Umat Islam kini berada di tahun baru Hijrah yang pernah dialami oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya r.a. lebih 1400 tahun yang lalu. Maka tidak terlewat untuk kita mengambil iktibar dari peristiwa penting dalm sejarah Islam ini.
Sesungguhnya Hijrah melambangkan pengorbanan besar ummat di bawah kepimpinan Rasulullah s.a.w. bagi melihat Islam terus diperjuangkan dan dipertahankan dari sebarang tentangan manusia-manusia kuffar di seluruh dunia.
Hijrah telah menggerakkan tamaddun sebenar manusia bukan tamaddun dibibir mulut, bahawa Islam mesti didaulatkan dalam erti kata ia mesti memerintah untuk menentukan keadilan dan keharmonian hidup dunia dan akhirat berjalan dengan lancar.
Hijrah suatu anjakan paradigma yang digerakkan oleh Rasulullah s.a.w. untuk melahirkan masyarakat yang berkebajikan dalam erti kata tidak ada manusia yang susah hidupnya melainkan ia dibantu dan dibebaskan dari kesusahan itu, tidak ada manusia yang mewah dan kaya melainkan menjadi penyumbang besar ke atas cita-cita perjuangan menegakkan Islam di muka bumi ini.
Apa yang berlaku hari ini rakyat dibiarkan hidup tertekan dengan pelbagai masalah, kenaikan harga barang yang tidak ada cara berkesan untuk diatasi, jenayah yang berleluasa sehingga kanak-kanak tidak selamat berada sama ada dalam rumah atau di luar rumah.
Kes beberapa kanak-kanak hilang, dibunuh kejam, dirogol menghiasi paparan media dan dada-dada akhbar menandakan betapa gagalnya sistem pemerintahan dan keselamatan negara.
Kerajaan yang memerintah hari ini tidak berupaya lagi menjaga keamanan negara kerana mereka tidak memberi tumpuan serius dan berkesan dalam urusan tersebut.
Kesungguhan tumpuan diberi ialah bagaimana strategi diatur dengan berkesan untuk memenangkan parti pemerintah dalam pilihanraya atau dalam erti kata lain, bagaimana usaha perlu dilipatgandakan bagi menyelamatkan parti pemerintah bukan menyelamatkan negara dari kehancuran dalam semua aspek seperti berlaku sekarang.
Seolah-olah mereka merasakan kalau parti pemerintah selamat, maka semua selamat sedangkan yang sebenarnya jauh panggang dari api.
Islamlah yang menyelamatkan segala-galanya tetapi perkara ini disia-siakan oleh pihak pemerintahan hari ini.
Mereka bersifat munafiq atau hipokrit, menjadikan slogan indah Islam hadhari sebagai umpan untuk menarik perhatian rakyat beragama Islam agar menjadi tali barut dan ppenyokong kuat mereka, menyokong tindak tanduk mereka sehingga soal kerajaan membiarkan kenaikan harga barang pun mereka memberi sokongan padu.
Di mana letaknya kesedaran terhadap tanggungjawab menjaga kebajikan rakyat menegakkan keadilan untuk semua, apabila ada di kalangan umat Islam sendiri memperbodohkan dirinya menjadi alat kepada pemerintah yang rosak akhlak dan bejat politik mereka.
Allah berfirman yang bermaksud,
Hijrah telah membentuk masyarakat Islam yang perihatin terhadap apakah sebenarnya persoalan penting dalam kehidupan mereka sama ada harta benda atau Allah dan rasul-Nya.
Jika harta benda dan kesenangan sementara yang menjadi matlamat hidup Rasulullah s.a.w. dan para sahabat mereka sudah pasti tidak akan berhijrah dari Makkah ke Madinah.
Tetapi Allah dan rasul-Nya suatu matlamat kehidupan yang mesti dihayati sehingga apabila diperintah berhijrah mereka tidak berberatan melaksanakannya dengan penuh rela dan pengorbanan yang tinggi.
