Saya Suhaimi Taib, mendapat Sijil Pentadbiran Islam dari Kusza Kuala Terengganu (2002), Kursus Penerbitan Video Koperat Universiti Malaya (2003), Pengarang Warta Darul Iman (2000-2003) Penerbit Siaran Darul Iman (2003-2004), Wartawan Sambilan Berita Harian (1997-1998), Wartawan Harakah (1989-1996).
Menerima Anugerah kewartawanan Esso-Kawat (1997 dan 1998)

Hubungi saya melalui e-mel: seramaesty@yahoo.com atau H/P No: 013-9060111.

Sunday, April 6, 2008

Jangka hayat Umno/BN hampir tiba, Anwar sudah sedia jadi PM

Mohd Rashidi Hassan
Sun | Apr 06, 08 | 1:32:10 pm MYT

Ada banyak ramalan bahawa Dato' Seri Anwar Ibrahim bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia tidak lama lagi, hingga ada yang meramalkan enam bulan dari tarikh 8 Mac 2008.

Jika Anwar hendak menjadi PM, beliau mestilah menjadi Ahli Parlimen (MP) yang menang dalam pilihan raya Parlimen.

Tetapi Pilihan Raya Umum ke-12 dipercepatkan, sedangkan Anwar hanya layak bertanding pada bulan April 2008.

Jika hendak ditunggu PRU ke-13, barangkali tahun 2012 atau 2013, agak terlalu lama.

Pada masa itu belum tentu, keputusan sebaik PRU ke-12, 8 Mac lepas boleh berulang kembali.

Mungkin juga boleh mencatatkan keputusan yang lebih baik buat gabungan Pakatan Rakyat.

Apapun menunggu empat atau lima tahun terlalu lama buat Anwar. Tiada jalan lain untuk beliau melainkan bertanding pada pilihan raya kecil.

Pilihan raya boleh diadakan hanya melalui tiga opsyen, iaitu jika Parlimen dibubarkan, anggota Parlimen meletak jawatan (sama ada hilang kelayakan atau tidak berminat menjadi wakil rakyat) dan jika terdapat anggota Parlimen meninggal dunia.

Parlimen hanya boleh dibubarkan jika kerajaan tamat tempoh pemerintahan (setiap lima tahun), atau PM membubarkannya untuk mendapat mandat baru atau berlaku sesuatu krisis yang memaksa ia dibubarkan.

Dalam keadaan sekarang tidak nampak tanda-tanda Parlimen akan dibubarkan.

Manakala opsyen kedua, soal hidup dengan mati, ia adalah ketentuan Allah. Tiada orang tergamak mengharapkan seseorang Ahli Parlimen cepat meninggal dunia semata-mata untuk memberi laluan kepada Anwar Ibrahim.

Maka opsyen hanya ada pada Anwar ialah menanti seseorang Ahli Parlimen meletak jawatan atau hilang kelayakan atas sebab-sebab tertentu.

Jika pun terdapat petisyen untuk membatalkan kemenangan mana-mana MP, proses mahkamah sudah tentu akan memakan masa.

BN sudah tentu akan berusaha menghalang Anwar bertanding dan masuk ke Parlimen. Maka melengah-lengahkan proses perundangan merupakan jalan terbaik untuk menghalang Anwar.

Pilihan yang ada dalam waktu yang terdekat ini hanyalah dengan perletakan jawatan Ahli Parlimen.

Timbul ura-ura bahawa isteri beliau Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya Nurul Izzah akan mengosongkan kerusi Permatang Pauh atau Lembah Pantai.

Namun kedua-dua kemungkinan tersebut dinafikan Anwar.

KeADILan mempunyai 31 kerusi Parlimen, sebagai Ketua De Facto Anwar boleh bertanding di mana-mana sahaja kawasan yang beliau mahu.

Namun pilihan yang utama, ada di dua kawasan kerana Ahli Parlimen kawasan tersebut turut menang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri.

Dua kerusi itu adalah Bandar Tun Razak yang diwakili oleh Tan Sri Khalid Ibrahim yang turut memenangi kerusi Dun Ijok. Manakala Naib Presiden KeADILan, Mohamed Azmin Ali menang di Parlimen Gombak dan Dun Bukit Antarabangsa.

Justeru jika jalan hendak dibuka kepada Anwar, Khalid atau Azmin harus meletakkan jawatan sebagai MP. Jika benar KeADILan mahukan Anwar masuk ke Parlimen, mana-mana MPnya harus sedia berkorban.

Dan jika diberi pilihan antara Bandar Tun Razak atau Gombak. Apapun, dalam keadaan sekarang ada pandangan mengatakan Khalid lebih wajar memberi laluan kepada Anwar peranannya lebih besar di Selangor sebagai Menteri Besar.

Apapun keputusannya adalah di tangan Anwar. Tunggu sahaja tarikh akhir Anwar boleh bertanding dengan bebas 14 April ini. Barangkali ada kejutan yang akan berlaku.

Anwar tidak ada jalan lain jika hendak menjadi PM. Itu sahaja opsyen yang terbaik buat beliau ketika ini.

Jalan ke jambatan PM

Suatu ketika tidak lama dahulu ramai yang beranggapan, jika Anwar hendak menjadi PM, beliau tidak ada cara lain, selain menyertai Umno.

Maka kadang-kadang kedengaran suara tegas Majlis Tertinggi Umno, membuat keputusan berulang kali, bahawa Anwar tidak akan diterima masuk kembali.

Seolah-olahnya hukuman yang dijatuhkan Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad (kini Tun) pada 2 dan 3 September 1998, menutup terus pintu Umno/BN buat Anwar.

Suara-suara menolak Anwar masuk Umno dicanang mereka sepanjang Anwar di penjara selama 6 tahun, selepas PRU 1999, pada ketika Anwar bebas tahun 2004 dan sehingga sebelum PRU 2008.

Entah mengapa kelibat Anwar begitu ditakuti. Barangkali pemimpin Umno menyedari masih ramai 'orang-orang Anwar' dalam Umno.

Hubungan yang baik antara Anwar dengan sesetengah pemimpin Umno, juga dianggap membahayakan pihak-pihak tertentu dalam parti itu.

Apapun Anwar terpaksa berulang kali menafikan beliau mahu memasuki Umno. Lebih jelas boleh diperkatakan bahawa Anwar tidak 'kelapaq' (istilah orang utara).

Sebenarnya kini, anggapan bahawa jambatan untuk menjadi PM hanya melalui Umno sudah tidak wujud.

PRU ke 12 membuktikan BN dan Umno khususnya sudah tidak relevan.

Kekuatan Anwar dari sudut politik

Walaupun sudah berkuasa sejak merdeka, Umno/BN bukan parti keramat. Pemimpinnya banyak kelemahan dan banyak kesilapan.

Jika dahulu, tiada pakatan komponen parti sebaik BN, tetapi kini kehebatan dan kekuatan BN sudah musnah.

Masalah besar kepada BN ialah kerana kepimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi gagal memelihara keutuhan perpaduan parti komponen BN.

Abdullah gagal mengimbangi tekanan politik agama, politik kenegerian dan politik perkauman dalam BN.

Maka timbul keberanian 9 menteri bukan Islam menghantar memo kepada PM, Sarawak dan Sabah mengemukakan pelbagai tuntutan, pemimpin Umno menghunuskan keris sehingga mengguriskan perasaan komponen lain.

