Saya Suhaimi Taib, mendapat Sijil Pentadbiran Islam dari Kusza Kuala Terengganu (2002), Kursus Penerbitan Video Koperat Universiti Malaya (2003), Pengarang Warta Darul Iman (2000-2003) Penerbit Siaran Darul Iman (2003-2004), Wartawan Sambilan Berita Harian (1997-1998), Wartawan Harakah (1989-1996).
Menerima Anugerah kewartawanan Esso-Kawat (1997 dan 1998)

Hubungi saya melalui e-mel: seramaesty@yahoo.com atau H/P No: 013-9060111.

Friday, March 28, 2008

MB T'ganu: Umno mahu Ahmad

Krisis pelantikan menteri besar Terengganu selesai hari ini apabila calon lantikan istana, Datuk Ahmad Said, mendapat sokongan penuh Majlis Tertinggi (MT) Umno.


"Tiada seorang pun (ahli MT) yang bantah," kata seorang anggota majlis itu Datuk Abdul Rahman Bakar kepada Malaysiakini, sejurus sebelum presiden Umno mengumumkannya.

Susulan itu, kata ketua bahagian Marang itu, presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan bekas menteri besar Datuk Idris Jusoh menerima pelantikan Ahmad.

Wakil rakyat Kijal itu menerima watikah pelantikan daripada Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Ahad lalu tetapi gagal mengangkat sumpah, seperti jadual asal, apabila istiadat itu dipulaukan oleh 23 lagi wakil BN.

Kumpulan 22 wakil rakyat BN itu mahu mengekalkan Idris, antaranya, dengan alasan beliau mendapat dukungan majoriti dan sokongan Perdana Menteri.

Idris, sebagai ketua perhubungan Umno negeri, hadir bersama Abdul Rahman dan ketua Hulu Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Majlis Tertinggi dianggotai 52 orang pemimpin Umno.

Dalam sidang medianya tadi, Abdullah berkata keutamaan Umno negeri itu adalah untuk melantik barisan ahli majlis mesyuarat (exco) kerajaan negeri secepat mungkin.

Abdullah juga menafikan keputusan MT menerima Ahmad sebagai "memalukan" beliau dan parti.

Keputusan MPPR akan diterima oleh Idris dan 22 penyokongnya itu, tambah Abdullah.

Mesyuarat itu, yang diadakan di ibu pejabat Umno mulai pukul 3 petang, berlangsung lebih empat jam. Ia diadakan kali kedua selepas tamat pilihanraya umum 8 Mac.

Abdullah juga mengumumkan Ahmad sebagai menteri besar dalam sidang medianya tadi.

Idris, yang dikatakan mengadakan pertemuan dengan 22 wakil rakyat yang menyokongnya, gagal dikesan.

Kumpulan lebih 10 wartawan berada di luar bilik pertemuan itu di tingkat 38 bangunan ibu pejabat Umno menunggu selama tiga jam sehingga pukul 10 malam.

Sementara itu, Badan Pencegah Rasuah dilaporkan sedang menyiasat penyelewengan seorang ahli politik Terengganu yang membabitkan tiga projek di Kijal dan Chukai, kedua-duanya di Kemaman.

Polis negeri pula menyatakan sebanyak 26 aduan diterima sepanjang krisis pelantikan menteri besar tetapi hanya empat kertas siasatan dibuka, antaranya kain rentang bertulisan "Kami nak Idris, natang". - Malaysiakini.com

Kronologi krisis 19 hari Idris-Istana

Mac 27, 2008- Bermula dengan penangguhan majlis angkat sumpah dua hari selepas pilihanraya umum 8 Mac, krisis pelantikan menteri besar Terengganu berakhir di meja mesyuarat Majlis Tertinggi Umno hari ini.

Tarikh penting krisis menteri besar Terengganu

9 Mac - Menteri besar Datuk Seri Idris Jusoh, yang cuba menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, gagal menemui baginda sehingga tengah malam.

