Saya Suhaimi Taib, mendapat Sijil Pentadbiran Islam dari Kusza Kuala Terengganu (2002), Kursus Penerbitan Video Koperat Universiti Malaya (2003), Pengarang Warta Darul Iman (2000-2003) Penerbit Siaran Darul Iman (2003-2004), Wartawan Sambilan Berita Harian (1997-1998), Wartawan Harakah (1989-1996).
Menerima Anugerah kewartawanan Esso-Kawat (1997 dan 1998)

Hubungi saya melalui e-mel: seramaesty@yahoo.com atau H/P No: 013-9060111.

Tuesday, March 25, 2008

Saya Bukan Penderhaka Umno, Kata Ahmad Said

KEMAMAN, 24 Mac (Bernama)-- Datuk Ahmad Said yang menerima watikah pelantikan sebagai Menteri Besar Terengganu daripada Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) semalam meminta semua pihak supaya tidak mempertikaikan kesetiaannya kepada Umno.

"Saya tidak pernah menderhaka terhadap Umno...saya telah berjuang dan bekerja dengan parti ini sejak bapa saya masih hidup lagi.

"Saya bekerja, siang malam untuk memastikan Umno Kemaman kuat...tidak timbul soal derhaka. Bagi saya, mungkin berlaku kekeliruan dan sebagainya sehinggakan perkara ini berlaku," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ahmad yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal difahamkan baru pulang daripada menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Kuala Lumpur.

Beliau berharap pucuk pimpinan parti akan merenung dengan sabar dan memikirkan perkara ini dengan sebaik-baiknya kerana ia merupakan sesuatu yang serius.

"Saya ahli parti, saya juga tahu pasal undang-undang parti dan kita perlu sabar untuk mencari punca dan jalan penyelesaiannya. Nak pecat itu mudah tetapi kesannya tuan-tuan lebih tahu," kata beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Kemaman.

Menurut Ahmad, pelantikan beliau sebagai menteri besar bukanlah atas kehendaknya, tetapi atas ketentuan dan takdir Allah s.w.t.

"Ini berlaku bukan kehendak saya...ini bukan kehendak saya...saya tahu ini bukan kehendak saya. Tetapi apa boleh buat ini ketentuan Allah dan kita perlu menerima hakikat itu, " katanya.

Ahmad berkata beliau juga tiada niat untuk menghancurkan Umno dan memecah-belahkan Umno di negeri ini.

Semalam, Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Rosol Wahid berkata kesemua 23 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu tidak menolak kemungkinan untuk melepaskan jawatan masing-masing sekiranya Ahmad tetap memegang jawatan Menteri Besar negeri ini.

Beliau berkata kesemua mereka telah berikrar untuk berdiri teguh di belakang bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh dan memberikan sokongan padu terhadap pelantikan semula beliau sebagai Menteri Besar Terengganu.

-- BERNAMA

Ahmad: Saya tak perlu angkat sumpah

Datuk Ahmad Said berkata beliau tidak perlu menjalani upacara angkat sumpah sebagai menteri besar Terengganu yang baru kerana beliau telah menerima watikah pelantikan jawatan tersebut daripada Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Terengganu.

Bagaimanapun, senarai ahli exco yang bakal dilantiknya selepas ini perlu mengangkat sumpah, katanya dalam sidang akhbar pertamanya selepas memulakan tugasnya sebagai menteri besar hari ini.

Ahmad tiba di Wisma Darul Iman sebelum jam 8 pagi tadi. Beliau kemudiannya terus ke tingkat 18 di mana satu majlis sembahyang hajat diadakan, yang dihadiri kira-kira 41 orang, termasuk kakitangan kerajaan.

Sembahyang hajat diadakan jam 8.14 pagi dan berakhir kira-kira lima minit kemudiannya.

Selepas itu, Ahmad mengadakan sidang akhbar. Menurutnya beliau akan ke Putrajaya hari ini tetapi enggan mengulas lanjutnya mengenainya.

Ditanya sama ada beliau akan mengekalkan barisan exco lama, Ahmad berkata, ia akan merupakan campuran muka lama dan muka baru.

