Saya Suhaimi Taib, mendapat Sijil Pentadbiran Islam dari Kusza Kuala Terengganu (2002), Kursus Penerbitan Video Koperat Universiti Malaya (2003), Pengarang Warta Darul Iman (2000-2003) Penerbit Siaran Darul Iman (2003-2004), Wartawan Sambilan Berita Harian (1997-1998), Wartawan Harakah (1989-1996).
Menerima Anugerah kewartawanan Esso-Kawat (1997 dan 1998)

Hubungi saya melalui e-mel: seramaesty@yahoo.com atau H/P No: 013-9060111.

Saturday, April 19, 2008

Hapuskan bayaran tambahan deposit air!

Kerajaan Terengganu akan menghapuskan caj sewa meter paip air sebanyak 80 sen sebulan oleh Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) mulai 1 Mei ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said ketika mengumumkan perkara itu berkata, caj yang dimasukkan ke dalam bil bulanan pengguna itu akan ditanggung sepenuhnya oleh SATU selepas ini dan pengguna tidak perlu lagi dibebani oleh pembayaran tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Haji Mohd. Andul Wahid Endut sebelum ini pernah menjelaskan bahawa dengan bayaran 80 sen sebulan untuk sewa meter berkenaan, SATU dikatakan memperolehi pendapatan tambahan kira-kira RM70,000.00 sehingga ini hasil kutipan sewa meter berkenaan.

Bayaran sewa meter itu berkuatkuasa mulai bulan Jun tahun lalu sebagaimana dinyatakan dalam bil air yang diedarkan di kalangan pengguna SATU.

Sementera itu Ketua Audit Negara melaporkan bahawa SATU memperolehi pendapatan sebanyak RM30 juta pada tahun 2006. Mana kala laporan untuk auditan tahun 2007 belum diperolehi.

PAS telah membantah pungutan sewa berkenaan dan telah membawa isu ini ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu tahun lalu.

PAS juga telah memasukkan soal menghapuskan bayaran sewa meter dalam manifesto pilihan raya umum yang lalu.

Bagaimanapun Kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Menteri Besar yang lalu, Dato' Seri Idris Jusoh memandang sepi sahaja desakan PAS untuk memansukhkan bayaran terbabit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Haji Mohd. Abdul Wahid Endut pernah berkata, kerajaan BN mendakwa terpaksa menanggung kos akibat kecurian meter ketika meter lama tidak ditukar kepada meter baru yang kebanyakan komponenya terdiri dari bahan polymer (plastik).

Kerajaan boleh menggunakan wang Dan Khas dari Kerajaan Pusat untuk menampung kos pembiayaan berkenaan.

Kerajaan sanggup mengeluarkan tidak kurang RM700 juta wang rakyat untuk projek Monsoon Cup dan Taman Tamaddun Islam di Pulau Duyong dan Pulau Wan Man Kuala Terengganu kerana pemimpin Umno dan kroninya mempunyai kepentingan tertentu dalam projek berkenaan.

Bagaimanapun tindakan menghapuskan bayaran sewa meter berkenaan dialu-alukan. Ia berubah apabila kerajaan BN menggantikan menteri besarnya yang lama dalam satu penyelesaian krisis politik, selepas pilihan raya umum ke 12, 8 Mac lalu.

Ia berlaku apabila Datuk Seri Idris tidak diperkenan Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) yang dipengerusikan oleh Raja Tengku Baderulzaman (adik kepada Yang Dipertuan Agong).

Sebaliknya Datuk Ahmad Said, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal dipilih sebagai menteri besar negeri tersebut walaupun menerima bantahan dari kebanyakan ahli Perhubungan Umno negeri itu.

Tindakan menurut kehendak rakyat ini merupakan suatu perubahan yang dibuat oleh Umno Terengganu, selepas melihat era sekarang ialah era kuasa rakyat menentukan kerajaan masa depan.

Mana-mana parti yang tidak melayan kehendak mereka akan tersungkur kalah dalam pilihan raya umum akan datang. Demikian antara pengajaran yang diambil dari pilihan raya tersebut.

Bagaimanapun Januari lalu, pengguna air SATU di Wakaf Beruas, Kuala Terengganu telah dikejutkan dengan bayaran deposit tambahan antara RM100.00 hingga RM170.00 seorang.

Dengan tambahan bayaran ini, penghapusan bayaran sewa meter tidak memberi pengertian apa-apa kepada pengguna terbabit kerana mereka dibebankan pula dengan bayaran tersebut.

Difahamkan SATU berbuat demikian bertujuan untuk menambah pendapatan tahunan syarikat berkenaan.

Ia dilaksanakan secara berperingkat-peringkat bermula dari Daerah Kuala Terengganu dan kemudiannya akan berpindah ke seluruh daerah lain di negeri tersebut.