Beliau ingin menghadap untuk menyerahkan senarai ahli majlis mesyuarat (exco) kerajaan negeri selepas BN kembali memerintah negeri itu - 24 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

10 Mac - Majlis angkat sumpah menteri besar (Idris) di Istana Maziah, Kuala Terengganu ditangguhkan ke suatu tarikh yang tidak ditetapkan.

11 Mac - Idris, wakil Jertih dan juga pengerusi BN negeri, kelihatan sugul dan tegang apabila media bertanya persoalan beliau tidak mendapat perkenan istana sebagai menteri besar bagi penggal kedua.

12 Mac - Nama Datuk Ahmad Said, wakil rakyat Ajil, antara tiga nama yang disebut-sebut menggantikan Idris.

Setiausaha perhubungan Umno negeri Datuk Rosol Wahid, wakil Ajil, dan Datuk Mohamad Awang Tera, wakil Chukai, turut dinamakan.

Mohamad menafikannya kepada Malaysiakini dan menyebut beliau dan wakil-wakil BN akan berdiri di belakang Idris.

14 Mac - Idris mengesahkan tidak hadir dalam pertemuan semua 24 wakil BN dengan Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) yang dijadual diadakan di sebuah hotel di Putrajaya.

15 Mac - Pertemuan wakil-wakil BN dengan MPPR dibatalkan dua jam sebelum dijadual berlangsung 11 pagi.

Seramai 20 wakil BN bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung pelantikan menteri besar Terengganu, selain menyatakan sokongan mereka kepada Idris.

Istana Terengganu dilaporkan menafikan pembabitannya dengan isu pelantikan jawatan itu.

18 Mac - Idris menyeru penduduk Terengganu bertenang sewaktu negeri itu ketiadaan menteri besar dan berkata beliau masih belum mendapat apa-apa maklumat mengenai upacara mengangkat sumpah jawatan tersebut dari pihak istana.

19 Mac - Peguam Negara mengeluarkan kenyataan bahawa Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak terlibat dalam pemilihan calon menteri besar.

Menurut perlembagaan, kata beliau, Baginda dilarang menjalankan fungsi sebagai Sultan Terengganu kecuali fungsi sebagai ketua agama Islam.

Tan Sri Abdul Gani Patail menambah, dengan itu Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai calon baginda sendiri bagi jawatan tersebut dan menyedari hakikat bahawa urusan pelantikan sepenuhnya pada MPPR.

20 Mac - Polis menahan empat lelaki berusia 23 hingga 27 tahun kerana dipercayai membawa 20 helai kain rentang kira-kira 1.45 pagi mengenai pelantikan menteri besar di Jalan Sultan Mahmud, sebatang jalan utama di Kuala Terengganu.

21 Mac - Empat lelaki tersebut, yang disiasat antaranya menurut Akta Hasutan dan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, dibebaskan.

Polis memberi amaran kepada penyebar SMS, yang dilaporkan semakin meluas sejak beberapa hari lepas, tentang isu pelantikan menteri besar.

22 Mac - Pejabat Sultan Terengganu mengumumkan pelantikan Ahmad sebagai menteri besar dan majlis angkat sumpah dijadual pagi esoknya.

Seramai 22 wakil BN, yang diketuai Rosol, mengisytiharkan untuk memulau majlis tersebut.

Buletin Utama TV3 melaporkan, seorang ahli politik Terengganu (yang tidak dinamakan) kini sedang disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung beberapa projek di Kijal.

Setiausaha agung Umno Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor memberi amaran kepada Ahmad agar tidak menerima pelantikan tersebut atau sedia menerima tindakan disiplin.

23 Mac - Majlis angkat sumpah ditangguhkan dan Ahmad hanya menerima watikah pelantikan daripada MPPR.

Rosol, bagi pihak kumpulan wakil rakyat BN yang memboikot majlis tersebut, menyerahkan memorandum sokongan untuk Idris dipilih sebagai menteri besar kepada MPPR.