Bukan Masalah Tiada Jawatan Timbalan Menteri Besar Bagi Teresa Kok

KLANG, 24 Mac (Bernama) -- Exco kerajaan negeri Selangor yang baru dilantik Teresa Kok berkata bukan satu masalah jika Selangor tiada jawatan Timbalan Menteri Besar.

Katanya adalah lebih baik kerajaan negeri memberikan perhatian kepada prestasinya daripada tidak habis-habis bercakap tentang jawatan.

" Apa yang lebih penting sekarang adalah untuk kami bekerja, kerana rakyat telah meletakkan banyak harapan kepada kami untuk membawa perubahan," katanya selepas majlis mengangkat sumpah di Istana Shah Alam di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan campuran itu akan membawa perubahan kepada pentadbiran negeri.

Kerajaan Selangor terdiri daripada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS yang menang 36 kerusi negeri pada pilihan raya umum 8 Mac lepas manakala baki 20 kerusi dimenangi Barisan Nasional (BN).

Kok berkata DAP meminta jawatan Timbalan Menteri Besar kerana ia menang 13 kerusi manakala PKR 15 kerusi dan di Pulau Pinang PKR yang menang kurang kerusi berbanding DAP, diberikan jawatan Timbalan Ketua Menteri.

" Ia tindakan biasa untuk kami meminta jawatan Timbalan Menteri Besar tetapi kerana ia mengundang kontroversi, bagi saya ok kalau tiada jawatan itu," katanya.

Ditanya tentang peranannya sebagai Pengerusi Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, beliau enggan mengulas lanjut kerana belum diberikan penerangan oleh pegawai-pegawai terlibat.

Sementara itu, Yaakob Sapari yang mengetuai jawatankuasa Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, berkata beliau mahu syarikat berkaitan kerajaan negeri kekal kompetitif dan mendapat untung.

Katanya beliau juga mahu melihat usahawan memainkan peranan lebih aktif dalam pembangunan Selangor dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, dan memberikan agihan kekayaan negeri yang lebih adil.

Dr Xavier Jayakumar yang memegang portfolio Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prohatin, berkata beliau ingin melihat lebih banyak perniagaan dan kilang menyediakan pekerjaan kepada penduduk tempatan, terutama orang India, berbanding mengambil pekerja asing.

Beliau akan mengadakan dialog dengan pengurusan kilang untuk melihat sama ada mereka dapat mengambil lebih ramai pekerja India tempatan.

Mahathir patut mohon maaf kes Salleh

KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP Karpal Singh mendesak kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja bagi membuka semula kes pembentukan dua buah tribunal yang membawa kepada pemecatan ketua hakim negara dan penggantungan jawatan lima hakim Mahkamah Agung pada 1988.

Terma rujukan suruhanjaya itu - untuk menentukan sama ada dua buah tribunal yang dibentuk itu mempunyai asas dan latar perundangan yang cukup, katanya.

Beliau membuat desakan itu dalam satu sidang akhbar di Kompleks Mahkamah Jalan Duta hari ini sebagai mengulas cadangan Datuk Zaid Ibrahim - menteri di Jabatan Perdana Menteri yang baru dilantik bertanggungjawab menangani hal-hal berkaitan undang-undang dan reformasi kehakiman - supaya kerajaan sekarang memohon maaf kepada Tun Salleh Abbas.

Selain Salleh, lima hakim kanan yang menjadi mangsa krisis itu: Tan Sri Azmi Kamaruddin, Tan Sri Eusoffe Abdoolcader, Tan Sri Wan Hamzah Mohamed Salleh, Tan Sri Wan Sulaiman Pawanteh and Datuk George Seah.

Peguam terkenal itu juga berkata, cadangan Zaid meminta kerajaan bawah pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memohon maaf bukan langkah yang betul.

Sebaliknya, kata beliau, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang sepatutnya memohon maaf.

Beliau berkata suruhanjaya yang disarannya itu hendaklah juga menentukan sama terdapat salah laku di pihak Dr Mahathir dalam mengguna pakai artikel 125(3) Perlembagaan Persekutuan.

