
KUALA TERENGGANU: Kira-kira seribu pengikut Idris Jusoh, Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu berkumpul menyambut kepulangannya dari Kuala Lumpur di perkarangan Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu kira-kira jam 9.15 malam ini.
Idris dengan wajah muram tetapi tenang diarak keluar dari pintu terminal ke arah orang ramai yang berkumpul di situ.
Suasana agak gamat dan kelam kabut dengan suara tempikan penyokong-penyokong Idris meminta mereka bertenang supaya mereka dapat melihat wajah pemimpin mereka yang dipercayai kini dalam dilemma untuk menjadi menteri besar semula.
Kira-kira lima minit Idris menemui mereka di situ kemudian beredar dengan menaiki kereta dipercayai pulang ke rumah beliau di Besut, melalui jalan pantai.
Difahamkan terdahulu dari itu pihak istana tidak bersetuju melantik Idris sebagai menteri besar walaupun Terengganu berjaya dipertahankan dari jatuh ke tangan Barisan Alternatif (BA) dengan memperolehi majoriti dua pertiga dengan mendapat 24 kerusi DUN dan tujuh kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum ke 12, 8 Mac lalu.
Sementara PAS memperolehi lapan kerusi DUN satu kerusi parlimen.
Istiadat perlantikan menteri besar terpaksa ditangguhkan hari ini dipercayai kerana permasalahan terbabit.
Idris dipercayai ke Kuala Lumpur untuk mengadap ke bawah Duli Yang Dipertuan Agung, Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud al-Muktafibillah Shah dan menemui Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi menyelesaikan perlantikan Menteri Besar Terengganu.
Difahamkan tiga nama telah dikemukakan ke bawah Duli Tuanku termasuk Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Mohamad Awang Tera, ADUN Cukai dan Datuk Rosol Wahid, ADUN Ajil.
Sehingga ini tidak ada keputusan siapakah yang diperkenan Tuanku untuk menjadi menteri besar negeri tersebut.
Dengan insiden ini hampir pasti Umno Terengganu sudah berpecah dan akan membarah sekaligus rakyat telah memperjudikan maruah mereka kepada parti yang lemah dan bermasalah.
Dipercayai pentadbiran negeri Terengganu akan datang mendatangkan banyak masalah kepada rakyat negeri Terengganu.
Rakyat sendiri menanggung rugi apabila mereka tidak berhati-hati ketika menggunakan kuasa mengundi dalam pilihan raya umum lalu untuk memilih parti dan siapakah yang sesuai mentadbir negeri itu selepas ini.
Saksikan visual peristiwa berkenaan di bawah ini.