Rosol juga menyatakan Umno negeri telah melucutkan keahlian Ahmad.

Idris bertolak ke Kuala Lumpur untuk bertemu Perdana Menteri selepas sidang akhbar di kediaman rasminya.

Perdana Menteri menyifatkan pelantikan Ahmad tidak mengikut Perlembagaan kerana Ahmad tidak mendapat sokongan majoriti wakil BN.

Malam ini di Kuala Lumpur, semua 23 wakil BN terus mengulangi ugutan untuk melepaskan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri jika Ahmad dilantik MB.

Rosol, di sidang media itu, menafikan kenyataan timbalan ketua badan perhubungan Umno negeri Datuk Tengku Putera Tengku Awang bahawa semua ketua bahagian menolak Idris.

Hanya bahagian-bahagian Hulu Terengganu (diketuai Tengku Putera), Marang, Dungun dan Kemaman (diketuai Ahmad) menolak Idris (ketua bahagian Besut); manakala Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Setiu menyokongnya.

Peguam Negara menasihatkan Pemangku Raja Terengganu dan MPPR agar melantik seseorang yang mendapat dukungan majoriti wakil rakyat seperti termaktub peruntukan Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu.

Tan Sri Abdul Gani Patail berkata beliau memohon menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, yang juga Sultan Terengganu, untuk menjelaskan fakta-fakta dalam isu tersebut.

24 Mac - Ahmad disambut meriah di kawasannya Kemaman, diarak dengan konvoi kenderaan sejauh 10 kilometer dari sempadan Pahang ke rumahnya di Teluk Kalong petang ini.

Ahmad bertegas akan ke pejabat menteri besar untuk memulakan tugas di Wisma Darul Iman esok.

Sebelah tengah hari, Ahmad menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan di Istana Terengganu, Kuala Lumpur.

PAS menyatakan sokongan kepada pelantikan Ahmad seperti telah diperkenan oleh MPPR.

PKR membuat aduan polis di Kuala Terengganu, mendakwa perdana menteri, timbalan perdana menteri serta 23 wakil rakyat BN "bersikap biadap dan menderhaka" kepada Sultan Terengganu.

25 Mac - Ahmad tiba di Wisma Darul Iman sebelum jam 8 pagi, solat hajat dan masuk ke pejabat lamanya sewaktu menjadi exco penggal lalu.

Idris melahirkan kesediaan memohon keampunan daripada Sultan Terengganu atas segala kesilapan yang telah menimbulkan kemurkaan baginda.

Pemuda PAS menggesa polis menyiasat kain rentang "Kami nak Idris, natang" didakwanya menghina institusi raja.

Pemuda PAS Terengganu membuat laporan polis berhubung kain rentang itu dan kenyataan beberapa pemimpin Umno negeri dalam Berita Minggu dua hari sebelumnya.

26 Mac - Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong, antara membincangkan krisis pelantikan menteri besar Terengganu.

Idris bertemu Abdullah di pejabatnya di Putrajaya. Butiran kedua-dua pertemuan ini tidak didedahkan kepada umum. Spekulasi menyebut, Ahmad kekal sebagai menteri besar.

Rosol, bagi pihak kumpulan 22 wakil rakyat yang menyokong Idris, menggesa Abdullah agar "bersikap tegas" melantik bekas menteri besar itu.

Sekumpulan penduduk negeri itu membuat aduan polis berhubung kain rentang "Kami nak Idris, natang"

27 Mac - Majlis Tertinggi (MT) Umno sepenuhnya menyokong Ahmad, calon lantikan istana.

Persiapan sambutan besar-besaran di Terengganu menjelang keberangkatan pulang Tuanku Mizan pada Sabtu ini.

