Saya Suhaimi Taib, mendapat Sijil Pentadbiran Islam dari Kusza Kuala Terengganu (2002), Kursus Penerbitan Video Koperat Universiti Malaya (2003), Pengarang Warta Darul Iman (2000-2003) Penerbit Siaran Darul Iman (2003-2004), Wartawan Sambilan Berita Harian (1997-1998), Wartawan Harakah (1989-1996).
Menerima Anugerah kewartawanan Esso-Kawat (1997 dan 1998)

Hubungi saya melalui e-mel: seramaesty@yahoo.com atau H/P No: 013-9060111.

Thursday, March 27, 2008

Pemilihan Umno Disember ini

KUALA LUMPUR, 27 Mac -- Pemilihan Umno akan diadakan serentak dengan mesyuarat Agung Tahunan Umno pada Disember ini, kata Presiden parti Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi.

Abdullah berkata mesyuarat agung akan berlangsung dari 16 hingga 20 Disember.

Menurutnya pada tarikh-tarikh itu juga akan diadakan persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno.

"Kebetulan pula mesyuarat agung tahun ini juga ada mesyuarat yang akan mengadakan pemilihan bagi kepimpinan parti," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno selama empat jam di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Pengumuman Perdana Menteri mengenai pemilihan ini bermakna pemilihan Umno tidak akan diadakan pada Jun tahun depan seperti yang dicadangkan sebelum ini.

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhammad Taib berkata semalam bahawa para pemimpin kanan perhubungan Umno negeri yang bertemu dengan Abdullah baru-baru ini telah mencadangkan pemilihan parti itu ditunda ke Jun depan bagi mengelakkan berlaku "malapetaka" politik negara.

Abdullah berkata mesyuarat agung parti akan didahului dengan mesyuarat cawangan dan bahagian.

Mesyuarat cawangan akan berlangsung dari 17 Julai hingga 24 Ogos ini manakala mesyuarat perwakilan pula dari 9 Oktober hingga 9 November.

Abdullah berkata perhimpunan parti akan berjalan mengikut prosedur biasa seperti sebelum ini.

Beliau ditanya mengenai cadangan Umno bahagian Cheras yang mahukan agar sistem kuota (yang menetapkan bilangan tertentu pencalonan) bagi semua jawatan utama dalam MT dimansuhkan.

"Kita kata pemilihan kepimpinan parti akan berjalan seperti dulu...(mengikuti) apa-apa peraturan yang ditetapkan. Tidak ada apa-apa cadangan baru yang dicadangkan mengenai pemilihan parti," katanya.

Mengenai cadangan agar Umno mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) seperti yang dibangkitkan oleh beberapa pihak dalam parti, Abdullah berkata: "Cadangan itu bukan cadangan kita".

Ditanya sama ada beliau bersedia dicabar dalam pemilihan akan datang, Abdullah berkata beliau sanggup menghadapi cabaran itu.

"Jika mereka dapat sokongan...(dan) mereka mahu mencabar saya, tentu saya akan hadapi. Saya tidak akan lari," katanya.

Abdullah juga berkata kekuatan parti adalah penting dan meminta semua kerajaan negeri yang diperintah Barisan Nasional supaya bergerak pantas, cepat dan menunjukkan produktiviti yang tinggi.

"Apa juga janji (semasa pilihan raya umum) kepada rakyat perlu dilaksanakan," katanya.

-- BERNAMA


Lebih 10,000 Penduduk Terengganu Dijangka Sambut Kepulangan Tuanku Mizan Zainal Abidin

27 Mac (Bernama) -- Lebih 10,000 penduduk Terengganu dijangka menyambut keberangkatan pulang Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini Sabtu ini.

Pengerusi Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat), Mohamad Fauzi Haron berkata sambutan itu adalah untuk menyatakan sokongan tidak berbelah-bagi penduduk negeri itu terhadap baginda, yang juga Sultan Terengganu.

"Kita harap semua rakyat Terengganu yang mempunyai kelapangan supaya sama-sama menyambut kepulangan baginda pada hari berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Masjid Terapung, Kuala Ibai di sini hari Khamis.

Tuanku Mizan Zainal Abidin dijangka berada di Terengganu bagi menyertai FEI/ISN/EAM-Malaysian Endurance Circuit 2008 di Terengganu International Endurance Park, Lembah Bidong, Setiu pada Sabtu ini.

Mampat telah mengadakan kempen menggumpul tandatangan rakyat sebagai tanda taat setia kepada Sultan Terengganu berikutan kemelut pelantikan Menteri Besar.

Kira-kira 2,000 orang telah menurunkan tandatangan masing-masing.

-- BERNAMA


MT Umno Sokong Pelantikan Ahmad Said Sebagai Menteri Besar Terengganu

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Majlis Tertinggi (MT) Umno hari ini mencapai keputusan menyokong pelantikan Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru, sekaligus menyelesaikan kemelut dalam kepimpinan kerajaan di negeri itu yang telah berlarutan selama tiga minggu sejak pilihan raya umum 8 Mac.

Keputusan itu dicapai pada mesyuarat MT di Ibu pejabat parti di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

"Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) telah membuat keputusan dan Barisan Nasional akan memberi sokongan sepenuhnya kepada Datuk Ahmad Said yang dipilih oleh MPPR untuk menjadi Menteri Besar Terengganu," kata Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu yang berlangsung selama empat jam.

Perdana Menteri berkata MT membuat keputusan menyokong pelantikan Ahmad dengan mengambil kira kenyataan terbuka bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh bahawa beliau akan menerima siapa sahaja yang dipilih menjadi Menteri Besar. "Yang penting, Terengganu perlu ada kerajaan," katanya.

Jawatan Menteri Besar Terengganu hanya diisi pada 23 Mac, dua minggu selepas pilihan raya umum apabila Ahmad, 51, menerima watikah perisytiharan pelantikan MPPR dalam satu upacara tertutup di Istana Tetamu di Kuala Terengganu.

Beliau menerima watikah pelantikan itu daripada Yang Dipertua majlis itu, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman dengan disaksikan dua lagi anggota MPPR iaitu Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman Sultan Ismail dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman.

Pelantikan itu dipertikaikan oleh 22 anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) BN di Terengganu dan mereka telah berikrar memberi sokongan padu kepada bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh, yang telah dipilih oleh Abdullah untuk mengekalkan jawatannya bagi penggal kedua.

Mereka juga telah mengambil pendirian akan meletak jawatan sebagai Adun, jika Idris tidak dilantik semula sebagai Menteri Besar.

Malahan, Setiausaha Agung Umno yang baru Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor turut memberi amaran kepada Ahmad bahawa tindakan disiplin untuk menyingkir beliau daripada parti akan diambil jika beliau mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar.

Ahmad bagaimanapun tidak mengangkat sumpah jawatan pada 23 Mac itu, sebaliknya hanya menerima watikah pelantikan daripada MPPR dan istiadat mengangkat sumpah akan ditetapkan pada suatu tarikh lain.

Menteri Besar baru itu memulakan tugasnya sebagai Menteri Besar pada pukul 8 pagi Selasa lepas di Wisma Darul Iman, tetapi masih menggunakan pejabat lamanya sewaktu beliau anggota Exco.

Ahmad telah menyatakan bahawa beliau akan melantik barisan anggota Exco daripada kalangan Adun BN kerana beliau percaya ada di antara mereka yang menyokong beliau.

Sebahagian besar Adun BN dari Terengganu hari ini kelihatan berada di ibu pejabat parti semasa mesyuarat MT berlangsung, dipercayai untuk memberi sokongan kepada Idris.

Abdullah, yang ditanya mengenai kemungkinan Adun BN dari Terengganu akan meletak jawatan dengan keputusan MT menyokong pelantikan Ahmad sebagai Menteri Besar, berkata beliau percaya mereka tidak akan bertindak sedemikian.

"Saya percaya semua Adun BN taat setia kepada parti dan apa saja keputusan parti akan menjadi keputusan mereka," katanya.

Abdullah berkata MT telah melahirkan penghargaan kepada Idris atas kepimpinannya yang cemerlang semasa mentadbir Terengganu.

Sehingga berita ini ditulis, usaha mendapat reaksi daripada Ahmad belum berhasil manakala Idris pula masih mengadakan perjumpaan dengan kumpulan Adun yang menyokong beliau sebelum ini.

-- BERNAMA

Pemilihan Umno 2008 diteruskan

A Kadir Jasin
Thu | Mar 27, 08 | 8:03:04 pm MYT

URA-URA menangguhkan pemilihan Umno Ogos ini sehingga tahun hadapan kononnya atas desakan ketua-ketua bahagian dan perhubungan negeri cukup menarik.

Pertama ia menunjukkan yang sindrom menidakkan (denial syndrome) masih menular dalam jiwa sesetengah para pembesar Umno walaupun pengundi telah menjatuhkan hukuman yang berat ke atas mereka pada 8 Mac lalu.

Kedua ia menunjukkan betapa mudahnya pihak-pihak tertentu dalam Umno memperkotak-katikkan pendapat umum demi menjaga kepentingan peribadi mereka.

Ketiga kepentingan segelintir peneraju mengatasi kepentingan jutaan ahli Umno.

Dan keempat mereka tidak teragak-agak memperolok-olokkan sentimen ahli akar umbi parti.

Semua ini adalah perbuatan dan tindak tanduk yang sangat berbahaya kepada kelangsungan survival -- Umno.

Alhamdulillah, tidak semua pembesar Umno hilang akal dan tenggelam punca.

Laporan SMS akhbar The Star pagi ini memetik Naib Presiden Umno, Muhyiddin Yassin, sebagai berkata Jawatankuasa Pengurusan Umno sebulat suara bersetuju pemilihan parti tidak ditangguhkan.

Soalnya apakah jaminan yang keputusan itu tidak akan dipertikai dan dibatalkan oleh pihak-pihak yang lebih berkuasa daripada Jawatankuasa Pengurusan?

Ini mendalamkan lagi misteri dakwaan bahawa ketua-ketua bahagian dan pengerusi-pengerusi perhubungan negeri mahu pemilihan ditangguhkan.

Nampaknya pihak-pihak yang menghebahkan ura-ura itu mahu menguji sentimen ahli dan pembesar parti. Daripada reaksi awal, nyata cadangan itu berpotensi memecahbelahkan lagi Umno.

Ketua Penerangan Umno Mohamad Muhd Taib berkata ketua-ketua bahagian dan pengerusi-pengerusi perhubungan negeri Umno mahu pemilihan parti ditangguhkan.

Tetapi beberapa ketua bahagian dan pengerusi perhubungan negeri menafikannya. Menteri Besar Negeri Sembilan Mohamad Hassan, misalnya, menolak ura-ura itu.

Ini menimbulkan tanda tanya mengenai kemungkinan ada pihak yang tidak demokratik dan takutkan cabaran cuba menggunakan nama ketua bahagian dan pengerusi perhubungan negeri untuk menangguhkan pemilihan parti.

Apa pun yang hendak dilakukan oleh para pembesar Umno yang berasa mereka masih berkuasa dan masih dikehendaki, mereka tidak boleh lari daripada hakikat bahawa ahli parti tidak boleh diperkotak-katikkan lagi.

Mereka telah mengisytiharkan kemerdekaan mereka pada 8 Mac lalu dengan menghukum Umno di bawah kepemimpinan sekarang!

Jika para pembesar Umno masih enggan atau tidak berkeupayaan menghadapi realiti, usaha 'merawat parti' meminjam slogan Barisan Nasional 'merawat Kelantan' -- dan memujuk hati orang Melayu akan tertangguh.

Lagi lama tertangguh lagi sukar merawat Umno yang sedang gering dan hati orang Melayu yang luka.

Jika pemilihan ditangguhkan ia sudah tentu memburukkan lagi kemarahan orang Melayu, khasnya ahli dan penyokong Umno, terhadap pembesar-pembesar parti.

Ini berkemungkinan menyebabkan ahli dan penyokong Umno yang berpaling tadah pada 8 Mac lalu tidak kembali lagi ke pangkuan parti.

Apatah lagi dalam keadaan di mana pada pandangan mereka kerajaan pembangkang tidak mengecewakan aspirasi mereka apabila mereka dengan segala berat hati dan dukacita memangkah Pas, PKR dan DAP.

Malangnya bagi Umno, itulah tanggapan orang Melayu kini. Malah mereka terkejut bahawa kerajaan-kerajaan negeri pembangkang dapat ditubuhkan dengan begitu pantas dan tanpa krisis besar berbanding kerajaan-kerajaan negeri Umno sendiri.

Krisis pelantikan Menteri Besar Perlis dan Terengganu yang melagakan kepemimpinan Abdullah Ahmad Badawi dengan pihak Istana memburukkan imej kepemimpinan Umno.

Serentak itu ia menyerlahkan lagi sikap hipokrit media massa arus perdana yang menjadi tulang belakang propaganda pemerintah. Padahnya kerana taasub mereka jatuh tersungkur dan misai mencecah debu apabila cuba menggembar-gemburkan masalah pelantikan MB Perak dan menuduh pembangkang, khasnya Lim Kit Siang, biadab terhadap Raja.

Ini terjadi apabila Umno sendiri ternyata lebih teruk ketika menangani krisis di Perlis dan Terengganu dan menunjukkan sikap yang lebih buruk terhadap Raja daripada DAP.

Walaupun media massa arus perdana tidak menuduh Umno "kurang ajar", "biadab" atau "derhaka" namun rakyat jelata tidaklah terlalu bodoh untuk membuat kesimpulan mengenai tindak tanduk pembesar-pembesar tertentu.

Menangani perhubungan yang unik dan sensitif dengan Istana adalah tugas dan tanggungjawab yang telah dipikul oleh Umno sejak penubuhannya pada tahun 1946.

Sama ada dalam suasana aman atau konfrontasi, Umno dan pemimpinnya sebelum ini tidak pernah menunjukkan derhaka, biadab dan kurang ajar kepada Raja.

