Saya Suhaimi Taib, mendapat Sijil Pentadbiran Islam dari Kusza Kuala Terengganu (2002), Kursus Penerbitan Video Koperat Universiti Malaya (2003), Pengarang Warta Darul Iman (2000-2003) Penerbit Siaran Darul Iman (2003-2004), Wartawan Sambilan Berita Harian (1997-1998), Wartawan Harakah (1989-1996).
Menerima Anugerah kewartawanan Esso-Kawat (1997 dan 1998)

Hubungi saya melalui e-mel: seramaesty@yahoo.com atau H/P No: 013-9060111.

Wednesday, April 2, 2008

Khir Toyo kata semua kaum tolak DEB


KUALA LUMPUR, 2 April - Harakahdaily.net melaporkan Bekas Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo dalam mengupas isu kemelut pencapaian Umno/BN yang merosot teruk pada pilihan raya lalu menyimpulkan antara lain Dasar Ekonomi Baru (DEB) perlu dilihat semula.

Dalam forum Umno Pasca Pilihan Raya Umum ke-12 anjuran laman web Mykmu.net yang diadakan di Hotel Singgahsana semalam, Dr Khir berkata, DEB telah dilaksanakan lebih 30 tahun.

"Dalam blog saya yang kini mencapai hits lebih 40,000, ada komen dari pelbagai orang.Orang Melayu, Cina dan India rata-ratanya tak gembira dengan DEB.

"Kita kena cari formula baru yang boleh penuhi kehendak dan aspirasi rakyat, ini saya harap dalam forum kita kena bincang objektif bagaimana nak bincang masa depan negara," katanya.

Katanya, dalam pilihan raya lalu, bukan sahaja Melayu, tetapi Cina dan India tidak yakin dengan parti-parti yang mewakili mereka dalam BN.

"Dan kalau dilihat jumlah undi yang diberi kepada pebangkang seluruh Malaysia undi popular mereka besar berbanding BN hanya 48 peratus, majoriti pembangkang pula menang besar, sementara majoriti BN menang sedikit, walaupun kerusi BN lebih," katanya

Dengan keputusan yang penting hari ini ialah kerajaan, BN dan Umno kena lihat kehadapan apa yang perlu lakukan selepas BN alami krisis pada kali ini, katanya.

"Jika lihat sejarah kita kena kaji teliti, bila kalah pada tahun 1969, maka pada tahun itu ada perubahan besar dalam sistem politik dan kerajaan Malaysia.berlaku perubahan kepimpinan dan lahirkan DEB untuk kepentingan orang Melayu selain tidak meminggirkan Cina dan India," katanya.

Namun pada pilihan raya umum 2008, ramai melihat bahawa Umno seolah-olah tidak perjuangkan nasib orang Melayu, sementara MCA tidak perjuang orang Cina.

Begitu juga dengan MIC yang tidak memperperjuangkan nasib orang India, kata Dr Khir.

"Sebab itulah maka perubahan begitu besar, jika nak ambil formula 1969, bentuk Mageran dan lihat semua tentang DEB dan bagaimana ia dapat puas hati semua orang,

"Jika ambil formula tahun1999 (krisis kepimpinan Umno dimana Dato' Seri Anwar Ibrahim disingkir dari Umno) dengan tukar kepimpinan perkara sama berlaku juga tak selesai.Justeru kita kena lihat balik DEB ini dengan lebih objektif dan dapat beri kepuasan semua, ini dituntut oleh rakyat Malaysia," ujarnya.

Secara keseluruhannya Dr Khir meletakkan bukan sahaja krisis kepimpinan dalaman Umno/BN menyumbang kepada kekalahan tetapi isu ekonomi, pendidikan dan sebagainya turut memberi kesan kemerosotan sokongan rakyat terhadap BN.

"Kita nak reformasi, apa kaedah reformasi yang kita perlukan, sebab itu kita kena objektif. Umno, kerajaan kena reformasi, pendidikan kena reformasi., ekonomi kena reformasi," tegasnya.

Sementara itu bercakap mengenai isu peletakan jawatannya sebagai Pengerusi BN Selangor beliau berkata, beliau melihat semua pemimpin pakatan BN meletak jawatan selepas kalah dalam pilihan raya umum.

"Semua pemimpin MIC, MCA, GERAKAN meletak jawatan dan demi menjaga maruah Melayu, saya pun meletak jawatan," katanya ringkas.

Sementara itu semasa sesi soal jawan, Dr Khir ditertawakan oleh hadirin ketika cuba mengutarakan soal isu betapa bersihnya beliau memerintah Selangor.

"Saya cabar Tan Sri Khalid Ibrahim (MB Selangor kini) untuk cari apa masalah sahaja tentang saya sebab saya tahu saya bersih, saya tidak bersalah"

"Tuan-tuan boleh cek tengok akaun saya berapa sahaja yang ada" katanya.

Namun kata-katanya itu ditertawa dan dipersenda oleh beberapa penonton yang duduk di bahagian belakang dewan dan ada yang sinis dengan kenyataan Dr Khir itu.

Begitu juga semasa mempertahankan soal adanya campur tangan dalam pemilihan calon-calon Umno dalam pilihan raya umum yang lalu, Dr Khir yang tidak menafikan adanya campur tangan oleh pihak tertentu.

Namun keengganan Dr Khir mengakui adanya masalah dalam pemilihan calon dan meletakkan calon yang sebenarnya ditapis oleh agensi tertentu yang tidak lagi diyakini kredibilitinya turut dipersenda penonton.