Polis membuka empat kertas siasatan daripada 26 aduan sepanjang krisis ini.

Badan Pencegah Rasuah (BPR) sedang menyiasat kes seorang ahli politik kanan yang didakwa menyeleweng dalam beberapa projek di Kijal dan Chukai, Kemaman. - Malaysiakini.com

Saya sedia dicabar, kata Pak Lah

Mar 27, 08 8:02pm

Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersedia dicabar untuk jawatan tersebut dalam pemilihan parti yang akan diadakan pada 16-20 Disember.

"Saya terpaksa menghadapinya... saya tidak boleh lari (daripada berdepan dengan cabaran)," katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Tertinggi petang tadi.

Pemilihan Umno yang dijadual November tahun lalu, ditangguhkan untuk menghadapi pilihanraya umum 8 Mac.

Perlembagaan parti itu membenarkan penangguhan pemilihan parti dibuat selama 18 bulan, sehingga pertengahan tahun depan.

Menurut Abdullah, pemilihan di peringkat cawangan akan bermula pada 17 Julai, dan bahagian pada

Sebelum ini kalangan pemimpin Umno berbelah-bagi berhubung cadangan supaya pemilihan parti ditunda sehingga tahun depan.

Bagaimanapun, jawatankuasa pengurusan parti yang bermesyuarat malam tadi berpendapat bahawa pemilihan wajar diadakan tahun ini juga.

Ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah telahpun mengumumkan hasratnya untuk mencabar jawatan presiden dalam pemilihan kali ini.

Perlu pencalonan

Bagaimanapun, menurut perlembagaan parti, beliau perlu mendapatkan pencalonan daripada 30 peratus bahagian Umno untuk layak bertanding jawatan presiden.

Tengku Razaleigh gagal mencabar Abdullah dalam pemilihan 2004 kerana hanya mendapat satu pencalonan dari bahagiannya di Gua Musang.

Tengku Razaleigh juga telah menulis surat kepada kesemua bahagian Umno di seluruh negara, menggesa mereka membuat usul supaya diadakan perhimpunan agung tergempar (EGM) bagi membincangkan masa depan Umno dan orang Melayu ekoran kekalahan teruk BN, khususnya Umno, dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Dalam pilihanraya umum itu, BN memenangi 140 kerusi parlimen dan gagal mengekalkan penguasaan dua pertiga di Dewan Rakyat.

BN juga kehilangan empat negeri - Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor - ke tangan pembangkang, manakala PAS pula berjaya mengekalkan Kelantan dengan tambahan kerusi.

Umno pula kehilangan 31 kerusi parlimen apabila hanya memenangi 78 daripada 109 kerusi yang dimenangi parti itu pada 2004.

Bagaimanapun, menurut Abdullah, isu EGM tersebut tidak dibincangkan dalam mesyuarat MT hari ini.-Malaysiakini.com

Pemuda Perak sokong saranan penduduk pilih Ketua Kampung

IPOH, 27 Mac (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Negeri Perak menyokong penuh keputusan yang dibuat oleh Menteri Besar Negeri Perak, Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, yang menyerahkan kepada penduduk kampung sendiri untuk memilih Ketua-ketua kampung atau Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Dan Kemajuan Kampung (JKKK) dengan cara undian yang akan dilaksanakan mulai tahun hadapan.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak, Mustafa Abdul Wahad, yang ditemui selepas majlis pertemuan antara ketua-ketua kampung dan Pengerusi JKKK bersama Menteri Besar Perak di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini baru-baru ini.

Keputusan yang dibuat oleh Menteri Besar Perak itu amat bersesuaian dan kena pada masanya, sekaligus mengembalikan hak rakyat yang telah 'dirampas' oleh Kerajaan BN sebelum ini.

Menurut beliau lagi, keputusan itu juga mencerminkan sikap telus yang diamalkan oleh kerajaan campuran yang didokong oleh DAP, KeADILan dan PAS.