Insiden pemecatan Salleh dan hakim-hakim kanan itu sering dirujuk sebagai permulaan terhakisnya kepercayaan ramai terhadap integriti dan kredibiliti badan kehakiman negara.

Dr Mahathir mengarahkan Salleh dan hakim-hakim itu dihadapkan ke tribunal khas selepas bekas ketua hakim itu menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong, mendakwa wujud campur tangan eksekutif dalam badan kehakiman.

Surat itu susulan satu pindaan Perlembagaan Persekutuan yang dianggap menghakis kebebasan dan kemandirian badan kehakiman.

Hakim-hakim itu pula dihadapkan ke satu tribunal apabila mereka tidak bersetuju dengan tindakan kepada Salleh.

Pada 2006, Zaid yang ketika itu anggota parlimen bagi Kota Bharu mendesak kerajaan menubuhkan suruhanjaya menyemak semula kes tersebut.

Idris diganggu 'isteri sedang marah?'

analisis Fathi Aris Omar | Mar 24, 08 3:40pm

kemaskini 10:30pm Dua tiga hari menjelang pilihanraya umum 8 Mac, Perdana Menteri dan timbalannya mengakui bahawa Terengganu pada awalnya berdepan dengan masalah besar akibat bantahan akar umbi isu calon muka baru.

Melalui wawancara secara langsung di TV, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Mohd Najib Razak bagaimanapun berkata isu itu "sudah selesai" pada minggu kedua kempen.

Akibat pengguguran 12 muka lama termasuk bagi kerusi parlimen, bantahan terbuka beberapa ratus pengikut ketua-ketua bahagian Marang, Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu itu disifatkan "tidak pernah berlaku" dalam sejarah Umno negeri.

Minggu kedua kempen menyaksikan Umno kembali memerintah negeri itu dengan kemenangan selesa - mengekalkan 24 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri dan tujuh daripada lapan kerusi parlimen.

Di Semenanjung, kemerosotan undi BN di Terengganu kali ini paling sedikit, 1.2 peratus sahaja, berbanding pilihanraya umum 2004.

Berbeza dengan negeri-negeri di pantai barat yang menyaksikan kemerosotan ketara - antara 12 hingga lebih 20 peratus - sehingga menyebabkan empat negeri jatuh ke tangan pembangkang.

Namun, kemenangan besar BN di negeri pantai timur tidak menguntungkan pengerusi BN, yang juga ketua badan perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Idris Jusoh.

Krisis pencalonan rupa-rupanya terus menghantui Idris apabila majoriti ketua bahagian tetap membantah beliau dilantik kembali sebagai menteri besar.

Macam Shahidan

Krisis Idris dengan ketua-ketua bahagian kini muncul dalam bentuk ketegangan antara BN dengan istana - Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) tidak memberi perkenan kepada Idris, sebaliknya memilih Datuk Ahmad Said.

Seperti nasib Datuk Seri Shahidan Kassim di Perlis yang gagal dilantik semula sebagai menteri besar, surat sokongan Perdana Menteri kepada Idris kini tidak memadai - ada kuasa-kuasa lain yang boleh mencabarnya dan mengatasinya.

Sama ada kuasa itu di peringkat istana atau bahagian Umno, yang jelas ketua perhubungan Umno negeri kini tidak boleh mengharapkan sokongan presiden Umno semata-mata untuk dilantik mengetuai kerajaan negeri.

Ahmad, yang mengepalai bahagian Kemaman, termasuk tujuh ketua bahagian yang bertemu Idris di kediaman rasminya bagi menyatakan rasa tidak berpuas hati mereka berhubung calon-calon BN menjelang 24 Februari, seorang ketua bahagian memberitahu Malaysiakini pada hari penamaan calon.

Pertemuan kedua mereka dengan Idris itu selepas beliau mengumumkan senarai calon beberapa hari sebelum hari penamaan calon.

Mereka mempertikaikan beberapa calon lama digugurkan tanpa sebarang perbincangan.

(Idris, beberapa hari kemudian, menafikan tidak pernah berunding dengan mereka dalam satu sidang media selepas bertemu Perdana Menteri. Beliau juga mendakwa senarai calon itu keputusan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.)