Jesteru walaupun nampaknya Ahmad cuba menunaikan permintaan rakyat bagi menghapuskan bayaran sewa meter tersebut tetapi kerajaan negeri itu masih lagi tidak membuat pertimbangan sewajarnya menggantikan pemansuhan bayaran tersebut dengan bayaran yang lebih besar jumlahnya dari sewa meter berkenaan.

Kerajaan BN di bawah pimpinan menteri besar baru hendaklah menghapuskan semua bayaran deposit tambahan tersebut jika kerajaan itu benar-benar cakna dengan masalah ekonomi dan desakan hidup rakyat akibat kenaikan harga barang sekarang.

Bagi penduduk miskin, jumlah RM100.00 dan RM170.00 adalah amat besar dan membebankan mereka.

SATU masih berupaya 'survive' dengan pendapatan yang sedia ada. Kerajaan Terengganu bukan satu kerejaan yang miskin, ia pernah dikenali sebagai Quwait Malaysia suatu ketika dahulu.

Tetapi sayang hasil dasar lautnya terpaksa diperolehi dalam bentuk tabungan dan ihsan (dana khas) dari Kerajaan Pusat apabila menerima padah setelah menafikan hak (merompak) royalti petroleum dan gas ketika PAS memerintah negeri tersebut (tahun 1999-2004).

Walaupun melalui dana khas, 'ranking' Terengganu negeri kedua terkaya di Malaysia selepas Selangor masih tetap tidak berubah kerana negeri itu tetap menerima kira-kira RM1 bilion setahun dari dana berkenaan.

Justeru, apa salahnya jika kerajaan mahu berbudi kepada rakyat setelah rakyat berbudi kepada parti itu dengan mengekalkan dua pertiga penguasaan kerusi dalam Dewan Undangan Undangan (DUN) Terengganu selepas pilihan raya umum ke 12 yang lalu.

Berbudi kepada rakyat lebih baik daripada berbudi kepada kroni-kroni Umno yang dikutuk oleh rakyat.


BN tidak relevan lagi

Rakyat tidak boleh lagi bergantung kepada Barisan Nsional (BN) untuk mentadbir negara di masa depan kerana parti itu bermasalah dan ada kala masalahnya tidak berkesudahan sekaligus boleh menjejaskan kelancaran kuasa mentadbir negara jika rakyat terus memberi mandat kuasa kepada parti itu.

Masalah komponen teras parti itu tidak berkesudahan sejak 1987 apabila Umno mula diharamkan dan kini berlarutan dengan krisis kepimpinan tidak berwibawa bila ia dihalalkan semula oleh undang-undang.

Masalah kesepaduan parti itu sekarang tergugat kerana gabungan Umno, MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain tidak seutuh dahulu apabila keputusan pilihan raya umum ke 12, 8 Mac lalu memberi reaksi memeranjatkan apabila majoriti dua pertiga BN di parlimen berjaya dinafikan Pakatan Rakyat (PR).

Ia disifatkan keputusan pilihan raya umum terburuk sejak BN memerintah negara (mulai tahun 1969).

Parti-parti yang terhimpun dalam BN adalah parti-parti perkauman yang disatukan selepas peristiwa 13 Mei 1969 yang mencetuskan pergaduhan kaum. Tetapi ada yang berpendapat ia adalah pergaduhan politik, sebagaimana laporan dalam ensiklopedia bebas, Wikipedia.

BN ditubuhkan selepas Perikatan dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman menang dengan majoriti dua pertiga.

Penubuhan BN ini antara lain meredakan pergaduhan kaum pada ketika itu. Bagaimanapun penyelesaian yang dibuat melalui pembentukan Dasar Ekonomi Baru (DEB) kononya untuk mengatasi masalah jurang ekonomi antara kaum khususnya kaum bumiputera ketika itu gagal membentras jurang berkenaan sehingga hari ini.

Ini terbukti apabila DEB digunakan untuk menompokkan kekayaan di kalangan mereka yang berada di sekililing pemerintah sahaja bukan mengatasi masalah ekonomi rakyat dalam erti kata yang sebenarnya.

Rasa tidak puas hati rakyat khususnya mengenai ketidakdilan BN melayani kehendak rakyat dicetuskan dalam bentuk yang lebih efektif dengan mengadakan perhimpunan aman termasuk perhimpunan Bersih dan Hindraf di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Rakyat lebih rasional, tidak menjadikan sentimen kaum sebagai asas penyelesaian apabila mereka membaca sejarah bahawa 13 Mei 1969 sebenarnya pencetus krisis perkauman yang terburuk di Malaysia.