"Pemuda PAS Perak mengucapkan syabas kepada Menteri Besar dan pimpinan Kerajaan Negeri yang bersifat terbuka dalam hal ini sekaligus mencerminkan pendirian kerajaan negeri yang tidak melakukan diskriminasi kepada rakyat," ujar beliau.

"Walau bagaimanapun pemilihan ketua-ketua kampung yang dibuat secara pengundian itu, calon-calon ketua kampung mestilah seseorang yang boleh bekerja dengan kerajaan campuran, itu syarat yang perlu dipatuhi," katanya.

Pada pertemuan ketua-ketua kampung 25 Mac lalu, Menteri Besar Perak telah mengumumkan pelantikan ketua-ketua kampung atau pengerusi JKKK di seluruh itu akan diserahkan kepada penduduk kampung sendiri menerusi pengundian mulai tahun hadapan tidak lagi menerusi pelantikan Kerajaan Negeri seperti yang diamalkan sebelum ini.

"Penduduk kampung boleh mengadakan mesyuarat untuk memilih ketua kampung atau pengerusi JKKK termasuk sama ada ingin mengekalkan penjawat sedia ada atau mencadangkan calon baru," , jelas Mohammad Nizar.

Menurut Menteri Besar lagi melalui cara itu kerajaan negeri dapat mengembalikan hak rakyat untuk memilih wakil mereka menerusi proses demokrasi.

Mustafa berharap dengan keputusan yang dibuat oleh Menteri Besar itu akan mematikan tohmahan dari pihak-pihak tertentu kononnya kerajaan campuran akan bertindak zalim kepada ketua-ketua kampung dan pengerusi JKKK dengan memecat mereka sebaik sahaja kerajaan campuran berkuasa.

Beliau berharap selepas ini ketua-ketua kampung dan pengerusi JKKK yang hendak dilantik menerusi pengundian semestinya mereka yang boleh bekerja dengan kerajaan campuran, jika dipilih oleh penduduk kampung, mereka sewajarnya memberikan khidmat sebaik mungkin kepada rakyat dan menyokong penuh kepimpinan Ir Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang ke-10.

Dalam menentukan pemilihan ketua kampung, masyarakat Cina dan India tidak sewajarnya diketepikan, mereka juga mempunyai peranan yang penting.

Justeru itu beliau mencadangkan bagi masyarakat Cina dan India dilantik ketua mukim seperti yang diamalkan di negeri Kelantan. - mks.

Mahkamah mula dengar kes Dun Sanglang pada 3 April

KANGAR, 27 Mac (Hrkh) - Permohonan Saman Pemula bagi kes melibatkan keputusan Pilihan raya Umum (PRU) Dun N.15 Sanglang akan didengar di Mahkamah Tinggi Kangar pada 3 April akan datang.

ImagePermohonan tersebut dibuat di dalam kamar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Tuan Zamani A. Rahim pagi tadi dan diputuskan akan mula dibicarakan pada tarikh tersebut.

Dalam PRU ke-12 yang lalu, Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin yang bertanding mempertahankan kerusi tersebut diisytiharkan kalah kepada pencabarnya, Abdullah Hassan dengan majoriti 149 undi.

Bagaimanapun berlaku kesilapan semasa mengisi nama calon pada borang 14 (Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Undi).

Dalam borang tersebut di saluran 2 Sekolah Kebangsaan Padang Keria, nama Ustaz Hashim ditulis di ruangan atas sedangkan di semua saluran lain namanya berada di bawah.

Semasa penjumlahan di Dewan Sivik Arau, apabila dikira semua undi bagi calon yang namanya berada di atas pada borang 14, Abdullah mendapat 3384 undi dan Ustaz Hashim mendapat 3235 undi. Dengan itu Abdullah diisytiharkan menang dengan majoriti 149 undi.