Penolakan Shahidan Kassim di Perlis dan Idris Jusoh di Terengganu walaupun membawa surat tauliah daripada Perdana Menteri adalah bukti kegagalan kepemimpinan tertinggi Umno meneruskan tradisi berbaik-baik dengan Raja berperlembagaan.

Apatah lagi Presiden Umno sendiri begitu beria-ia mempertahankan dua watak berkenaan tetapi akhirnya terpaksa akur dengan pelantikan Mat Isa Sabu sebagai Menteri Besar Perlis dan Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu.

Pada perhimpunan dan pemilihan Ogos ini, Umno memerlukan pemikiran dan kepemimpinan yang lebih secocok dengan suasana baru yang ditonjolkan oleh keputusan pilihan raya umum 8 Mac lalu. Umno memerlukan perubahan di semua peringkat untuk merawat kegeringannya. - kadirjasin.blogspot.com

Rakyat letak harapan tinggi pada pimpinan baru Kedah

Izwan Abdul Halim
Thu | Mar 27, 08 | 5:46:50 pm MYT

Tanpa petanda yang jelas tiba-tiba tsunami politik melanda negara pada PRU Ke-12 baru-baru ini. Banyak sebab Kedah dimenangi oleh BA dan sebab-sebab yang sama juga mungkin antara gelombang yang melanda di negeri-negeri lain.

Baik BA mahupun BN, sama-sama terkejut. Dalam mengenang semula nostalgia kemenangan itu, dipaparkan antara episod penting kemenangan BA di Negeri Kedah Darul Aman.

Golongan muda meraikan kemenangan

Malam yang sinonim dengan sunyi dan gelap berubah pada malam pengumuman keputusan PRU-12. Suasana yang sama juga dilihat di Kompleks PAS Kedah. Jika sebelumnya suasana meriah hanya dilihat tatkala program-program ceramah, pada malam itu tanpa sebarang program dirancang, orang ramai datang memenuhi Dewan Dato' Fadzil Mohd. Noor.

Mereka yang hadir terdiri dari pelbagai peringkat umur dan bangsa. Yang terawal hadir terdiri dari mereka yang ingin bersama mendapatkan keputusan-keputusan terkini PRU-12 khususnya kerusi-kerusi DUN dan Parlimen Kedah. Satu persatu keputusan yang diumumkan menggamatkan dewan dengan laungan takbir.

Jumlah hadirin juga semakin ramai khususnya golongan belia yang hadir dengan motosikal di samping bendera PAS dan KeADILan. Dari fasa untuk mendapatkan keputusan berubah menjadi fasa bersama meraikan kemenangan. Ketika yang sama juga rupanya sebahagian anak-anak muda ini menyertai himpunan di Wisma Darul Aman.

Bahkan ada sebahagian yang berada di Kompleks PAS Kedah khususnya anak-anak muda mula menuju ke Wisma Darul Aman setelah melihat keputusan-keputusan yang semakin positif.

Tidaklah diketahui tujuan sebenar mereka menuju ke Wisma Darul Aman. Yang pasti kebanyakan hadir untuk bersama meraikan kemenangan. Tetapi yang membanggakan adanya di kalangan mereka yang merasa untuk bersama memikul tanggungjawab agar tidak berlaku sesuatu yang tidak diingini.

Mereka bagaikan sedar bahawa tindakan-tindakan seperti mengeluarkan fail-fail penting kerajaan boleh berlaku dalam saat-saat seperti itu. Mesej seperti ini jelas boleh difahami bahawa sungguhpun penglibatan golongan belia tidak terzahir secara nyata khususnya dalam gerakerja parti, sebenarnya wujud keprihatinan dan rasa tanggungjawab mereka kepada negara.

Oleh itu, penolakan kepada BN dan penerimaan kepada BA bukanlah atas emosi semata-mata, tetapi kesedaran yang tinggi untuk berubah. Kerana itu indikator asas sokongan pengundi muda ini kepada BA dapat dilihat di semua bangsal panas di Kedah dipenuhi petugas-petugas dari golongan belia yang setia dari awal pengundian hingga akhir.

Sebenarnya atas kepercayaan bahawa generasi muda boleh mendokong dan menyokong perjuangan Islam itulah Pemuda PAS sentiasa bergerak secara proaktif. Bahkan Pemuda PAS sebenarnya menginsafi bahawa perjuangan mereka hari ini jauh lebih baik berbanding Baginda Rasulullah s.a.w. yang dakwahnya ditolak, dicemuh caci, diugut dan diancam bunuh.

Malah dalam satu misi dakwah Baginda di Taif, Baginda dilempari batu hingga tercedera tetapi masih bersabar dan meyakini keturunan Bani Tsaqif pasti akan mendokong dakwahnya. Itulah sumber motivasi yang mendorong kelangsungan gerakerja pemuda sebagai sayap parti.

Bukan undi protes

Tidak ada mesej yang terang bahawa BA akan memerintah Kedah hinggalah di saat-saat akhir menjelang PRU, masyarakat India mulai menunjukkan sokongan terbuka dan jitu kepada BA.

Mereka bukan sahaja marah kepada Samy Vellu dan MIC bahkan mendengar namanya pun mereka rasa menyampah! Begitu juga masyarakat Tionghua, mereka menunjukkan sokongan terbuka kepada calon BA tetapi sebenarnya lebih ramai yang menyembunyikan sokongan masing-masing.

Ada juga di kalangan mereka yang bersungguh-sungguh menjalankan 'kempen senyap', tidak ketinggalan dari kalangan yang memakai dan memenuhi perjumpaan bersama MCA dan Gerakan, tetapi mereka memberi undi kepada BA. Malah dipercayai, gelombang 'kempen senyap' masyarakat Tionghua ini 'berpusat' di Kedah.

Selama ini BN mendapat maklumat dari SB-SB mereka yang terdiri dari anggota keselamatan. Tentunya PRU kali ini juga hal yang sama berlaku, bahkan menurut suatu sumber, sebelum pembubaran Parlimen seramai 660 orang SB telah dikerah ke Kedah.

Tentu sekali dengan kerahan seramai itu (mungkin lebih lagi setelah penamaan calon) BN sepatutnya tidak terkejut dengan keputusan yang bakal diterima melainkan SB-SB ini telah 'belot'.

Benar wujud undi protes kepada BN. Tetapi protes sebenar banyak berlaku dari kalangan orang Melayu yang terpecah dari golongan petugas Umno dengan pengundi Umno. Ada yang mengalih undi mereka kepada BA tetapi kebanyakannya khususnya golongan petugas Umno lebih cenderung untuk tidak keluar mengundi.

Undi protes juga berlaku dari kalangan masyarakat India, Tionghua dan golongan belia tetapi lebih besar disumbangkan hasil protes yang bersulam maklumat sebenar mengenai Umno/BN dan keyakinan yang semakin berputik terhadap BA khususnya PAS. Penyumbang terbesar penglihatan positif kepada PAS adalah hasil model pemerintahan yang ditunjukkan oleh Kerajaan PAS Kelantan.

Oleh itu, mendakwa kemenangan BA hanya akan bersifat sementara hanyalah sebahagian dakwaan. Bahkan menilai peralihan sokongan ini sebagai undi protes semata-mata adalah analisis yang 'tidak berpijak di bumi nyata'.

BN khususnya Umno perlu melihat bahawa perjuangan parti itu bukan sahaja tersasar bahkan semakin tidak relevan dengan semangat perpaduan yang mula tumbuh di hati rakyat Malaysia. Masyarakat baik Melayu, Tionghua mahupun India mulai mengenali watak-watak sebenar kepimpinan Umno, MCA dan MIC.

Dengan kefahaman masyarakat yang semakin terbuka itu, kemenangan BA bukanlah bersifat sementara tetapi sebenarnya harus dilihat bahawa Umno, MCA dan MIC sukar untuk bangun semula, zaman 'BN adalah segala-galanya' telah berlalu, jika tidak masakan calon atas tiket Bebas berlambangkan Anak Kunci boleh mengalahkan Dacing Keramat!

Media ortodok

Selama ini media arus perdana menjadi 'panduan dan pedoman' (kitab suci?) seluruh rakyat Malaysia. Setiap yang disiarkan dipercayai dan diterima sepenuhnya. Akibatnya imej pembangkang sentiasa hodoh lagi tidak diyakini. Pemerintah pula sentiasa menang dan dimenangkan dalam setiap isu.

Namun perkembangan teknologi menyumbang kepada penyebaran maklumat akternatif disebalik sekatan dan halangan yang sengaja diwujudkan. Masyarakat mulai dahagakan maklumat dalam meredakan gelojak rasa tidak puas hati terhadap pemerintah. Penilaian demi penilaian yang dibuat terhadap BA dan BN membentuk satu keyakinan yang berubah menjadi penentu kepada sokongan pada 8 Mac lalu.

Untuk itu, jika media arus perdana berterusan menggunakan modus operandi yang sama terhadap Kerajaan-kerajaan BA dengan laporan yang berat sebelah, tipu, fitnah dan segala kebusukan yang sinonim dengan kerja buat mereka selama ini, percayalah bahawa mereka hanya akan dilihat sebagai 'media gila'. Media-media ini juga harus sedar mereka telah menimbulkan rasa mual yang keterlaluan sepanjang tempoh PRU-12 berlangsung.

Pemimpin angkuh menganggap rakyat bodoh

Ternyata selepas PRU-11 tahun 2004 yang lalu BN menjadi semakin angkuh. Bukan sahaja kerakusan itu dilihat pada cara tadbir negara yang diwarnai rasuah, penyelewengan dan kronisme, bahkan ucapan para pemimpin-pemimpin BN menunjukkan sikap ego dan tidak mahu mengendahkan pendapat serta rintihan 'di bawah'. Jika ada alat yang boleh mengukur suhu kemarahan rakyat; pemimpin BN harus tahu bahawa ia meningkat dari sehari ke sehari sejak 2004 itu.

Pemimpin BN bukanlah tidak mendengar pendapat dan rintihan di bawah tetapi kerana berada di puncak keangkuhan, semuanya itu dianggap mudah untuk ditepis. Paling dikesalkan rakyat, mereka mengganggap setiap kenyataan dan ucapan pemimpin BN tidak lain hanyalah cubaan-cubaan membodohkan rakyat atau menganggap rakyat itu bodoh.

Bahkan mereka berterusan menggula-gulakan rakyat dengan janji material yang menjadi kempen basi lagi ketinggalan. Sikap pemimpin BN yang berada di puncak keangkuhan tidak ubah seperti Firaun yang merasa berkuasa terhadap rakyat dan negaranya.

Akhirnya Firaun terpukul sendiri melihat sokongan rakyat dan para pembesarnya kepada Nabi Musa. Yang setia kepadanya atau mungkin terpaksa setia kepadanya hanyalah anggota keselamatannya. Harapnya anggota keselamatan Malaysia tidaklah begitu.

Rakyat di Kedah mungkin tidak melihat watak keangkuhan yang sama dari kalangan pemimpin BN Kedah. Tetapi rakyat dapat melihat prestasi sebenar BN di Kedah. Dari slogan Kedah Maju 2010 kepada Kedah Gemilang membongkar banyak fakta kegagalan dan ketidakcekapan urus tadbir Kerajaan BN Kedah.

Tidak ada simbol nyata bukti 'Maju' mahupun 'Gemilang'nya Kedah. Yang ada hanyalah pengurusan yang berlangsung seperti mana-mana amalan yang wajar bagi sebuah kerajaan memerintah.

Daerah-daerah yang membangun seperti Kulim, Padang Serai dan Sungai Petani hakikatnya dari 'limpahan' kemajuan Negeri Pulau Pinang juga kerana ruang tanah untuk pembangunan kediaman yang masih kosong. Jitra pula 'terpaksa dibuka' setelah Alor Star tidak lagi mampu diubahsuai.

Sengaja mencipta isu

Tabika, tambang feri dan JKKK menjadi isu awal yang sengaja dimuntahkan BN di Kedah. Muntah ini sebenarnya lambang kebodohan dan keangkuhan pemimpin mereka dan juga sikap 'bagaikan lembu dicucuk hidungnya' media kerajaan. Isu tabika mirip isu semasa PAS memerintah Terengganu, tambang feri mungkin sebagai 'menghalang' pelancong ke Langkawi sedangkan isu JKKK menggambarkan sifat sebenar JKKK itu sendiri.

Perlu diketahui hal sebenar disebalik isu tabika yang sengaja ditimbulkan ini. Selain dipercayai dilakukan oleh pihak Umno sendiri, rakyat perlu jelas kebimbangan sebenar mereka.

Kebanyakan tabika juga 'markas' Umno difungsikan di atas tanah atau di dalam bangunan Dewan Orang Ramai yang merupakan hak umum, maknanya ini adalah 'penempatan haram'. Oleh itu, menyedari bahawa mereka akan dikeluarkan lebih baik 'cabut' sambil meninggalkan 'tahi fitnah' buat PAS dan kerajaan baru. Rakyat juga perlu sedar, Umno selama ini tidak memiliki aset yang jelas sepertimana PAS yang memiliki kebanyakan markas hasil titik peluh dan sumbangan ahlinya.

Pemimpin PAS Kedah menerima kemenangan PAS di Kedah seumpama peristiwa Fathu Mekah. Perkara iman terlihat dengan 'berbondong-bondongnya' orang menyokong PAS secara zahir.

Ketika para musyrikin Quraisy pasrah menunggu 'hukuman' dari Baginda Rasulullah, hal yang samalah berlaku kepada para JKKK. Rupanya di sebalik kejahatan yang pernah juak-juak Umno ini timpakan kepada PAS, pemimpin PAS Kedah menunjukkan akhlak yang telak ditunjukkan Baginda Rasul dalam peristiwa Fathu Mekah itu.

MB Kedah yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Kedah; YAB Ustaz Haji Azizan Abdul Razak mengarahkan supaya tabika diteruskan seperti biasa bahkan akan menimbangkan usaha untuk memastikan perjalanan tabika lebih baik lagi selepas ini.