KOMENTAR PENDEK- Suhaimi Taib

Membazir harta dan masa rakyat membiarkan Umno menerajui negara.



Pemimpin angguk punca Umno lesu

PETALING JAYA, 1 APRIL - Malaysiakini.com melaporkan seorang pemimpin Umno hari ini mendakwa parti itu menjadi semakin lesu kerana ia dipimpin oleh mereka yang suka mengangguk sahaja menyokong pemimpin atasan.


Sebaliknya parti itu boleh menjadi cergas jika diterajui oleh mereka yang cepat melakukan perubahan.

Ketua penerangan Umno Johor, Datuk Dr Mohd Fuad Zakarshi berkata, senario yang berlaku hari ini hampir sama dengan peristiwa kekalahan BN dalam pilihanraya umum 1999.

Katanya, perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad pada hari raya keempat telah memanggil semua ahli Majlis Tertinggi (MT).

"Seorang MT boleh bawa dua orang lagi. Saya ketika itu setiausaha politik Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan Mufti Johor Datuk Nooh Gadut hadir dalam mesyuarat tersebut.

"Dalam mesyuarat tersebut, Dr Mahathir bercakap mengenai tiga perkara mengapa Umno kalah teruk dalam pilihanraya umum 1999, termasuk anak-anak muda yang menjauhkan diri dari Umno," ceritanya ketika menyampaikan ucapan di forum forum 'Umno Pasca Pilihanraya ke-12: Satu Penilaian' di sebuah hotel di Petaling Jaya tengah hari ini.

Dr Mohd Fuad, yang juga ahli parlimen Batu Pahat berkata, Umno kini berdepan dengan situasi yang sama, malah lebih teruk lagi.

Sehubungan itu, pemimpin bersuara lantang itu bertanya "apakah yang kita lakukan?

"Tun (Dr Mahathir) mewujudkan Puteri Umno untuk menarik sokongan golongan muda, apa yang pemimpin sekarang buat?"

Beliau berkata, Umno kini telah hilang roh perjuangan kerakyatan, bangsa Melayu dan Islam kerana yang tinggal "roh perut" sahaja.

Katanya, berikutan itu Pemuda Umno memerlukan reformasi secara besar-besaran.

"Mentadbir Umno macam mentadbir negara (juga)... Umno tidak boleh ditadbir macam parti politik biasa. Kita mesti ada keupayaan intelektual.

"Kita tidak boleh bersandar pada kekuataan kerajaan, seolah-olah tidak sedar pada kekuatan (parti) sendiri," katanya.

Untuk melakukan perubahan dalam parti itu selepas kekalahan teruk pada pilihanraya umum lalu, Dr Mohd Fuad menegaskan pemimpin parti itu memerlukan keberanian dan keyakinan hati nurani.

"Jika tiada kekuatan dan keberanian, Umno akan terus ketinggalan kerana ia tidak boleh ditadbir secara tradisi lagi.

"Sebab itu saya kata peristiwa 8 Mac sebagai padah politik orang Melayu," katanya sambil menambah Majlis Tertinggi juga memerlukan rombakan.

Dr Mohd Fuad juga mengulas mengenai sistem kuota pencalonan barisan pemimpin atasan Umno yang sedang hangat diperkatakan sekarang.

Katanya, sistem kuota itu menuntut keberanian pemimpin peringkat bahagian dan dengan sifat itu mereka boleh mencalonkan sesiapa sahaja.

"Perlu ada keberanian untuk mengubah pemimpin. Mereka perlu berani untuk mencalonkan sama ada ada kuota atau tidak," katanya.

Umno mensyaratkan 30 peratus daripada 193 bahagian untuk pencalonan presiden, 20 peratus (timbalan presiden), 10 peratus (naib presiden) dan lima peratus bagi anggota MT.

Sementara itu dalam sidang media selepas itu, Fuad berkata, Umno memerlukan pemimpin yang mempunyai aura seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Tetapi beliau tidak sesuai dengan Umno," katanya.

KOMENTAR PENDEK –Suhaimi Taib

Apakah orang Melayu masih lagi berharapkan kepada Umno untuk terus memimpin negara ini setelah orang Melayu terus lemah selepas 50 tahun parti itu menerajui negara? Orang Melayu perlu menilai semula sikap mereka terhadap Umno selama ini.

Gua Musang adakan mesyuarat khas

GUA MUSANG, 1 APRIL - Umno bahagian Gua Musang akan mengadakan satu mesyuarat khasnya pada Jumaat ini khusus bagi meluluskan usul untuk mendesak Majlis Tertinggi mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) membincangkan prestasi buruk parti itu dalam pilihanraya umum lalu.


Ketua Pemuda Umno Gua Musang, Bazlan Baharuddin, berkata mesyuarat itu akan dipengerusikan ketua bahagian itu Tengku Razaleigh Hamzah bermula 10 pagi di pejabat Umno Gua Musang di Bukit Cekati.

Bernama memetik sumber sebagai berkata beberapa bekas menteri kabinet dan veteran Umno akan turut hadir di mesyuarat Jumaat ini.

Sebelum ini, Tengku Razaleigh dilaporkan berkata mesyuarat itu bagi membolehkan semua pihak termasuk akar umbi duduk berbincang mengenai sokongan rakyat kepada Umno.