Keadaan sebenarnya, Ustaz Hashim sepatutnya mendapat 3333 undi dan Abdullah mendapat 3286 undi dan Ustaz Hashim menang dengan majoriti 47 undi.

ImageSaman Pemula ini dibuat oleh Plaintif, Ustaz Hashim ke atas Defendan, Abdullah Hassan (Calon BN), Mohammad Daud Abdul Hamid (Pegawai Pengurus Pilihanraya Bahagian Arau) dan Suruhanjaya Pilihan raya (SPR).

Permohonan tersebut menuntut untuk mendapatkan perintah deklarasi bahawa Defendan Kedua (Mohammad Daud) dan Defendan Ketiga (SPR) telah melakukan kesilapan mengisytiharkan Defendan Pertama (Abdullah) sebagai calon yang menang sebagai AHli Dewan Undangan Negeri (Adun) dalam PRU ke 12 bagi bahagian N.15 Sanglang.

Plaintif juga memohon deklarasi bahawa beliau adalah calon yang menang dan sewajarnya dipilih sebagai Adun.

Begitu juga, plaintif memohon perintah mengarahkan SPR selaku defendan ketiga mewartakan keputusan PRU ke-12 bagi Dun N.15 Sanglang dimenanginya dan dipilih sebagai Adun.

Ustaz Hashim diwakili oleh peguam Mohamed Hanipa Maidin dan Zulmi Sabri.

Kira-kira 50 orang pimpinan dan ahli PAS turut berada di Kompleks Mahkamah Tinggi Kangar pagi tadi untuk sama-sama memberikan sokongan moral kepada Ustaz Hashim. - mks.

Anak tunggal PAS di Dun Negeri Sembilan angkat sumpah hari ini

SEREMBAN, 27 Mac (Hrkh) - Wakil tunggal PAS di Dewan Undangan Negeri n(Dun) Negeri Sembilan, Mohd Taufek Abdul Ghani telah mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paroi pada jam 10.00 pagi tadi.

Upacara angkat sumpah diadakan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Negeri Sembilan di Seremban bersama 36 lagi Adun lain pada majlis yang sama.

Mohd Taufek mencipta sejarah apabila menang pada pilihan raya umum 8 Mac lalu bagi kerusi Dun Paroi dengan menewaskan Dato' Zaharuddin Mohd Sharif (BN) dengan lebih 100o majoriti.

Pada pilihan raya umum 2004, Dun Paroi diwakili oleh Ketua Puteri Umno Negeri Sembilan, Bibi Sharliza Mohd Khalid yang digugurkan pada pilihan raya 8 Mac lalu.

Mohd Taufek yang memiliki Ijazah Sarjanamuda Kejuruteraan Biokimia dari UKM adalah bekas Jurutera Kanan di Samsung Malaysia Sdn Bhd.

Mohd Taufek juga adalah Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan selain pernah menyandang Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Pusat.

Beliau turut bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan NGO.

Beliau berhasrat membuka Pusat Khidmat Rakyat selain menginfakkan 50 peratus dari gaji yang bakal diterimanya selaku Wakil Rakyat Paroi ke dalam Tabung Rakyat Paroi.

Pusat Khidmat antara lain mungkin akan ditempatkan di Dataran Senawang untuk memudahkan masyarakat bertemu dengannya, kata Mohd Taufek yang mempunyai empat orang anak dan menetap dalam Dun Paroi hampir 15 tahun lamanya.

"Saya tahu agak sukar menjadi pembangkang ini dengan bantuan sudah pasti tiada dari kerajaan BN, namun saya yakin dengan kerjasama parti, rakan-rakan, petugas PAS, nasib rakyat Paroi akan diutamakan, justeru itu saya akan infakkan pendapatan saya sebagai Adun sebanyak 50 peratus untuk tabung yang ditubuhkan," katanya ikhlas.