Beliau juga meminta JKKK meneruskan tugas seperti biasa. Keputusan beliau itu rupanya mendapat reaksi berbeza pengikut PAS. Bagi mereka, selama ini JKKKlah punca masalah dalam masyarakat.

Antara dakwaan mereka bahawa JKKK ini kebanyakannya terdiri dari mereka yang tiada kelulusan minima, sering berlaku tidak adil, terdiri dari 'pengadu-pengadu' yang menyebabkan kakitangan kerajaan ditukar ke sana ke mari, sombong lagi tidak bermasyarakat, sering berlakon dan berpura-pura, kronisme dengan menentukan jalan tar untuk rumah ini tidak rumah itu dan sebagainya.

Rupanya ada pendirian Ustaz Azizan yang para pengikut termasuk wartawan tidak tahu. Hanya dari kalangan pemimpin dan petugas parti terdekat yang mendengar isi hati beliau. Beliau menginsafi bahawa kemenangan yang diperolehi PAS Kedah antaranya hasil doa golongan teraniaya, orang-orang tua dan kanak-kanak.

Baginya JKKK mungkin seorang yang tiada pekerjaan lain yang hanya menerima elaun tidak seberapa RM450, mereka pasti ada anak-anak yang disara dan mungkin menjaga ibu bapa mereka yang sudah tua. Oleh itu jika Kerajaan Negeri bertindak memecat mereka, itu tindakan aniaya dan doa orang aniaya makbul. Oleh itu Ustaz Azizan tidak mahu mereka teraniaya lalu mendoakan kerajaan ini jatuh sedangkan PAS menjadi kerajaan antaranya hasil doa mereka.

Wajarnya pendirian ini menjadi prinsip politik yang harus diterjemahkan oleh setiap petugas parti disemua peringkat dalam membantu kerajaan baru melaksanakan 'Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua'.

Rakyat perlu terus berjuang!

Kemenangan BA di lima negeri termasuk memenangi semua parlimen dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bukanlah titik penamat sebuah perjuangan. Selain mengisi kemenangan di negeri-negeri yang dimenangi, hasrat untuk membebaskan negeri-negeri lain dari 'penjajahan' BN perlulah digerakkan secara bersama pemimpin dan rakyat.

Selain perubahan kepada pentadbiran yang lebih bermakna, usaha memulihkan undang-undang negara kembali kepada landasan keadilan dan kesaksamaan juga merupakan sebahagian perjuangan yang memerlukan dokongan bersama.

Demokrasi yang telah lama dicabuli oleh kecurangan pemerintah BN wajiblah diselamatkan melalui kelangsungan perjuangan 'Bersih'. Di sebalik kejayaan rakyat pada PRU-12 yang lalu, masih ada mereka yang digari oleh undang-undang yang zalim. Malah ada juga mereka yang terdiri daripada anggota keselamatan negara yakni Polis dan Tentera yang diugut dengan proses pengundian yang didakwa SPR sebagai telus.

Hakikatnya anggota polis dan tentera telahpun memberi semboyan dan menghantar kawat secara sulit untuk bersama rakyat biasa melakukan perubahan. Namun tidak terdaya akibat proses pengundian yang masih mengekalkan kerahsiaan yang tidak rahsia dihadapi mereka.

Harapan tinggi rakyat

Tidak sampai seminggu PAS membentuk kerajaan di Kedah, realiti akar umbi sudah mula merungut. Mereka belum mendengar perubahan yang akan dibuat oleh kerajaan baru. Bahkan rungutan juga kerana hasrat mereka menemui dan mengucapkan tahniah kepada MB baru tidak tercapai.

Dalam situasi ini seharusnya semua pihak bertenang dan bersabar. YAB Menteri Besar bukanlah tidak mahu bertemu sesiapa bahkan beliau telah membuktikan komitmennya memenuhi setiap jemputan. Tetapi keutamaan dalam peralihan kuasa ini adalah menyelesaikan hal-hal pengurusan dan pentadbiran asas.

Perlu diketahui, jika urusan-urusan itu tidak dilakukan segera, urusan kerajaan di peringkat akar umbi akan lebih berkecamuk. Ini berikutan 'renjatan' yang dialami oleh penggerak-penggerak Kerajaan BN Kedah yang masih tidak percaya tumbangnya BN di Kedah.

Tidak mustahil juga, sedikit masa lagi rakyat akan melihat segala tohmahan yang pernah dilemparkan kepada pembangkang sebelum ini antaranya demontrasi jalanan 'bukan budaya kita' akan menjadi budaya BN khususnya Umno.

Insya-Allah dalam sedikit masa lagi rakyat pasti dapat mendekati pimpinan dan diharap pimpinan juga meneruskan usaha mendekati rakyat. Jika ingin segera bertemu, hadir sahaja ke program-program anjuran Kerajaan Negeri mahupun Barisan Alternatif, kalau sanggup bersabar insya-Allah pimpinan akan datang berdekatan kita.

Kepada pimpinan, harapnya menyedari bahawa rakyat bukan sahaja mempercayai mereka untuk slogan 'Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua' diterjemahkan pada dasar dan gerakerja pemerintahan, tetapi rakyat sebenarnya menagih kemesraan, kasih sayang, perhatian dan bimbingan mereka sebagai pemimpin.-Harakahdaily.net

Selepas kalah baru kerajaan faham kesusahan rakyat

Ustaz Idris Ahmad
Thu | Mar 27, 08 | 2:36:37 pm MYT

Langkah ringankan beban rakyat - harga minyak, gas kekal. Tarif elektrik tidak naik. Pembaziran subsidi ditangani. Inilah tajuk berita sebuah akhbar tempatan pada 26 Mac lalu.

Benarlah orang kata, ahli politik paling takut sekali apabila mereka ditolak oleh rakyat dalam pilihan raya. Ini membuktikan bahawa rakyat sebenarnya raja bukan kuli pemimpin.

Apabila rakyat ada maruah, maka mereka akan mengajar pemimpin yang berkepala batu seperti pemimpin Umno-BN yang tidak pernah mendengar suara rakyat.

Apabila rakyat membantah kenaikan harga minyak di depan KLCC mereka arahkan polis membelasah rakyat yang tidak bersenjata sehingga Amran dari Merbok, Kedah di belasah separuh nyawa. Pukulan yang boleh membawa maut. Hanya Allah yang masih memanjangkan umur Amran.

Tidakan kerajaan untuk tidak menaikan harga minyak, gas dan elektrik adalah hasil perjuangan rakyat dengan membayar harga yang mahal.

Rakyat terpaksa bermandikan air asid, gas pemedih mata, cota FRU, penyepak FRU, makan nasi bungkus dan tidur dengan pijat dalam lokap polis.

Rakyat telah tolak pemimpin Umno-BN dalam pilihan raya. Perlu diingat bahawa kerajaan tidak naik harga minyak bukan kerana mereka prihatin kepada rakyat, cuma kerana takut terbang beberapa negeri lagi dan kerajaan Pusat bertukar tangan dalam pilihan raya akan datang.

Bukankah sebelum ini mereka begitu angkuh menolak hujah dan cadangan Barisan Alternatif untuk menurunkan harga minyak 30 sen. Mereka dakwa ini boleh membawa negara jadi bankrap. Kenapa sekarang lain pula bunyinya.

Inilah buktinya apabila rakyat bermaruah kerajaan tidak berani bermewah. Ini baru mereka kalah lima negeri dan hilang kuasa dua pertiga. Cuba bayangkan apabila BA memerintah peringkat Pusat maka banyak lagi keselesaan rakyat dapat dinikmati oleh semua.

Walaupun kuasa negeri agak sedikit dan pendapatan negeri hanya cukai tanah, perhutanan, cukai pintu, zakat, air beberapa perubahan sudah dimaklumkan untuk semua rakyat dapat nikmati bersama.

Selangor sudah mengisytiharkan akan memberi air percuma kepada rakyat sebanyak 20 meter padu setiap bulan. Kedah akan menurunkan cukai tanah. Pulau Pinang menghapuskan kompaun yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan, menaikan elaun guru Kafa RM600. Kerajaan Perak telah mengumumkan pembatalan kompaun.

Kerajaan Kelantan memang sedia maklum telah mendahului banyak perkara untuk kebajikan rakayat yang tidak pernah difikir oleh pemimpin Umno-BN. Rakyat yang masih berada di bawah BN-Umno tidak ada perubahan.

Johor akan berubah juga, iaitu banyak tanah dan bangunan akan dimiliki oleh orang Singapura. Menang sorak kampung tergadai. Inilah hadiah BN pada mereka yang masih tidak bersedia untuk berubah.

Rupa-rupanya pemimpin Umno-BN yang benak dan lambat memahami masalah rakyat tidak pernah faham apa penderitaan rakyat.

Mereka menjawab dengan helah politik bahawa minyak kena naik kalau tidak negara akan bankrap. Mereka berkempen dengan orang yang buta maklumat bahawa oleh kerana minyak dunia naik maka negara kita tidak boleh turunkan harga minyak.

Inilah hujah yang pemimpin Umno perbodohkan rakyat melalui media mereka. Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, Dato' Najib Tun Razak dan Khairy Jamaludin mana dia ambil tahu berapa harga sekilo gula, secekak sawi. Mereka semua hidup mewah dan tidak pernah terasa penderitaan rakyat.

Tetapi apabila mereka hilang lima negeri baru mereka tahu bahawa rakyat mereka sekarang sudah pandai pakai seluar, kerana selama ini mereka anggap rakyat Malaysia masih cawat dan tidak tamaddun, tidak pandai guna internet dan tidak tahu apa yang mereka lakukan terhadap khazanah negara.

Ini baru kalah lima negari dan mempunyai suara pembangkang yang kuat di Parlimen. Inilah sejarah negara dengan kekuatan pembangkang di Parlimen dengan 82 kerusi manakala BN hanya ada 140 kerusi.

Cuba bayangkan bagaimana suasana Parlimen yang mempunyai tokoh-tokoh yang hebat untuk mendedah dan membongkar penyelewengan kerajaan.

Kita hendak tengok lagak hero Rembau menantu kesayangan di dalam Parlimen. Selama ini dia begitu lantang sehingga menggelarkan pendemontrasi aman sebagai beruk. Tetapi tidak dengar pula Khairy gelar pemimpin Umno yang buat demo di depan Komtar sebagai beruk mat yeh. - Harakahdaily.net

Krisis MB T'ganu: PAS ajak rakyat pertahankan keputusan istana

KUALA TERENGGANU, 27 Mac (Hrkh)- PAS Terengganu mengajak rakyat agar berdiri teguh di belakang pihak istana serta Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) dalam isu perlantikan jawatan Menteri Besar (MB) Terengganu.

Ini kerana MPPR telah membuat satu keputusan yang bijak dengan menggunakan kuasanya bagi membetulkan suasana dan keadaan negeri ini.

Pesuruhjaya PAS negeri, Dato' Mustafa Ali berkata pihak istana amat memahami apa yang berlaku dalam kerajaan di bawah kepimpinan bekas Menteri Besarnya, Dato' Seri Idris Jusoh.

Image"Kami daripada PAS negeri Terengganu berdiri teguh di atas keputusan yang diambil oleh pihak istana Tuanku.

"Kita (PAS) sedia maklum, amat jarang sekali istana menggunakan kuasa yang ada pada Istana untuk membetulkan suasana dan keadaan," tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat agar berdiri teguh di belakang keputusan yang dibuat oleh MPPR untuk tidak memilih Idris sebagai MB.

Menurutnya, PAS tidak berniat mencampuri urusan Umno/BN tetapi berdiri teguh mempertahankan institusi Raja Berperlembagaan dari anasir yang cuba mengganggu-gugat pihak istana.

"Kita (PAS) tidak berniat untuk campur tangan dalam soal rumah-tangga Umno. Sebab itu, sejak selepas pilihan raya hingga sekarang kita (PAS) tidak pernah buat apa-apa yang mengeruhkan suasana dan keadaan itu," jelasnya.

Justeru itu, katanya jika Umno meneruskan juga dengan tindakan-tindakan yang tidak berakhlak PAS akan meneliti perkara tersebut sebelum mengambil tindakan.

"Kita kesal Umno Terengganu tidak menghormati keputusan yang dibuat oleh MPPR sehingga menggunakan perkataan yang biadap terhadap istana," ujarnya.

Tinjauan Harakah mendapati antara sepanduk yang dipamerkan ahli-ahli Umno yang berhimpun di hadapan Istana Terengganu, 23 Mac lalu bagi melahirkan sokongan kepada Idris adalah "Kami Masih Perlukan YAB Dato' Seri Idris Jusoh", "Sokongan Kami Tak Berbelah Bagi Kepada YAB Dato' Seri Idris Jusoh" dan "Kami Nak Idris, Natang (binatang)".

Tunjuk perasaan dan sepanduk yang berunsur ugutan itu, kata Mustafa adalah suatu penghinaan kepada institusi Raja Berperlembagaan.

"Umno Terengganu tidak menghormati apa jua keputusan yang telah dibuat oleh MPPR. Lainlah jika Raja memilih seseorang yang bukan dari kalangan parti yang memenangi majoriti," ujarnya.

Justeru itu, beliau menasihatkan Idris serta para penyokongnya agar menerima keputusan pihak MPPR sebagai qada dan qadar.

atanya, PAS sedang mengikuti perkembangan tersebut dengan terperinci dan tidak mahu mana-mana pihak cuba merosak atau menghina institusi beraja di negeri ini.

"Umno patut menyedari bahawa apa yang selama ini mereka katakan bahawa mereka mempertahankan ini (institusi Raja) tetapi mereka (Umno/BN) sendiri yang telah merosakkan apa yang mereka selalu sebut.

