Saya Suhaimi Taib, mendapat Sijil Pentadbiran Islam dari Kusza Kuala Terengganu (2002), Kursus Penerbitan Video Koperat Universiti Malaya (2003), Pengarang Warta Darul Iman (2000-2003) Penerbit Siaran Darul Iman (2003-2004), Wartawan Sambilan Berita Harian (1997-1998), Wartawan Harakah (1989-1996).
Menerima Anugerah kewartawanan Esso-Kawat (1997 dan 1998)

Hubungi saya melalui e-mel: seramaesty@yahoo.com atau H/P No: 013-9060111.

Saturday, September 13, 2008

Operasi ISA: Wartawan Sin Chew dibebas, Syed Hamid nafi tahanan berkaitan pelan Pakatan

13-09-2008 05:12:06 PM

Kapsyen: TIGA yang ditahan (dari atas ke bawah) Tan Hoon Cheng, Teresa Kok dan Raja Petra Kamarudin.

-----------------------------------------------------------

(Dikemas kini, 5.00 petang) PETALING JAYA: Wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng (gambar) telah dibebaskan selepas ditahan hampir 18 jam di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dia dibebaskan di IPK Pulau Pinang kira-kira pukul 2 petang tadi.

Pembebasan beliau turut disahkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar pada sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Tan yang dibawa keluar dari IPK Pulau Pinang pada pukul 8.30 pagi tidak dibawa ke Bukit Aman sebagaimana dilaporkan sebelum ini.

Sebaliknya beliau disiasat di IPK Perak dan dibebaskan di IPK Pulau Pinang.

Ketika ditemui di rumahnya di Bukit Mertajam sebentar tadi, Tan berkata, dia berpuas hati dengan layanan pihak polis sepanjang tahanan.

Menurut Tan, dia telah disoal siasat berhubung laporannya yang berkaitan dengan ucapan Ketua Umno Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail ketika pilihan raya kecil Permatang Pauh, yang melabelkan kaum Cina negara ini sebagai "penumpang".

Dalam pada itu, Syed Hamid menjelaskan, tahanan ke atas pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin dan Ahli Parlimen DAP, Teresa Kok akan disambung - selama 60 hari yang dibolehkan oleh ISA.

Syed Hamid memberitahu, syor untuk menahan mereka datang daripada polis bukannya arahan beliau.

Beliau mengulangi bahawa Tan ditahan ekoran maklumat bahawa keselamatannya terancam dan pihak polis mahu mendapatkan maklumat mendalam.

Kata beliau, penahanan kali ini dibuat kerana pihak polis mempunyai asas kuat yang perbuatan mereka boleh membahayakan ketenteraman awam.

"Polis bertindak dengan kuasa mereka dan bukan di bawah arahannya," kata beliau.

BERITA TERDAHULU:

Operasi ISA: Tiada kaitan dengan pelan Pakatan, wartawan dijangka bebas petang ini

(Dikemas kini, 3.00 petang) PETALING JAYA: Sambil menolak penahanan tiga orang semalam di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bertujuan menggagalkan pelan 16 September Pakatan Rakyat, Kementerian Dalam Negeri hari ini menegaskan, sama ada lebih ramai akan ditahan dalam waktu terdekat bergantung pada keadaan semasa negara.

"Polis akan bertindak berdasarkan situasi semasa sama ada situasi berada dalam kedaaan baik ataupun tidak. Jika situasi OK, maka tiada sebab untuk menahan (lebih ramai lagi)," kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar kepada mStar Online.

Kata beliau, pihak polis akan memaklumkannya perkembangan semasa sebelum mengambil tindakan susulan. Beliau dijadual mengadakan sidang media petang ini.

Desas-desus menyebut polis kemungkinan akan menahan lebih ramai termasuk pemimpin-pemimpin politik susulan penahanan tiga orang semalam.

Malah, beliau juga yakin pemberita Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng kemungkinan akan dibebaskan dalam waktu terdekat.

"Dalam kes wartawan Sin Chew, dia mungkin dibebaskan petang ini, hari ini... dalam waktu terdekat," kata beliau ketika dihubungi sebentar tadi.

Pukul 8.30 pagi tadi, polis telah membawa wartawan berkenaan ke Bukit Aman, Kuala Lumpur. Bagaimanapun sebelum itu dia telah dibenarkan menemui anggota keluarganya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di Georgetown.

Parti-parti politik dan badan bukan kerajaan hari ini turut menggesa supaya tahanan berkenaan dibebaskan.

Syed Hamid menjelaskan, polis menahan wartawan berkenaan atas beberapa sebab, termasuk berdasarkan maklumat mengenai ancaman keselamatan diri Tan.

"Jadi polis menahan dia (semalam) untuk mendapatkan beberapa maklumat yang mungkin dia tahu. Selepas itu dia boleh dibebaskan," katanya.

Di bawah ISA, polis akan mengesyorkan kepada Menteri Dalam Negeri sama ada seseorang tahanan itu perlu ditahan selama dua tahun atau untuk tempoh yang lebih lama selepas hasil siasatan mereka selesai.

Ketika mengulas lanjut sama ada penahanan tiga orang semalam berhubung kait dengan usaha menghalang Pakatan Rakyat membentuk kerajaan baru persekutuan Selasa ini, Syed Hamid: "Tidak, ia mengarut."

"Tiada kaitan dengan perkara itu, tiada korelasi dengan itu (pelan Pakatan Rakyat)," kata beliau.

Syed Hamid menjelaskan, penahanan terbaru ini merupakan tindkaan preventif bagi mengawal keadaan semasa khususnya bagi mengelak ketegangan sentimen perkauman di negara ini.