Menteri dan Menteri Besar dari kalangan Umno bercakaran sesama sendiri secara terbuka.

MCA-Gerakan-MIC dan PPP, selain mengemukakan pelbagai tuntutan untuk kepentingan politik, kaum masing-masing, sering berbalah sesama sendiri.

Semua ini gagal dikawal dan ia menghasilkan natijah yang amat buruk kepada BN. Keyakinan rakyat terhadap kemampuan pemimpin BN sudah pudar.

Hakikat yang ditunjukkan dalam krisis dalaman BN menunjukkan kepimpinan Abdullah Badawi dilihat gagal memelihara 'kepentingan dan perasaan' semua kaum.

PRU 8 Mac menunjukkan rakyat sudah sedia berubah. Segala adu domba yang memperlekehkan parti-parti pembangkang ditolak. Usaha melaga-lagakan PAS, KeADILan dan DAP menemui jalan buntu.

Malah, segala propaganda jahat media-media pro BN, mengecam dan menghentam keperibadian Anwar gagal 'membeli' minda rakyat.

Jelas rakyat menerima Anwar serta pakatan PAS-KeADILan-DAP, walaupun ada perbezaan yang besar antara ketiga-tiga parti tersebut dalam hal-hal tertentu.

Mari sertai Pakatan Rakyat

Apapun signal yang ditunjukkan rakyat menyedarkan pemimpin-pemimpin bahawa rakyat mahu mereka bekerjasama dalam pakatan yang lebih erat.

Anwar adalah harapan baru rakyat Malaysia. Apa pun tuduhan terhadap Anwar, beliau adalah satu-satunya pemimpin yang diterima rakyat dari pelbagai keturunan, kaum dan agama.

Tidak keterlaluan untuk diakui setakat ini, secara realistiknya hanya Anwar sahaja boleh menyatu padukan rakyat dari kalangan pelbagai kaum dan agama.

Maka dengan itu PAS, KeADILan dan DAP sudah menguasai lima negeri iaitu Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor, sudah membentuk Pakatan Rakyat.

Soal mekanisme, bagaimana Pakatan Rakyat hendak menyusun dasar-dasarnya akan ditentukan kemudian. Apapun pemimpin parti Pakatan Rakyat tetap terikat dengan kehendak rakyat yang memberi mandat kepada mereka.

Ia juga merupakan vehicle terbaik buat Anwar untuk menjadi PM, sekali gus memperbaiki kepincangan politik dalam negara.

Pakatan dibuat dengan penyertaan Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang, Presiden KeADILan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, yang sudah beberapa kali duduk semeja dalam mesyuarat yang dipengerusikan Anwar.

Keputusan PRU 1999, 2004 dan 2008 jelas menunjukkan majoriti orang Melayu menolak Umno. Jika Umno tidak dirombak, nescaya parti itu akan terus merudum.

Keputusan PRU 2008 juga memberi isyarat kepada MCA, Gerakan, MIC dan PPP bahawa politik segmentasi dan perkauman mereka ditolak rakyat.

Maka menyedari kehendak rakyat dan keupayaan Anwar untuk menyatu padukan kaum, menstabilkan politik negara dan mengembalikan landasan pemerintahan ke jalan yang betul, pemimpin-pemimpin parti politik harus menimbangkan untuk menyertai Pakatan Rakyat.

Bagi Sarawak dan Sabah, keberlangsungan dan efektifnya perjalanan pentadbiran negeri banyak bergantung kepada kerajaan Pusat.

Jika Anwar jadi PM, hubungan KL dan Malaysia Timur dijangka tidak akan wujud sebarang masalah kerana dari dahulu Anwar mempunyai hubungan baik dengan pemimpin negeri berkenaan.

Kerajaan-kerajaan negeri yang dikuasai Umno, kebanyakannya tidak stabil dari segi ekonomi dan bergantung kepada Kerajaan Pusat.

Jika Anwar menjadi PM, mereka tidak ada pilihan. Mereka harus bersedia bergabung dengan Anwar.

Bagi MCA, Gerakan, MIC dan PPP, mereka harus menyedari trend rakyat sekarang. Mereka tidak boleh berlawan dengan arus, jika mereka tersilap langkah, mereka akan terus ditolak dan terkubur.

Jalan terbaik ialah dengan menurut kehendak rakyat. Jalan terbaik sekarang ialah menyertai Pakatan Rakyat, bersama-sama menstabilkan politik dan ekonomi negara.

Ong Ka Ting, Koh Tsu Koon, Samy Vellu dan M Kayveas harus ada second thought bahawa BN bukan segala-galanya.

Pilihan untuk bergabung dengan Pakatan Rakyat sentiasa terbuka. Fikir dan buat keputusan segera sebelum rakyat terus menghukum mereka.

Jika ini berlaku, tidak mustahil dalam tempoh enam bulan hingga dua tahun, Kerajaan Pusat yang baru akan dibentuk, PM yang baru akan dilantik.- Harakahdaily.net

Mahfuz alukan sikap sumbang Azalina


KUALA LUMPUR, 6 Apr - Harakahdaily.net melaporkan Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said kerana tindakan sumbangnya.

"Terima kasih kerana Azalina mengukuhkan lagi kerajaan Pakatan Rakyat (PR) dengan menambahkan lagi kemarahan kepada para pemimpin Barisan Nasional.

"Mula-mula dia kata semua memorandum persefahaman (MoU) berkaitan program pelancongan antara lima kerajaan negeri yang dikuasai kerajaan campuran dengan kerajaan pusat dibatalkan berkuat kuasa serta merta kerana tidak setuju dengan keputusan rakyat memilih kerajaan yang mereka kehendaki.

"Kelmarin dia ulangi lagi kenyataan sumbangnya dengan mendakwa kononnya MoU tersebut ditamatkan kerana beliau sudah tahu tidak boleh bekerjasama dengan pembangkang. Dia Tuhankah sehingga tahu apa yang akan berlaku?" kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Sambil menyifatkan Azalina begitu sempit dengan mentaliti kepuakan Barisan Nasionalnya, Mahfuz menyifatkan menteri itu tidak ada semangat Malaysia seperti para pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

"Walaupun tahu rakyat di Kelantan dan di Terengganu dibuli sebelum ini dengan penahanan royalti minyak di Terenganu misalnya serta melambat-lambat serta menyusah-nyusahkan peruntukan untuk negeri yang ditetapkan oleh perlembagaan negara, tetapi kerajaan PR tetap menghormati kerajaan pusat," katanya.

Perkara itu, katanya, dibuktikan apabila Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengunjungi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Razak juga akan mengunjungi Perdana Menteri.

"Tetapi, para pemimpin Barisan Nasional (BN) sengaja mengetepikan konsep federalisme yang ditetapkan oleh perlembagaan negara seperti yang dilakukan oleh Azalina itu," katanya.

Mahfuz menyifatkan sikap panas baran Azalina serta isyarat permusuhannya itu membuktikan para pemimpin BN mahu berperang dengan rakyat yang memilih kerajaan yang mereka kehendaki.

"Buat apa batalkan MoU sahaja? Kenapa Menteri Pelancongan tidak cadangkan supaya diubah lapangan terbang antarabangsa di Pulau Pinang ke Perlis?

