Saya Suhaimi Taib, mendapat Sijil Pentadbiran Islam dari Kusza Kuala Terengganu (2002), Kursus Penerbitan Video Koperat Universiti Malaya (2003), Pengarang Warta Darul Iman (2000-2003) Penerbit Siaran Darul Iman (2003-2004), Wartawan Sambilan Berita Harian (1997-1998), Wartawan Harakah (1989-1996).
Menerima Anugerah kewartawanan Esso-Kawat (1997 dan 1998)

Hubungi saya melalui e-mel: seramaesty@yahoo.com atau H/P No: 013-9060111.

Friday, April 18, 2008

Abdullah terdesak pulihkan institusi kehakiman

KUALA LUMPUR, 18 APRIL - Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mula bertindak meredakan kemarahan rakyat terhadap Kerajaan Barisan Nasional (BN) apabila cuba memulihkan kredibiliti institusi kehakiman setelah tercemar dengan krisis kehakiman pada 1988.
Dipercayai ia satu langkah yang diambil untuk memulihkan imej beliau yang tercemar akibat kekalahan teruk dalam pilihan raya umum ke 12 yang lalu sehingga gagal menang majoriti dua pertiga dalam parlimen.

Sebagimana dilaporkan Bernama, beliau mencadangkan penubuhan satu Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman bagi mengenal pasti dan mencadangkan nama-nama calon hakim kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Abdullah berkata Suruhanjaya itu akan membantu menilai dan menyemak calon dalam cara yang bersistematik serta amanah untuk Perdana Menteri, berasaskan kepada kriteria yang ditakrifkan dengan jelas.

Bagaimanapun, hak perlembagaan Perdana Menteri untuk mengemukakan nama-nama itu kepada Yang di-Pertuan Agong terus kekal, katanya.

Abdullah berkata kerajaan mencadangkan perubahan itu bagi menjadikan proses menamakan calon, pelantikan dan kenaikan pangkat lebih telus serta berperwakilan.

"Proses untuk membawa perubahan ini akan bermula sekarang dan saya memberi jaminan kepada anda semua di sini hari ini, bahawa rundingan mengenai fungsi dan struktur Suruhanjaya itu akan membabitkan pihak berkepentingan yang utama.

"Semua pihak akan mempunyai peluang untuk menyediakan input mereka kepada kerajaan," katanya dalam ucaptama bertajuk "Delivering Justice, Renewing Trust" di jamuan malam Majlis Peguam Malaysia, di sini malam semalam.

Pada tahun 1988, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menubuhkan sebuah tribunal khas untuk membicarakan Tun Mohd. Salleh Abas, bekas Ketua Hakim Negara atas tuduhan salahlaku kerana mempersoalkan pindaan perlembagaan yang telah menghakis kuasa bidang kehakiman.

Ia dikatakan berpunca dari satu penghakiman Tun Mohd. Salleh yang menyebabkan Umno diharamkan.

Dua daripada lima hakim Mahkamah Agung – Datuk George Seah dan Datuk Wan Sulaiman – yang menegaskan bahawa penubuhan tribunal itu tidak mengikut perlembagaan – turut dipecat bersama Tun Mohd. Salleh, selepas didapati bersalah atas kesalahan salahlaku oleh penal enam orang anggota tribunal tersebut, termasuk Singapura dan Sri Lanka.

Mengulas mengenai perlu dipulihkan kebebasan badan kehakiman, Mohd. Salleh ketika ditemui di Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini menggesa supaya Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi memulihkan peruntukan bagi mengadakan semakan kehakiman terhadap keputusan menteri. Peruntukan ini dihapuskan selepas krisis 1988.

“Kuasa (kehakiman) tidak boleh dibelenggu oleh pelbagai perundangan (dengan) peruntukan seperti ‘sebarang keputusan menteri adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan di mahkamah,’” katanya.,

Beliau juga berkata, parti-parti politik tidak boleh meletakkan undang-undang di tangan mereka sendiri, di mana pertikaian dalamannya, tidak tertakluk kepada semakan kehakiman. Ini membolehkan parti-parti (politik) menjadi “hakimnya sendiri, yang jelas melanggar prinsip-prinsip keadilan semula jadi”.

“Lebih daripada itu, pelantikan dan kenaikan pangkat para hakim mestilah telus jika mahu dihapuskan rasa kekecewaan yang tidak sihat di dalam bidang kehakiman.

Apa kata Tun Mohd. Salleh selepas Abdullah membuat pengumuman itu?

"Saya bersyukur kepada Allah kerana bersifat pengasih dan penyayang kepada saya, saya menunggu selama 20 tahun dan doa saya telahpun dimakbulkan."

Itu adalah reaksi segera daripada bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas selepas kerajaan membuat keputusan untuk memberikan bayaran ex-gratia kepada bekas hakim-hakim yang dipecat ketika berlaku krisis kehakiman pada 1988.