Tidak tunai janji

Dalam pertemuan pertama, Malaysiakini difahamkan, Idris telah berjanji kepada semua bahagian bahawa nama mereka akan tersenarai dan mereka dikehendaki hadir di majlis pengumuman calon 20 Februari.

Bagaimanapun kejutan besar singgah di muka ketua-ketua bahagian yang hadir apabila nama mereka digugurkan - Datuk Abdul Rahman Bakar (Marang), Datuk Tengku Putera Tengku Awang (Hulu Terengganu) dan Datuk Dr Rosli Mat Hassan (Dungun) tidak tersenarai untuk mempertahankan kerusi masing-masing.

Selain mengetuai bahagian, Abdul Rahman, bekas timbalan menteri, dan Tengku Putera adalah ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno yang menang dalam pemilihan pada 2004.

Turut tidak disenarai semula untuk bertanding, dua exco negeri: Datuk Dr Abdul Latiff Awang dan Wan Mohd Wan Hassan.

Paling menyakitkan apabila calon kerusi parlimen Marang digantikan dengan muka baru - tidak lain dan tidak bukan setiausaha Idris sendiri, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir - untuk mencabar presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Akhirnya kerusi parlimen itu, sememangnya kubu kuat PAS, jatuh kembali ke tangan Abdul Hadi - antaranya akibat undi protes dan sabotaj penyokong Umno.

Kerusi negeri Bukit Payong, yang disandang Dr Abdul Latiff tetapi digugurkan oleh Idris, jatuh ke tangan PAS.

Di Dungun, Dr Rosli digantikan dengan Matulidi Jusoh, dikatakan penyokong Idris.

Ahli parlimen lain yang digugurkan termasuklah timbalan ketua bahagian Kuala Nerus, Che Azmi A Rahman dan ketua penerangan bahagian Setiu, Mohd Yusop Majid.

Maka tidaklah menghairankan apabila beberapa ratus penyokong mereka, antaranya hadir dengan beberapa buah bas, mengadakan demonstrasi selama beberapa hari, termasuk di sebelah malam, di depan kediaman rasmi Idris.

Mengulas bantahan ini, Idris menyifatkan ratusan penyokong Umno ini sebagai "isteri sedang marah".

Tuntut talak tiga

"Orang tengah marah... macam isteri kita juga, kalau tengah marah, kita lawan tak bolehlah... kita dengar dahulu, kita cool down dulu. Kalau kita lawan sama, habislah periuk mangkuk berterabur," katanya.

Sekarang isteri bukan sahaja marah dan periuk mangkuk bertaburan, tetapi kelihatannya menuntut talak tiga!

Umno menang besar, jika dibandingkan negeri-negeri lain yang gagal menahan amukan badai "tsunami politik" 8 Mac, dan dugaan ramai tiada lagi isu di Terengganu.

Idris tentunya boleh terus berkuasa dan tidur dengan lena.

Bagaimanapun jelas sekali, walaupun sebahagian besar pemimpin bahagian tidak lagi menjadi wakil rakyat, Umno menunjukkan kuasa sebenar mereka adalah berasaskan kekuatan politik di peringkat itu - akar umbi.

Tengku Putera, timbalan ketua badan perhubungan Umno negeri, semalam mendakwa tujuh ketua bahagian sebulat suara menyokong Ahmad.

Tidak lama selepas itu, Rosol bagaimanapun menafikan bahawa Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri (ketua Kuala Nerus) dan Datuk Mohd Jidin Shafee (Setiu) menyokong Ahmad.

Namun kedua-duanya pula, seperti dilaporkan oleh akhbar New Straits Times hari ini, enggan mengulas isu tersebut - dan tidak menunjukkan sokongan atau hentaman kepada Ahmad.

Datuk Wan Mohd Farid Wan Salleh, ketua bahagian Kuala Terengganu dan bekas setiausaha Abdullah, tentunya bersama presiden.

Berbekalkan watikah pelantikan semalam, Ahmad bersedia ke Wisma Darul Iman esok - walaupun 22 wakil rakyat BN, termasuk seorang MCA, tidak bersamanya.

