| Perhatikan tiga keadaan berbeza berikut. Pertama, istana menitahkan parti-parti yang telah bersetuju bergabung membentuk kerajaan agar mencapai kata sepakat dan menyetujui calon Menteri Besar yang dipilih Baginda. Apatah lagi pilihan yang dibuat Baginda itu adalah dari senarai calon-calon yang telah terlebih dahulu dipersetujui dan diserahkan oleh parti-parti terbabit. Kedua, istana enggan memberikan laluan kepada calon Menteri Besar daripada parti yang menang menerima watikah perlantikan beliau ke jawatan tersebut selepas 11 hari pilihan raya umum berlangsung, meski pun calon itu sendiri mendakwa mendapat mandat majoriti wakil-wakil rakyat partinya. Ketiga, istana menitahkan calon Menteri Besar yang menerima watikah daripada parti yang menang agar mengemukakan bukti sokongan wakil-wakil rakyat negeri secukupnya terhadap perlantikan beliau. Ketiga-tiga keadaan ini telah dialami di tiga negeri berbeza, iaitu masing-masing di Perak, Terengganu dan Perlis. Perak dimenangi secara gabungan oleh tiga parti, iaitu DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Dua negeri lagi dimenangi Barisan Nasional dengan majoriti lebih dua pertiga. Masalah mereka serupa. Ketiga-tiga negeri itu pada awalnya gagal mencapai kata sepakat mengenai siapa yang paling sesuai dinobatkan sebagai Menteri Besar. Persamaannya, ketiga-tiga negeri itu di bawah pemerintahan beraja. Dalam kemelut perlantikan sebegitu, istana memainkan peranan sangat penting menyelesaikannya. Sehingga rencana ini ditulis, Menteri Besar bagi Perak dan Perlis telah selamat dilantik. Yang tinggal hanyalah Terengganu. Perlantikan Menteri Besar Perak tertangguh beberapa kali apabila parti-parti gabungan kerajaan (PAS, DAP dan PKR) menunjukkan ketidaksefahaman mereka tentang beberapa perkara. Perak menyaksikan pertukaran kerajaan negeri selepas BN hanya mampu menawan 28 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)nya. Baki 31 kerusi lagi dikongsi masing-masing oleh DAP (18), PKR (7) dan PAS (6). Dari segi perkiraan politik demokrasi, DAP paling layak menerajui kerajaan kerana memiliki jumlah kerusi paling banyak. Bagaimana pun perlembagaan negeri Perak menetapkan bahawa seorang Menteri Besar hendaklah dilantik dari kalangan wakil rakyat berbangsa Melayu dan beragama Islam. Persetujuan akhirnya dicapai agar menyerahkan perkenan melantik Menteri Besar itu kepada Baginda Sultan. Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah lalu menitahkan agar ketiga-tiga parti menyerahkan nama calon masing-masing untuk diteliti Baginda. Mewakili Sultan, Baginda akhirnya berkenan memilih wakil yang dicalonkan PAS, Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin (ADUN Pasir Panjang) sebagai Menteri Besar Perak yang baru. Salah faham berikutan itu mengundang Baginda sekali lagi menitahkan agar setiap wakil rakyat yang 31 orang itu menulis surat perakuan masing-masing bagi menyatakan persetujuan atas pilihan Baginda, sebelum majlis penyerahan watikah dapat dilaksanakan. Alhamdulillah, setelah tertangguh lebih seminggu, Mohamad Nizar akhirnya selamat mengangkat sumpah jawatan, Isnin, 17 Mac. Mengambilkira kemelut agak tidak menyenangkan yang berlaku di negeri Baginda minggu lalu, Raja Dr Nazrin Shah menitahkan agar rakyat Baginda sentiasa meletakkan istana sebagai payung negeri tempat rakyat bernaung. "Dalam setiap fasa waktu, Institusi Raja terus kekal, berupaya melakukan pengubahsuaian dari segi peranan dan pendekatan, berfungsi sebagai payung negeri tempat rakyat dapat