Ia digambarkan dalam hadith sahih yang masyhur dan sering dibacakan. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud,
“Sesungguhnya setiap amalan itu bermula dengan niat. Dan sesungguhnya setiap amalan itu dikira berdasarkan kepada yang diniatkan. Sesiapa berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kerana Allah dan rasul-Nya. Sesiapa berhijrah kerana dunia yang ingin diperolehinya atau perempuan yang mahu dikahwininya maka hijrahnya dikira berdasarkan apa yang diniatkannya.”
Dengan matlamat yang jelas ini Rasulullah s.a.w. telah membina masyarakat dan negara Islam yang bermaruah dan digeruni musuh walaupun tamaddun kebendaaannya tidak seberapa tetapi ia telah menakutkan kuasa besar Rome dan Parsi pada masa itu.
Umat Islam hari ini walaupun jumlahnya ramai tetapi ia umpama buih di musim banjir, nampak sahaja hebat tetapi ia tidak boleh menggerunkan kuasa besar Amerika Syarikat. Bahkan umat Islam dilanyak dan ditindas sesuka hati kerana umat Islam meninggalkan jihad menentang kerakusan kuasa-kuasa kuffar di seluruh dunia.
Nabi s.a.w. bersabda
“Tidak meninggal sesuatu kaum itu akan jihad melainkan Allah menimpakan bala dan kefasadan ke atas mereka secara umumnya.”
Umat Islam mesti merencanakan perjuangan yang berterusan sehinggga Islam tidak lagi diletakkan dikandang orang salah sehingga Islam didaulatkan, untuk melihat kesejahteraan sebenar dikecapi oleh setiap yang bernama kehidupan hatta haiwan yang melata di bumi dan di lautan.
Selagi Islam tidak berdaulat segala keamanan dan kesejahteraan yang dilihat hanya indah khabar dari rupa.
Dia diibaratkan seperti air sungai yang tenang tetapi di dalamnya penuh dengan buaya yang pada bila-bila masa sahaja akan membaham mangsanya.
Inilah kesejahteraan dan keamanan palsu yang dikecapi oleh umat Islam di negara kita ini kerana undang-undang negara dan sistem pemerintahannya tidak dihormati bukan sahaja di kalangan penjenayah bahkan pemimpin-pemimpin negara itu sendiri.
Mereka mencipta undang-undang mereka berani pula melanggar undang-undang itu. Bahkan mereka menolak undang-undang Allah sebagai undang-undang negara, merupakan suatu tindakan yang menjadi punca kepada segala kemungkaran yang berlaku kerana menolak hukum Allah adalah mungkar yang paling besar.
Di manakah mereka letakkan keimanan dan ketaqwaan mereka kepada Allah SWT? Mereka letakkannya hanya dibibir mulut mereka semata-mata demi mengelabui mata rakyat dan umat Islam seluruhnya.
Allah berfirman
"Dan terdapat di kalangan manusia orang yang mengaku beriman dengan Allah dan hari akhirat sedangkan mereka sebenarnya tidak beriman. Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, pada hal mereka hanya menipu diri mereka sendiri sedangkan mereka tidak sedar. Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya; dan bagi mereka siksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta." (Surah al-Baqarah: 8-10)
Semua ini kita dapat menilai dan mengambil pengajaran dari Hijrah yang telah diwajibkan ke atas Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya. Hijrah bukan hanya sekadar untuk disebut dan disambut tetapi intipatinya perlu memberi perubahan kepada kehidupan umat Islam seluruhnya dari kebatilan kepada kebenaran, dari kejahatan kepada kebaikan, dari kekufuran dan kemunafikan kepada keimanan yang sebenar.
“Dan (ingatlah) hari (ketika itu) orang yang zalim menggigit dua tangannya, seraya berkata: "Aduhai kiranya (dulu) aku mengambil jalan bersama-sama Rasul (alangkah baiknya)." (Surah al-Furqan: 27)