Bagaimanakah Umno negeri yang kini terpecah dua, antara kumpulan pro-Idris dengan pro-Ahmad, menyelesaikan krisis ini? Apakah istana akan mencalonkan satu nama baru? Atau, bertegas dengan pelantikan Ahmad?

Tiada yang jelas saat ini kecuali satu: Istana telah menolak Idris, maka carilah calon lain - sekali pun Perdana Menteri tidak bersetuju dengan Ahmad.

Renungan Buat Rakyat Malaysia

Hari ini saya kirimkan dokumen Rukunegara untuk renungan seluruh warga siber Malaysia dengan nota “saya harap ramai-ramai kita downloadkan dokumen ini dan kirimkan kepada seluruh pihak yang terbukti sedang menderhaka kepada Raja-Raja Melayu pada ketika ini. DAULAT TUANKU, DAULAT TUANKU, DAULAT TUANKU!”

Saya berbuat demikian kerana prinsip kedua Rukunegara adalah “KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA.” Prinsip ini dimaktubkan sedemikian rupa kerana Raja-Raja Melayu dan institusinya adalah sendi utama kepada sistem pemerintahan demokrasi berparlimen di Malaysia. Ini juga kerana Raja-Raja Melayu dan institusinya adalah payung makhota kepada kesejahteraan, keharmonian dan kedamaian rakyat jelata seluruhnya.

Pada waktu yang sama, oleh kerana kekusutan yang sedang berlaku di Terengganu hari ini adalah membabitkan UMNO selaku tulangbelakang Barisan Nasional (BN), wajarlah pihak-pihak yang terbabit merujuk kepada Perlembagaan UMNO. Rujuklah kepada Fasal 3 perlembagaan tersebut seperti berikut:

FASAL 3

ASAS DAN TUJUAN

UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruh dan martabat bangsa, agama dan negara.

3.1 Mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara.

3.2 Mendukung dan mempertahankan Perlembagaan Negara, Perlembagaan Negeri-negeri dan Raja Berpelembagaan.

3.3 Menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebangsaan beragama.


3.4 Mempertahankan kedaulatan rakyat dan keadilan sosial dengan mengamalkan Sistem Pemerintahan Demokrasi Berparlimen serta memajukan ekonomi rakyat Melayu dan Bumiputera khasnya dan rakyat Malaysia amnya.


3.5 Menjamin kedudukan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) sebagai bahasa rasmi yang tunggal dan Kebudayaan Kebangsaan yang berteraskan Kebudayaan Melayu.


3.6 Mewujudkan kerjasama antara kaum bagi melahirkan satu bangsa Malaysia yang kuat dan bersatu berasaskan kepada hak-hak Asasi Manusia dan Hak-Hak Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera.


Sesudah itu, bacalah Fasal 3(2) yang menyatakan bahawa antara asas dan tujuan perjuangan UMNO adalah “Mendukung dan mempertahankan Perlembagaan Negara, Perlembagaan Negeri-negeri dan Raja Berpelembagaan.”

Sila baca Fasal 3(2) ini secara berulang kali sehingga semangat, roh dan jiwanya menggelorakan keinsafan kepada kita semua. Sesudah itu, tanya diri kita, adakah Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, insaf bahawa apa yang beliau lakukan pada hari ini, dalam konteks kemelut Menteri Besar Terengganu, mencanggahi Perlembagaan UMNO?

Seterusnya, tanyalah kepada pihak UMNO yang merentangkan banner dengan kata-kata: “Kami Mahu Idris, Natang” dengan soalan tegas, siapakah yang mereka maksudkan “NATANG atau BINATANG?” Kalau mereka jawab, “NATANG” yang dimaksudkan adalah lembu-lembu yang berkeliaran di Jalan Kuala Berang, tak mengapa!

Tapi kalau perkataan “NATANG atau BINATANG” ini ditujukan kepada pihak yang sedang dibantah keputusannya kerana melantik ADUN Kijal, YAB Ahmad Said, selaku Menteri Besar Terengganu, manusia yang derhaka ini mesti “disula” dengan serta merta! Heret mereka ke Balai Polis terdekat dan buat laporan bahawa perbuatan manusia berkenaan adalah satu penderhakaan!