"Kalau ikut lojik sikap beliau sepatutnya lapangan terbang antarabangsa di Pulau Pinang diubah ke Perlis, satu-satunya negeri di utara yang dikuasai BN.

"Adakah Menteri Pelancongan nak biarkan Pulau Pinang menjadi pintu masuk pelancong sedangkan beliau sudah sudah tahu tidak boleh bekerjasama dengan pembangkang? Ubahlah lapangan terbang antarabangsa ke Perlis," katanya lagi.

KOMENTAR PENDEK -Suhaimi Taib

Kemenangan tanpa bertanding semacam kurang ujiannya dalam medan pilihan raya. Dalam keadaan BN hampir nazak masih tidka mahu berkompromi dengan suara rakyat di bawah Pakatan Rakyat?

Pertukaran kerajaan dari BN kepada PR semakin cerah - Mujahid

TASEK GELUGOR, 6 April - Harakahdaily.net melaporkan Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusuf Rawa yakin pertukaran kerajaan daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Rakyat (PR) pasti berlaku dalam masa terdekat memandangkan senario politik yang kian menyebelahi pembangkang.

Jelasnya, Umno kini sudah rapuh dan menanti rebah ke bumi manakala PR terus memuncak dengan berbagai nada dan gaya.

Beliau tidak menafikan slogan "PAS For All" banyak membantu sokongan masyarakat bukan Islam terhadap PAS dan PR semasa pilihan raya umum lalu.

"PAS For All" kini sudah senonim dengan masyarakat India dan Cina maka majlis penerangan harus dipertingkatkan supaya mereka dapat menghayati apa yang dikatakan Negara Berkebajikan.

"Majlis angkat sumpah Ahli Parlimen pada 28 April ini mungkin menyaksikan satu lagi kejutan baru dalam senario politik tanah air. Apapun kita tunggu dan lihat perkembanganya," tegasnya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat ketika berucap dalam program Jamuan dan ceramah Perdana anjuran PAS Kawasan Tasek Gelugor di Dewan Besar, Sungai Dua semalam.

Perkembangan terbaru jika tiada apa-apa yang menghalang akan berlaku kemasukan ahli parlimen BN ke PR secara berperingkat-peringkat.

Ini menandakan kerajaan BN pimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi semakin condong dan besar kemungkinan berita perletakan jawatan sebagai Perdana Menteri menjadi kenyataan.

Keadaan timbalanya, Dato' Seri Najib Razak juga sukar ekoran orang harapanya telah tewas awal apabila banyak tidak disenaraikan sebagai nama sebagai calon pilihan raya ke-12 lalu.

"Kemelut yang melanda Umno dan BN memberi peluang kepada PR untuk menerajui negara pada masa akan datang. Inilah realiti sekarang," jelasnya.

Menyentuh mengenai kemasukan orang bukan Islam ke dalam Kelab Penyokong PAS, ia amat menggalakan dan paling ketara ialah pembubaran cawangan MIC di Taiping, Perak semata-mata mahu bersama parti Islam dalam Kelab Penyokong PAS.

Turut berceramah dalam program tersebut ialah Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Saleh Man, Ahli Parlimen Padang Serai, Gobalakrisnan dan Setiausaha PAS Kedah, Yusuf Husin.

Turut hadir ialah Timbalan Yang DiPertua PAS Tasek Gelugor, Ustaz Suib Mohd Amin, Ketua Penerangan PAS Negeri, Haji Abdul Halim Salleh dan bekas calon Dun Permatang Berangan, Arshad Saleh.

KOMENTAR -Suhaimi Taib

Malaysia akan ditadbir oleh PR sekiranya gabungan politik itu bijak merancang.

Umno hancur kerana perkauman -Ku Li

KUALA LUMPUR, 5 April - Harakahdaily.net melaporkanTiada demokrasi dalam Umno, dasar dan visi Umno yang bersifat perkauman serta perangai dan kelakuan budaya, moral dan akhlak orang Umno merupakan tiga faktor kekalahan Umno dalam pilihan raya umum ke-12 lalu.

Demikian dinyatakan Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Khas Umno Bahagian Gua Musang, di Balai Rakyat, Gua Musang, semalam.

Menurut Ku Li, kemusnahan demokrasi dalam Umno bermula apabila Perlembagaan Umno dipinda dengan memasukkan peraturan baru yang menetapkan syarat bahawa anggota parti yang hendak menandingi jawatan Presiden hendaklah mendapat pencalonan sebanyak 30% daripada Bahagian Umno.

"Ini bererti calon itu perlu mendapat pencalonan daripada 58 Bahagian daripada jumlah 191 Bahagian Umno. Tujuannya, kononnya ialah untuk mengelak supaya tidak sembarangan anggota parti sahaja, sesuka hatinya dan secara bermain-main akan mengemukakan dirinya sebagai calon Presiden atau jawatan-jawatan lain," dakwa beliau.

Umno tidak amal demokrasi

Kata Ku Li lagi, sebelum kuota itu diperkenalkan, Umno pernah juga mengenakan peraturan, iaitu calon hendaklah mendapat pencalonan daripada dua bahagian sahaja, yang jelas 'peraturan' yang munasabah dan tidak terlalu 'undemocratic'.

Beliau menambah, parti yang wujud dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi tetapi tidak mengamalkan demokrasi dalam partinya sendiri adalah amalan yang bercanggah dan luar biasa.

Katanya, parti yang tidak mengamalkan demokrasi bererti parti itu menyekat atau tidak menggalakkan tumbuhnya kecekapan dan kreativiti dalam parti itu; anggotanya tidak dibenarkan bersuara untuk menegur pimpinan parti, atau untuk memilih pemimpin yang lebih baik.

"Orang tidak dibenarkan dan selalunya disekat malah digertak supaya jangan menentang atau menandingi pemimpin-pemimpin parti. Akibatnya parti menjadi beku. Pembaharuan dan kemajuan parti bantut. Kita lebih seronok mempercayai bahawa parti tidak menghadapi apa-apa masalah, parti kita kuat, anggota parti bersatu, dan pelbagai persepsi diri sendiri yang diciptakan secara emosi dan retorik," tegas Ku Li.

Beliau turut menyatakan bahawa dengan amalan tersebut lahirlah banyak 'pak turut' dan 'tukang ampu' dalam parti yang secara tidak bermoral dan berprinsip akan sentiasa memuji dan membela pemimpin walaupun mereka tahu pemimpin itu lemah.

Beliau mengakui inilah keadaan yang berlaku dalam Umno hingga sekarang, di mana setiap kali menjelang pilihan parti, ada sahaja orang dan puak yang menyeru anggota parti supaya jawatan Presiden Parti, atau Timbalan Presiden, Ketua Wanita, atau Ketua Pemuda tidak ditandingi.

Justeru, tegas beliau untuk menyelamatkan Umno dan menjadikannya parti politik kebangsaan Melayu ini terus relevan, cekap, kuat dan maju sepanjang zaman, demokrasi hendaklah dikembalikan dalam Umno.

Umno tidak pentingkan semua kaum

Dalam pada itu, Ku Li turut menyatakan bahawa dasar dan visi Umno hendaklah merentas sempadan kaum, dan tidak dilihat sebagai parti untuk dan bagi pihak orang Melayu sahaja.