"Saya menasihatkan Idris supaya menerima ini sebagai suatu keputusan yang ditakdirkan sebagaimana yang beliau sendiri pernah sebut beberapa hari lalu akan menerima apa sahaja qada dan qadar," ujarnya. - Harakahdaily.net

Mafrel siasat undi pos di kem tentera di Kelantan

KOTA BHARU, 27 Mac (Hrkh) - Malaysians For Free and Fair Elections (Mafrel) akan melakukan siasatan terhadap pengendalian undi pos di beberapa kem tentera di Kelantan termasuk Kem Desa Pahlawan di Ketereh dan Kem Batu Melintang, Jeli.

Pengerusinya, Abdul Malik Hussin berkata, penyiasatan serupa dilakukan di Mindef di samping terdapat juga laporan kertas undi pos begitu banyak tidak dikembalikan di Perak.

"Selain itu di Kelantan Mafrel akan melakukan siasatan ke atas tindakan membawa masuk pengundi luar ke sini dan pembayaran dibuat kepada pengundi yang diangkut untuk mengundi di Kelantan.

"Kami akan siasat sama ada ia dilakukan kuasa politik atau mana-mana pihak," katanya pada majlis keraian pemerhati Mafrel pada pilihan raya umum ke-12 (PRU-12) di Kota Darulnaim, baru-baru ini.

Beliau juga menyifatkan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi begitu tergesa-gesa menentukan tarikh PRU-12 sehingga menimbulkan masalah kepada rakyat.

Kata beliau sepatutnya PRU-12 dilaksanakan secara adil dan saksama termasuk penentuan tarikhnya lebih awal bagi membolehkan rakyat dan parti politik membuat persediaan awal.

Malik juga berkata, insiden yang berlaku pada hari pengundian di Kuala Terengganu akan disiasat kerana ia boleh menjejaskan proses pengendalian pilihan raya di negara ini.

"Biar pun Mafrel diterima sebagai badan pemantau bebas, namun Suruhanjaya Pilihan Raya tidak membenarkan Mafrel membuat apa-apa ulasan tentang apa-apa salah laku kakitangan suruhanjaya tersebut ketika menjalankan tugas pada hari pengundian.

"Syarat itu tidak dapat diterima Mafrel kerana ia tidak berlaku dalam misi di peringkat antarabangsa, dan kita tidak terikat dengan media-gap," katanya.

Beliau juga menjelaskan Mafrel akan menyediakan laporan awal mengenai PRU-12 dalam tempoh 30 hari selepas pengundian.

Menurutnya laporan tersebut akan diserah kepada SPR dalam tempoh tidak lebih daripada tiga bulan selepas pilihan raya berlangsung.

Mafrel menjalankan tugas pemerhatian PRU sejak 2004 biar pun tidak diberi sedikit pun dana untuk membolehkan petugas menjalankan tanggungjawab dengan lancar.

Lebih 6,000 pemerhati Mafrel bertugas pada PRU-12 dengan tumpuan di Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak. - Harakahdaily.net

BN serang kerajaan negeri baru, tutup masalah dalaman

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Hrkh) - Tindakan pihak tertentu menyerang kerajaan-kerajaan negeri yang baru dengan pelbagai isu dan masalah adalah untuk mengalih tumpuan umum terhadap masalah yang sedang dialami pihak Umno-BN.

Pengarah Centre for Electoral Reforms Initiatives (CERI) atau Pusat Reformasi Sistem Pilihan raya, Dr Wan Abdul Rahman Wan Abdul Latif berkata perkara tersebut berlaku untuk mengalihkan perhatian umum terhadap masalah yang sedang dihadapi mereka kepada sesuatu yang sengaja diada-adakan.

"Umno-BN sedar bahawa parti mereka sedang berdepan dengan pelbagai masalah dalaman yang sukar untuk diselesaikan, lalu mereka cuba mencipta isu yang tidak relevan supaya orang lupa akan masalah dalaman mereka yang masih tidak dapat diselesaikan," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau berkata, senario ini dinamakan sebagai 'an act of displacement' yang pernah dilakukan oleh negara Indonesia dalam isu konfrontasi negara itu dengan Malaysia.

"Dia tidak mahu ada pihak yang menyelidik masalah dalaman negara itu, lalu dia mencipta konfrontasi bagi mengalih perhatian umum terhadap masalah dalaman yang sudah tidak mampu ditangani lagi," katanya.

Wan Abdul Rahman yang juga mantan pensyarah Jabatan Sains Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, serangan ke atas kerajaan baru di bawah teraju Barisan Alternatif ini timbul ekoran kekecewaan yang dialami Umno-BN terhadap keputusan pilihan raya umum lalu.

"Dia masih tidak dapat menerima keputusan pilihan raya umum, ini adalah suatu gejala yang bernama 'political back-lash' atau politik yang timbul daripada rasa kekecewaan," ujarnya lagi.

Beliau percaya tindakan parti tersebut adalah sebagai operasi awal mereka mengekang kemaraan kerajaan baru di empat negeri yang berada pada peringkat pembentukan yakni masih belum kukuh.

"Mereka mengambil peluang sebelum kerajaan baru ini sementara ia masih belum dapat bertapak dengan kukuh atau 'intream period'.

"Pada kebiasaannya, pada fasa ini musuh akan mencari kesempatan untuk menyerang bagi melemahkan pihak lawan," katanya lagi.

Pada pandangan beliau, serangan ini akan berterusan selagi wujudnya kerajaan BN dan BA di negara ini.

Mutakhir ini, pelbagai isu timbul di beberapa negeri yang beralih kepimpinan kerajaan negeri terutamanya di Perak, Pulau Pinang dan Selangor.

Namun, ia dilihat mempunyai pelbagai motif untuk melemahkan kerajaan-kerajaan baru dibentuk sekaligus menguji kemampuan kepimpinan negeri baru tersebut. - Harakahdaily.net

Sifat tak stabil PM ancam negara - Mahfuz

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Hrkh) - Sifat tidak stabil Perdana Menteri yang dituntut berundur, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bukan sahaja memangsakan pengikut-pengikutnya malah mengancam keselamatan dan pentadbiran negara.

Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar menyatakan perkara itu berikutan apa yang disifatkannya "tindakan tidak tentu arah Abdullah" dalam menjalankan tugasnya.

"Sama seperti kes perlantikan Menteri Besar Perlis, sebelum ini Abdullah berkeras mahu (Datuk Seri) Idris (Jusoh) menjadi Menteri Besar.

Menyusahkan

"Tiba-tiba semalam dilaporkan beliau mengalah pula. Sifat tidak stabil Abdullah itu bukan sahaja menyusahkan pengikutnya malah mengancam pentadbiran dan keselamatan negara," katanya.

Beliau mempersoalkan, adakah Abdullah lansung tidak mempunyai kemampuan untuk menjangkakan apa akan terjadi kepada pengikut-pengikutnya yang dianggap oleh Ketua Umno Bahagian Cheras sebagai "kurang ajar" dan "biadab" kerana menderhaka kepada Sultan.

"Mereka yang menandatangani sokongan kepada Abdullah dan kehendaknya selepas ini akan dilihat sebagai musuh Sultan Terengganu dan musuh rakyat yang kasih kepada baginda. Semuanya berpunca dari sifat tidak stabil Abdullah," katanya.

Pada masa yang sama, katanya, menteri-menteri dan beberapa suruhan bercakap tanpa berfikir" mencabar Sultan manakala Umno pula berkelahi dan ugut-mengugut sesama sendiri.

Siapa percaya?

"Sekejap menyanggah, sekejap mengalah. Siapa mahu percaya Abdullah selepas ini?" tanya Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Akibat sikap Abdullah itu, beliau mempersoalkan, bagaimana pengikut-pengikutnya yang menentang Sultan Mizan Zainal Abidin akan berhadapan dengan baginda yang bukan sahaja Sultan Terengganu malah Yang di-Pertuan Agong.

"Bagaimana mereka yang mengeluarkan kenyataan yang dilihat mempertikaikan keputusan Sultan seperti (Menteri Luar, Datuk Seri) Rais Yatim dan (Peguam Negara, Tan Sri Abdul) Gani (Patail) akan berhadapan dengan baginda? Malah, Gani telahpun dilaporkan gagal menghadap Yang di-Pertuan Agong.

"Kesemua itu merosakkan pentadbiran negara dan kesemua itu berpunca dari sifat tidak berprinsip dan tidak stabil Abdullah," katanya.

Ancam keselamatan

Lebih dari itu, seorang Perdana Menteri yang tidak dilihat cerdik ditambah pula tunjuk-tunjuk perasaan penyokong beliau dan Idris mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.

"Tunjuk perasaan mereka bukannya perhimpunan menuntut harga minyak dan tol dikurangkan atau perhimpunan menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

"Tunjuk perasaan mereka yang mengundang kemarahan rakyat itu adalah tunjuk perasaan menunjuk samseng kepada Sultan yang disifatkan kurang ajar dan biadab oleh tokoh Umno sendiri," kata beliau mengenai tunjuk perasaan para pengikut Idris di Kuala Terengganu.

"Siapa boleh jamin tindakan-tindakan itu tidak mengancam keselamatan negara?

"Bagaimana kalau rakyat yang kasih kepada Sultan bertindak balas atau rakyat dari bangsa lain pula menunjuk perasaan dan bertindak samseng mencabar istana," katanya lagi.

Apa yang berlaku itu mengukuhkan lagi keyakinan bahawa Abdullah yang sangat lemah tidak layak menjadi Perdana Menteri dan mesti berundutr tanpa bertangguh lagi, katanya.

Mahathir, Khir ulas ketewasan BN

Mac 27, 08 4:38pm- Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Mohd Khir Toyo bertemu atas satu pentas umum - sejak beberapa tahun - bagi mengulas kekalahan teruk Umno dan BN dalam pilihanraya umum 8 Mac.

Bersama ketua penerangan Umno Johor Datuk Dr. Mohamad Fuad Zarkashi, mereka akan bercakap di forum 'Umno Pasca Pilihanraya ke-12: Satu Penilaian' minggu depan.

Turut serta dalam perdebatan yang dijangka hangat itu, sebagai permulaan kempen menjelang pemilihan agung Umno tahun ini, exco Pemuda Umno yang lantang Datuk Mukhriz Mahathir.

Acara anjuran sekumpulan penyokong Umno itu akan diadakan jam 9 pagi di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya pada 1 April.

Menurut penganjurnya MyKmu.net, forum itu akan dipengerusikan bekas editor kanan kumpulan NST, Datuk Ahmad Talib.

Dr Mahathir dan anaknya itu mendesak presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatannya sebagai perdana menteri sejurus selepas tamatnya pilihanraya itu.

Sementara Mohd Khir, yang baru melepaskan jawatannya sebagai ketua badan perhubungan Umno Selangor, belum menyatakan pendirian terbuka tentang isu ini.

Beliau, yang tidak pernah dikaitkan dengan kumpulan Abdullah atau menantunya Khairy Jamaluddin, dijangka menjelaskan pendiriannya yang sebenar di forum ini.-Malaysiakini.com

Sambutan besar Agong di T'ganu


Mac 27, 08 11:40am

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, yang juga Sultan Terengganu, akan berangkat pulang pagi Sabtu ini.

Kepulangan baginda menjadi tumpuan susulan tercetusnya krisis pelantikan menteri besar Terengganu yang belum jelas sehingga sejak tamat pilihanraya umum 8 Mac.

Baginda dijadual tiba jam 10 pagi dan akan disambut besar-besaran di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud di Seberang Takir.

Sambutan tersebut akan dianjurkan oleh sekumpulan badan bukan kerajaan (NGO) sebagai mewakili rakyat Terengganu.

Jurucakapnya Fariz Musa berkata, beberapa ribu orang dijangka berkumpul di lapangan tersebut sebagai tanda taat setia dan sokongan mereka kepada baginda sultan.

Sementara itu, Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) pula akan melancarkan Kelab Penyokong Tuanku pada jam 5 petang ini di Masjid Terapung di Kuala Ibai, kira-kira lima kilometer dari bandar Kuala Terengganu.

Jurucakapnya berkata, ia akan dilancarkan oleh imam besar Masjid Negara, Datuk Sheikh Ismail Mohammad.

Di majlis tersebut, pelekat kenderaan "Daulat Tuanku", akan diedarkan kepada orang ramai.

Pada jam 8 malam ini, katanya, sembahyang hajat yang diimami Sheikh Ismail akan berlangsung di masjid tersebut untuk memohon perlindungan daripada Allah ke atas baginda dan Pemangku Raja.

Malaysiakini difahamkan, pelekat kenderaan dan kain rentang menyatakan sokongan kepada baginda mulai dipasang sejak semalam.

Penduduk negeri itu juga memasang riben kuning sebagai menyatakan sokongan, kata sumber itu.

Sementara itu, beberapa pemimpin Umno negeri bermesyuarat pagi ini, dipercayai membincangkan isu-isu terkini yang membabitkan negeri itu, khususnya isu pelantikan menteri besar.

Terengganu dilanda krisis pelantikan menteri besar apabila wujud ketegangan antara wakil rakyat Kijal, Datuk Ahmad Said, yang dilantik pihak istana dengan kumpulan Datuk Seri Idris Jusoh, yang didukung Perdana Menteri.-Malaysiakini.com

MB T'ganu diketahui selepas MT

Mac 27, 08 11:38am kemaskini 2:55pm

Keputusan akhir perebutan menteri besar Terengganu akan diketahui selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno petang ini, menurut badan perhubungan Umno negeri.

Mesyuarat itu bermula jam 3 petang di ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Setiausaha badan itu Datuk Rosol Wahid berkata 22 wakil rakyat BN yang bersama Datuk Seri Idris Jusoh akan membuat keputusan selepas mendengar hasil perbincangan MT.

"Kita akan tunggu MT dulu, jika perlu, badan perhubungan negeri akan membincangkan sebelum keputusan muktamad dibuat," katanya kepada Malaysiakini sebentar tadi.

Menurutnya, semua 23 wakil BN itu, termasuk Idris, masih berada di ibu negara.

Wakil rakyat Kijal, Datuk Ahmad Said, kini dilantik oleh pihak istana untuk jawatan itu dan memulakan tugas mulai Isnin.