Beliau juga pernah menyatakan kesediaan untuk bertanding merebut jawatan presiden Umno pada perhimpunan agung penghujung tahun ini.

Tidak bincang

Sementara itu, Bernama juga melaporkan bahawa badan perhubungan Umno Kelantan tidak pernah berbincang mengenai hasrat Tengku Razaleigh untuk mengadakan perhimpunan agung khas dan untuk mencabar presiden parti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam perhimpunan agung pada 16-20 Disember.

Ketua penerangannya Datuk Alwi Che Ahmad berkata sebagai ahli parti, Tengku Razaleigh berhak berbuat demikian dan Umno negeri tidak akan campur tangan.

Tengku Razaleigh sebelum ini menyatakan pendiriannya untuk mencabar Abdullah pada pemilihan tahun ini bagi memulihkan semula imej Umno yang tercalar dalam pilihanraya umum lalu.

Mengenai mesyuarat khas Jumaat ini, Alwi berkata Tengku Razaleigh mesti memikirkan soal masa depan Umno sebagai agenda utama.

"Apa pun yang Tengku Razaleigh buat itu mestilah untuk memantapkan Umno dan bukannya mempunyai kepentingan peribadi," katanya.

KOMENTAR PENDEK –Suhaimi Taib

Kemelut Umno ini menggambarkan parti itu tidak relevan lagi untuk rakyat Malaysia.

Umum aset wakil rakyat lepas berkuasa

Umum aset wakil rakyat lepas berkuasa

KUALA LUMPUR,1 APRIL- Malaysiakini.com melaporkan, Transparency International Malaysia (TIM) menyarankan wakil rakyat dan pegawai awam hanya diminta mengisytihar harta mereka yang diperoleh selepas tarikh mereka menang pilihanraya atau dilantik memegang jawatan masing-masing.

Pengisytiharan harta mereka kemudiannya dikemaskinikan secara berterusan dan bukannya dua tahun sekali, kata Presiden TIM, Tan Sri Ramon Navaratnam.

Di samping itu, katanya, rakyat juga mesti dimaklumkan segera apabila pegawai terbabit dan anggota mereka (termasuk isteri, anak-anak dan isteri mereka) memperolehi harta dan liabiliti baru.

Dengan itu, katanya dalam satu kenyataan hari ini, wakil rakyat dan pegawai awam memulakan tugas mengikut konsep 'asas sifar'.

Di samping itu, katanya, pengisytiharan keseluruhan aset mereka, termasuk yang diperolehi sebelum menjadi wakil rakyat atau dilantik memegang jawatan awam, boleh mendedahkan mereka kepada bahaya dan ancaman keselamatan.

Bagaimanapun, kata Ramon, mereka tidak terkecuali atau terlepas daripada siasatan dan pendakwaan Badan Pencegah Rasuah (BPR) jika mereka memperolehi aset secara tidak sah sebelum pemilihan atau pelantikan mereka.

Sambil mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa wakil rakyat diperlukan mengisytiharkan harta mereka, bdeliau berkata, TIM juga mahu pengisytiharan tersebut turut meliputi liabiliti.

'Nilai sebenar'

"Ini penting kerana kita perlu mengetahui 'nilai sebenar' mereka kerana ada sesetengahnya yang kadang-kadang meminjam lebih banyak daripada aset mereka dan terjebak dalam rasuah," katanya.

Sehubungan itu, TIM juga, kata Ramon, merayu kepada kerajaan supaya menjadi BPR sebuah badan bebas supaya dapat memerangi rasuah secara lebih berkesan lagi.

"Langkah ini meningkatkan kekuatan dan kewibawaan BPR dan meningkat sokongan rakyat," katanya.

Di samping itu, katanya, semua undang-undang yang berkaitan perlu diteliti dan dipinda untuk memerangi rasuah di semua peringkat.

Beliau berkata, ini termasu antara lain menggubal Akta Kebebasan Maklumat dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dengan segera.

"Kita mesti memerangi rasuah dengan penuh semangat sebagaimana kita mencapai kejayaan cemerlang dalam memerangi pengganas komunis," tambahnya.

Sehubungan itu, katanya, TIM berharap kerajaan akan mengamalkan strategi baru dan berinovasi untuk memenangi perang membasmikan kemiskinan sebelum ia menjejaskan masa depan Malaysia yang bersatu, progresif dan makmur.

KOMENTAR PENDEK –Suhaimi Taib

Soal keselamatan perlu juga diambil kira di samping integriti seorang pemimpin, sama ada dia terbabit atau tidak dengan rasuah atau penyalahgunaankuasa demi menjaga harta dan kepentingan rakyat dari dibolot dan disalahkangunakan pemimpin terbabit.

DUN S'gor: Permohonan Mano ditolak

KUALA LUMPUR, 1 APRIL - Malaysiakini.com melaporkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menolak permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Alam Shah, M Manoharan - yang kini ditahan di bawah ISA - untuk menghadiri upacara mengangkat sumpah wakil rakyat Selangor.


Menurut notis rasmi dari urusetia Dewan Undangan Negeri (DUN), majlis angkat sumpah kesemua 56 Adun Selangor akan diadakan pada 8 April depan.

Dalam pilihanraya umum pada 8 Mac lalu, Manoharan yang bertanding atas tiket DAP menang dengan majoriti 7,184 undi.

Beliau mendapat 12,699 undi untuk menewaskan calon BN-Gerakan, Ching Su Chen yang memperolehi 5,515 undi.