Menurutnya, dasar dan visi Umno hendaklah memprojekkan dirinya sebagai parti untuk kepentingan semua rakyat tidak kira kaum.

"Kita mahu Umno menjadi parti supraetnik, parti nasional, yang adil kepada rakyat tanpa mengira kaum tetapi tetap mempertahankan 'visi tradisionalnya': iaitu, mempertahankan tanah air (negara ini) daripada penjajahan politik, ekonomi, ideologi dan budaya orang asing atau kuasa asing, mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara yang faedahnya ialah untuk negara, bukan untuk mana-mana kaum, dan mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan," tegas beliau.

Menurutnya, imej Umno selama beberapa tahun ke belakangan ini dapat dibahagikan kepada tiga jenis, di mana imejnya kepada orang Melayu ialah Umno tidak lagi memperjuangkan hak-hak yang menjadi warisan bangsa Melayu sejak dahulu kala, di samping Umno dilihat sebagai parti yang tidak lagi mempedulikan bahasa Melayu, budaya Melayu dan ekonomi rakyat Melayu yang miskin.

Selain itu, katanya orang Melayu juga mula risau dan khuatir melihat kurangnya komitmen Umno untuk mempertahankan martabat dan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu.

Beliau turut menyentuh imej Umno di mata orang bukan Melayu, di mana mereka menganggap Umno ialah parti untuk kepentingan orang Melayu, tidak untuk kepentingan kaum lain, yang mana Umno dianggotai oleh orang Melayu yang 'fanatik Melayu' - suka menjulang keris apabila memarahkan kaum lain.

Begitu juga katanya dengan imejnya sebagai parti yang menggalakkan rasuah politik atau parti 'orang kaya' di atas dan parti orang miskin di bawah, parti yang korap, parti yang berkeliaran dengan buaya-buaya darat dan yu-yu laut yang tidak segan silu menyapu dan menelan segala projek dan kontrak kerajaan dan hak rakyat miskin tidak kira kaum.

"Imej ini dibenci oleh semua kaum, tidak sahaja orang Melayu tetapi juga oleh kaum bukan Melayu. UMNO mesti mengubah atau kalau perlu membersihkan ketiga-tiga imej yang buruk itu. Umno mesti dipercayai bukan sahaja oleh orang Melayu tetapi juga oleh orang bukan Melayu," tegas beliau.

Dalam pilihan raya umum lalu, beliau mengatakan ada orang dari kaum India dan Cina, mengibarkan dan menjunjung bendera PAS, serta mengundi calon PAS di kawasan kuat Umno.

"Mengapa? Apakah kerana mereka sudah dipukau atau diIslamkan oleh orang PAS? Tidak. Mereka berbuat demikian kerana mereka percaya bahawa PAS, berdasarkan prinsip Islam, lebih adil daripada Umno terhadap kaum bukan Islam. Mereka berkata orang PAS takut kepada Tuhan; jadi mereka takut hendak bercakap bohong atau melakukan dosa kepada makhluk Allah, tidak kira bangsa dan agama. Mereka berkata, Tok Guru Nik Aziz jauh lebih baik, bersih dan amanah daripada kebanyakan pemimpin Umno Kelantan," jelas beliau.

Katanya, inilah cabaran yang dihadapi oleh Umno hari ini, di mana ia terpaksa menjadi parti yang boleh dipercayai oleh semua kaum.

Calon Umno tiada adab, maki hamun Nik Aziz

Tambahnya, Umno terpaksa menyaingi parti baru seperti KeADILan yang dilihat oleh semua kaum - termasuk orang Melayu generasi baru - sebagai parti yang dasarnya ialah keadilan kepada semua rakyat berdasarkan keadaan dan keperluan asas mereka.

Faktor ketiga kekalahan Umno, katanya berkenaan perangai dan kelakuan budaya, moral dan akhlak orang Umno yang perlu diadabkan.

Berdasarkan pemerhatian, kata beliau dalam kempen pilihan raya lalu, kelakuan beberapa calon Umno tidak beradab.

"Mereka sombong, bercakap besar, riak, dan suka menabik dada. Seorang calon Parlimen Umno memberitahu media bahawa matlamat dia ialah untuk memastikan lawannya hilang deposit. Calon ini mengalami kekalahan teruk, diajar oleh pengundi Melayu. Di Kelantan, kita dengar bagaimana seorang calon parlimen yang dekat dengan kuasa atasan di KL, memaki hamun dan menggunakan kata-kata biadab terhadap PAS, khususnya terhadap Dato' Nik Aziz," tegas beliau.

Bahkan, katanya seluruh jentera Umno digerakkan untuk melancarkan semacam 'perang salib' terhadap PAS, seperti perang yang dilakukan oleh Presiden Amerika, George Bush terhadap negara Islam.

"Kita adalah bangsa yang berbudaya, beragama Islam, beradab. Orang Melayu - bahkan orang bukan Melayu dan bukan Islam pun - meluat dan menyampah dengan perangai dan kelakuan sombong bongkak itu. Kita tidak diajarkan cara bagaimana hendak memikat hati pihak lawan. Kita seolah-olah menggunakan budaya dan taktik samseng yang menyebabkan kita kalah lebih teruk dari tahun 2004," tegas beliau.

Keadaan itu, dakwa beliau berlaku kerana terlalu yakin pada kekuatan parti, sehingga tidak nampak kelemahan parti.

Jelasnya, orang-orang seperti itu berasa megah, berani bercakap besar dan memberi tahu pengundi 'Aku akan menjadi Menteri Besar' atau akan menjadi menteri jika dipilih.

'Roh perut' kuasai Umno, wang jadi mainan

Beliau turut mendakwa bahawa ekonomi pasaran atau ekonomi kapitalisme sudah menjadi alat politik Umno untuk memperkayakan orang-orang tertentu dalam Umno untuk kepentingan kepimpinan, tidak untuk kepentingan rakyat dan anggota akar umbi Umno.

"Jiwa dan roh Melayu orang Umno mulai digantikan dengan 'roh perut'. Wang menjadi alat permainan politik dan kuasa dalam Umno," dakwa beliau.

Justeru, untuk menyelamatkan Umno, Ku Li menegaskan bahawa parti perlu membuang segala anggota Umno 'di atas' itu yang jahat, yang korap, yang tidak berbudaya dan berakhlak tinggi, dan yang tidak bijaksana.

"Ada orang boleh jadi geliga otaknya, lulusan dari Oxford, Harvard dan sebagainya, tetapi tidak bijak, tidak pandai, tidak cerdik budaya. Orang ini tidak layak diangkat oleh Umno untuk menjadi pemimpin mereka. Mengapa? Sebabnya mereka tidak mempunyai 'roh atau semangat Melayu' yang cukup dalam dadanya, tidak bijak, tidak pandai bercakap dan berhujah dengan rakyat," tegas beliau.

Katanya, mereka mungkin layak menjadi penyelidik akademik, tetapi tidak layak menjadi pemimpin bagi bangsa Melayu-Islam yang mempunyai nilai-nilai ketimurannya yang tersendiri, yang perlu difahami oleh sesiapa yang hendak menjadi pemimpin orang Melayu.

KOMENTAR PENDEK -Suhaimi Taib

Kesilapan besar Umno ialah memperjuangkan perkauman Melayu tetapi perjuangan itu pula gagal di tengah jalan.