Sesudah itu, kirimkan salinan laporan polis itu kepada Hishamuddin Hussein selaku Ketua Pemuda UMNO dan Khairy Jamaluddin selaku Naibnya. Beritahu kedua-dua “hero?” Melayu ini bahawa inilah waktunya kalau mereka mahu menghunus keris untuk menyula Melayu-Melayu yang derhaka kepada Rajanya!

Dan, jangan lupa kirimkan salinan juga kepada Abdullah. Katakan kepadanya, kalau beliau tidak bertindak tegas untuk menurunkan kain rentang itu, maka beliau perlu diheret sama dalam tuduhan berkenaan kerana bersekongkol dengan Melayu-Melayu derhaka.

Seterusnya, renungkanlah komen seorang pelayar blog ini dengan nama Hang Aku, mengenai apa yang sedang berlaku di Terengganu sekarang, seperti berikut:

Bandingkan dan fikirkan wahai orang yang berfikir:

1) DAP biadap kerana cuba boikot majlis angkat sumpah MB Perak. Tapi, UMNO tak biadap bila nak boikot majlis angkat sumpah MB Terengganu?

2) Datuk Ahmad Said (Terengganu) akan dipecat kerana langgar watikah Presiden UMNO. Tapi, Datuk Md. Isa Sabu (Perlis) tak dipecat kerana isu yang sama?

3) Zam (Datuk Seri Zainuddin Maidin, Kedah) diselar oleh pemimpin UMNO kerana komen yang dikatakan tidak benar pasal pembaziran wang dan usaha keras untuk menawan Kelantan. Tapi, Ku Li disuruh rampas Kelantan sebelum cabar Presiden UMNO kerana dikatakan banyak wang dan usaha yang telah digunakan untuk menawan Kelantan tapi gagal. Bazir dan guna...macam sama je maksudnya?

4) Kerajaan baru Perak dikatakan tiada muafakat kerana bertelagah untuk memilih Exco. Tapi, kerajaan Terengganu nak dapat MB pun payah? - Hang Aku: 8:40 PM

Demikianlah renungan untuk kita semua kali ini. Kepada sahabat-sahabat saya di Terengganu, fikir-fikirkanlah mesej di sebalik renungan ini. Kepada Abdullah, undurlah sekarang juga kalau masalah seperti ini pun susah sangat nak diselesaikan. DAULAT TUANKU, DAULAT TUANKU, DAULAT TUANKU!!!! – Ruhanie Ahmad

Keangkuhan Umno punca kalah - Koh Tsu Koon

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Hrkh) - Selepas Naib Ketua Pemuda Gerakan, S. Paranjothy menyifatkan Umno sebagai punca kaum India terpinggir di negara ini, Pemangku Presidennya, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon pula menyalahkan "keangkuhan kuasa" beberapa pemimpin Umno sebagai punca kekalahan partinya dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.

"Tindakan, kata-kata dan perbuatan beberapa pemimpin Umno sejak dua tahun lalu mengakibatkan rasa marah (rakyat)," kata Dr Koh selepas mempengerusikan taklimat parti itu semalam.

Bagaimanapun, beliau mengakui pihaknya mungkin tidak melakukan yang secukupnya.

"Mungkin kuasa telah naik ke kepala setelah memimpin Pulau Pinang selama 39 tahun," katanya.

Mengenai saranan-saranan dalam taklimat itu, Koh berkata, kepimpinan tertinggi parti itu dituntut supaya lebih lantang bersuara untuk rakyat.

"Kami mengakui bahawa kami terlalu sibuk dengan kerja-kerja di dalam kerajaan dan mungkin kami telah terpisah dari rakyat," katanya.

Perkembangan seterusnya akan memperlihatkan adakah Dr Koh akan menerima nasib yang sama seperti Paranjothy.

Berikutan kenyataan Naib Ketua Pemuda Gerakan itu, Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menuntut pucuk pimpinan Gerakan mengambil tindakan tegas ke atas Paranjothy.