Justeru kesan dari sejarah itu orang Melayu, India, Cina dna kaum lain khususnya di semenanjung telah mencetuskan rasa tidak senang hati mereka terhadap BN khususnya Umno yang sudah lari dari asas pembentukan Malaysia selepas peristiwa tersebut.

Pembangunan yang tidak seimbang antara spritual dan material, antara kepentingan individu dan rakyat mencetuskan keputusan pilihanraya umum ke 12 itu.

Dalam 50 tahun BN diberi mandat memerintah negara, isu-isu berkaitan keadilan pembahagian kekayaan antara kaum, kemiskinan, rasuah di kalangan pemimpin kerajaan dan penyelahgunaan kuasa masih menjadi asas perhitungan politik rakyat untuk membuat perubahan di masa akan datang.

PR adalah cetusan baru kesedaran rakyat untuk membuat perubahan. Parti-parti yang berpakat dalam PR adalah parti-parti berfikiran terbuka melihat masa depan rakyat dan negara akan terus malap sekiranya Malaysia terus diperintah oleh BN.

Umno yang menjadi teras kekuatan BN, seringkali menyinggung rakan-rakannya dengan isu-isu perkauman dalam banyak perjumpaan dan 'public speaking', apa lagi dengan slot menghunus keris Panca Warisan setiap kali perhimpunan agungnya mencetuskan rasa tidak senang hati di kalangan rakan komponen parti berkenaan.

Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, dlaporkan turut menyuarakan pandangan ini dan mungkin beliau mempunyai agenda tertentu di sebalik kenyataannya itu, perlu dibicarakan kemudian.

Apabila pilihan raya umum ke 12 banyak memukul keutuhan rakan-rakan Umno dalam BN kerana ramai dari calon mereka kecundang dalam pilihan raya itu, kepimpinan parti terbabit menuding jari kepada Umno dan tindak tanduk pemimpinnya telah mencetus kekalahan tersebut.

Demonstrasi Hindraf umpamanya, menyerang hebat Umno sebagai dalang kepada permasalahan terpinggirnya kaum India di negara ini.

Ucapan
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sitiawan, Ngeh Koo Ham dalam perhimpunan rakyat di Stadium Perak baru-baru ini memberi gambaran bahawa rakyat Malaysia dari semua lapisan kaum mempunyai hak untuk mengecapi keadilan politik, kekayaan dan kemudahan hidup lebih baik di negara ini.

Selepas ini parti-parti perkauman perlu menilai semula segala visi dan misi mereka agar ia tidak menyentuh sensitiviti kaum lain dalam tindak tanduk politik mereka kerana perkauman bukan lagi agenda rakyat. Ia hanya menjadi agenda parti-parti komponen BN.

Justeru BN tidak lagi menjadi relevan pada bila-bila masa dengan prinsip perjuangannya selama ini. Rakyat mahu melihat Malaysia baru yang mengekalkan nilai-nilai murni antara kaum dan menyanggah penyelewengan kuasa, rasuah dan ketidakdilan pembahagian kekayaan di kalangan rakyat.

PR perlu dilihat suatu agenda politik semua kaum dan mempunyai masa depan cerah dan akan menentukan agenda Malaysia untuk semua rakyat berjalan dengan lancar.


MB Perak bergelar Datuk Seri

KUALA KANGSAR, 19 April (Bernama) -- Ketua Hakim Negara Datuk Abdul Hamid Mohamad mendahului senarai 773 penerima darjah kebesaran dan pingat sempena ulang tahun ke-80 Keputeraan Sultan Perak Sultan Azlan Shah, hari ini.

Abdul Hamid menerima darjah kebesaran Darjah Seri Paduka Cura Si Manja Kini (SPCM) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Menteri Besar Perak Mohammad Nizar Jamaluddin yang mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak Ke-10 pada 17 Mac lepas pula menerima Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang juga membawa gelaran Datuk Seri.

Enam lagi penerima SPMP ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Ong Ka Chuan, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi, Orang Besar Jajahan Larut, Matang dan Selama Datuk Dr Wan Mohd Isa Wan Ahmad Shukri, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Datuk Seri Panglima Mohd Annuar Zaini, Pengerusi Bank Muamalat Malaysia Berhad Datuk Ismail Shahudin dan pesara guru Datuk Selvamany a/l Navachitra Soudamany.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin dan Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin merupakan tiga penerima Darjah Seri Panglima Taming Sari (SPTS) yang turut membawa gelaran Datuk Seri.

Sempena ulang tahun keputeraan baginda kali ini, Sultan Azlan berkenan menganugerahkan darjah kebesaran kepada 34 penerima yang membawa gelaran Datuk.

Dua penerima Darjah Datuk Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) ialah Penasihat Undang-undang Negeri Perak Ahmad Kamal Md Shahid dan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Dr Aminah Ayob.