PAS Perak cetak 50,000 borang ahli ekoran sambutan hangat

TAIPING, 6 April - Harakahdaily.net melaporkan Badan Perhubungan PAS Perak akan menyediakan 50,000 Borang Ahli bagi kemudahan mereka yang ingin menyertai itu, terutamanya kepada ahli-ahli Umno yang berhasrat meninggalkan parti tersebut.

"Borang tersebut yang dicetak sebanyak itu adalah sebagai memenuhi hasrat orang ramai untuk menyertai PAS selepas kemenangan Barisan Alternatif dalam PRU-12 lalu," kata Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang di Majlis Usrah, Markaz PAS Negeri, Air Kuning dekat sini malam tadi.

Tambahnya, Pejabat PAS Perak telah menerima beratus pesanan dan ada yang datang sendiri mulai hari pertama kemenangan BA di Perak.

Katanya, untuk memenuhi hasrat orang ramai itu, PAS Perak telah memutuskan untuk mencetak sebanyak 50,000 borang keahlian PAS untuk diedarkan.

"Tetapi dalam masa seminggu dua ini, kepada mereka yang ingin mendapatkan borang tersebut bolehlah memfotokopi borang lama bagi kegunaan sendiri atau untuk diberkan kepada kawan-kawan," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan kepada pimpinan Dewan Pemuda PAS supaya bergerak pantas mulai dari sekarang menggunakan kebijaksanaan dan daya kreatif mempengaruhi anak-anak muda remaja supaya mereka dapat mendamping diri dengan perkembangan perjuangan PAS.

Dalam perkembangan lain, Ustaz Ahmad menyatakan sempena negeri Perak bertukar kepada Kerajaan Barisan Rakyat yang Menteri Besarnya Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin, PAS Perak akan mengadakan Majlis Kesyukuran di Pejabatnya, di Ipoh Raya, Ipoh pada 13, April ini mulai jam 9 pagi hingga 12 tengah-hari di mana Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan turut hadir bersama dengan pimpinan PAS Pusat lainnya.

KOMENTAR PENDEK -Suhaimi Taib

Orang bukan Melayu boleh jadi ahli PAS sekiranya agamanya Islam. Saya percaya tidak ada ahli PAS yang membantah dalam hal ini.

Pensyarah UM ingatkan BN jangan sekat blog dan bloggers

Tarmizi Mohd Jam
Sun | Apr 06, 08 | 11:10:41 am MYT

WALAUPUN saya antara pelajar yang kurang senang dengan Dr Abu Hassan Hasbullah waktu itu, tetapi saya tidak dapat membungkus rasa kagum penyampaiannya serta keletah bicaranya di mana-mana.

Sebagai pensyarah di Jabatan Pengajian Media, Abu Hassan yang sebaya saya, adalah seorang yang tegas dan "celupar" bila berdepan dengan pelajarnya termasuklah saya.

Itu adalah sikapnya. Dia berani dan berketrampilan. Dia tenaga pengajar kami untuk subjek Retorik, salah satu pendedahan dalam Pengajian Media, di Universiti Malaya hingga kini.

Dua hari lalu, Abu Hassan mengingatkan kerajaan agar tidak mengenakan sekatan ke atas blog tetapi perlu bersikap terbuka terhadap laman tersebut. Saya betul-betul memuji ketelusannya, mengingatkan kerajaan dalam perkara ini.

Ini kerana jarang kakitangan kerajaan di IPTA bersikap profesional dalam isu-isu berkaitan politik pemerintah. Abu Hassan antara mereka yang dilihat berani.

Bukan sahaja lantang mengkritik pada Rancangan RTM "Fenomena Seni" terbitan Norsham Noor tetapi terbukti berani bertindak demikian di luar kepompong itu.

Hujah Abu Hassan, satu gelombang besar politik mungkin akan berlaku sekiranya sekatan dikenakan ke atas laman-laman blog yang wujud pada masa ini.

Maknanya, BN akan terus menerima padah jika laman-laman blog ini disekat dengan apa-apa cara dan peraturan.

"Kemunculan blog ini merupakan satu perubahan budaya baru dalam bidang media yang berlaku di seluruh dunia yang tidak dapat dielak.

"Sekiranya ia disekat, maka akan menimbulkan ketidakpuasan dan mungkin akan membawa kesan yang dahsyat kepada para pemimpin," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Abu Hassan mengingatkan perkara ini ketika mengulas mengenai satu kajian yang menunjukkan terdapat hampir 500,000 blog yang aktif dalam negara.

Saya percaya, Abu Hassan sekalipun datang dari Kelantan, dia bukanlah ahli PAS tetapi dia bercakap dengan ilmunya sebagai tenaga pengajar profesional di sebuah IPTA di negara ini.

Kepercayaan Abu Hassan ialah kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya baru-baru ini dianggap sebahagian besarnya disebabkan pendapat beberapa pemimpin yang berhasrat untuk menyekat laman-laman blog itu.

"Kita harus bersikap terbuka dan biarkan masyarakat yang menilaikannya. Tindakan mengenakan kawalan ke atasnya hanya akan membawa kepada keburukan yang tidak diingini.

"Sekiranya pengendali blog terbabit hanya memaparkan sesuatu yang tidak betul atau sesuatu yang berunsur fitnah, maka mereka lambat-laun akan tenggelam kerana tidak dapat meraih kepercayaan daripada orang ramai," ujarnya.

Pada pandangan saya, penegasan Abu hassan agar penulis blog mesti dididik dengan etika yang sangat tinggi dalam menulis atau mengendalikan laman blog masing-masing, patut dihormati.

Memang benar, blog bukan satu saluran yang boleh digunakan sewenang-wenangnya demi sesuatu tujuan.

Tetapi pada masa ini, saya melihat, masih banyak blog yang menyiarkan pendapat atau tulisan caca merba, tiada nama penulis atau menggunakan pelbagai nama pena yang mencurigakan hingga sukar disahkan kebenaran sesuatu maklumat yang diterbitkan.

"Tiada kebaikan kepada mereka sekiranya memaparkan sesuatu dengan tujuan menjatuhkan mana-mana pihak. Mereka juga akan terima padah akhirnya akibat perbuatan mereka itu," jelasnya. - Harakahdaily.net

Exco tidak berminat duduk di rumah RM40 juta

SHAH ALAM, 6 April - Harakahdaily.net melaporkan Exco negeri Selangor yang diketuai Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih belum memutuskan sama ada mahu menjual atau menyewakan 10 buah rumah Exco bernilai RM40 juta di seksyen 7, Shah Alam.

Menurut Exco Hal Ehwal Agama, Adat Istiadat dan Infrastruktur Perkhidmatan Awam, Dato' Dr Hassan Ali semua ahli Exco yang baru mengangkat sumpah tidak berminat untuk tinggal di rumah Exco yang dibina ketika BN/Umno memerintah Selangor.

"Kita belum pastikan lagi sama ada rumah itu mahu disewakan atau dijual tetapi yang pastinya tidak ada Exco yang akan masuk ke situ. Tiada Exco yang menukar kereta baru, mengubah bilik atau melakukan sesuatu dalam sebulan ini. Pada saya walaupun kecil tetapi amalan ini tidak biasa pada pimpinan BN/UMno," katanya.