"Kalau ia melibatkan parti atau Pemuda saya, sudah lama saya pecat (orang itu). Tetapi ini bukan ahli Pemuda saya, parti saya, maka saya serahkan kepada Gerakan untuk menentukan," katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula menyifatkan kenyataan Paranjothy itu telah melanggar disiplin Barisan Nasional (BN).

Lantik Ahmad sah, Abdullah salah - Ku Li

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Hrkh) - Kenyataan Perdana Menteri yang dituntut berundur, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa perlantikan sesiapa sahaja selain Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar Terengganu bercanggah dengan perlembagaan adalah salah, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

"Seperti dalam krisis di Perlis baru-baru ini, tindakan-tindakan Perdana Menteri menunjukkan ketidakcekapan yang memeranjatkan di dalam mengendalikan hubungan fundamental dan fungsi kerajaan yang begitu jelas," kata bekas Menteri Kewangan yang menawarkan diri sebagai calon Presiden Umno itu.

Apa yang berlaku di Terengganu, katanya, adalah krisis kerajaan dan bukannya krisis perlembagaan.

"Sultan telah bertindak dalam bidang kuasa baginda untuk melantik seseorang yang dipercayai mempunyai dukungan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri (DUN)," kata Ahli Parlimen Gua Musang itu dalam kenyaataanya yang dianggap keras mengenai kelemahan Abdullah.

Menurut beliau, perlantikan Datuk Ahmad Said oleh Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Terengganu adalah sah dan Adun itu sekarang adalah MB Terengganu.

"Terserahlah kepada persidangan DUN nanti untuk memberikan usul percaya kepadanya (Ahmad)," tambahnya.

Semua petisyen, ancaman, paksaan dan deklarasi menyokong Perdana Menteri dan Idris tidak mempunyai kekuatan di sisi undang-undang untuk mencabar perlantikan yang dibuat oleh Sultan itu kerana ia adalah sah di sisi undang-undang, katanya.

Kemelut Terengganu: Peguam Negara gagal menghadap Agong

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Hrkh) - Percubaan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, dipercayai untuk menyelesaikan kemelut perlantikan Menteri Besar Terengganu, menemui kegagalan.

Laman berita Malaysian Insider melihat perkara itu sebagai penolakan yang jelas oleh pihak istana, yang mengambil pendirian yang tegas menolak tindakan Perdana Menteri yang dituntut berundur, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memilih Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar (MB).

Perkembangan itu juga dilihat menajamkan lagi pertembungan antara Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Abdullah.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Datuk Ahmad Said yang menerima pelantikan MB yang dibuat oleh pihak istana membayangkan jawatannya "mungkin tidak lama".

"Walaupun jawatan ini mungkin tidak lama, tetapi berdasarkan peruntukan undang-undang tiada siapa boleh mempertikaikan kedudukan saya sebagai MB," sebuah akhbar tempatan memetik beliau berkata ketika ditemui di kediaman ibunya di Kampung Teluk Kalong, Kijal dekat sini petang ini, sekembalinya dari Kuala Lumpur.

Ahmad, 51, dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Terengganu di ibu negara.

Umno Muar tuntut Abdullah undur

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Hrkh) - Sokongan terus terang kepada Tengku Razaleigh Hamzah untuk mencabar Datuk Seri Abdullah Badawi sebagai Presiden Umno sudah bermula.

Di Muar, sebuah akhbar tempatan melaporkan 80 ketua cawangan mendesak pemimpin mereka mengadakan mesyuarat agung khas bahagian itu untuk menuntut Abdullah berundur.

Kumpulan itu, termasuk jawatankuasa, Pemuda dan Wanita bahagian berkenaan berkumpul di rumah Datuk Kadar Shah Tun Sulaiman untuk mendapatkan pandangannya sebelum membuat keputusan mereka.

Mereka kecewa apabila Ketua Bahagian Muar, Datuk Mohd Ismail Mohd kehilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Adun Maharani kini ialah Dr Mohamad Taslim dari PAS yang mendapat 8,154 undi dalam pilihan raya baru-baru ini berbanding 7,996 yang diperolehi Mohd Ismail.

Mereka yakin sudah sampai masanya Umno dipulihkan.