Manohan dan empat lagi pemimpin Hindraf - P Uthayakumar, V Ganabatirau, R Kengadharan dan K Vasantha Kumar - ditahan pada 13 Disember lalu bawah ISA selepas terbabit menganjurkan perhimpunan 25 November lalu serta membuat kenyataan yang berunsur hasutan terhadap kerajaan.

Star online melaporkan bahawa dalam satu kenyataan hari ini, Manoharan berkata KDN telah menolak permohonan isterinya, S Pushpaneela, berhubung perkara tersebut.

Permohonan tersebut dihantar oleh Pushpaneela pengarah kem tahanan Kamunting pada 21 Mac lalu.

Bagaimanapun, dalam jawapannya, pengarah kem berkenaan menolak permohonan tersebut.

Tiada sebarang sebab diberikan mengapa permohonan tersebut ditolak.

Sementara itu, Mahkamah Persekutuan akan mendengar pada hari Rabu rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, untuk membatalkan perintah penahanan kelima-lima pemimpin Hindraf itu di bawah ISA.

KOMENTAR PENDEK –Suhaimi Taib

BN perlu betul-betul diajar agar mengaku dan mempertegaskan ISA untuk jaga kepentingan Umno/BN sahaja. Himpun setengah juta rakyat Malaysia di Kuala Lumpur, buat demo hapuskan ISA.

PAS cadang pakatan politik baru

KUALA LUMPUR: 1 APRIL - Malaysiakini.com melaporkan, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mencadangkan penubuhan gagasan pakatan politik baru bagi mendepani cabaran politik baru di Malaysia.


Beliau membuat cadangan tersebut ketika berucap di program Himpunan Rakyat dan Munajat Perdana sempena kemenangan PAS di Selangor, di Stadium Melawati, Shah Alam malam tadi.

Kira-kira 25,000 orang menghadiri program tersebut.

Barisan Rakyat yang terdiri daripada pakatan PAS, PKR dan DAP yang diberikan mandat besar dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, "wajar menghulurkan tangan kepada rakan-rakan dalam Barisan Nasional (BN), khasnya wakil rakyat Umno, MCA, MIC dan Gerakan".

Katanya, mereka boleh bersama-sama - sama sama da secara bersendirian atau secara beramai menyertai gagasan politik baru ini bagi membina Malaysia baru yang lebih selamat, sejahtera dan makmur buat rakyat Malaysia keseluruhannya.

Abdul Hadi berkata, ternyata hasil dari gelombang kebangkitan rakyat dalam pilihanraya umum ke-12 yang lalu, BN kini sudah semakin dipinggirkan rakyat dan sudah semakin tidak relevan dalam arus politik negara.

Oleh itu, katanya, semua pihak perlu realistik dan menerima hakikat politik semasa ini dengan lapang dada.

Tuntutan rakyat

Abdul Hadi mengharapkan, melalui gagasan pakatan politik baru ini nanti, dapatlah semua pihak bersatu dan sama-sama menyusun agenda dan halatuju baru negara demi nasib dan masa depan semua rakyat tanpa mengira agama atau bangsa.

Presiden PAS turut menegaskan bahawa gagasan pakatan baru itu nanti perlulah memberi keutamaan kepada desakan dan tuntutan rakyat iaitu antaranya adalah:

Menyemak semula dengan meminda atau menghapuskan mana-mana undang-undang dan peraturan yang zalim dan mendiskriminasi terutamanya Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA), Akta Univerisiti dan Kolej Universiti (AUKU), Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan yang seumpamanya.

Segera melakukan reformasi terhadap amalan demokrasi dalam negara dengan memulihkan proses pilihan aya di Malaysia sebagaimana yang dituntut rakyat dan badan bukan kerajaan, khususnya yang melibatkan bidang tugas dan operasi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR).

Memperkasa dan memberikan kebebasan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebagai sebuah agensi pencegahan rasuah yang efektif dan tidak lagi mengamalkan pendakwaan berpilih.

Mengembalikan keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman negara dengan memastikan ianya benar-benar bebas dan tidak tertakluk kepada mana-mana badan atau kuasa politik.

"Adalah diharapkan cadangan ini dapat dipertimbangkan oleh semua pihak demi kebaikan dan kesejahteraan bersama," kata Abdul Hadi.

KOMENTAR PENDEK -Suhaimi Taib

Pakatan Rakyat yang mahu diwujudkan biarlah dirancang dengan rapi, menjadi satu pakatan alternatif untuk rakyat Malaysia, lebih baik dari BN.

Saya cadangkan daftar satu parti baru ganti BN.

Hishammuddin tersedar Umno ketepi ahli akar umbi


Apr 1, 08 12:14pm Malaysiakini.com melaporkan Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai berkata, sebarang perubahan dan reform yang mahu dilakukan oleh Umno kini mesti mengambilkira pandangan semua ahli, termasuk ahli biasa di peringkat cawangan.

Katanya, in termasuk tuntutan ahli di semua peringkat supaya sistem kuota pencalonan untuk jawatan tinggi parti dimansuhkan.

Hishammuddin berkata pucuk pimpinan Umno mesti memperhalusi dan menimbang apa yang diluahkan serta diharapkan oleh ahli-ahli di semua peringkat.

Katanya, persepsi di mana suara mereka tidak didengar, disekat atau diambil mudah, perlu diatasi.