Selain 22 wakil BN, Idris juga mendapat dukungan Perdana Menteri.

Isu pelucutan keahlian Ahmad akan menjadi fokus perdebatan MT selepas Umno Terengganu mencadangkan keanggotaannya digugurkan selepas beliau menerima pelantikan jawatan itu.

Krisis pelantikan menteri besar ini antara dua isu utama yang akan mendominasi mesyuarat MT, manakal satu lagi isu melibatkan saranan menangguhkan pemilihan agung parti ke tahun depan.

Sementara itu, jawatankuasa pengurusan Umno sebulat suara bersetuju parti itu patut mengadakan pemilihan tahun ini, kata naib presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Semua anggota jawatankuasa itu yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Najib Razak tidak bersetuju ia ditangguhkan ke tahun depan.

Mesyuarat badan tertinggi Umno, yang bertemu bagi kali kedua sejak pilihanraya umum 8 Mac, dijangka turut membincangkan prestasi buruk parti itu dan kemunculan kekuatan baru parti-parti pembangkang, khususnya kedudukan Umno di lima negeri - Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kelantan.

Anggota-anggota MT juga dijangka akan menyentuh isu-isu dalaman parti, termasuk penolakan jawatan timbalan menteri oleh tiga ahli parlimen Umno.

Terbaru, Datuk Abdul Ghapur Salleh menggemparkan negara apabila meletak jawatannya sebagai timbalan menteri sumber asli dan alam sekitar kira-kira seminggu selepas lantikan.

Surat peletakan jawatan ahli parlimen Kalabakan itu dikirim semalam kepada Perdana Menteri dan berkuatkuasa serta-merta.

Dua lagi menolak pelantikan jawatan pada hari barisan kabinet diumumkan 18 Mac.

Ahli parlimen Kimanis, Datuk Anifah Aman, menolak jawatan timbalan menteri pengangkutan.

Manakala ahli parlimen Jerantut, Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar, menolak jawatan timbalan menteri luar.-Malaysiakini.com

Marah S'gor teruskan setinggan sifar

Mac 27, 08 3:04pm - Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) membantah keras rancangan kerajaan negeri Selangor bawah kepimpinan menteri besar baru, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk meneruskan dasar setinggan sifar BN.


"Dasar ini pada asasnya tidak berniat untuk menyelesaikan masalah perumahan rakyat berpendapatan rendah di Selangor, tetapi lebih merupakan kempen membantu pemaju yang mahu merampas tanah yang sudahpun dimajukan dan diusahakan oleh peneroka bandar sejak beberapa dekad," kata Jerit dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, dasar setinggan sifar yang diperkenalkan pada 2005 oleh Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo telah memusnahkan ratusan rumah peneroka bandar di seluruh Selangor.

"Rata-rata hak peneroka bandar dinafikan dan mereka tidak diberikan pampasan yang wajar atau perumahan alternatif yang tetap dan sesuai.

"Dasar ini juga turut membawa kepada penyalahgunaan kuasa oleh polis, Rela dan majlis perbandaran, yang digunakan untuk mengusir secara paksa dan kejam para peneroka dari rumah mereka," tambah kenyataan tersebut, yang dikeluarkan oleh urusetianya, E Nalini.

Malah, tegasnya, ada segelintir exco negeri Selangor dan juga ahli parlimen pembangkang yang menang baru-baru ini, pernah terlibat mempertahankan rumah peneroka semasa dirobohkan.

Berita mengejutkan

"Para peneroka bandar juga telah memainkan peranan penting memastikan kemenangan ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan ahli parlimen, dengan harapan mereka memastikan dasar pengusiran secara paksa, dapat dihentikan.

"Adalah diharap menteri besar dan para exco yang baru dilantik, tidak terlupa perjuangan Kampung Berembang di Ampang, Kampung Papan di Pandamaran dan juga Kampung Rimba Jaya," tambah kenyataan tersebut.

Jerit menyifatkan keputusan untuk meneruskan dasar setinggan sifar itu sebagai "satu berita yang amat mengejutkan" semua peneroka bandar dan kumpulan masyarakat serta aktivis yang terlibat dalam isu tersebut.

Sebaliknya, kata Jerit, kerajaan Selangor harus berlaku adil kepada rakyat dengan memberikan rumah alternatif kepada semua peneroka bandar yang menghadapi masalah perumahan.

"Kesilapan pihak pemerintah yang dahulu tidak harus diteruskan dan kerajaan negeri baru ini harus berkhidmat mengikut aspirasi rakyat dan bukanya mengejutkan mereka dengan berita sebegini," tambahnya.

Tuntutan Jerit

Sehubungan itu, Jerit menuntut kerajaan Selangor:

Membatalkan dasar setinggan sifar dan menggantikannya dengan Dasar Perumahan Rakyat untuk Semua bagi menyediakan kemudahan perumahan dan tanpa niat memaksa pengusiran.

Mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menyelesaikan masalah perumahan peneroka bandar kerana masih ada yang tinggal di khemah-khemah sementara.

Membatalkan serta-merta semua notis pengusiran yang dikeluarkan oleh kerajaan sebelumnya dan membuat kajian semula.

Memastikan kerajaan tempatan tidak akan lagi menggunakan undang-undang keras seperti Ordinan Darurat Pembersihan Setinggan 1969 untuk mengusir masyarakat peneroka bandar.

Memahami dan mengambil kira semua pengisytiharan hak asasi manusia antarabangsa mengenai perumahan, cadangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengenai hak perumahan dan tuntutan Jerit kepada kerajaan negeri sebelum ini.

Mengadakan perbincangan dengan kumpulan masyarakat, penduduk dan aktivis yang terlibat dalam isu perumahan untuk memahami isu sebenar sebelum membuat sebarang keputusan.

“Jangan khianati peneroka bandar, hak mereka harus dibela," tegas kenyataan itu lagi.-Malaysiakini.com

"Kerajaan BR timbang boikot Utusan, TV3" Anwar Ibrahim

Khamis, 27 Mac 2008

KETUA Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan bahawa pakatan lima negeri yang dikuasai Barisan Rakyat, parti, NGO dan orang ramai diajak untuk memulaukan dua media arus perdana iaitu Utusan Malaysia dan TV3.

Anwar dalam kenyataannya berkata, Utusan Malaysia dan TV3 masih beranggapan pilihanraya belum selesai.

"Media milik Umno ini terus membelasah KeADILan, PAS dan DAP.

"Mereka meniupkan sentimen kaum dan puas mengalih perhatian khalayak dari krisis kepimpinan Umno, penipuan Suruhanjaya Pilihanraya dan krisis Terengganu," katanya.

Menurut beliau, orang ramai yang ditemuinya mengusulkan agar kerajaan negeri pakatan rakyat, parti, NGO dan rakyat amnya diajak memulau kedua media tersebut.

"Saya, pimpinan parti dan kerajaan negeri sedang menimbangkan saranan tersebut," ujarnya.


KETUA pasukan pemikir Anwar Ibrahim, Khalid Jaafar dalam satu majlis penerangan boikot akhbar tidak lama dulu


Pada 29 November lalu, sebuah gabungan boikot media yang dikenali sebagai Gerakan Anti Salah Maklumat (GASAK) ditubuhkan bagi menggerakan kembali kempen boikot media perdana.

GASAK dipengerusikan oleh Pengarah Eksklutif Institut Kajian Dasar (IKD), Khalid Jaafar.

Khalid dalam kenyataan sebelum ini berkata, GASAK akan mengemukakan tiga tuntutan minima kepada media yang terbabit kerana memberikan laporan yang seimbang, dengan mengetepikan pandangan dan melaporkan daripada dua dimensi iaitu pimpinan kerajaan serta pihak yang menganjurkan sesuatu perhimpunan atau apa-apa acara.

"Industri media hendaklah bebas dalam editorial dan tidak bersandarkan kepada tekanan daripada pemerintah atau pemilik syarikat tersebut. Ia tidak seharusnya dipengaruhi oleh sesiapa yang boleh memutuskan mengenai berita atau maklumat itu melainkan Jabatan Pengarang media itu sendiri," ujarnya dalam sidang media pelancaran kempen "Boikot Media Pembohong" dalam sidang media yang sama.-KLpos

Ungkapan 'natang' ke balai polis

26, 08 2:15pm kemaskini 11:35pm Sekumpulan penduduk Terengganu membuat aduan polis berhubung kain rentang, menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Idris Jusoh, yang didakwa menghina institusi raja.


Kumpulan 10 orang itu, yang dikenali Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat), membuat laporan itu di balai polis Kuala Terengganu jam 11:20 pagi tadi.

Dalam kenyataannya, pengerusi Mampat, Mohamad Fauzi Abu Samah, "menggesa polis mengambil tindakan tegas ke atas pihak yang bersikap kurang ajar dan mengeluarkan kain rentang berunsur menghina kedaulatan sistem kesultanan dan menjejaskan kehormatan institusi beraja yang didukung oleh demokrasi di Malaysia."

Mereka merujuk sekeping kain rentang yang dipamerkan oleh penyokong Idris yang menyebut "Kami nak Idris, natang".

"Natang", dalam loghat Terengganu, bermaksud binatang.

Semalam Pemuda PAS menggesa pergerakan itu dan parti pembangkang di Terengganu membuat aduan polis berhubung perkataan tersebut yang dianggap menghina raja.

Ketuanya Salahuddin Ayub berkata, selain dipamerkan oleh penyokong Idris, kain rentang seumpama itu juga diletakkan di beberapa tempat strategik di negeri yang sedang mengalami krisis pelantikan menteri besar.

Ketua Pemuda PAS Terengganu, Azman Shapawi Abdul Rani melaporkan isu perkataan di kain rentang itu semalam.

"Saya memohon pihak polis menyiasat kes ini di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan (mencetuskan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong) ataupun mana-mana kesalahan di bawah mana-mana undang lain yang terpakai," laporan polis Azman Shapawi dipetik.

Dalam laporan itu, seperti dimuatkan di laman web Tranungkite.net milik Pemuda PAS Dungun, beliau juga menggesa polis menyiasat kenyataan tiga pergerakan Umno negeri - Pemuda, Wanita dan Puteri - berhubung kenyataan mereka di akhbar Berita Minggu tanggal 23 Mac.

Beliau menyifatkan kenyataan mereka boleh menghina institusi beraja.

Bekas menteri besar Datuk Idris Jusoh, yang disokong Perdana Menteri, bertungkus-lumus mempertahankan jawatannya itu sejak berakhir pilihanraya umum 8 Mac.

Watikah pelantikan jawatan itu bagaimanapun diserahkan kepada seorang lagi wakil rakyat BN, Datuk Ahmad Said, Ahad lalu. Walaupun belum mengangkat sumpah, Ahmad telah memulakan tugasnya semalam.

Berikut teks lengkap laporan polis seperti diadukan oleh Mohamad Fauzi:

Pada 23 Mac 2008, ketika menonton Buletin Utama di TV3, saya melihat satu perhimpunan menyokong Idris Jusoh yang diadakan di hadapan kediaman rasmi MB, Seri Iman, Kuala Terengganu.

Di antara kain rentang dalam perhimpunan tersebut ada menyatakan "kami nak Idris, natang".

Perkataan pada kain rentang tersebut juga jelas merujuk kepada Tuanku Sultan Terengganu.

Ini adalah suatu tindakan menghina Istana dan bertentangan dengan undang-undang dan adab-adab sebagai orang Melayu.

Perhimpunan itu juga boleh menyebabkan kekecohan dan menyemai rasa kebencian kepada Tuanku Sultan Terengganu yang kita semua kasihi.

Saya percaya terdapatnya unsur-unsur jenayah dalam perhimpunan dan penggunaan kain rentang tersebut.

Perkataan yang digunakan adalah berbentuk hasutan dan boleh menimbulkan kebencian kepada Tuanku Sultan.

Sekiranya perkara di atas tidak diambil tindakan, saya bimbang negeri Terengganu akan menjadi kacau-bilau apabila kehormatan kepada institusi Beraja dicabul dan tidak dihormati lagi.

Kesetiaan kepada Raja dan Negara adalah rukun kedua dalam Rukun Negara Malaysia, tindakan golongan ini adalah sungguh biadap dan patut disiasat serta diambil tindakan yang keras.

Saya berharap pihak polis dapat menyiasat perkara tersebut dengan seberapa segera dan mengambil tindakan terhadap dalang dalam perhimpunan tersebut dan penggunaan kain rentang tersebut, seterusnya menyeret mereka ke muka pengadilan.-Malaysiakini.com

Ada apa di White House Malaysia hari ini?

Khamis, 27 Mac 2008

KECOH, ramai yang hendak tahu majlis apa yang diadakan di banglo besar berwarna putih di Jalan Langgak Golf, Jalan Ampang tempat kediaman rasmi anak raja dari Kelantan.

Pagi-pagi KLpos.com diberitahu bahawa tenggahhari ini ada perjumpaan Ketua-Ketua Bahagian Umno di rumah Tengku Razaleigh Hamzah.

Menurut maklumat tersebut, pertemuan tidak rasmi itu dianjurkan oleh Ku Li atas permintaan Ketua-Ketua Bahagian Umno terbabit.

Bagaimanapun, KLpos yang menghubungi orang kanan Ku Li diberitahu bahawa pertemuan terbabit memang diadakan.

"Ia antara ahli Umno dengan Ku Li, mungkin ada di antara mereka Ketua Bahagian, tetapi mereka hadir atas kapasiti ahli Umno, bukan atas jawatan masing-masing," kata orang kanan Ku Li terbabit.-KLpos


Harapan Idris makin malap?

Bekas menteri besar Datuk Seri Idris Jusoh mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri di pejabatnya di Putrajaya.

Dihubungi Malaysiakini, setiausaha perhubungan Umno Terengganu, Datuk Rosol Wahid bagaimanapun tidak menjelaskan butiran perbincangan itu.

Idris dilaporkan ditemani beberapa orang wakil rakyat BN negeri itu.

Difahamkan, beliau tidak merancang mengadakan sidang akhbar hari ini.