Laporan Bernama turut menyebut, Tun Mohd. Salleh dipecat pada Ogos 1988 selepas menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi pihak hakim-hakim itu, yang menyuarakan kekecewaan berhubung dakwaan yang dibuat oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri (sekarang Tun) Dr Mahathir Mohamad.

Lima hakim Mahkamah Persekutuan (ketika itu dikenali sebagai Mahkamah Agung) yang membenarkan beliau (Mohd. Salleh) dengan perintah interlokutori terhadap tribunal yang diketuai oleh penggantinya, juga digantung tugas pada Julai tahun yang sama, tetapi tiga daripada mereka dikembalikan semula jawatan pada Oktober.

Ketiga-tiga mereka -Tan Sri Azmi Kamaruddin, Tan Sri Wan Hamzah Wan Mohamed Salleh dan Tan Sri Eusoffe Abdoolcader -- bagaimanapun dikembalikan semula jawatan tiga bulan kemudian.

Dua hakim lagi iaitu Datuk Seri George Seah dan Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh, dipecat.

Eusoffe dan Wan Suleiman telahpun meninggal dunia.

"Saya tahu saya tidak boleh menang daripada segi undang-undang di hadapan kerajaan terdahulu tetapi doa saya dimakbulkan hari ini kerana saya diberikan kemenangan moral.

"Jadi malam ini semua orang boleh mengatakan yang kemenangan moral kini diberikan kepada saya," kata beliau.

Peristiwa merupakan satu strategi awal Abdullah untuk memulihkan imejnya di kalangan rakyat khususnya di mata ahli-ahli Umno sendiri.

Nada Abdullah ketika menyentuh pemulihan semula institusi kehakiman sinonim dengan keadaan tertekan kerajaan serta ahli partinya sendiri yang mahu melihat perubahan segara berlaku terhadap pucuk pimpinan negara .

Dalam majlis itu beliau menyebut, "Saya dengan rendah diri ingin meminta sokongan tuan-tuan kepada langkah yang akan diambil ini memandangkan keperluan untuk melakukan perubahan ini mungkin tidak jelas sepenuhnya bagi semua orang.

"Kerajaan telahpun memulakan segala-galanya. Kami telahpun memulakan langkah awal namun penting. Kini terserah kepada semua pihak yang berkenaan - badan kehakiman, badan peguam, masyarakat madani dan orang awam keseluruhannya - untuk turut menjalankan peranan masing-masing dalam mempermudahkan perubahan ini," katanya.

Abdullah berkata menjadi harapannya agar "kita dapat memulakan babak baru bagi badan kehakiman Malaysia".

"Menjadi harapan saya bahawa usaha ini akan menjadi sebahagian daripada proses yang lebih besar untuk terus memperkukuhkan institusi demokrasi kita, menyelesaikan langkah demi langkah masalah yang sukar diselesaikan yang menghalang pembinaan negara yang tulen. Marilah kita menulis babak gemilang dan baru ini bersama-sama," katanya.

Bagaimanapun rakyat perlu berhati-hati dengan perubahan sikap yang dibuat Abdullah ketika ini kerana beliau dalam keadaan terdesak . Sudah tentu beliau akan mengambil langkah menyelesaikan segala tuntutan rakyat yang tidak berjaya dilaksanakan sebelum ini termasuk mengembalikan semula imej sistem kehakiman negara.

Sejauh mana beliau berjaya memulihkannya belum dipastikan lagi tetapi Abdullah telah membuat janji untuk memulihkan institusi itu. Adalah diharapkan, janji itu tidak seperti kebanyakan janji pilihan raya. Ia tidak menjadi kenyataan selepas BN menang lagi dalam pilihan raya.

Yang penting rakyat jangan mudah tergoda dengan tindakan Abdullah sehari dua ini. Rakyat perlu bijak berpolitik. Jangan biarkan imej BN/Umno kembali pulih dengan satu atau dua tindakan yang dibuat oleh Abdullah sebagai perdana menteri dan presiden Umno termasuk usaha memulihkan institusi kehakiman ini.

Perjuangan reformasi dan perubahan struktur kepimpinan negara perlu dibuat segera supaya kelemahan Abdulllah tidak lagi menghantui negara di masa akan datang.

Terima kasih kerana sumbangan anda. Sumbanglah untuk kebaikan perjuangan kita bersama.

Can't find what you're looking for? Try Google Search!

Google
 

Umno Sarkas

ANDA ADA MAKLUMAT ISU NEGARA?

Sila emailan kepada saya di seramaesty@yahoo.com atau hubungi saya di talian 013-9060111.

TERIMA KASIH ATAS KERJASAMA ANDA

Feedback Form

Join the Mailing List
Enter your name and email address below:
Name:
Email:
Subscribe  Unsubscribe 

Dr. Irfan menjelaskan Perniagaan Internet secara mudah kepada anda

Free Viral Advertising