"Apa yang saya harapkan setiap keputusan ini akan diterjemahkan dengan rasa penuh tanggungjawab dan jujur kepada apa jua kesan daripada hasil keputusan kita kelak," kata dalam satu kenyataan semalam.

Bernama memetik Hishammuddin sebagai berkata, keputusan pilihanraya umum yang lepas telah menuntut semua peringkat parti itu supaya bermuhasabah diri dan menerima realiti senario politik negara pada hari ini.

Sehubungan itu, katanya, Pemuda Umno akan akur dengan pendapat ahli mengenai sistem kuota yang dikenakan kepada calon jawatan tertinggi dalam parti itu.

Perlu berani

Beliau berkata, memandangkan sistem tersebut adalah pilihan ahli Umno dan dibentuk atas persetujuan ramai, maka jika hendak ditolak juga, ia mesti dipersetujui semua demi kebaikan parti.

"Kita perlu ingat, sistem kuota ini diterima dan diperkenalkan dahulu dengan tujuan untuk mengelak perpecahan dan keduanya untuk membolehkan hanya pemimpin yang difikirkan layak serta mendapat mandat suara akar umbi ditonjolkan bertanding.

"Pemuda akan tetap akur sekiranya hari ini ahli-ahli berpendapat bahawa sistem kuota yang ada sekarang tidak lagi memenuhi matlamat tersebut.

"Tetapi yang penting ahli-ahli perlu berani dan jujur untuk memilih serta menentukan siapa paling layak untuk memimpin parti keramat Umno ini," katanya.

Beliau mengulas cadangan beberapa pihak agar Umno memansuhkan sistem kuota yang memerlukan pencalonan daripada sekurang-kurangnya 60 bahagian bagi membolehkan seseorang itu bertanding jawatan presiden parti.

Hishammuddin berkata Pemuda juga telah membuat keputusan bahawa pemilihan parti kali ini tidak ditangguhkan dan telahpun ditetapkan pada 16 hingga 20 Disember depan.

KOMENTAR PENDEK-Suhaimi Taib

Pemimpin Umno baru nak dengar suara ahli biasa apabila sudah kalah teruk. Sebelum ini mereka cukup angkuh dengan keris telanjang (tidak sedar kuasa hampir dibogelkan) hunus sana sini, ingat ada orang takut dengan keris telanjang yang longlai itu.


Kerajaan Baru Terengganu - BR17, BN15?

KOMENTAR SEMASA

Suhaimi Taib


(I)


Krisis politik Terengganu terkini bermula apabila Umno/Barisan Nasional (BN) merancang untuk menjatuhkan Kerajaan PAS (1999-2004) dengan mengatur stragedi jahat membawa masuk berpuluh-puluh ribu pengundi luar (hantu) ke dalam Daftar Pemilih dengan memperalatkan dan mengerahkan agensi kerajaan tertentu melaksanakan kerja kotor ini bagi memenangkan BN di negeri itu.

Akhirnya, BN berjaya menumbangkan kerajaan PAS di Terengganu sehingga PAS hanya berjaya bertahan di Rhu Rendang, Batu Burok, Wakaf Mempelam dan Manir sahaja dalam pilihan raya tersebut.

Seterusnya selepas BN berjaya menang besar dalam pilihan raya tersebut dengan penipuan licik itu, Dato' Seri Idris Jusoh dipertaruhkan sebagai Menteri Besar.

Dipercayai dengan sikapnya yang tidak sesuai sebagai Menteri Besar (mungkin sesuai untuk seorang kontraktor Umno), telah mengadakan semacam konfrantasi dengan Istana sama ada dia sedar atau tidak, tidak menjadi persoalan penting di sini.

Akhirnya berpunca dari sikap Idris dan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang meminggirkan rakyat dalam pembangunan negeri Terengganu menjadikan BN berkonfrantasi secara indirect (tidak langsung) dengan pihak istana yang cukup dihormati rakyat.

Rakyat mengharapkan ke bawah Duli Tuanku Mizan Ibni Sultan Mahmud (Yang kini Yang Dipertuan Agong) dapat memayungi hasrat suara hati mereka apabila pilihan raya terbukti gagal mempertahankan mengembalikan semula kerajaan Barisan Alternatif (BA) pimpinan PAS yang menjadi pilihan mereka dalam pilihan raya umum ke 12 8 Mac lalu.

Mereka percaya kegagalan BA kerana perancangan jahat BN di bawah kepimpinan Idris. Mereka mengharapkan selepas ini senario politik berubah sekaligus daftar pemilih dapat dibersihkan dengan segera dari pengundi hantu.

(II)

Kemenangan BN dalam pilihan raya umum ke 12, 8 Mac lalu tercetus dari ketidakbersihan daftar pemilih tersebut. Ini diikuti perkembangannya oleh pihak istana sebagai payung negeri Terengganu.

Kebetulan dalam pengundian menyokong siapa yang layak menjadi Menteri Besar selepas peristiwa angkat sumpah di Istana Maziah, Kuala Terengganu ditangguhkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Dato' Ahmad Said tidak mengundi Idris dicalonkan memegang jawatan itu.

Bagaimanapun sebagai sedia maklum Umno Terengganu sendiri dilatari dengan perpecahan sejak pemilihan calon pilihan raya umum yang lalu dan beberapa insiden lain sebelum itu.