Dalam tempoh sebulan Pakatan Rakyat (PAS, KeADILan dan DAP) memerintah Selangor katanya, Menteri Besar dan Exco telah menghadkan pemberian tanah kepada individu dan hanya diberikan kepada institusi.

Kerajaan Selangor akan membatalkan langsung pembangunan di tanah cerun bukit, pembangunan yang dikatakan sebagai katogeri tiga dan empat yang melebihi 35 hingga 25 peratus kecerunan yang BN/Umno tidak pernah lakukan, tegasnya.

Begitu juga tambah beliau, kerajaan Selangor tidak mengambil pendekatan yang drastik misalnya memberhentikan JKKK, kakitangan dan pegawai Majlis Tempatan (PBT), pegawai kerajaan yang condong kepada Umno dan mereka yang mempunyai jawatan politik yang sememangnya Umno/BN.

"Saya tanya orang Umno, orang Umno sendiri pun mengikhtiraf apa yang kita lakukan. Pada saya sangat positif dalam bulan ini tetapi kita selalu menjanjikan kepada rakyat bahawa kesan yang lebih besar akan ditunjukkan dalam 100 hari kita memegang tampuk pemerintahan," katanya ketika ditemui di Pejabat Perhubungan PAS, baru-baru ini.


KOMENTAR PENDEK -Suhaimi Taib

Satu tindakan realistik untuk bertimbang rasa dengan rakyat.

31 Ahli Parlimen KeADILan sedia beri laluan pada Anwar - Azmin Ali

KUALA LUMPUR, 5 April - Harakahdaily.net melaporkan Kesemua 31 Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) bersedia untuk mengosongkan kerusi masing-masing bagi memberi laluan kepada Ketua Umum parti tersebut, Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.

ImageNaib Presiden parti itu, Azmin Ali, bagaimanapun tidak menyatakan kerusi mana yang terlibat.

Ini katanya, jika dimaklumkan strateginya, dibimbangi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menjalankan peranannya bagi mengotorkan daftar pemilih di kawasan berkenaan.

Menurutnya lagi, mereka perlu mengikut prosidur terlebih dahulu iaitu menunggu sehingga keputusan pilihan raya diwartakan iaitu selepas 60 hari, kemudian baru boleh diadakan pilihan raya.

"Sebenarnya kita tidak perlu tergesa-gesa dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) sedang menelitinya," katanya kepada wartawan semasa menghadiri Majlis Jamuan Rakyat bersama Adun Ulu Kelang, Shaari Sungib dan beliau sendiri sebagai Ahli Parlimen Gombak di Dewan Serbaguna AU2, Taman Keramat, Hulu Kelang, dekat sini hari ini.

Beliau berkata, apa yang penting sekarang ialah untuk mendapatkan 30 kerusi parlimen bagi mencukupkan kerajaan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan.

"Sebenarnya jumlah kerusi tersebut makin hampir dan jika itu berlaku pilihan raya akan berlaku," katanya.

Katanya hampir 30 Ahli Parlimen BN menemui Anwar dan menyatakan mereka mahukan seorang ketua yang kuaat dan berwibawa untuk memimpin negara ini.

Ahli-ahli Parlimen tersebut katanya, biarpun mereka bukan orang Malayu tetapi mereka yang berbangsa Cina, India ataupun Kadazan berharap ketua itu mesti orang Malayu Islam dan diterima baik pelbagai kaum.

"Dalam konteks ini mereka merasakan orang tersebut adalah Anwar Ibrahim," katanya.

Mengulas mengenai cadangan pindaan undang-undang keluar parti itu, beliau berkata, orang umno tidak perlu keluar parti.

"Apa yang perlu mereka buat ialah mengadakan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi apabila memasuki parlimen nanti," katanya.

ImageTindakan tersebut katanya bukan lompat parti bahkan katanya Ahli Parlimen BN tidak bimbang walaupun ada undang-undang yang mahu digubal.

"Maknanya dia tidak lompat, sebab itu saya bagi tahu pemimpin Umno dan BN jangan bimbang walaupun ada undang-undang halang lompat parti," jelasnya.

Beliau berkata ramai ahli Umno menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan Abdullah.

"Kita mahu suara ahli parlimen membawa suara sentimen tidak puas hati ahli di akar umbi untuk menyatakan undi tidak percaya mereka di parlimen," katanya.

Katanya mereka boleh membawa pendirian tersebut dengan segera kerana kepimpinan mereka terlalu lemah.

Dalam pada itu, katanya, itu adalah salah satu pilihan jika mereka tidak mahu melompat parti.

"Kami mengalu-alukan tindakan tersebut selain menjadi ahli KeADILan ataupun mengadakan pilihan raya.

"Tidak timbul untuk kita membeli MP kerana kita tidak ada duit, yang kita perlu adalah 30 kerusi lagi," katanya.


KOMENTAR PENDEK -Suhaimi Taib

Pengorbanan untuk masa depan rakyat dan negara Malaysia bersama PR.

Pidato perdana pimpinan PR bakal gegar Tasek Gelugor esok

TASEK GELUGOR, 6 April - Harakahdaily.net melaporkan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Dua dalam Parlimen Tasek Gelugor bakal bergegar lagi dan kali ini ia lebih hebat apabila Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Naib Presiden, Haji Mohamad Sabu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guang Eng dan Timbalan Ketua Menteri 1, Mohd Fairuz Khairudin dijangka mengadakan pidato perdana bertempat di Dewan Besar Sungai Dua jam 9.00 malam pada 7 April ini.

Semalam buat pertama kalinya dalam sejarah PAS menggunakan dewan tersebut untuk program parti bersama Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr. Mujahid Yusuf Rawa, Ahli Parlimen Padang Serai, Gobalakrisnan dan Setiausaha PAS Kedah, Saudara Yusuf Husin.

Program pidato perdana yang dijadualkan berlangsung di Stadium Batu Kawan pada peringkat awalnya terpaksa dipindahkan ke dewan berkenaan ekoran kesilapan teknikal.

Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Saleh Man ketika mengumumkan program itu berkata, rakyat negeri ini tanpa mengira bangsa dan agama dijemput hadir untuk bersama-sama mendengar amanah yang akan diberikan oleh kepimpinan PAS dan kerajaan negeri pimpinan Lim Guang Eng.

Jelas beliau, sebenarnya program tersebut bukan dirancang sebaliknya kesempatan kedatangan Presiden PAS mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Ketua Menteri di tingkat 28 Komplek Tun Abdul Razak (Komtar) pada hari Selasa pukul 11.00 pagi.

"Sebenarnya program ini bukan dirancang tetapi hasil kunjungan hormat Presiden PAS bertemu Ketua Menteri pada keesokanya. Jadi, PAS Negeri mengambil kesempatan untuk mengadakan pidato perdana untuk memberikan gambaran politik semasa tanah air agar apa yang disuarakan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) diketepikan.

Terang Ustaz Saleh seterusnya, pidato perdana ini merupakan pidato pertama setelah Pakatan Rakyat (PR) memenangi 82 kerusi parlimen dan menawan lima negeri iaitu, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan selangor serta mempertahankan Kelantan dalam pilihan raya umum yang ke-12, 8 Mac lalu.


KOMENTAR PENDEK -Suhaimi Taib

Malaysia ke arah negara rakyat yang menentukan hala tujunya sendiri bukan Umno dan kuncu-kuncunya.

