penolong naib presiden jualan institusi, Alliance Investment Bank, Shahrul Kamal Ramli sependapat dengan Azrul Anwar bahawa semakin banyak rakyat Malaysia kini tergolong sebagai miskin berikutan kenaikan harga bahan bakar.

Shahrul Kamal berkata rakyat negara ini sepatutnya diberi peluang berkongsi kekayaan yang dinikmati oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Beliau berkata seperti pemegang saham dalam syarikat senaraian awam, rakyat negara ini juga sepatutnya dibayar dividen berdasarkan keuntungan yang diraih oleh syarikat itu.

"Maksud saya ialah GLC yang kebanyakannya dimiliki secara penuh atau sebahagiannya oleh kerajaan seperti Petronas, TNB, patut memberi bonus tunai kepada rakyat.

"Tahukah anda bahawa di Singapura, kerajaan membayar bonus kepada rakyatnya? Tahun lepas, setiap daripada mereka menerima sekitar S$700 atau RM1,800," katanya, lapor agensi berita itu lagi.

Shahrul Kamal berkata walaupun kenaikan harga setiap liter petrol sebanyak 78 sen dan diesel sebanyak RM1 menjejaskan semua orang, tetapi golongan miskinlah yang paling teruk menerima akibatnya.

"Mari kita lihat begini... seorang ada RM1 dan seorang lagi RM100. Tambahan perbelanjaan sebanyak 20 sen bagi orang yang ada RM100 sudah tentu tidak seberapa kesannya, berbanding orang yang hanya ada RM1," kata beliau.

Beliau menambah, wang rebet yang diberi secara tunai sebagai ganti bagi subsidi tidak memberi manfaat kepada semua orang yang memerlukan bantuan kerana hanya mereka yang memiliki kenderaan layak menerimanya.

"Bagaimana dengan mereka yang tidak memiliki kenderaan dan bergantung sepenuhnya pada pengangkutan awam? Mereka tidak layak menerima rebet itu, sedangkan kenaikan harga bahan bakar memberi kesan yang pelbagai dan kumpulan ini juga menerima akibatnya kerana harga semua barang akan turut meningkat," katanya.

Shahrul Kamal juga mempertikaikan keberkesanan sesetengah langkah yang dilaksanakan kerajaan seperti kad fleet, yang pada pandangan beliau, boleh disalahgunakan.

"Pada masa ini, kerajaan belum menjelaskan formula yang digunakannya dalam mengira peratusan yang diberi oleh Petronas daripada keuntungannya. Mereka hanya beritahu kita jumlahnya.

"Dalam hal ini, saya mencadangkan, mungkin kerajaan boleh menimbang menggunakan satu kuantum berdasarkan harga pasaran.

"Contohnya, kalau harganya AS$40 setong, mungkin Petronas patut bayar 40 peratus dan jika lebih AS$80, mereka bayar 75 peratus. Saya yakin, jika ini dilakukan seperti yang sewajarnya, rakyat masih boleh menikmati harga bahan bakar yang tidak membebankan mereka," katanya.

Tag: politics Click Here!

Sebuah parti komponen dijangka keluar BN - Ku Li

MENTAKAB 14 Jun - Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini mendakwa sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) akan meninggalkan parti itu sebelum hujung bulan ini.

Bekas Menteri Kewangan itu bagaimanapun tidak menamakan parti yang dikatakan akan keluar daripada BN itu.

Turut hadir pada majlis itu ialah bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Sabbaruddin Chik.

Sementara itu, beliau secara terbuka menamakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai gandingan paling sesuai baginya untuk bertanding pada pemilihan UMNO Disember ini.

Beliau yang menawarkan diri untuk bertanding kerusi Presiden UMNO pada pemilihan itu bagaimanapun menjelaskan, keputusan muktamad untuk menentukan siapa regu terbaiknya akan tetap mengambil kira kehendak majoriti ahli parti sendiri.

''Pilihlah sesiapa sahaja untuk jadi timbalan saya tetapi Datuk Seri Najib lebih sesuai kerana beliau pernah bekerja dengan saya sebelum ini," katanya.

- Bernama

Tag: politics Click Here!

Kecoh Di Dua Pejabat Pos Kuala Terengganu Ketika Urusan Tuntutan Rebet Tunai

KUALA TERENGGANU, 14 Jun (Bernama) -- Suasana kecoh berlaku di dua pejabat pos di sekitar bandar raya ini hari Sabtu apabila urusan tuntutan rebet tunai oleh orangramai beberapa kali tertangguh berikutan masalah teknikal.

Tinjauan Bernama mendapati, penangguhan itu gara-gara sistem komputer tergendala hanya selepas 10 minit beroperasi dalam keadaan orang ramai berasak-asak untuk mendapatkan nombor giliran.

Kejadian sama berulang kira-kira pukul 9.30 pagi dan berlarutan sehingga 11.00 pagi menyebabkan orang ramai resah.

Seorang peniaga, Amran Rashid, 46, berkata dia terpaksa menunggu hampir dua jam untuk mendapatkan nombor giliran berikutan masalah teknikal.

"Saya datang awal kira-kira 8 pagi tetapi tidak menyangka orang sudah ramai. Bila datang, sistem tergendala dan saya terpaksa menunggu. Saya kemudian keluar membeli makan dan apabila sampai semula ke pejabat pos, sistem masih belum dapat beroperasi," katanya.

