
Penulis telah meneliti ucapan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dengan Tun Dr.Mahathir Mohamad dalam banyak klip video yang disiarkan dalam internet termasuk You Tube.
Anwar bertegas mendakwa Dr.Mahathir banyak melakukan penyelewengan kuasa dan membina kekayaan keluarga ketika menjadi perdana menteri sama dengan Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi (Pak Lah).
Terbaru ketika berucap di perhimpunan Black 14 di Kelab Sultan Suleiman, Kampung Baru di sini malam semalam, Anwar menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjalankan siasatan terbuka terhadap Tun Dr Mahathir sewaktu mengetuai kerajaan selama 22 tahun.
Anwar mendakwa Dr Mahathir merosakkan sistem kehakiman, menyalahgunakan kuasa dan menyeleweng dana awam, termasuk untuk anak-anaknya.
Ini bermakna Anwar kini melancarkan semula perang terhadap Dr. Mahathir sempena pembebasannya dari sekatan undang-undang selepas dihukum penjara selama 6 tahun akibat dakwaan rasuah yang dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika Dr. Mahathir menjadi perdana menteri.
Dr. Mahathir kini memainkan peranan secara kritis di luar kepompong parti untuk mengembalikan imej Umno/Barisan Nasional (BN) dengan mendesak Pak Lah dan kepimpinan tertinggi parti itu berubah segera. Sejauh mana tindakannya itu berkesan, kita lihat perkembangan politik tanah air selepas ini.
Banyak ucapan dan kenyataan Dr. Mahathir menyebut tentang pertukaran pucuk pimpinan parti untuk menyelamatkan parti berkenaan terus ditolak oleh rakyat.
Beliau dilaporkan berkata, peralihan pucuk kepimpinan Umno harus dilakukan sekarang bagi memastikan Umno dapat dipulihkan dan memastikan BN memenangi semula negeri-negeri yang ditawan oleh pembangkang.
Bekas Perdana Menteri itu berkata kerja untuk memulihkan parti akan mengambil masa yang panjang dan "kita akan ada pilihan raya tidak lebih dari lima tahun."
"Lima tahun bukan satu masa yang panjang. Jadi jika tak diadakan peralihan sekarang, kita mungkin tidak cukup masa untuk tarik balik orang parti kita yang telah undi parti lawan, terutama jika parti lawan cekap, (dan) mereka membuat pemerintahan yang cukup baik di Kedah, Penang dan juga Selangor, masa itu kita tidak dapat balik dah, sebab itu kita perlu bertindak sekarang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap pada forum "Krisis Kepimpinan Melayu Pasca Pilihan Raya Umum Ke-12, Di mana Silapnya" di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Komitmen yang diberikan Dr. mahathir ialah untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap BN khususnya Umno yang disifatkan tidak relevan lagi hari ini bukan untuk Pakatan Rakyat (PR).
Dr. Mahathir bukan mahu memperjuangkan kehendak rakyat semasa yang berbilang kaum yang ironisnya berbeza jauh dengan kehendak Umno sendiri yang disifatkan sebagai parti perkauman.
Parti perkauman sudah tidak bertapak di hati rakyat hari ini berasaskan kepada keputusan pilihan raya umum yang lalu.
Justeru perjuangan Dr. Mahathir ialah untuk BN bukan untuk rakyat kerana bagi beliau semacam BN sahaja yang sepatutnya memerintah negara ini bukan komponan parti lain termasuk PR.
Jika tidak beliau tidak akan mendesak Umno membuat perubahan segera pucuk pimpinannya sebelum pilihan raya umum akan datang.
Dr. Mahathir sekarang masih mahu menjadi hero BN, kerana ada pendapat mendakwa kepimpinannya masih relevan untuk Umno ketika tidak ada kepimpinan parti itu yang berupaya menandingi ketokohan beliau setakat ini.
Bagaimanapun ketokohannya tercemar apabila beliau didakwa terbabit dengan banyak kes penyelewengan kuasa dan rasuah ketika menjadi perdana menteri sebagaimana dinyatakan oleh Anwar.
Tun Dr Mahathir bagaimanapun berkata beliau sedia dihadapkan ke suruhanjaya diraja berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa sewaktu menjadi perdana menteri.
Dalam jawapannya kepada surat peguam terkemuka Datuk Param Cumaraswamy baru-baru ini, Dr Mahathir berkata beliau sedia berbuat demikian, tetapi menegaskan Param pula akan menolak suruhanjaya tersebut kerana didakwa kurang integriti.
"Hanya jika beliau sahaja yang menganggotai suruhanjaya tersebut, maka barulah beliau dapat menerima keputusannya. Nampaknya itulah pendekatan kehakiman yang boleh diterimanya," katanya dalam sepucuk surat kepada Malaysiakini.