Pertemuan kira-kira sejam itu diadakan tidak lama selepas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menghadap Yang di-Pertuan Agong berhubung krisis pelantikan menteri besar Terengganu pagi ini.

Dua pertemuan besar ini dipercayai dapat meredakan krisis yang berlarutan di negeri itu sejak tamatnya pilihanraya umum 8 Mac.

Satu sumber dekat dengan pemimpin Umno memberitahu Malaysiakini hari ini, pertemuan antara Abdullah dengan Tuanku menunjukkan "tanda-tanda positif" ke arah penyelesaian.

Bentuk penyelesaian itu, tambah sumber, bagaimanapun belum jelas.

Difahamkan, kemungkinan penyelesaian itu termasuklah menamakan calon ketiga daripada kumpulan penyokong Idris.

Menurut satu laporan, Rosol berkata semua wakil rakyat BN yang berada di Kuala Lumpur kecuali Idris kembali ke Terengganu hari ini.

Semua 22 Adun itu akan tetap setia pada Idris tetapi menyerahkan perkara tersebut kepada keputusan Abdullah, lapor laman web New Straits Times malam ini.

Rosol menggesan Abdullah agar "terus tegas" melantik Idris. "Kami hanya mengambil arahan daripada Perdana Menteri atau Idris," beliau dipetik sebagai berkata.

Beliau juga enggan mengulas hasil pertemuan Idris dengan Abdullah.

Beberapa media dalam talian dan blog tengah hari ini mula meramalkan Ahmad akan kekal sebagai menteri besar.

Blog popular Rocky Bru menyebut, Tuanku Mizan membangkitkan isu penggunaan wang ehsan di negeri itu kepada Perdana Menteri.

Wang ehsan diperkenalkan sewaktu negeri itu ditadbir oleh PAS antara 1999 hingga 2004 selepas wang royalti minyak Petronas ditarik balik dan diuruskan oleh kerajaan Persekutuan.

Abdullah juga dititahkan mengadakan pertemuan dengan Ahmad, lapor penulisnya Ahiruddin Attan.

Sementara laman berita Malaysian Insider melaporkan, pertemuan itu berjalan dengan "mesra".

Abdullah mencadangkan wakil rakyat Chukai, Datuk Mohamed Awang Tera, sebagai calon ketiga bagi mengatasi perebutan antara Idris dan Ahmad.

Tuanku Mizan, laporan itu dipetik, bagaimanapun bertegas menyokong Ahmad.

Selain penggunaan wang ehsan, Sultan Terengganu juga dilaporkan tidak senang dengan Idris berhubung beberapa isu dan dasar lain, antaranya insiden rusuhan di Batu Buruk pada September tahun lalu.

Semalam Idris menyatakan kesediaannya menghadap Sultan Terengganu - baginda juga Yang di-Pertuan Agong - bagi memohon keampunan Tuanku Mizan.

Di Kuala Terengganu pula, tersebar berita bahawa Abdullah telah bersetuju menerima pelantikan Datuk Ahmad Said selepas perjumpaan mereka petang semalam.

Bagaimanapun perkara belum dapat disahkan, setakat ini.

Pertemuan Ahmad dengan Abdullah semalam berlangsung selama satu jam bermula 5.30 petang di kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya.-Malaysiakini.com

Pilihanraya datuk bandar KL

Penduduk bandar raya Kuala Lumpur berpeluang memilih sendiri calon Datuk Bandar kegemaran mereka jika kerajaan meminda satu akta untuk membolehkan pilihanraya kerajaan tempatan.


Cadangan ahli parlimen pembangkang untuk mewujudkan pilihanraya itu, termasuk memilih ahli-ahli lembaga penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), akan dibawa dalam mesyuarat jemaah menteri, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique hari ini.

Katanya, Akta Ibukota Persekutuan 1960 (Akta 190) perlu dipinda kerana, buat masa ini, jawatan itu dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, BN memenangi satu kerusi sahaja, manakala pembangkang merampas 10 kerusi - rekod pertama dalam sejarah pilihanraya umum - dengan pecahan lima DAP, empat PKR dan satu PAS .

Sementara Labuan dan Putrajaya, dua lagi kawasan Wilayah Persekutuan, kekal di tangan BN.

Awal minggu ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ong Ka Chua, dilaporkan akan mendapat pandangan orang ramai berhubung pilihanraya bagi memilih anggota pihak berkuasa tempatan (PBT).

Hasil rumusan tinjauan orang ramai itu akan diserahkan kepada kabinet untuk keputusan akhir.

Pilihanraya kerajaan tempatan pernah dijalankan 40 tahun lepas tetapi kemudiannya dimansuhkan.

Mengulas isu ini, Zulhasnan berkata perkara ini sedang diperhalusi oleh kementerian Ong dan ia akan dapat memberi jawapan yang lebih jelas.

Ahli parlimen Setiawangsa juga berkata, satu sesi pertemuan dan perbincangan dengan semua ahli parlimen di Wilayah Persekutuan, termasuk 10 wakil pembangkang, akan diadakan 4 April ini.

"Kita akan menjemput semua ahli parlimen termasuk pembangkang bagi membolehkan mereka mendengar segala rintihan, pandangan dan cadangan yang ingin dibangkitkan oleh wakil rakyat," katanya dalam sidang media di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

Lanjutan daripada itu, kementerian berkenaan akan mengadakan "Retreat Merakyatkan Wilayah Persekutuan" yang dijadualkan pada 17 hingga 19 April depan.

Zulhasnan berkata, selain wakil rakyat, perbincangan ini turut membabitkan ketua-ketua jabatan dan agensi Wilayah Persekutuan, badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan-persatuan penduduk bagi membuka peluang mereka membahaskan masalah, isu dan pandangan terhadap dasar-dasar sedia ada.

"Menerusi cara ini, saya yakin kerajaan menerusi kementerian dan DBKL berupaya untuk memahami aspirasi rakyat dan membolehkan kami memperhalusi, menambah baik dan merangka dasar dan strategi yang berkesan untuk dilaksanakan di Kuala Lumpur.

"Ia sebahagian daripada pelan strategik kementerian ini. Ia merupakan langkah proaktif Kementerian Wilayah Persekutuan dalam memperkasa sumbangan kami kepada rakyat terutama di Kuala Lumpur," katanya lagi.

Katanya, hasil pertemuan ini akan dibincangkan dalam mesyuarat jemaah menteri bagi membentuk hala tuju baru dan usaha penambahbaikan perkhidmatan di Wilayah Persekutuan.-Malaysiakini.com

Yuran RM10: Suaram bantah S'gor

Suara Rakyat Malaysia (Suaram) memandang berat rancangan kerajaan negeri Selangor untuk mengutip yuran bulanan sebanyak RM10 daripada majikan pekerja asing di negeri itu bagi kegunaan latihan belia tempatan yang menganggur.

Ketika mengumumkan dasar baru itu, menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, dalam jangka panjang, para belia berkenaan akan mengurangkan penggantungan terhadap pekerja asing.

Pengarah eksekutif Suaram, Yap Swee Seng berkata, pihaknya bimbang, bayaran tersebut akhirnya akan dipotong daripada gaji pekerja asing itu sendiri.

Lagi pula, katanya, menggunakan wang yang dikutip daripada pekerja asing - untuk melatih semula belia menganggur yang akhirnya akan menggantikan mereka - satu langkah yang tidak wajar.

Yap berkata pekerja asing merupakan kumpulan yang paling dieksploitasi dan paling terpinggir.

Katanya, selain bekerja dalam keadaan yang tidak sempurna, mereka juga dibayar gaji rendah dan sering dieksploitasi oleh majikan dan agensi pekerjaan, termasuk dikenakan potongan gaji yang tidak wajar, tempoh masa bekerja yang panjang dan dipecat secara tidak adil.

Tidak wajar

"Dengan mengenakan bayaran tersebut ke atas pekerja asing yang hanya cukup-cukup makan dan mungkin menanggung hutang kerana membayar yuran tinggi yang dikenakan untuk bekerja di Malaysia, (langkah Selangor itu) menambah beban pekerja asing dan keluarga mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yap berkata dasar baru itu menunjukkan betapa tidak sensitifnya parti-parti politik di Malaysia, pembangkang ataupun kerajaan, terhadap nasib pekerja asing.

"PKR mendukung prinsip keadilan dan menang besar atas janji untuk menangani jurang pendapatan yang semakin meluas antara yang 'golongan berada dan tidak berada'.

"Tentunya, dengan mengena bayaran tersebut ke atas pekerja asing untuk membantu belia tempatan yang menganggur, ia tidak menepati prinsip dan semangat keadilan," tegas Yap lagi.

Oleh itu, katanya, Suaram menggesa Khalid supaya menarik balik dasar itu.

"Kami juga menggesa menteri besar supaya berunding dengan badan-badan awam yang memperjuangkan isu-isu pekerja asing sebelum membuat sebarang keputusan dasar pada masa akan datang," tambahnya.-Malaysiakini.com

Pemuda tegas, pemilihan tahun ini

Barisan pemimpin Pemuda mahu pemilihan parti diadakan tahun ini bagi membuktikan Umno sebuah parti bertanggungjawab dan mengamalkan demokrasi tulen demi kepentingan ahli dan rakyat.

Ketua Pemuda Umno bahagian Ipoh Barat, Ahmad Faizal Azumu berkata, ia penting bagi menunjukkan Umno sebuah parti yang mendahulukan hak dan kepentingan ahlinya serta tidak melindungi kepentingan individu tertentu.

"Kita sudah berada dalam masa tambahan selepas pemilihan ditangguhkan bagi memberikan laluan kepada pilihanraya umum ke-12.

"Keputusan pucuk pimpinan (menangguhkan pemilihan) akan menidakkan hak ahli untuk memilih pemimpin mereka," katanya.

Bernama memetik Faizal sebagai berkata, pemilihan parti perlu diadakan tahun ini bagi mengembalikan keyakinan rakyat dan ahli terhadap kredibiliti kepimpinan Umno.

"Melalui pemilihan, ahli boleh menilai pemimpin di peringkat cawangan, bahagian dan pusat yang tidak berprestasi dalam parti dan semasa pilihanraya umum lepas. Dengan kata lain, pemilihan parti ini pembetulan kepada apa yang silap.

"Kalau pemimpin itu gagal, maka ini masa yang sesuai untuk tidak terima sebarang pencalonan," kata Faizal yang turut menyokong pandangan exo Pemuda Umno Datuk Mukhriz Mahathir bahawa pemilihan perlu disegerakan bagi menghormati suara akar umbi dan bukti bahawa demokrasi dalam Umno masih segar.

Naib ketua Pemuda Umno bahagian Titiwangsa, Idham Yasser berkata penangguhan pemilihan itu seolah-olah usaha untuk melindungi atau mengekalkan individu tertentu dan bukannya mengembalikan kekuatan parti.

"Kita tak mahu orang kata Umno tidak relevan ataupun ahli Umno hanya tahu angguk sahaja. Kita sepatutnya membetulkan keadaan dengan mengadakan pemilihan parti ini," katanya.

'Siapa layak memimpin'

Bagi naib ketua Pemuda Umno bahagian Seputeh, Alawi Dahalin, cadangan penangguhan itu akan menyebabkan pemimpin Pemuda yang berpotensi hilang kelayakan untuk bertanding ke jawatan lebih tinggi dalam pergerakan itu ekoran had umur 40 tahun mengikut perlembagaan parti.

"Pemilihan parti perlu diadakan pada tahun ini untuk memberi peluang kepada ahli menilai kembali siapa yang layak jadi pemimpin dalam Umno seperti mana rakyat menilai Umno dalam pilihanraya umum lepas," katanya.

Beliau berkata, pucuk pimpinan tidak boleh menafikan realiti di akar umbi ekoran kehilangan sokongan terhadap BN dan Umno yang menunjanginya dengan menangguhkannya.

Pemilihan parti, tambahnya, sememangnya medan ahli Umno memberikan pandangan dan pendirian mereka.

Pandangan Alawi itu senada dengan naib ketua Pemuda Umno bahagian Pasir Puteh, Kelantan, Aminuddin Muhammad yang menyatakan, Umno akan kesuntukkan masa untuk menghadapi pilihanraya akan datang sekiranya menangguhkan pemilihan parti.

"Kalau tak buat (pemilihan parti) maka ia bukan untuk pilihanraya tapi kepentingan individu tertentu. Lebih baik kita bergaduh dalam pemilihan untuk kebaikan parti daripada menangis lagi di kemudian hari (pilihanraya akan datang)," katanya.

Naib ketua Pemuda Umno bahagian Johor Bahru, Nornekman Osman berkata penanguhan pemilihan dalam jangka masa panjang akan mewujudkan kelompok-kelompok yang melemahkan Umno serta lari daripada fokus utama kepimpinan parti untuk memulihkan Umno.

Katanya, pertembungan dalam suasana hangat adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan ekoran keputusan pilihanraya lepas yang menuntut kepimpinan menfokuskan usaha menguatkan parti melebihi kepentingan lain.

Katanya, pemilihan itu akan membuktikan kepada ahli khasnya dan rakyat amnya, akan ketelusan dan sifat bertanggungjawab parti dalam mengembalikan keyakinan mereka kepada Umno.-Malaysiakini.com

Cheras: Pak Lah juga perlu bertanding

Semua jawatan, termasuk presiden dan timbalan presiden Umno, yang kini disandang oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, perlu dipertandingkan supaya mereka yang terpilih merupakan barisan pemimpin yang benar-benar dikehendakli oleh ahli, kata ketua bahagian Umno Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee.

Oleh itu, beliau menggesa dimansuhkan sistem kuota yang diwajibkan ke atas calon-calon yang ingin bertanding jawatan presiden, timbalan presiden, najib presiden dan majlis tertinggi (MT) Umno.

Kuota pencalonan yang dikenakan ialah 30 peratus bagi jawatan presiden, timbalan presiden (20 peratus), naib presiden (10 peratus) dan lima peratus untuk kerusi MT.