bernaung, merupakan sumber keadilan, mengurniakan keampunan, menawarkan keistimewaan, tunggak keutuhan, gerbang kebebasan dan payung kehormatan," titah Baginda, sebagaimana disiarkan akhbar, Selasa (18 Mac). Menurut Baginda, keharmonian hubungan Raja dengan kerajaan adalah salah satu prasyarat untuk menjamin kestabilan sesebuah kerajaan dan kemakmuran sesebuah negeri. "Untuk itu kerajaan pimpinan Memanda Menteri Besar hendaklah memahami asas ini, demi menjalin hubungan yang baik antara Raja dan Kerajaan. Mamanda Menteri Besar hendaklah dapat menjadi jambatan penghubung yang berkesan, menghubungkan Raja dengan rakyat dan rakyat dengan Raja, " Baginda pada Mesyuarat Dewan Negara Perak Kali Ke-43 di Istana Iskandariah, Isnin. Bagi kita umat Melayu-Islam di negara ini, peranan dan tanggungjawab dipikul Institusi Raja sebagaimana disebutkan Raja Dr Nazrin Shah itu tidak terbatas hanya di Perak. Berbekalkan prinsip dan pendirian sama, Tuanku Raja Perlis telah mengambil pendekatan serupa dalam menyelesaikan kelemut perlantikan Menteri Besar di negeri Baginda. Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail terpaksa menitahkan kuasa Baginda memilih siapa yang diperkenan Baginda apabila berlaku ketidaksepakatan di kalangan wakil-wakil BN mengenai calon dipersetujui mereka sebagai Menteri Besar. Di satu pihak, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim, mendakwa telah menerima watikah perlantikan mengekalkan jawatan itu daripada Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Di pihak lagi satu, lapan wakil rakyat BN menyatakan mereka berdiri teguh di belakang ADUN Bintong, Datuk Dr Mat Isa Sabu. Meski pun pada peringkat awalnya Shahidan berkeras menyatakan beliau paling layak dan telah pun diberikan watikah oleh Perdana Menteri bagi menyambung tugasnya, beliau akhirnya akur dengan keadaan. Sikap Shahidan yang tidak membelakangi ketegasan pihak istana wajar dipuji. Dapat dibayangkan semua pihak betapa hancur luluh hati beliau mendapat tahu rakan-rakan wakil rakyat yang selama ini beliau anggap setia kepadanya telah menikam beliau dari belakang di saat-saat segenting itu. Shahidan kini memang menghadapi saat paling sukar dalam hidupnya. Tidak dapat dibayangkan bagaimana beliau akan menghadiri sidang DUN Perlis nanti sebagai wakil rakyat biasa. Hanya orang yang berjiwa sangat besar yang mampu mengharungi hari-hari sebegitu. Jiwa besar dan perasaan menghormati pendirian pihak istana yang ditunjukkan Shahidan itu bagaimana gagal dihayati rakan senasibnya di Terengganu. Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh yang dikatakan tidak disenangi pihak istana hingga kini masih bertegas mahu dikembalikan ke jawatan tersebut. Setakat yang sempat dengan kehidupan kita, belum pernah berlaku dalam sejarah Terengganu perlantikan Menteri Besarnya tertangguh melebihi 11 hari. Sehingga rencana ini ditulis (2.00 petang, 18 Mac), perkhabaran yang diperolehi daripada sumber yang rapat dengan Istana Terengganu menyatakan pihak istana belum memberikan kata putus tentang perlantikan Idris sebagai Menteri Besar. "Istana tidak restui Idris. Namakan sesiapa saja wakil rakyat lain, asalkan bukan Idris, Tuanku Sultan akan perkenan", itulah spekulasi atau tutur bicara paling laris di Terengganu kini. Seperti biasa, khabar atau cerita seumpama ini agak sukar dipastikan. Apatah lagi perkara ini membabitkan istana, yang mana bukan semua pihak dapat menembusinya. Bagaimana pun, selagi manusia itu bernama manusia, dan selagi mereka bernyawa dan dapat