Anwar menyarankan agar Pak Lah bertindak menyiasat Dr. Mahathir sebagai reaksi balas serangan Dr. Mahathir terhadapnya.
Dr. Mahathir dilapaorkan pernah mendakwa menyokong Anwar sebagai perdana menteri bererti menyokong Yahudi Israel.
Bagaimanapun Anwar menafikan dakwaan Dr. Mahathir sambil mendakwa bekas perdana menteri itu bertemu dengan pemimpin Israel secara senyap-senyap.
Pertempuran politik ini memperlihatkan pergolakan tiga penjuru antara Pak Lah dengan keadaan BN dalam kedudukan yang lemah dan Dr. Mahathir yang mungkin mahu menjadi superman semula dalam dunia politik Umno tetapi tidak mungkin kembali menjadi kepimpinan parti itu buat ke sekian kalinya.
Sementara Anwar kini mempunyai kedudukan stabil apabila berdiri pada stand suara rakyat yang cukup mendesak untuk melihat perubahan kepimpinan politik negara kerana banyak isu rakyat, BN gagal menanganinya sejak 50 tahun parti itu memerintah negara termasuk isu pembilaan golongan terpinggir, kemiskinan (meminjam kata-kata Anwar), keadilan dan kesamarataan pengagihan kekayaan di kalangan semua kaum di negara ini.
Dari sudut pergolakan dalaman Umno, hanya timbul soal perubahan drastik pucuk pimpinan didesak oleh ahli peringkat akar umbi sehingga majoriti bahagian Umno Johor, Pulau Pinang dan Kedah meminta Pak Lah berundur dengan segera.
Bagaimanapun Pak Lah mahu mempertahankan jawatan presiden Umno pada pemilihan parti 16-20 Disember ini.
"Mereka (pemimpin Umno) kata mereka serahkan kepada saya dan mereka akan menyokong saya dan timbalan saya dalam pemilihan parti," katanya, mengulas desakan itu.
"Kenapa saya tidak boleh bertanding dalam pemilihan parti?"
"Selepas itu, Pak Lah dan Najib akan putuskan tentang peralihan kuasa," katanya lagi selepas majlis perjumpaan bersama ahli parlimen, anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) dan senator BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.
Beliau turut mendakwa segelintir sahaja ahli Umno yang mendesak meletak jawatan.
Datuk Seri Abdullah berkata beliau mahu peralihan kuasa kepada penggantinya berjalan dalam keadaan lancar dan baik kerana ia sangat penting.
"(Penting peralihan) dalam keadaan baik supaya parti yang ditinggalkan berada dalam keadaan baik.
Saya tak mahu tinggalkan parti dalam keadaan kelam kabut.
"Saya kata pada (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Tun Razak) selamat maju jaya, itu masalah anda bukan masalah saya, tentu itu bukan caranya.
Takkan kita nak... tiba-tiba... mana Pak Lah? dia dah berhenti dah.
Itu bukanlah caranya," kata Perdana Menteri.
"Dulupun begitu juga, masa (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) hendak menyerahkan kuasa kepada saya pun begitu juga, jadi begitulah cara kami," katanya.
Beliau berkata pelbagai pandangan diberikan kepadanya mengenai peralihan kuasa termasuk ada yang mahukan secepat mungkin, ada yang memberikan masa kepadanya. "Biarlah, saya dengar sahaja.
"Saya ada dua telinga, saya bukan pekak. Dalam amalan demokrasi semua orang nak bercakap, apa boleh buat.
"Kalau kita tutup mulut dia kata aa... ni tutup mulut, takut ni, tak bebas... nak cakap cakaplah," kata Presiden Umno itu," jelasnya.
Menjawab soalan mengenai peralihan kuasa itu, Abdullah berkata ia hanyalah pendapat sesetengah pihak dan bukannya akar umbi.
Dari segi percaturan politik, faktor Pak Lah mempertahankan jawatannya dalam parti dan kerajaan memberi impak yang besar kepada PR untuk mengatur langkah menguasai kerajaan peringkat pusat.
Anwar menjelaskan dalam satu kenyataannya di Kuala Terengganu bahawa prospek dalam peralihan kuasa teraju negara dari BN kepada PR berjalan dengan baik. Katanya, tidak timbul soal ahli parlimen BN melompat parti kerana mereka perlu tunduk kepada kehendak rakyat untuk pastikan segala-gala berjalan dengan lancar.
Sejauh mana keupayaan strategi PR menguasai Malaysia belum dipastikan lagi. Perlu menunggu beberapa bulan lagi untuk melihat perkembangan perubahan politik negara berlaku jika perencanaan PR berjaya.