PAS sokong langkah pro aktif Kerajaan Selangor terhadap setinggan

KUALA LUMPUR, 6 April - Harakahdaily.net melaporkan Lajnah Hal Ehwal Pekerja dan Peneroka Bandar PAS Pusat menyokong penuh langkah Kerajaan Negeri Selangor di bawah Menteri Besar barunya, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk mengurangkan bilangan setinggan di negeri ini sekali gus membebaskan mereka (peneroka bandar) daripada kitaran kemiskinan dan menjamin hak asasi rakyat untuk mendapat tempat kediaman yang selesa.

Demikian ditegaskan oleh Pengerusinya, Haji Anuar Tahir kepada media hari ini.

Katanya, PAS menyedari Selangor merupakan negeri yang pesat membangun, maju dan rakyatnya perlu memperolehi rumah mampu milik.

Beliau amat berterima kasih atas keprihatinan Kerajaan Selangor yang berjanji tidak akan menangani isu "setinggan" sama seperti yang dilakukan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini dengan polisi setinggan sifar yang menekan dan menindas peneroka bandar terbabit.

Sebaliknya, ujar Anuar yang juga AJK PAS Pusat, langkah Kerajaan Selangor yang terus menekankan hak perumahan untuk semua amat dialu-alukan dengan menentukan perumahan kos rendah mencapai spesifikasi minima yang lebih baik dan kondusif.

PAS juga menyokong penuh cadangan garis panduan baru yang akan diwujudkan untuk menentukan hak dan kebajikan setinggan dipertahankan pada setiap masa.

Tambahnya, sikap prihatin Kerajaan Selangor terhadap masa depan peneroka bandar juga amat disanjung tinggi sebagai sebuah kerajaan berkebajikan.

"Usaha mengeluarkan mereka dari kawasan setinggan untuk memberi anak-anak mereka masa depan yang lebih baik di samping menjaga kepentingan hak pemilik harta (property rights) dalam kawasan yang didiami setinggan tersebut sangat dialu-alukan demi kebaikan semua pihak," tegas Anuar.

PAS juga menyokong penuh cadangan Kerajaan Selangor yang akan memperkenalkan proses rundingan dengan semua pihak terbabit, termasuk badan-badan bukan kerajaan dan sektor korporat untuk memastikan semua pihak dapat memberi input dan mendapat maklumat yang sahih mengenai rancangan kerajaan.

Kepekaan Kerajaan Selangor, kata Anuar lagi, untuk tidak meneruskan kesilapan dan kezaliman dengan penguatkuasaan berat sebelah bagi mengisi kepentingan syarikat-syarikat kroni dalam menyelesaikan isu pekerja asing dan setinggan, amat diharapkan oleh rakyat.

PAS menyokong penuh inisiatif Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk mengambil pendekatan baru mengikut proses yang sah dengan cara berimbang terhadap implikasi sosial dan komersial untuk pembangunan Selangor.

PAS punyai peluang menang petisyen Dun Sanglang - Mafrel

KANGAR, 4 April (Hrkh) - Harakahdaily.net melaporkan Pengerusi Malaysians for Free and Fair Election (Mafrel), Abdul Malik Hussin melihat peluang yang amat cerah untuk PAS memenangi kerusi Dun Sanglang selepas difailkan petisyen pilihan raya.

Semalam Mahkamah Tinggi Kangar menolak permohonan Saman Pemula oleh Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin untuk mengisytiharkan beliau sebagai pemenang dalam PRU ke-12 bagi kerusi Dun N15 Sanglang.

Katanya, ini berdasarkan maklumat yang terkumpul dan beliau yakin pihak PAS (Ustaz Hashim) akan dapat menyiapkan kertas petisyen dalam masa yang ditetapkan iaitu 21 hari selepas keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 diwartakan.

"Calon PAS (Ustaz Hashim) ada peluang yang cerah untuk mendapat pengadilan oleh mahkamah pilihan raya berdasarkan maklumat yang ada dan diisytihar sebagai pemenang selepas petisyen," katanya.

Abdul Malik turut berada di Kangar semalam bagi mengikuti perkembangan kes tersebut.

Menurutnya lagi, Seksyen 38 Akta kesalahan pilihan raya membolehkan mana-mana calon yang terkilan dengan keputusan pilihanraya mengemukakan petisyen.

"Petisyen dibuat berdasarkan apa yang dituntut seperti memohon untuk membatalkan keputusan pilihan raya atau seperti kes Ustaz Hashim untuk memohon memperakui keputusan yang sebenar kerana berlaku kesilapan teknikal.

"Begitu juga beliau akan menuntut untuk diisytiharkan sebagai pemenang yang sah. Semuanya bergantung kepada tuntutan oleh pempetisyen. Ini juga termasuk menuntut diadakan pilihan raya semula berdasarkan kes-kes tertentu seperti kesalahan rasuah dan lain-lain," jelasnya.

Dalam PRU ke-12 pada 8 Mac lalu, Ustaz Hashim yang bertanding mempertahankan kerusi Dun Sanglang diisytiharkan kalah kepada pencabarnya, Abdullah Hassan dengan majoriti 149 undi.

Bagaimanapun berlaku kesilapan semasa mengisi nama calon pada borang 14 (Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Undi) yang mana Ustaz Hashim sepatutnya menang dengan majoriti 47 undi.

Umno dalam darurat - Tengku Razaleigh

KUALA LUMPUR, 4 April - Hakarahdaily.net melaporkan Umno kini dalam darurat dan telah memusnahkan demokrasinya sendiri apabila perlembagaannya dipinda dengan memasukkan peraturan baru yang menetapkan syarat bahawa anggota parti yang hendak bertanding jawatan Presiden hendaklah mendapatkan pencalonan sebanyak 30 peratus daripada bahagian Umno.

Menurut bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah parti itu kini dalam keadaan "darurat" sokongan dan keyakinan rakyat terhadapnya terjejas.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu berkata, tindakan segera perlu diambil sebelum kerosakan yang berlaku di dalam parti merebak sehingga menjejaskan asas tamadun dan perjuangan Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) yang telah dibina sejak 1946.

"Kita perlu mengadakan sidang muhasabah dengan segera, melibatkan perwakilan Umno yang selama ini menjadi nadi dan tenaga raksasa dalam kelangsungan hidup Umno selama 60 tahun," katanya dipetik oleh Bernama ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Khas Umno Bahagian Gua Musang di Bukit Cekati di sini, hari ini yang dihadiri 2,000 pemimpin, ahli Umno dan pemerhati politik.

Seramai anggota 423 perwakilan daripada 191 cawangan Umno bahagian itu hadir pada mesyuarat itu bagi meluluskan usul untuk mendesak Majlis Tertinggi Umno supaya mengadakan Perhimpunan Agung Khas bagi membincangkan punca prestasi teruk Umno pada pilihan raya umum lalu.

Tengku Razaleigh berkata muhasabah itu bertujuan membincangkan kelemahan dan kesalahan Umno selama ini dan memikirkan visi baru Umno untuk menghadapi masa depan yang lebih mencabar.

"Rakyat hari ini tidak sabar lagi dengan rakyat 40 atau 30 tahun yang lepas (dan) harapan mereka tidak sama lagi dengan harapan ibu bapa atau nenek mereka.