Syed Ali berkata, Umno perlu kembali mengamalkan sistem lama yang membenarkan calon layak bertanding semua jawatan parti apabila mendapat seorang pencadang dan seorang penyokong.

Berani cabar

"Amalan (kuota) ini dibuat di zaman Tun Dr Mahathir Mahathir. Walaupun beliau pernah dicabar Tengku Razaleigh tetapi Umno kembali kuat," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat khas Umno bahagian Cheras malam tadi.

Oleh itu, katanya, Abdullah juga tidak perlu takut untuk bertanding mempertahankan jawatan presiden.

Syed Ali berkata, ini kerana kemenangan melalui pertandingan membuktikan beliau seorang 'anak jantan' yang berani berdepan dengan apa juga cabaran.

Beliau berkata, sistem kuota juga menyebabkan berlakunya rasuah apabila pemimpin yang mahu bertanding membeli pencalonan daripada bahagian-bahagian.

"Keadaan ini menyebabkan hanya orang tertentu sahaja yang mampu membeli sokongan dari bahagian untuk mendapat pencalonan yang mencukupi mengikut sistem kuota tersebut," katanya.

Cara ini, tambahnya, tidak sihat dan gagal melahirkan barisan pemimpin yang benar-benar tulen seperti yang dikehendaki oleh para ahli.

Syed Ali berkata, bahagian itu juga menyokong gesaan supaya Umno mengadakan perhimpunan agung khas untuk membincangkan prestasi buruk BN, khususnya Umno dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Gesaan tersebut dimulakan oleh ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan juga Pemuda Umno Johor.

Syed Ali Alhabshee berkata, pihaknya menyokong gesaan itu kerana ia penting dalam usaha memulihkan kekuatan parti yang kalah teruk dalam pilihanraya umum lalu.

Katanya, usaha tegas perlu diambil bagi memantap semula Umno dan ia boleh dilakukan dengan mendengar kritikan dan saranan para ahli peringkat akar jika perhimpunan khas itu diadakan

Beri peluang untuk kami buktikan - MB Perak

Selepas dua jam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh, ditambah lebih tujuh jam menunggu termasuk 'memberi laluan' kepada kunjungan hormat Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Datin Seri Wan Azizah selama setengah jam, di samping menanti tiga mesyuarat membabitkan pegawai kanan kerajaan negeri, akhirnya Harakah berpeluang mewawancara Menteri Besar Perak, Ir Mohammad Nizar Jamaluddin di pejabat Perhubungan PAS Perak, Jumaat, 21 Mac lalu.

Biarpun kesibukan membatasi, beliau dengan sikap tenang meluangkan masa kira-kira 45 minit dengan penuh bersemangat dan mesra melayan wawancara Ketua Pengarang Harakah, AHMAD LUTFI OTHMAN bersama wartawan AZAMIN AMIN. Pertemuan berharga itu tamat jam 6.40 petang bagi memberi ruang kepada beberapa pimpinan DAP Perak yang menunggu giliran mengadakan perbincangan dengan beliau, khususnya mengenai potfolio Exco Kerajaan Negeri.

ImageHARAKAH:Bagaimana perasaan Tuan Haji setelah dilantik menjadi Menteri Besar Perak?

IR MOHAMMAD NIZAR: Assalamualaikum wbt, saudara-saudara yang dikasihi dan dirahmati Allah sekalian daripada Harakah.

Syukur alhamdullilah buat masa ini ketiga-tiga parti di negeri Perak ini telah bersetuju untuk menerima PAS sebagai peneraju dan memberi sokongan kepada perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak yang melantik saya sebagai menteri besar.

Oleh itu 31 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), 18 DAP, 7 KeADILan dan 6 PAS bersetuju sebulat suara, kesemuanya menyokong saya sebagai menteri besar tanpa berbelah bahagi. Jadi penubuhan kerajaan campuran ini adalah di atas dasar ingin melaksanakan kerajaan yang adil, yang amanah, berkebajikan, telus dan berwibawa.

Apabila saya diberi amanah untuk menerajui kerajaan campuran ini sudah tentulah perasaan saya adalah pertamanya memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT.

Yang keduanya perasaan cemas. Kenapa cemas...sebab ia merupakan suatu suasana yang belum pernah diterokai oleh mana-mana pihak khususnya di negara ini.

Jadi kita tidak ada garis panduan, kita tidak ada nasihat daripada mana-mana pihak dan jika kita nak cuba rujuk kepada 'set-up' yang ada di Kelantan jauh sekali, modul yang ada di Kedah juga tidak bersesuaian, contoh yang ada di Pulau pinang jauh berbeza, dan set-up di Selangor juga tidak boleh dimanfaatkan.

Akhirnya pimpinan PAS terpaksa bekerjasama dengan KeADILan dan DAP bagi membincangkan jalan tengah yang boleh diterima walaupaun tidak sepenuhnya.

Oleh itu terbit perasaan cemas, perasaan takut dan rasa ngeri pun ada. Malah ada juga perasaan pilu...

Tetapi dalam banyak-banyak perasaan ini yang membuatkan saya 'boleh pergi' (mampu meneruskan tanggungjawab) itu adalah perasaan keyakinan kepada Allah SWT.

Kerana ini adalah perkara yang tidak pernah dimimpikan oleh PAS Perak, jadi kita rasakan apabila ia ditakdirkan begitu, sudah pastilah Allah SWT memberikan jalan keluar sesuai dengan firman-Nya dalam surah At-Talaq yang bermaksud apabila '...kita bertawakal kepada Allah maka dia-Nya akan memberi jalan keluar...'

Itulah pengharapan yang tinggi membuatkan kami di Perak ini khususnya pimpinan daripada al-Fadil Ustaz Ahmad Awang selaku Naib Presiden PAS dan Pesuruhjaya PAS Perak bersama seluruh sembilan orang lagi ahli Harian yang lain.

Sebab kita hanya minta hari itu (pilihan raya umum) nak menang, kot boleh pun jadi pembangkang, habis-habis hebat pun jadi pembangkang yang kuat, tetapi Allah ini Maha Mengetahui benda-benda sedemikian.

Sehingga satu lonjakan yang kita tidak boleh duga, penghormatan daripada parti KeADILan dan DAP kepada kami pun menunjukkan ini pun ada merupakan kurniaan Allah. Jadi kita terima ketetapan itu.

Bagaimana pula dengan proses awal penubuhan kerajaan campuran dan lantikan Tuan Haji selaku Menteri Besar yang pada mulanya mengundang perselisihan faham?

Bekenaan dengan masalah yang kita hadapi dalam penubuhan itu, sudah tentu adalah perselisihan faham. Terengganu yang mana kerajaan majoritinya adalah Umno, yang orang satu agama satu bangsa pun ada masalah, apatah lagi kami di sini.

Dan tiga parti, dan tiga bangsa maka sudah tentulah masalah jauh lebih besar tetapi alhamdulillah dengan kaedah-kaedah dan pengharapan yang tinggi itu, maka dapat dilaksanakan sehinggalah sampai ke tahap menteri besar itu boleh mengangkat sumpah.

Alhmadullilah buat masa ini, perasaan takut dan cemas tadi semakin berkurangan walaupun masih lagi kadang-kadang itu perasaaan bimbang kerana yang nak kita hadapi ini adalah perkara yang tidak menentu.

Jadi yang kita buat 'jambatan' ini, yang boleh menyeberang satu anak sungai tetapi banyak lagi sungai-sungai yang di depan itu yang mana jambatannya belum kita ketahui ada atau sebaliknya. Itulah perasaan yang dicurigai dan menghantui.

Walau bagaimana pun pengharapan kepada Allah itu masih kuat dan kita berkeyakinan suasana yang ada pada hari ini adalah merupakan ketentuan-Nya, jadi kita menerima.

ImageTuan Haji banyak menyebut bahawa Tuan Haji bukanlah menteri besar PAS, KeADIlan dan DAP tetapi menteri besar seluruh rakyat namun rakyat di bawah atau mungkin ada suara-suara daripada orang kecewa dengan pilihan raya lepas memomokan yang Tuan Haji ini menjadi boneka kepada DAP?

Saya tidak nafikan tanggapan sebegitu rupa memang ada terutama daripada musuh tradisi PAS iaitu BN. Walau bagaimanapun pada hakikatnya hari ini, pada awal-awal lagi DAP dan KeADILan memberi sokongan sepenuhnya terhadap pemerintahan dan teraju ini kepada PAS.

Yang keduanya segala syarat-syarat yang ditetapkan untuk sampai ke tahap membina kerajaan yang berteras kepada nilai-nilai universal ini, diterima oleh KeADILan dan diterima oleh DAP.

Yang ketiganya jika ianya dianggap sebagai boneka, sudah tentulah beberapa portfolio-portfolio yang penting dalam kerajaan negeri Perak akan cuba dikuasai oleh mereka.

Tetapi setakat ini segala-gala portfolio yang besar-besar, yang dasarnya adalah dasar yang kukuh ianya diserahkan kepada Menteri Besar.

Saya tidak nafikan tanggapan itu akan berterusan.

Yang keempatnya, perjalanan saya dengan masyarakat sepanjang 10 hari setelah menerima titah angkat sumpah menjadi menteri besar itu, penerimaan masayarakat berbilang kaum sama ada daripada Cina mahupun India cukup-cukup baik dan amat mengkagumkan.

Pada satu sesi di mana ada hampir-hampir 6,000 anggota masyarakat Cina, saya diminta untuk berucap sedikit, boleh katakan dari segi penerimaan itu amat menggalakkan dan menakjubkan.

Dan saya merasakan tanggapan negatif itu tidak benar dan memang kita terima hakikat ini bahawa kerajaan hari ini adalah kerajaan campuran dan saya tidak mewakili mana-mana parti dan individu. Saya mewakili keseluruhannya. Cuma masa dan waktulah yang akan membuktikan sama ada ianya boleh ataupun tidak.

Dan seperkara lagi yang tidak menunjukkan ia boneka ialah apabila DAP merancang untuk memulaukan sesi angkat sumpah itu dan saya sempat membincangkan perkara-perkara tersebut dengan Paduka Tuanku yang menyebabkan dikeluarkan satu kenyataan rasmi pimpinan DAP memohon keampunan daripada Tuanku Sultan Perak.

Akhirnya pada 17 Mac, Yang Berhormat Lim Kit Siang sendiri telah mendapat titah daripada Paduka Sultan untuk beliau bukan sahaja hanya membuat kenyataan tetapi secara fizikalnya memohon ampun dan itu merupakan satu penghormatan yang mana unsur-unsur boneka itu tidak wujud.

Maknanya akhir-akhirnya kembali kepada tahap menghormati keputusan yang dibuat oleh Paduka Seri Sultan Perak.

Tempoh hari di Perak, ada juga beberapa perhimpunan awal yang didalangi oleh Umno dalam soal untuk membangkitkan sentimen melayu mungkin dan bagaimana situasi serta keadaan sekarang di peringkat bawahan ini?

Pada awal-awalnya memang ada, satu barisan tindakan yang dipelopori oleh penyokong Umno barangkali, cuba mengadakan perhimpunan di Padang Polo, namun oleh kerana ketiadaan permit ianya telah berubah ke satu lokasi yang lain tetapi sambutannya agak hambar kerana mereka juga agak tersepit.

Kerana sekiranya mereka mengenengahkan isu boneka ini banyak sangat, maka ianya akan memberi kesan kepada ketaatan mereka kepada kebawah Duli Tuanku Sultan Perak.

Oleh itu mereka cukup berhati-hati dan apa yang mereka utarakan adalah menghormati keputusan dan mereka minta orang yang hadir itu menghormati keputusan daripada Istana. Jadi untuk itu walaupun mereka nak mengelurkan kenyataan boneka ini, mereka agak tersepit kerana apabila mereka sebut, sudah tentulah mereka tidak menghormati keputusan Istana.

Dan Istana melantik saya sebagai menteri besar adalah berdasarkan kepada faktor-faktor dan penilaian oleh Tuanku sendiri terhadap tiga calon yang diutarakan untuk menubuhkan kerajaan campuran.

Jadi ketiga-tiga calon ini telah dianalisis secara terperinci dalam semua aspek oleh Paduka Seri Sultan dan apabila istana membuat kenyataan memperkenankan dan bertitah bahawa pimpinan daripada PAS yang mana Mohammed Nizar ini menjadi menteri besar, maka dengan sendirinya kalau mereka bertindak 'membonekakan' iaa akan sampai ke tahap tidak menghormati keputusan.

Selain disebutkan soal menterjemahkan manifesto pilihan raya, kerajaan adil beramah dan berkebajikan, mungkin boleh dirumuskan dalam bentuk yang boleh menunjukkan misi Tuan Haji sendiri di Perak?

ImageYang khususnya apa yang nak saya sampaikan kepada penduduk di Perak adalah...kerana rakyat Perak kombinasi kaumnya menunjukkan bahawa kita tidak boleh bangkitkan dalam isu-isu bangsa dan kaum ini sangat.

Sebab masyarakat Cina boleh dikatakan ada sekitar 41 peratus manakala Melayu 50 peratus dan selebihnya kaum-kaum lain.

Untuk itu apa yang ingin saya sampaikan selain nilai-nilai unversal itu, adalah kerajaan ini adalah kerajaan mesra rakyat, mesra perniagaan, mesra pelabur dan mesra fahaman ataupn mesra agama.

Oleh itu rakyat di negeri Perak faham bahawa kerajaan ini tidak akan meninggalkan dan menganiaya bangsa lain kerana teras kita adalah mesra rakyat, mesra perniagaan, mesra pelabur dan mesra fahaman dan mesra agama.

Malah secara khususnya kita dalam usaha nak menterjemahkan nilai-nilai universal tadi dalam konteks peradabadan dan perjalanan kerajaan ini ...insya-Allah.