Suami kepada Mahani Musa (seorang guru) ini akan menjafikan kepercayaan rakyat Paroi asas kepada ketekunan untuk membela nasib rakyat paroi antaranya isu pekerja, isu kebajikan, isu keselamatan dan perumahan di sini.

Beliau juga telah bertemu dengan wakil-wakil Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) untuk membincangkan sebarang bentuk persefahaman dalam Dun kerana KeADILan mempunyai dua wakil di Dun bersama 11 lagi dari DAP.

"Saya juga sedang berusaha untuk bertemu dengan DAP Negeri Sembilan untuk membincangkan hal yang sama.

"Saya bertekad akan membawa isu-isu Islam di dalam Dun, kerana sebelum ini Dun Negeri Sembilan sepi dari isu ini," ujarnya.

Justeru itu beliau menyeru kepada Anak-Anak Jati Rembau di Negeri Sembilan atau di perantauan agar dapat memberi sokongan untuk mempastikan kejayaan Barisan Rakyat di Negeri Sembilan khususnya di Dun Paroi dalam Parlimen Rembau ini untuk membela nasib rakyat. - Harakahdaily.net

Kerajaan Negeri Batalkan Cadangan Pemindahan Projek ZIPY

ALOR STAR, 27 Mac (Bernama) -- Kerajaan negeri akan terus melaksanakan projek Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY) di kawasan Yan seperti yang dirancang oleh kerajaan sebelumnya, kata Menteri Besar Azizan Abdul Razak.

"Cadangan kerajaan untuk memindahkan tapak projek ZIPY itu ke kawasan Gurun telah dibatalkan hari ini", kata beliau kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan syarikat pelabur untuk projek berkenaan.

Empat buah syarikat terlibat dengan projek itu ialah Merapoh Resources Sdn Bhd, Hijaz Refinery Sdn Bhd, Trans-Peninsula Petroleum Sdn Bhd, dan Pristine Oil (M) Sdn Bhd.

Projek itu ialah membina stor penyimpanan minyak mentah di Selat Melaka dan ia melibatkan pembinaan saluran paip minyak sepanjang 320 km di persisiran pantai Yan.

Beliau berkata, sebuah syarikat lagi iaitu SKS Refinery Sdn Bhd pula mempunyai cadangan untuk membuka pusat penapisan minyak di Kota Putra, Bukit Kayu Hitam.

Projek penapisan minyak itu melibatkan pembinaan paip sepanjang 50 km untuk menyalur minyak mentah dari Kuala Jerlun ke Bukit Kayu Hitam.

Azizan berkata, kerajaan sedang meneliti cadangan itu bagi memastikan pembinaan pusat itu tidak melibatkan tanah kampung dan tanah pertanian.

"Kerajaan akan berunding dan bekerjasama dengan MADA untuk menggunakan sebahagian tanah di Jerlun dan minyak mentah akan dihantar menerusi kapal di Kuala Jerlun sebelum disalurkan menerusi paip untuk diproses di Bukit Kayu Hitam," kata beliau.

Katanya, kos pelaburan keseluruhan projek ZIPY itu ialah sebanyak RM83 bilion dan ia akan menawarkan peluang pekerjaan baru untuk rakyat Kedah di samping memberi pendapatan kepada kerajaan negeri.

-- BERNAMA

Terima kasih kerana sumbangan anda. Sumbanglah untuk kebaikan perjuangan kita bersama.

Can't find what you're looking for? Try Google Search!

Google
 

Umno Sarkas

ANDA ADA MAKLUMAT ISU NEGARA?

Sila emailan kepada saya di seramaesty@yahoo.com atau hubungi saya di talian 013-9060111.

TERIMA KASIH ATAS KERJASAMA ANDA

Feedback Form

Join the Mailing List
Enter your name and email address below:
Name:
Email:
Subscribe  Unsubscribe 

Dr. Irfan menjelaskan Perniagaan Internet secara mudah kepada anda

Free Viral Advertising