KUALA LUMPUR 10 Mei - Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) mengesahkan jalan yang menjadi pertikaian antara syarikat Grand Saga Sdn. Bhd. dengan penduduk Bandar Mahkota Cheras, di sini berada di luar jajaran Lebuh Raya Cheras-Kajang.
Pengesahan Jupem itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu.
"Saya telah menerima salinan surat daripada Jupem, semalam, mengesahkan bahawa kawasan yang menjadi pertikaian itu berada di luar jajaran lebuh raya.
"Surat itu telah dihantar oleh Jupem kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan salinannya diterima pihak saya," kata Ronnie ketika dihubungi di sini hari ini.
Jupem dilantik oleh kerajaan negeri Selangor untuk menjalankan kajian sama ada kawasan yang dipertikaikan itu merupakan tanah milik kerajaan negeri atau pun sebahagian daripada Lebuh Raya Cheras-Kajang.Sehubungan itu, Jupem telah menjalankan kerja-kerja mengukur di kawasan berkenaan dua minggu lalu.
Keputusan Jupem itu adalah menyamai dengan satu lagi kajian yang dijalankan oleh sebuah agensi juruukur bebas yang dilantik oleh Jawatankuasa Bertindak Buka Jalan Bandar Mahkota Cheras sebelum ini.
Kata Ronnie, beliau akan mengarahkan Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor untuk memaklumkan keputusan Jupem itu kepada Grand Saga dengan segera.
Katanya, dengan keputusan itu bermakna Grand Saga tidak boleh membina tembok kekal atau sementara di kawasan yang dipertikaikan itu.
Grand Saga dan penduduk-penduduk Bandar Mahkota Cheras terlibat dengan pertelagahan apabila Jawatankuasa Buka Jalan Bandar Mahkota Cheras telah memecahkan tembok konkrit yang dibina oleh Grand Saga di persimpangan jalan Bandar Mahkota Cheras.
Tembok itu dibina bagi menghalang kemasukan terus trafik dari Bandar Mahkota Cheras ke Persimpangan Bandar Tun Hussein Onn, Lebuh Raya Cheras-Kajang, sekali gus mengelak daripada membayar tol di Plaza Tol Batu 11, Cheras.
Selepas tembok asal dipecahkan pada 21 April lalu, Grand Saga telah membinanya semula sebanyak dua kali pada Rabu dan Khamis lalu, namun kedua-duanya dipecahkan semula, dipercayai dilakukan oleh penduduk setempat.
Dalam perkembangan berkaitan, Ronnie berkata, peguam beliau sedang mengkaji untuk menyaman Grand Saga.
"Sebelum ini mereka (Grand Saga) kata nak saman saya, saya juga telah melantik peguam untuk menyaman mereka," katanya.
Sementara itu, seorang jurucakap Grand Saga yang dihubungi berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan, esok.-UTUSAN