Jurucakap mereka, Zakariah Mahadi menyatakan, kepimpinan Umno mestilah bertanggungjawab atas keputusan pilihan raya baru-baru ini dan meletak jawatan.

Zakariah, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Balang menyatakan, ramai ahli Umno di bahagian itu yang sedih dengan kekalahan Barisan Nasional (BN).

"Kami juga mengambil keputusan untuk memberikan sokongan kepada usaha Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah untuk memulihkan maruah Umno," akhbar tersebut memetik beliau berkata selepas perhimpunan itu.

Menurut beliau, ahli-ahli di bahagian itu sedih kerana para pemimpin Umno gagal melihat angin perubahan yang melanda negara.

Sementara itu, Kadar yang dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan Tengku Razaleigh berkata, Abdullah sepatutnya mendengar desakan akar umbi yang mahu beliau berundur.

Rakyat, katanya, sudah tidak tahan lagi dengan rasuah, kronisme, nepotisme dan penyalahgunaan kuasa.

Kemelut MB Terengganu - Langkah Seterusnya …

Artikel Oleh ibrahim baba

 Perlantikan MB sudah selesai. Majlis angkat sumpah hanyalah suatu formaliti sahaja.

Langkah seterusnya, selepas majlis angkat sumpah, ialah bagi MB yang baru dilantik untuk memanggil sidang DUN. MB mempunyai sekitar 60 hari lagi untuk beliau bermain dengan masa untuk melengahkan sidang DUN pertama penggal ini.

Ini bermakna beliau mempunyai 60 hari lagi untuk mengelak dari undi tidak percaya dari bekas rakan-rakan UMNOnya.

Dalam tempoh yang ada ini ialah masa untuk beliau mempamerkan kelincahan politiknya untuk memenangi beberapa sokongan dari 22 yang berkeras untuk menderhakai perlantikan Tuanku. Mat Said hanya perlu lapan (8) orang lagi ADUN dari UMNO untuk berani meninggalkan kelompok yang telah menderhakai Tuanku dengan mengelarkannya dengan panggilan “natang” untuk mencukupi bilangan minima [berpakat bersama ADUN PAS untuk membentuk kerajaan campuran] untuk mengelakkan dari dilucutkan dengan undi tidak percaya semasa sidang DUN nanti.

Sudah pun ada ura-ura yang mengatakan tidak kurang dari 11 ADUN UMNO yang setuju dalam diam untuk menuruti Mat Said untuk mentaati perkenan Tuanku dan bersedia untuk dilucutkan keahlian UMNO.

Lapan atau sebelas orang ini dan termasuk Mat Said mempunyai banyak pilihan jika dilucutkan keahlian mereka. Mereka boleh menyertai PAS. Jika mereka rasa terlalu sukar untuk menyertai sebuah parti yang mereka sudah berpatah arang, mereka boleh menyertai KeADILan. Dan jika masih tidak mahu, mereka boleh kekal dengan seorang ADUN Bebas tanpa parti (tidak menjadi apa-apa masalah).

MB baru perlu menembusi sekatan dan kepungan yang dilakukan terhadap 22 ADUN yang telah dikenakan kepada mereka bagi mengelakkan dari bertukar kem.

Jika ini dapat dilakukan oleh Mat Said, maka mereka yang tetap berkeras dengan kesetiaan mereka kepada Idris akan berputih mata. Dan kita akan tuntut pula mereka untuk letak jawatan seperti mana ugutan mereka sebelum ini.

Sekian, IB

Terima kasih kerana sumbangan anda. Sumbanglah untuk kebaikan perjuangan kita bersama.

Can't find what you're looking for? Try Google Search!

Google
 

Umno Sarkas

ANDA ADA MAKLUMAT ISU NEGARA?

Sila emailan kepada saya di seramaesty@yahoo.com atau hubungi saya di talian 013-9060111.

TERIMA KASIH ATAS KERJASAMA ANDA

Feedback Form

Join the Mailing List
Enter your name and email address below:
Name:
Email:
Subscribe  Unsubscribe 

Dr. Irfan menjelaskan Perniagaan Internet secara mudah kepada anda

Free Viral Advertising