Kekalutan politik di Perak umpamanya cukup terasa apabila suatu kesefahaman jitu belum terbentuk dalam soal pemilihan Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar dan nisbah bilangan exco kerajaan antara DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS.
Terbaru nisbah 6:3:1 satu formula yang dikatakan agak sesuai dengan situasi politik negeri itu. Nisbah itu memperuntukkan DAP mempunyai enam kerusi Exco manakala PKR (tiga) dan PAS (satu) di samping jawatan menteri besar miliknya.
Ramai penulis blog (blogger), memberi saranan agar kepimpinan politik gabungan parti-parti pembangkang yang dikenali sebagai Barisan Rakyat (BR), menghormati keputusan rakyat mengamanahkan mereka sebagai kerajaan dengan berhati-hati ketika bertindak dalam saat genting sekarang.
Bagi saya, ia suatu memori tidak indah dipahat di landskap politik baru Malaysia apabila kesefahaman dalam soal perlantikan penting terbabit tidak diputuskan selepas perbincangan dan mesyuarat semasak-masaknya dibuat.
Tidak perlu tergesa-gesa mengadakan majlis mengangkat sumpah sekiranya banyak perkara penting belum selesai di peringkat mesyuarat kepimpinan tertinggi BR.
Negara ini mempunyai sejarah tersendiri termasuk sejarah kesultanannya. Semua pihak perlu mengkaji semua perkara itu sebelum membuat sesuatu keputusan yang boleh mengeruhkan hubungan antara kaum dan agama di negara ini.
Nisbah 6:3:1 suatu yang agak relevan di saat ini. Jika demikian yang sesuai semua pihak perlu menerimanya dengan hati terbuka demi kebaikan rakyat berbilang kaum di Perak.
Begitu juga dengan pemilihan menteri besar dan timbalan-timbalannya.
Yang penting ialah kepentingan rakyat Perak perlu dijaga sebaik-baiknya. Jangan keputusan memilih kepimpinan negeri yang tidak kosistent menimbulkan suatu pandangan lain di kalangan rakyat sehingga ia boleh dipergunakan Barisan Nasional (BN) untuk mengapi-ngapi rakyat supaya menolak BR dalam pilihan raya umum akan datang.
Biarlah perkara seumpama ini tidak menjadi luka membarah di kalangan kepimpinan dan parti di bawah kelompok BR.
Ini kerana perjuangan BR ialah untuk memerangi segala perkara yag menyusahkan rakyat. Yang paling utama ialah memastikan rakyat hidup selesa tanpa rasuah, jenayah, penyelewengan kuasa, kronisme dan nipotisme.
Pembangunan yang dibuat dan dirancang perlu mengambil kira apakah manfaatnya kepada rakyat terutama golongan miskin di ceruk-ceruk kampung.
Pembangunan perlu diambil kira keperluannya kepada mengurangkan kadar kemiskinan di kalangan rakyat.
Bahkan pembangunan hartanah yang dirancang perlulah dimulakan dengan merancang penempatan baru penduduk yang tanah mereka digunakan untuk tujuan tersebut sebelum memulakan projek pembangunan kerajaan bukan membiarkan mereka mencari tempat tinggal sendiri dengan pampasan tidak seberapa.
Inilah suatu kelemahan perancangan pembangunan ketara dibuat sebelum ini di banyak negeri termasuk Terengganu.
Adalah diharapkan krisis kepimpinan BR Perak tidak berlarutan sehingga menyusahkan banyak pihak termasuk pihak istana.
Dipercayai keputusan memperuntukkan kerusi dipertandingkan dalam pilihan raya sudah dibahagikan dengan sewajarnya dan diperbincangkan dengan sebaiknya. Jangan pula soal perlantikan kepimpinan negeri berlaku sebaliknya.
Semua aspek perlu diambil kira termasuk Undang-undang Tubuh Negeri Perak. Soal keutamaan menjaga agama Islam yang penting maka kaum yang bukan beragama Islam perlulah akur dengan undang-undang berkenaan.
Aspek jumlah kerusi juga perlu diambil kira. Yang mustahak ialah tolak ansur antara parti dalam pakatan BR akan membuahkan hasil yang baik khususnya untuk kebaikan rakyat negeri Perak.