Seramai 28 orang pula menerima Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP).

Mereka ialah Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga dan Air dan Hal Ehwal Bukan Islam yang juga Pengerusi DAP Perak Ngeh Ko Ham; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Mohd Jamal Mahussin; Pegawai Daerah Kinta Razali Othman; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar Mohd Shafie Arifin; Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Perak Ir Abdul Razak Dahalan.

Warga Amerika Syarikat Timor Shah Rafiq; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Namibia Hayati Ismail; Datuk Dr Sivamohan a/l S.Namasivayam dari Hospital Pakar Damansara; Naib Pengerusi United Plantations Berhad Carl Bek-Nielsen; pakar perunding ortopedik dan traumatologi Dr R. Balakrishnan.

Ketua Pengarah Kemas Malaysia Abdul Puhat Mat Nayan; pakar perunding pembedahan Pusat Perubatan Pantai Dr Abdul Fahmi A. Karim; Presiden Majlis Peguam Malaysia Ambiga Sreenevasan; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaya Prof Dr Muhamad Rasat Muhamad; Dr Musa Mohd Nordin dari Hospital Pakar Damansara.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) Prof Ir Radin Umar Radin Sohadi; Orang Besar 32 Sulaiman Mohd Nawi; Pengerusi Eksekutif TMI-Nusantara Consultants (M) Sdn Bhd Thasleem Mohamed A. M. Ibrahim; Pengarah Eksekutif Dana Hidupan Liar (WWF) Dr Dionysius Shankar Kumar Sharma; penggiat seni Zahim S. Albakri Ikmal Hisham Hariri.

Pakar Perunding Kaji Penyakit Pusat Darah Negara Dr Faraizah Abdul Karim; Pengarah Syarikat Perak Teamwork Sdn Bhd Hew Choy Khoun @ Hew Choy Kon; Setiausaha Jawatankuasa Penasihat Forum Unesco Amarjit Singh Gill yang juga penerima termuda DPMP pada usia 29 tahun; Ketua Pengarah Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) Mhd Najri Abd Karim.

Empat lagi yang menerima DPMP ialah Lee Sen Pin; Azlin Ahmad Shaharbi; Pengarah Urusan Caelygirl (M) Holdings Berhad Chuah Chin Lai dan Sandra Ling Wei Feng.

Empat penerima Darjah Datuk Pahlawan Taming Sari (DPTS) pula ialah Brig Jen (Dr) Hussin Zainal Abidin dari Hospital Angkatan Tentera; Laksamana Pertama Mohd Som Ibrahim dari Markas Angkatan Bersama Kementerian Pertahanan; Ketua Polis Perak Datuk Zulkifli Abdullah dan Brig Jen Mior Safian Saidin dari Bahagian Geospartial Pertahanan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia.

Antara lapan penerima Tauliah Jaksa Pendamai (JP) ialah Ab Wahab Azizul Hassan; Datuk Dr.M. Ramasamy; Datuk Omar Ahmad dan Yaw Ngi Chuang.

Sultan Perak turut berkenan menganugerahkan Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM) kepada 10 penerima, Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) kepada 63 penerima, Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM) kepada 18 penerima dan 147 penerima Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP).

Seramai 199 orang menerima Pingat Pekerti Terpilih (PPT), 272 penerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan 11 penerima Pingat Lama Perkhidmatan (PLP) sempena ulang tahun keputeraan Sultan Azlan kali ini.

Antara penerima PMP ialah Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Perak Mad Yasir Mastakim, Timbalan Ketua Pengarang BERNAMA Zulkefli Salleh, Ketua Polis Daerah Taiping ACP Raja Musa Raja Razak dan Ketua Polis Daerah Tapah Supt Roslan Bek Ahmad.

Penolong Pengarang Berita BERNAMA Hafizah Kamaruddin, Ketua Unit Foto BERNAMA Mustaza Mohd Yusoff, Ketua Biro BERNAMA Perak Mohd Zabidi Osman dan jurugambar Sin Chew Daily Teh Pek Ling adalah antara 147 orang yang dikurniakan AMP.

-- BERNAMA

Terima kasih kerana sumbangan anda. Sumbanglah untuk kebaikan perjuangan kita bersama.

Can't find what you're looking for? Try Google Search!

Google
 

Umno Sarkas

ANDA ADA MAKLUMAT ISU NEGARA?

Sila emailan kepada saya di seramaesty@yahoo.com atau hubungi saya di talian 013-9060111.

TERIMA KASIH ATAS KERJASAMA ANDA

Feedback Form

Join the Mailing List
Enter your name and email address below:
Name:
Email:
Subscribe  Unsubscribe 

Dr. Irfan menjelaskan Perniagaan Internet secara mudah kepada anda

Free Viral Advertising