Sekurang-kurangnya empat orang ketua bahagian parti itu tidak dipilih sebagai calon termasuk Ketua Bahagian Kuala Terengganu, Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh, Ketua Bahagian Marang, Dato' Abdul Rahman Bakar, Ketua Bahagian Hulu Terengganu, Dato' Tengku Putera Tengku Awang dan Ketua Bahagian Dungun, Dato' Dr. Rosli Mat Hassan.

Ini ada kaitan rapat dengan kesungguhan Idris membentuk team politik yang sentiasa meletakkan dirinya sebagai yang utama.

Atau dengan kata lain, team tersebut keseluruhannya dikatakan ada kaitan dengan keluarga beliau sendiri sama ada dari sebelah dirinya atau sebelah isterinya.

Mungkin boleh disebut Idris mahu membentuk empayar politik kekeluargaan (Family Political Team), sekiranya beliau berjaya dilantik menjadi menteri besar selepas BN berjaya bertahan kemenangan di negeri Terengganu.

Massa boleh menyiasat siapakah sebenarnya calon-calon BN yang menang dalam pilihan raya umum baru-baru ini. Apakah hubungan kekeluargaan dengan Idris sama ada jauh ataupun dekat?

Idris mungkin telah dapat membaca pergolakan politik dalaman Umno, bagaimanakah caranya mahu mengekalkan pengaruh supaya beliau tetap menjadi pemimpin Umno yang mesti diterima sebagai teraju parti sepanjang masa yang dikehendaki oleh beliau sendiri.

Beliau dipercayai Umno menghadapi kemelut ketidakyakinan ahli parti bahawa kepimpinan boleh bertahan lama kerana sentiasa menimbulkan krisis khususnya dengan pihak istana.

Setakat ini, meneliti ucapan dan kenyataan yang dibuat kepada media yang menzahirkan kononnya beliau masih relevan dan rakyat masih mahukan beliau sebagai menteri besar, menunjukkan Idris mahu kekal memegang jawatan itu.

Pembangkang tidak berupaya menyekat Idris dan teamnya itu dari memegang tapuk kuasa negeri tetapi pihak istana dipercayai berupaya berbuat demikian sehinggalah Idris gagal menjadi menteri besar dalam pergelutan politik ini.

Langsung Ahmad yang zahirnya kelihatan terkatung-katung bersendirian dikurniakan watikah sebagai menteri besar. Bermulalah era pertarungan hebat antara dua team dalam Umno Terengganu yang didokong oleh Idris dan Tengku Putera yang juga Timbalan Perhubungan Umno negeri itu secara tidak langsung.

Dipercayai Wan Ahmad Farid berada dalam team Tengku Putera tetapi oleh kerana beliau masih lagi berkerja dengan Pak Lah sebagai Setiausaha Politik (ketika artikel ini ditulis) maka beliau terpaksa akur dengan kehendak Perdana Menteri itu untuk memilih Idris sebagai menteri besar.

Idris diberi watikah perlantikan oleh Pak Lah sebagai menteri besar, kata kebanyakan siaran media. Siapakah sebenarnya yang layak memberi watikah perlantikan menteri besar sama ada sultan negeri-negeri atau Perdana Menteri dari segi undang-undang?

Saya percaya ke Bawah Duli Sultan setiap negeri atau wakil baginda sahaja layak berbuat demikian bukan Perdana Menteri.

Jadi, tidak perlu berbuat sesuatu yang melucukan untuk hanya sekadar mengambil hati ahli-ahli parti sedangkan ia tidak memberi ertipun kepada pelaksanaan undang-undang.

(III)

Kemelut politik Terengganu kini ditentukan oleh keputusan pihak istana mengurniakan Ahmad sebagai menteri besar. Tidak timbul soal campurtangan istana dalam politik dlam isu Terengganu dan begitu juga Perlis.

Tetapi yang jelas dalam isu ini ialah peruntukkan kuasa raja mengurniakan watikan perlantikan menteri besar diberi hak pelaksnaan sewajarnya tanpa sebarang gangguan dari mana-mana pihak.

Sementara itu, Ahmad kini dipercayai telah berjaya mendapat lapan Adun secara diam-diam, menurut satu maklumat yang diterima penulis.

Siapa mereka? Penulis belum membuat penyiasatan rapi. Maklumat inipun penulis belum berani mengatakan ianya benar dan sahih melainkan dibuktikan secara sahih melalui media.

Bagaimanapun jika ianya benar, sekadar lapan Adun, Ahmad tidak boleh membentuk kerajaan bersendirian sekiranya tanpa sokongan kira-kira lapan orang lagi adun lain sama ada dari BN atau PAS untuk membentuk kerajaan majoriti mudah.

Jika hanya lapan Adun BN sahaja berjaya ditarik atau dipujuk bererti lapan Adun PAS perlu bergabung dengan kumulan Ahmad untuk membolehkan kerajaan tersebut ditubuhkan.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu semuanya berjumlah 32 kerusi. Dengan perkiraan itu BN hanya tinggal 15 Adun sahaja dan bolehlah menjadi pembangkang yang kuat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, jika tiori penulis ini menjadi realiti.

Timbul persoalan apakah PAS mahu bergabung dengan kumpulan pilihan Ahmad untuk tubuh kerajaan? Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan medianya tidak bersedia berbuat demikian kerana pengalaman kemasukan PAS dalam BN dalam tahun 1970-an mengajar segala-galanya.