Seorang kakitangan swasta, Rushidah Deraman, 35, berkata dia kecewa kerana hanya tiga kaunter saja dibuka pada waktu pagi.

"Bila sistem tidak lagi tergendala, baru semua kaunter dibuka. Pos Malaysia Berhad (PMB) sepatutnya melakukan yang terbaik kerana sudah menjangka orang ramai akan datang membuat tuntutan hari ini," katanya.

Sementara itu, orang ramai kecewa apabila wang tunai di pejabat pos cawangan Pasar Raya Giant, habis kira-kira pukul 12.00 tengah hari.

Seorang kakitangannya yang enggan dikenali berkata pihak pengurusan pejabat pos itu telah membuat permohonan bagi mendapatkan wang tambahan dari Kuala Lumpur tetapi sehingga pukul 2 petang, mereka belum menerimanya.

Beliau berkata hanya kira-kira 60 orang sempat membuat tuntutan sebelum wang di pejabat pos itu habis.

-- BERNAMA

Tag: politics Click Here!

Wang Royalti Minyak Dikembalikan Kepada Terengganu, Kata Abdullah

KUALA TERENGGANU, 14 Jun (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk mengembalikan wang royalti minyak sebanyak lima peratus kepada kerajaan Terengganu, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata pemberian wang royalti itu akan dilaksanakan setelah perincian mengenai syarat-syarat terhadap perkara berkenaan ditetapkan.

"Kerajaan Persekutuan membuat keputusan untuk kembalikan wang royalti minyak kepada Terengganu dan butiran, prosedur serta langkah yang diambil itu akan ditetapkan apabila perbincangan dengan kerajaan Terengganu diadakan," katanya.

Abdullah, yang dalam rangka lawatan sehari ke Terengganu, berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan pemimpin Umno Terengganu di Primula Beach Resort di sini. Kerajaan Terengganu sebelum ini meminta Kerajaan Persekutuan menyerahkan semula hak pengurusan wang royalti minyak yang dikenali sebagai Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) kepada kerajaan negeri untuk digunakan bagi projek-projek pembangunan rakyat.

Kementerian Kewangan pada 5 Sept 2000 telah menggantikan bayaran royalti sebanyak lima peratus kepada kerajaan Terengganu dengan program wang ihsan.

Wang itu disalurkan terus melalui projek pembangunan dan bukannya melalui kerajaan negeri apabila PAS memerintah Terengganu selepas pilihan raya umum 1999.

Baru-baru ini, Dewan Rakyat diberitahu kerajaan Pusat telah menyalurkan wang ihsan kepada kerajaan Terengganu bagi tempoh tiga tahun sejak Mac 2004 hingga Mac 2007 berjumlah RM7.364 bilion.

Mengulas lanjut, Abdullah berharap dengan pemberian semula royalti minyak itu, kerajaan Terengganu dapat menguruskan wang berkenaan dengan baik dan membuat perbelanjaan berhemah dalam melaksanakan projek-projek pembangunan di negeri itu.

"Saya yakin boleh (kerajaan Terengganu uruskan wang royalti itu dengan baik). Kalau kita dah ada wang, pandai-pandailah uruskan kerana kita akan menghadapi pelbagai situasi yang memerlukan perbelanjaan yang kadang-kala lebih daripada kita jangkakan.

"Kalau duit sudah habis, perbelanjaan itu tidak merupakan perbelanjaan yang berhemah, maka kita yang akan menghadapi banyak masalah. Maka dengan itu, pentadbiran dan perbelanjaan yang berhemah mestilah menjadi amalan kita. (sama ada) masa susah atau pun senang," katanya.


-- BERNAMA

Tag: politics Click Here!

Ahmad Said Dilantik Pengerusi Umno Terengganu

KUALA TERENGGANU, 14 Jun (Bernama) -- Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said hari Sabtu dilantik sebagai pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri yang baru bagi menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh.

Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Presiden Umno selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan pemimpin Umno Terengganu di sini.

"Dengan keputusan yang diambil oleh Datuk Seri Idris meletak jawatan atas kehendak serta tujuan dia dan pada waktu ini saya tidak mahu jawatan penting ini kosong.

"Maka, keputusan yang disampaikan tadi (semasa perjumpaan dengan pemimpin Umno Terengganu) ialah Datuk Ahmad Said yang sekarang Menteri Besar Terengganu, dilantik sebagai pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu," katanya.

Idris yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Jerteh dan bekas Menteri Besar Terengganu, pada 29 Mei lepas telah meletakkan jawatan sebagai pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri selepas tidak dikekalkan menerajui kerajaan negeri.

Peletakan jawatan itu bagi menghormati keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno berhubung pelantikan Menteri Besar Terengganu selain bagi menyelaras pentadbiran politik dan kerajaan negeri.

-- BERNAMA


Tag: politics Click Here!

Terima kasih kerana sumbangan anda. Sumbanglah untuk kebaikan perjuangan kita bersama.

Can't find what you're looking for? Try Google Search!

Google
 

Umno Sarkas

ANDA ADA MAKLUMAT ISU NEGARA?

Sila emailan kepada saya di seramaesty@yahoo.com atau hubungi saya di talian 013-9060111.

TERIMA KASIH ATAS KERJASAMA ANDA

Feedback Form

Join the Mailing List
Enter your name and email address below:
Name:
Email:
Subscribe  Unsubscribe 

Dr. Irfan menjelaskan Perniagaan Internet secara mudah kepada anda

Free Viral Advertising