menggerakkan bibir, kita tidak ada daya menghalang mereka daripada terus bercakap. "Istana tidak restui Idris sebagai MB", itulah yang laris diperkatakan. "Istana tidak restui Idris. Sesiapa saja, asalkan bukan Idris, Tuanku Sultan akan perkenan jadi MB", ayat itu entah berapa ratus atau ribu kali sudah diulangsebut rakyat Terengganu dalam 11 hari kebelakangan ini. Sejauh manakah benarnya pernyataan itu tidak sukar ditelah. Jika benar Idris tidak ada masalah dengan istana, masakan perlantikan beliau tertangguh sekian lama? Kita tidak payah mendalami sebab-musabab mengapa pihak istana tidak senang dengan Idris. Jika mahu disenaraikan, sudah tentu kita dapat membicarakan kejahatan dan kedurjanaan dibuat Idris terhadap rakyat Terengganu dengan terperinci. Memporak-perandakan negeri dengan aksi-aksi zalim dan rakus pemerintahannya. Merampas tanah yang dianugerahkan kerajaan PAS kepada rakyat, merobohkan rumah mereka yang sedang didirikan dan hampir diduduki, merobohkan rumah Allah di Bujal. Apa lagi? Meruntuhkan institusi masjid dengan perpecahan. Memecat Jawatankuasa Masjid Mukim, memecat imam dan bilal, mentanduskan hadirin masjid menyebabkan majlis-majlis ilmu hampir pupus. Di masa sama, maksiat makin berleluasa dan dipromosikan. Kadar jenayah dan gejala sosial dalam masyarakat melonjak. Lagi? Membawa projek-projek mega dan mewah yang menguntungkan sebilangan kecil kroni dan tauke di atas kesengsaraan dan kemelaratan hidup rakyat. Ahh!! Idris jangan fikir Tuanku Sultan tidak tahu semua ini! Idris telah gagal menjadi penghubung yang berkesan antara istana dengan rakyat. Idris telah mengkhianati amanah kepimpinan yang Tuanku Sultan berikan kepadanya sebelum ini. Sebagaimana dititahkan Raja Dr Nazrin Shah, "Mamanda Menteri Besar hendaklah dapat menjadi jambatan penghubung yang berkesan, menghubungkan Raja dengan rakyat dan rakyat dengan Raja". Peranan ini telah gagal disempurnakan Idris. Maka selayaknya beliau akur dengan kehendak dan pilihan istana. Dalam reaksi awalnya terhadap penangguhan perlantikan beliau sebagai Menteri Besar, Idris ada menyebut kepada wartawan, "saya kata itu (kedudukan jawatan Menteri Besar) atas istana (yang tentukan), saya tidak perlu jawab soalan itu". Beberapa hari kemudian media melaporkan beliau akan menerima apa jua keputusan yang dibuat berhubung perlantikan Menteri Besar Terengganu dengan rela hati. "Dengan wajah tenang, Menteri Besar Terengganu yang dilantik sejak tahun 2004 itu menjelaskan, sebagai seorang Islam, beliau sentiasa percaya kepada Allah dan menerima takdir yang ditentukan," lapor sebuah akhbar harian, 16 Mac. Malangnya, tindakan Idris tidak menepati apa yang diucapkannya itu. Rakyat Terengganu jangan menyesal kerana telah memilih BN pada 8 Mac lalu. Inilah rupa para pemimpin yang kamu pilih. Mereka rela meletakkan kepentingan diri mengatasi kepentingan negeri dan rakyat. Jika diikutkan kehendak mereka, entah berapa lama lagi kemelut perlantikan Menteri Besar ini akan berakhir? Masa yang ada kini bukan lagi untuk rakyat menunggu orang yang gila kuasa kembali ke tampuk kuasanya. Kehidupan perlu diteruskan, kerajaan mesti digerakkan semula dengan perlantikan baru. Sudah sampai masanya Idris akur kepada kehendak istana. Contohilah Shahidan, rakan senasibnya di Perlis, dalam menghormati institusi istana. Ingat titah Raja Dr Nazrin semalam, bahawa keharmonian hubungan istana dengan kerajaan adalah salah satu prasyarat untuk menjamin kestabilan sesebuah kerajaan dan kemakmuran sesebuah negeri. |