Mungkin ia menjadi satu kenyataan sekiranya, lapan Adun BN dan Ahmad dipecat dari parti. Ketika itu mungkin PAS bersedia bergabung dengan sama ada Ahmad dan kumpulannya menjadi Adun bebas atau masuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) ataupun masuk PAS.

Bagaimanapun Ahmad dilaporkan berkata beliau tidak berniat untuk menderhaka kepada parti.

Ataupun sanggupkah Majlis Tindakan Tatertib Umno memecat kumpulan Ahmad dari parti itu untuk melihat kerajaan Terengganu beralih arah kepada kerajaan gabungan Barisan Rakyat (BR)?

Penulis berpendapat Umno perlu berfikir berkali-kali dalam soal memecat ahlinya di saat ini jika mahu mengekalkan survival politik parti itu di Terengganu.

Bagaimanapun dunia politik tidak pernah bersifat objektif sejak dahulu sampai sekarang dan akan datang pun. Kata-kata pemimpin boleh berubah dari semasa ke semasa, apa lagi tindak tanduk mereka.

Ahmad mempunyai masa kira-kira 90 hari (dari tarikh beliau menerima watikah perlantikan sebagai menteri besar, 23 Mac lalu) untuk membentuk kerajaannya sama ada berjaya menambat hati semua Adun BN kembali bersama-sama dengannya meninggalkan Idris atau hanya lapan orang Adun itu sahaja berjaya ditarik menyertai beliau membentuk kerajaan.

Jika perancangan menarik semua wakil rakyat BN menyertai kumpulannya sekaligus tidak berupaya membentuk kerajaan BR berasaskan tiori berkenaan, pilihan raya semula di Terengganu mungkin boleh diadakan semula.

Namun, PAS masih dipercayai sukar untuk mendapat lonjakan undi sokongan rakyat dengan selesa jika sekiranya daftar pemilih tidak dibersihkan dari unsur pengundi hantu.

Melainkan ahli Umno atau penyokong BN mengadakan protes, tidak keluar mengundi dalam pilihan raya tersebut, akan memberi peluang PAS berkuasa semula memerintah negeri itu.-Malaysian Public Opinion Online

Mahathir Cadang EGM Pinda Perlembagaan Umno Mansuh Undi Bonus

PETALING JAYA, 1 April - Bernama melaporkan, Mantan Presiden Umno, Tun Dr. Mahathir Mohamad nampaknya terus mengasak ahli parti itu supaya mengadakan mesyuarat agung khas atau luar biasa (EGM) antara lain untuk memansuhkan undi bonus bagi pertandingan jawatan parti tersebut.

Dr Mahathir berkata mesyuarat agung khas atau luar biasa (EGM) Umno, jika diadakan, perlu meminda perlembagaan Umno bagi memansuhkan peraturan undi bonus bagi pertandingan jawatan parti Disember depan.

Bekas Perdana Menteri itu berkata jika ada desakan ramai, Majlis Tertinggi (MT) Umno akan setuju mengadakan mesyuarat khas itu yang juga perlu mengkaji punca kekalahan besar Umno yang menerajui Barisan Nasional pada pilihan raya umum 8 Mac lepas. "Saya tertarik dengan cadangan Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah supaya Umno) mengadakan mesyuarat khas membincangkan kekalahan...tapi perlu juga bincang soal undi bonus," katanya pada forum "Umno Pasca Pilihan raya Umum ke-12" di sebuah hotel di sini hari ini.

Forum anjuran Mykmu.net turut dihadiri anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, anggota Exco Pemuda Umno dan anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Ketua Penerangan Umno Johor yang juga anggota Parlimen Batu Pahat Dr Puad Zarkashi.

Tengku Razaleigh yang merupakan Ketua Umno Bahagian Gua Musang baru-baru ini mencadangkan mesyuarat agung khas diadakan bagi membolehkan pimpinan Umno akar umbi memberi pendapat berhubung kekalahan BN di Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang serta kegagalan merampas Kelantan daripada PAS.

Dr Mahathir berkata beliau mengakui undi bonus diperkenalkan semasa beliau menerajui Umno dulu, tetapi menurutnya, pada masa itu anggota Umno bebas mencalonkan sesiapa untuk bertanding.

Sebaliknya, beliau berkata kini anggota Umno takut pada kepimpinan parti dan memberi contoh ketika Tengku Razaleigh mengumumkan hasrat bertanding jawatan presiden Umno pada pemilihan lepas, bahagian-bahagian yang berjanji akan mencalonkan beliau tidak berbuat demikian.

Beliau berkata dalam senario Umno hari ini, apa yang penting ialah bagi anggota Umno untuk bersuara secara berani memberitahu pendapat mereka mengenai apa yang salah mengenai parti dan kepimpinannya.

Dr Mahathir memberi amaran jika anggota Umno tidak berani mulai sekarang menyuarakan apa yang benar, maka Umno akan menghadapi jalan kehancuran kerana jika tunggu sampai pilihan raya akan datang, apa juga pendapat yang disuarakan adalah terlambat.

Malahan katanya, Umno akan menjadi tidak relevan, jika negeri-negeri yang sekarang ditadbir kerajaan campuran PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP menunjukkan prestasi baik hinga menyebabkan pelbagai kaum termasuk orang Melayu terus menyokong pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

Ketika sesi soal jawab, Dr Mahathir berkata peluang harus diberi kepada sesiapa yang tampil ke hadapan untuk bertanding jawatan presiden Umno.