Apa langkah-langkah awal yang dilakukan oleh Tuan Haji setelah menjadi MB Perak dalam menunaikan tuntutan rakyat, adakah mencontohi kerajaan Pulau Pinang yang didakwa kononnya menghapus DEB atau merujuk kepada kerajaan Kedah yang akan mengurangkan cukai tanah yang tinggi sebelum ini?

Hal itu suatu hikmat apabila kita terpaksa mengambil masa seminggu untuk membincangkan struktur yang paling sesuai dalam rangka untuk menubuhkan kerajaan campuran ini, maka dalam peluang tempoh tujuh hari itu, perlakuan yang berlaku di Pulau Pinang dan kerajaan Kedah termasuk di Selangor memberi gambaran kepada kita untuk menganalisis kesan hasil apa yang dinyatakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang dan Menteri Besar di negeri masing-masing.

Secara tidak langsung memberi pengajaran kepada kami berhubung ada pekara-peerkara yang boleh disebut dan ada yang tidak boleh disebut malah ada perkara yang perlu disebut tetapi dengan nada yang cukup-cukup lunak.

Itulah hikmahnya dan jika diperkenankan lebih awal kerajaan negeri Perak ini kemungkinan kita akan tersasul malah kenyataan saya mungkin tersasar dan akan mewujudkan suasana yang sukar dihadapi.

Untuk itu kita menyatakan bahawa tawaran kami adalah berdasarkan kepada tawaran pilihan raya yang baru ini.

Jadi perkara yang disentuh pada awalnya setelah angkat sumpah ialah memansuhkan segala-gala notis untuk kompauan kepada setiap Majlis Perbandaran...kita ada 15 Majlis Perbandaran di Perak ini untuk sekali itu sahaja ini termasuk salah laku 'parking' letak kereta dan juga kepada penjaja. Itu sahaja. Lain daripada itu kita tidak sentuh.Sudah tentu ini memberi kesan baik kepada raakyat.

Lain kita tidak sentuh kerana kita khuatir kombinasi kaum yang ada akan mengundang kepada perkara-perkara yang kurang manis.

Tuan Haji ada menyebut tentang kerajaan yang mesra pelabur dan tadi pun Dato' Seri Anwar ada sebut tentang untuk menumpukan kepada peningkatan ekonomi di lima negeri yang diperintah Barisan Alternatif (BA), seolah-olah ada mesej yang nak disampaikan bahwa akan berlaku sekatan ekonomi khususnya daripada kerajaan Pusat, adakah Tuan Haji menjangka perkara itu dan apakah tindakan menangani isu itu?

Pertamanya saya nyatakan pada awal tempoh hari bahawa kerajaan campuran ini berpaksikan atas nilai-nilai universal itu sendiri dan kita akan menyampaikan kepada rakyat bahawa hasilnya ialah memberi manfaat kepada rakyat.

Yang pertamanya kebajikan, jadi rakyat ingin lihat apakah bentuk kebajikan yang tercerna hasil daripada kita yang membuatkan kerajaan yang adil dan telus ini. Mesti ada bentuk kebajikan kepada mereka dalam apa bentuk sekali pun...dalam bentuk sosialnya, pendidikannya.

Yang keduanya, kita mesti tunjukkan bahawa kerajaan ini mempunyai sifat-sifat 'kemesraan' dan tidak menakutkan pelabur-pelabur dalaman dan luaran.

Perkara-perkara yang menakutkan ialah sekiranya tiada 'continuity', kesinambungan daripada kerajaan terdahulu BN kepada kerajaan baru.

Kalau peralihan itu memberi beberapa simbol-simbol bahawa ada pertukaran dan perubahan besar yang melibatkan dasar maka ini akan menimbulkan kekhuatiran.

Oleh itu apa yang kita jangkakan ialah portfolio-portfolio di bawah menteri besar terdahulu adalah lebih kurang sama dengan menteri besar yang ada hari ini dan itu sekaligus memberi ketenteraman kepada peniaga-peniaga khususnya pelabur-pelabur.

Saya bagi contoh ada satu pelabur yang memang sudah menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) dengan kerajaan negeri yang terdahulu (BN) yang kemudiannya menyatakan untuk memikirkan semula perjanjian tadi memandangkan kerajaan baru (BA) telah ditubuhkan dan berfikir untuk melabur di lokasi lain.

Saya sendiri telah menghubungi pelabur tersebut yang berasal daripada negara Timur Tengah, dan setelah diterangkan secara peribadi...dia berbahasa Arab dan saya juga boleh berbahasa sama dan alhamdullilah ia berjaya dipulihkan dan pelabur tersebut akhirnya mahu meneruskan hajatnya untuk melabur di negeri ini.

Yang ketiga yang kita katakan mesra ini ialah, semangat Persekutuan. Maknanya kerajaan yang ada pada hari ini tidak sekali-kali akan menunjukkan apa-apa ruang yang boleh menyebabkan rakyat berpendapat bahawa akan terjejas hubungan antara negeri dengan Persekutuan.

Oleh itu semangat 'Federalisme' itu akan sentiasa dijunjung dan kita tidak mahu terjejas. Dalam semua aspek dan kita tidak akan menafikan apa sahaja dasar-dasar misalnya Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Ini akan memberi ransangan ataupun pengajaran kepada kami untuk tidak menyentuh kalau kita merasakan ia 'sarang tebuan'.

Apabila ia disentuh sudah pastilah ada kucar-kacir. Kita mahu menjamin bahawa rakyat tiada pemikiran kedua yang mengurangkan keyakinan kepada keranjaan negeri yang baru.

Dalam proses awal ini kita berjaya menangkis apa juga perkara yang melambat dan menghantui proses kerajaan baru ini malah kita akan berusaha untuk mengelak liku-liku yang akan menjejaskan hubungan antara kerajaan persekutuan dan negeri.

Bagaimana dengan perancangan Wilayah Pembangunan Koridor Utara (NCER), adakah akan diteruskan?

Barangkali secara kebetulan dan paling tepat ialah takdir Allah SWT, saya berkesempatan berjumpa dengan orang kuat NCER sendiri iaitu Dato' Seri Anuar Zaini memberi rakaman penghargaan kepada saya dan merasakan bahawa 'looking forward to various state newly government' untuk menjalinkan hubungan baik, untuk menjayakan NCER ini.

Saya menyambut baik dan dalam pertemuan itu Dato' Seri Anuar sendiri menyatakan bahawa ada beberapa perancangan dan perancangan itu tidak bersifat politik.

Oleh kerana BN menetapkan untuk memenuhi janji-janjinya dalam NCER, maka kita akan terus menyokong kerana itu azam YAB Perdana Menteri sendiri malah sudah ada perhubungan rapat yang telah terjalin antara saya sendiri dengan peneraju NCER ini.

Kita bermatlamat dan berharap bahawa pelaksanaan NCER ini sudah tentulah akan memberi peluang dari segi pekerjaan, pembangunan dan infrastruktur negeri ini.

Kita tidak perlu persoalkan buat masa ini sebab kita rasakan NCER ini boleh diteruskan termasuk apa yang dirancang oleh Jabatan Perdana Menteri dan sebagainya.

Dalam pada itu timbul di beberapa negeri kemungkinan di Perak dari segi salah-laku yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu termasuk isu fail-fail hilang seumpamanya, jadi adakah berlaku di sini atau pentadbiran Tuan Haji akan membongkar dan mengambil tindakan-tindakan atas salah laku berkenaan?

Yang ini juga merupakan elemen yang cukup kita berhati-hati dan mengambil pengajaran daripada negeri-negeri lain.

Hal ini memberi gambaran kepada masyarakat seolah-olah ada usaha untuk 'mencari kesalahan' ataupun 'witch hunting'. Kita seboleh-bolehnya tidak ada perasaan berdendam begitu.

Pada malam 8 Mac itu, setelah keputusan diumumkan ramai penyokong BA ini mula berkerumun dan mengepung bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri(SUK) dan pejabat Menteri Besar sehinggakan polis dan anggota keselamatan terpaksa membuat tindakan. Jadi kita terpaksa menenangkan suasana.

Saya sendiri telah berhubung dengan Ketua Polis Perak, Dato' Zulkifli Abdullah sendiri sedangkan pada malam itu saya baru berjaya dipilih sebagai Adun Pasir Panjang, tetapi dalam suasana nak membina sebuah kerajaan, saya telah dipanggil oleh anggota keselamatan untuk menenangkan suasana.

Jam 4 pagi (9 Mac) saya beritahu kepada semua pimpinan PAS dan penyokong yang mengepung bangunan itu supaya bertenang dan setelah mendapat kepastian daripada Ketua Polis, barulah kita bersurai.

Kita telah diberi jaminan oleh Ketua Polis Perak bahawa tidak ada apa-apa barang yang keluar masuk daripada bangunan itu kecuali barangan peribadi atau persendirian dan anggota keselamatan telah memenuhi jaminan mereka.

Kita tidak ada niat untuk membongkar kerana kita merasakan perkara itu akan menokok-tambahkan kemarahan rakyat. Biarlah apa yang berlaku itu akan dinilai oleh rakyat sendiri.

Kita tidak mahu ia akan memberi gambaran yang negatif kepada kerajaan negeri yang baru, termasuk imej buruk kepada bukan sahaja kepada ahli-ahli PAS tetapi penyokong yang hendak menyokong kita seandainya perkara-perkara yang didakwa dan salah-laku itu tidak wujud.

Pendekatan dan 'approach' yang saya lakukan ini diterima baik oleh rakan-rakan, supaya tidak menujukkan kerajaan ini mempunyai sifat dendam dan hanya nak mencari kesalahan sahaja.

Walaupun perkara itu mungkin ada kerana sepanjang perjalanan kita nanti ia mungkin akan terserlah, kalau ianya berlaku kita akan berhubung dengan agensi kerajaan yang lain seperti Badan Pencegah Rasuan (BPR) untuk membuat tindakan mengikut proses undang-undang.

Kita tidak akan membuat tindakan sendiri, mencungkil atau mencari kesalahan orang. Jika ada, biarlah BPR dan polis atau agensi berkaitan melaksanakan tanggungjawab mereka.

Mungkin ada sesuatu yang Tuan Haji ingin perkatakan kepada barisan kepimpinan kerajaan terdahulu yaang diketuai oleh Dato' Seri Tajol Rosli?

Dalam ucapan semasa angkat sumpah, saya memberi penghargaan terima kasih kepada bekas menteri besar Dato' Seri Tajol Rosli dan wakil-wakil rakyat Umno di atas khidmat yang mereka telah sumbangkan kepada penduduk di negeri ini.

Saya juga membuat mengalu-alukan sekiranya ada perkara-perkara baik yang difikirkan perlu dan ingin mereka sampaikan, berilah cadangan itu kepada kami. Dan kita juga tidak secara terus-meneruskan menyatakan apa sahaja yang dirancang oleh mereka dalam konteks sedang, dalam dan akan dilaksanakan, kita akan terus cantas ... tidak sama sekali.

Kita akan mengkaji apa yang manfaatkan rakyat, kita akan teruskan. Mana-mana yang perlu 'ditablekan' semula kita akan kaji balik.

Jadi untuk itu kita tidak mahu membanyakkan musuh. Sudahlah musuh yang ada pun kita perlu tangkis inikan pula nak menambah musuh yang baru ... saya rasa itu tidak cermat dan tidak manfaat.

Harapan Tuan Haji sendiri dan saranan kepada rakyat khususnya di Perak? Berdepan situasi politik hari ini?

Kepada semua khususnya rakyat di negeri ini berilah kesempatan saya dan kerajaan campuran yang baru sekurang-kurangnya 100 hari. Tak pastilah sama ada 100 hari ini merupakan 'magical numbers' tetapi tiga bulan itu adalah suatu tempoh yang adil bagi menilaikan dan memberi peluang.

Sebab suasana di Perak merupakan 50 tahun dalam dakapan BN, jadi apa yang berlaku ini, satu perkara yang tidak boleh diduga dan tidak dapat kita 'imagine' malah nak dibayangkan sikit pun tak boleh.

Jadi untuk itu kita minta ya ... harapan kita supaya rakyat di Perak ini memberi sokongan.

Yang keduanya apa sahaja tohmahan-tohmahan, apa sahaja perkara yang tidak datang daripada sumber kerajaan campuran negeri Perak berupa sistem pesanan ringkas (SMS), surat-surat layang janganlah diambil kira dan dipedulikan.

Anggap itu sebagai taktik-taktik musuh menggunakan logo PAS dan menyatakan bahawa kerajaan ini akan mengharamkan macam-macam, anggap itu sebagai tidak betul.

Harapan saya kepada seluruh ahli-ahli PAS, penyokong PAS dan KeADILan untuk sama-sama kita berazam dan memohon pertolongan daripada Allah SWT mudah-mudahan dipanjangkan hayat dan dikukuhkan kerjaaan ini.

Kerana inilah merupakan struktur yang boleh memberikan suatu alternatif kepada rakyat negeri Perak yang boleh mencerminkan peradaban seluruh rakyat di negara ini.

Takdirnya struktur di Perak ini boleh bertahan, maka ianya merupakan 'the ideal example' (contoh terbaik) bagi negeri-negeri lain ... atas seba-sebab dan sifat uniknya. Jika Perak boleh bertahan apatah lagi di negeri-negeri yang tidak mempunyai kombinasi kaum seumpama ini.

Untuk itu saya merayu dan mengharapkan ... berilah peluang. - Harakahdaily.net

Terima kasih kerana sumbangan anda. Sumbanglah untuk kebaikan perjuangan kita bersama.

Can't find what you're looking for? Try Google Search!

Google
 

Umno Sarkas

ANDA ADA MAKLUMAT ISU NEGARA?

Sila emailan kepada saya di seramaesty@yahoo.com atau hubungi saya di talian 013-9060111.

TERIMA KASIH ATAS KERJASAMA ANDA

Feedback Form

Join the Mailing List
Enter your name and email address below:
Name:
Email:
Subscribe  Unsubscribe 

Dr. Irfan menjelaskan Perniagaan Internet secara mudah kepada anda

Free Viral Advertising