"Umno perlu terus relevan dengan cita- cita, harapan dan tuntutan mereka," katanya.

Beliau menggariskan beberapa perkara yang menjadi punca kelemahan Umno mulai tahun 1980an sehingga pilihan raya umum 8 Mac lepas.

Antara kelemahan itu adalah musnahnya demokrasi dalam Umno apabila perlembagaannya dipinda dengan memasukkan peraturan baru yang menetapkan syarat bahawa anggota parti yang hendak bertanding jawatan presiden hendaklah mendapatkan pencalonan sebanyak 30 peratus daripada bahagian Umno, kata Tengku Razaleigh.

Beliau berkata langkah itu bermaksud calon yang ingin bertanding untuk jawatan presiden memerlukan pencalonan daripada 58 bahagian Umno.

"Tujuan kononnya untuk mengelak supaya tidak sebarang anggota parti sesuka hati mengemukakan dirinya sebagai calon presiden atau jawatan lain. Saya tidak fikir anggota Umno yang tahu diri dan berbudaya sesuka hati saja mencabar presiden Umno," katanya.

Tengku Razaleigh berkata bahawa sebelum kuota itu diperkenalkan, Umno pernah mengadakan peraturan iaitu calon perlulah mendapat pencalonan daripada dua bahagian sahaja dan peraturan itu disifatkan sebagai munasabah.

"Untuk menyelamatkan Umno dan menjadikan parti itu terus relevan, cekap, kuat dan maju sepanjang zaman, demokrasi hendaklah dikembalikan di dalam Umno," katanya.

Umno Gua Musang lulus usul untuk perhimpunan khas

GUA MUSANG, 4 April - Harakahdaily.net melaporkan, Persidangan perwakilan khas Umno Gua Musang hari ini sebulat suara meluluskan usul untuk meminta Majlis Tertinggi Umno supaya mengadakan perhimpunan agung khas bagi membincangkan hala tuju parti selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Menurut laporan Bernama, lebih 400 perwakilan dari 119 cawangan bahagian tersebut yang menghadiri persidangan itu menyokong usul berkenaan selepas tiga perwakilan mengambil bahagian dalam perbahasan mengenainya.

Usul itu dicadangkan oleh Ketua Penerangan bahagian Dato' Nozula Mat Diah dan disokong anggota jawatankuasa bahagian Mat Yusof A Ghani sebelum dibuka untuk perbahasan.

Nozula adalah Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh manakala Mat Yusuf merupakan Adun Nenggiri.

Sebelum itu persidangan khas tersebut di Bukit Cekati di sini dirasmikan oleh ketua bahagian tersebut Tengku Razaleigh Hamzah yang juga Anggota Parlimen Gua Musang.

Persidangan yang menarik perhatian ramai itu turut dihadiri lebih 200 pemerhati dari Kelantan, Terengganu, Johor, Perak, Pahang, Perak, Kedah, Perlis, Selangor, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan.

Persidangan turut meluluskan usul untuk meminda beberapa perlembagaan parti.

Antara lain perwakilan mahu jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden dan anggota majlis tertinggi dipilih setiap tiga tahun sekali, begitu juga dengan jawatan ketua pemuda, naib ketua pemuda, ketua wanita dan naib ketua wanita, ketua dan naib ketua puteri.

Turut dipersetujui ialah ketua pemuda, wanita dan puteri diberi hak dan kuasa sepeti naib presiden.

Para perwakilan juga mahu calon yang menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan majlis tertinggi perlu terlebih dahulu menjadi anggota parti selama lima tahun pada tarikh pendaftaran pencalonan mereka.

Turut diluluskan ialah supaya diwujudkan sebuah jawatankuasa pemilihan bebas yang mengandungi 21 anggota yang tidak mempunyai sebarang jawatan dalam parti yang berkuasa serta bertanggunjawab dalam mengurus dan mengendali soal pencalonan dan pemilihan semua jawatan.

Enam litar kamera tertutup turut dipasang di luar dewan persidangan itu bagi memudahkan orang ramai mengikuti mesyuarat perwakilan khas tersebut.

Jawatan Speaker Dewan Rakyat, pembangkang wajar diberi peluang


KUALA LUMPUR, 4 April - Harakahdaily.net melaporkan Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw berkata jawatan Yang DiPertua atau Timbalan Yang DiPertua Dewan Rakyat di kalangan pembangkang perlu kerana sekurang-kurangnya perbezaan pendapat dan hasrat pihak pembangkang dapat disampaikan.

ImageKatanya, berdasarkan pengalamannya menjadi Ahli Parlimen sejak 1982, beliau melihat sepanjang perdebatan di Dewan Rakyat, pihak pembangkang seringkali diketepikan terutama sewaktu mengemukakan usul tergempar.

Beliau berkata demikian sebagai respons Pakatan Rakyat mengemukakan calon bagi melantik Yang DiPertua Dewan Rakyat dan Timbalan Yang DiPertua di kalangan Pakatan Rakyat.

"Seringkali apabila unsur tergempar dikemukakan pembangkang dan pihak kerajaan menganggap suatu perkara mungkin tidak sesuai dibentangkan, mereka akan menolak. Jadi pihak speaker akan mengikut kehendak kerajaan.

"Apa yang penting adalah seseorang speaker mestilah bersikap berkecuali dalam menjalankan tugas. Beliau juga harus memelihara kehormatan negara. Jika sesuatu perkara dibangkitkan dan akan membawa mudarat kepada negara serta menyinggung sesuatu kaum, beliau mesti mengelak dan menolak perkara tersebut sama ada usul tersebut datang daripada pihak kerajaan atau pembangkang," katanya sewaktu dihubungi Harakahdaily.

ImageBeliau memberi contoh tindakan yang dilakukan Ahli Parlimen Belanda, Geert Wilders yang dilihat menyiarkan sebuah filem yang menghina agama, seorang speaker tidak harus membenarkan perkara tersebut berlaku.

Mengenai cadangan Pakatan Rakyat yang mengemukakan namanya sebagai salah seoarang calon Yang DiPertua Dewan Rakyat, katanya beliau akan mengikut kehendak majoriti berhubung cadangan tersebut.

Tambahnya bagi pelantikan Yang DiPertua atau Timbalan Yang DiPertua Dewan Rakyat, proses tersebut harus diikuti secara demokrasi. Selain perlu mendapat persetujuan serta sokongan 88 orang Ahli Parlimen di kalangan Pakatan Rakyat, pelantikan tersebut juga harus mendapat sokongan sekurang-kurangnya 30 Ahli Parlimen di kalangan pihak kerajaan bagi mendapat sokongan majoriti.

Terima kasih kerana sumbangan anda. Sumbanglah untuk kebaikan perjuangan kita bersama.

Can't find what you're looking for? Try Google Search!

Google
 

Umno Sarkas

ANDA ADA MAKLUMAT ISU NEGARA?

Sila emailan kepada saya di seramaesty@yahoo.com atau hubungi saya di talian 013-9060111.

TERIMA KASIH ATAS KERJASAMA ANDA

Feedback Form

Join the Mailing List
Enter your name and email address below:
Name:
Email:
Subscribe  Unsubscribe 

Dr. Irfan menjelaskan Perniagaan Internet secara mudah kepada anda

Free Viral Advertising