"Walaupun dulu kata (Timbalan Presiden Datuk Seri) Najib (Tun Tazak) patut ganti...tapi tak tahu kenapa...(sekarang) saya tukar fikiran.

"Masa itu kita buat penilaian apakah Najibkah...Muhyiddinkah (Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin) ...sesiapa," kata Dr Mahathir.

Sambil menegaskan beliau tidak mahu menyokong pemimpin yang tidak baik bagi parti dan negara, Dr Mahathir berkata Umno boleh dipulihkan jika semua anggota berani menyuarakan pendapat.

Dr Mahathir berkata beliau tidak gentar disingkir daripada parti akibat kelantangannya menyuarakan pendapat, kerana beliau pernah mengalaminya sebelum ini.

Mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang ramai pihak menganggap telah memperkayakan segelintir pihak, Dr Mahathir berkata tidak ada apa yang salah dengan dasar itu, tetapi yang salah adalah pada pemimpin.


Tuntut Honorarium Berganda-Cuepacs

KUALA LUMPUR, 1 April, Bernama melaporkan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bercadang membuat tuntutan berganda bagi bayaran honorarium kakitangan awam jika kerajaan tidak memberikannya dalam waktu terdekat.

Setiausaha Agung Cuepacs Ahmad Shah Mohd Zin berkata tuntutan berganda itu sebagai bayaran bagi tahun 2007 dan 2008 dan ia akan dibincangkan dalam mesyuarat majlis tertinggi kongres Cuepacs di Trolak, Perak esok.

Katanya Cuepacs juga meminta kerajaan memansuhkan ujian Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang perlu diduduki kakitangan awam sebagai syarat untuk kenaikan pangkat.

Selain itu, katanya Ceupacs juga menggesa kerajaan menambah elaun perumahan sedia ada kerana ia tidak relevan dengan keadaan ekonomi negara sekarang.

"Kami juga menuntut supaya kerajaan membayar semula elaun ketukangan khas bagi kakitangan Gred K1 dan K2 yang ditarik balik baru-baru ini," katanya kepada Bernama hari ini.

Cuepacs sedang mengadakan bengkel Pemantapan Kepimpinan dan Pengurusan Cuepacs Kebangsaan di Trolak sejak semalam.

Dalam tuntutan Cuepacs tahun lalu, ia meminta kerajaan memberikan honorarium RM2,000 kepada semua kakitangan awam tanpa mengira pangkat sebagai ganti bonus tahunan yang tidak diberikan tahun lepas.

Ahmad Shah berkata Cuepacs kecewa dengan tindakan kerajaan yang seakan memandang ringan pada tuntutan pertubuhan itu yang mewakili kira-kira 500,000 kakitangan awam seluruh negara.

"Kerajaan seakan bermain tarik tali dengan Cuepacs mengenai perkara ini, sekejap kata ada, dalam masa pada itu berdiam diri dan membiarkan kami tertunggu-tunggu," katanya.

Beliau berkata Cuepacs telah menunggu sehingga semalam mengharapkan kerajaan akan memberikan honorarium itu terutama sebelum pilihan raya umum 8 Mac lepas, tetapi tiada sebarang tanda yang kakitangan awam akan menerimanya.

"Berikutan kegagalan itu, Cuepacs akan membincangkan isu itu secara serius esok. Kami tidak menolak kemungkinan akan meminta kerajaan membayar sekali ganda daripada permintaan asal," katanya.

Ahmad Shah berkata mesyuarat majlis tertinggi kongres esok juga akan mengambil ketetapan yang kerajaan perlu membayar honorarium yang dituntut Cuepacs.

"Jika kerajaan gagal berbuat demikian, Cuepacs tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan drastik termasuk berpiket di seluruh negara," katanya sambil menambah perkara itu hanya menunggu restu dari Majlis Tertinggi Cuepacs.

Selain itu, katanya, Cuepacs juga akan memulakan "road show" ke seluruh negara mengenai tuntutan berkenaan minggu depan.

Mengenai cadangan memansuhkan ujian PTK bagi kakitangan awam, Ahmad Shah berkata Cuepacs tetap bertegas mahu ujian itu dihentikan.

"Cuepacs merasakan ia bukan sahaja membuang masa dan tenaga kakitangan terbabit untuk menduduki peperiksaan, tetapi ia juga tidak relevan dengan tuntutan kerja semasa.

"Cuepacs lebih bersetuju jika ujian itu digantikan dengan kursus-kursus khas yang boleh meningkatkan kecekapan dan produktiviti pekerja," katanya.

Mengenai bengkel yang sedang berlangsung, katanya, ia bertujuan membincangkan isu berkaitan pemantapan kepimpinan dan pengurusan Cuepacs di bawah pimpinan jawatankuasa kerja yang baru.


Terima kasih kerana sumbangan anda. Sumbanglah untuk kebaikan perjuangan kita bersama.

Can't find what you're looking for? Try Google Search!

Google
 

Umno Sarkas

ANDA ADA MAKLUMAT ISU NEGARA?

Sila emailan kepada saya di seramaesty@yahoo.com atau hubungi saya di talian 013-9060111.

TERIMA KASIH ATAS KERJASAMA ANDA

Feedback Form

Join the Mailing List
Enter your name and email address below:
Name:
Email:
Subscribe  Unsubscribe 

Dr. Irfan menjelaskan Perniagaan Internet secara mudah kepada anda

Free Viral Advertising