Kata beliau, kerajaan perlu mengambil tindakan pencegahan sebelum masalah yang rumit seperti insiden perkauman terjadi.

Semalam polis menahan tiga orang termasuk Tan.

Dua yang lain ialah pengendali lamab web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin, 58, dan Exco Kerajaan Negeri Selangor dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

BERITA TERDAHULU:

(Dikemas kini, 1000 pagi) KUALA LUMPUR: Operasi penahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menyaksikan tiga orang ditahan dalam tempoh 12 jam sejak tengah hari semalam.

Tiga orang itu termasuk pengedali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin, 58, yang ditahan tengah hari tadi.

Operasi itu disusuli penahanan pemberita Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng yang menulis berita bahawa Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail melabelkan masyarakat Cina sebagai pendatang dan penumpang di negara ini, bulan lalu.

Lewat malam tadi, Exco Kerajaan Negeri Selangor dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok pula ditahan.

Setiausaha Publisiti DAP itu ditahan kira-kira pukul 11.18 malam ketika dalam perjalanan pulang ke kondominiumnya di sini.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam blognya berkata, Teresa, 44, ditahan oleh seramai 10 anggota polis ketika memasuki kondominiumnya selepas menghadiri sambutan mooncake di kawasan pilihan rayanya.

Tan, 33, ditahan di rumahnya di Taman Permai, Bukit Mertajam pukul 8.30 malam tadi.

Jurucakap Sin Chew ketika dihubungi mengesahkan Tan ditahan di bawah ISA tetapi enggan mengulas lanjut.

Turut mengesahkan penahanan mereka ialah Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Raja Petra, pengendali dan penulis blog yang kontroversi tanah air, ditahan buat kali kedua di bawah ISA dalam tempoh tujuh tahun.

Penahanan Raja Petra juga disahkan oleh isterinya, Marina Lee Abdullah. Kenyataan polis yang dikeluarkan malam ini juga mengesahkan perkara tersebut.

Raja Petra ditahan di rumahnya di Sungai Buloh, di bawah Seksyen 73(1) ISA, yang membolehkan seseorang itu dikenakan tahanan maksimum 60 hari.

"Kira-kira pukul 1.10 tengah hari tadi, seramai 10 anggota polis datang ke rumah kami dan membawa dia (Raja Petra) keluar pada pukul 1.50 tengah hari.

"Mereka juga membawa bersama beberapa dokumen dari rumah kami," kata beliau ketika dihubungi lewat malam tadi.

Bagaimanapun mereka tidak memaklumkan ke mana Raja Petra dibawa, kata Marina.

"Sampai sekarang saya tiada maklumat tentang di mana Raja Petra ditahan... saya tidak berpeluang menemui beliau,": katanya sambil menambah, beliau akan menghubungi peguamnya esok.

Tambahnya, polis turut merampas beberapa pita dan sebuah komputer dari bilik suaminya.

Kata Marina, pihaknya akan memfailkan permohonan habeas corpus untuk membebaskan Raja Petra, Isnin ini.

Sebelum ini, Raja Petra pernah ditahan menikut ISA pada April 2001 kerana penglibatannya dalam gerakan reformasi dan ditahan selama 53 hari di Pusat Tahanan Kemunting, Taiping.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Hamid Albar yang dihubungi mStar Online berkata, tindakan tersebut diambil setelah pelbagai kenyataan dibuat oleh Raja Petra dalam laman blog Malaysia Today termasuk yang terbaru yang didakwa menghina Islam dan Nabi Muhammad (SAW).

"Kita telah banyak kali memanggil dan menasihatkan beliau berikutan kenyataannya, namun beliau masih terus menulis hingga boleh menimbulkan ancaman," katanya.

Semalam, kerajaan menarik balik sekatan terhadap mana-mana laman web termasuk Malaysia Today berkuat kuasa serta-merta, kata Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Shaziman Abu Mansor.

Shaziman berkata, langkah itu diputuskan oleh Kabinet semalam bertujuan untuk terus menggalakkan rakyat negara ini menggunakan kemudahan internet atau lawan web sebagai saluran penyebaran maklumat.

Raja Petra mengundang kemarahan umat Islam berikutan ulasan artikelnya bertajuk "I promise to be a good, nonhypocritical Muslim" yang menggunakan ayatayat yang menghina orang Islam selain membenarkan ulasan yang menghina Islam dan Nabi Muhammad (SAW) untuk artikel 'Not all Arabs are descendants of the Prophets' yang disiarkan dalam laman web Malaysia Today.

Laporan polis telah dibuat oleh beberapa pertubuhan Islam antaranya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia mengenai perkara tersebut.

Raja Petra juga kini berhadapan dengan beberapa kes mahkamah.

Di Pulau Pinang, Ketua Menterinya, Lim Guan Eng meminta supaya kerajaan dan polis membebaskan wartawan Sin Chew Daily dan Teresa.

Beliau berkata, tindakan menahan mereka dilihat seolah-olah kerajaan dalam keadaan terdesak terutamanya menjelang tarikh 16 September ini, tarikh Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan akan mengambil alih pentadbiran kerajaan BN.

"Sementara pemberita berkenaan hanya menjalankan tugasnya dan tidak sepatutnya beliau dipersalahkan," katanya kepada pemberita di hadapan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri di sini.

Sehubungan itu, Lim yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, parti itu akan membincangkan mengenai perkara tersebut pada mesyuarat parti hari ini di Kuala Lumpur.

Kira-kira 100 pemimpin dan penyokong parti politik termasuk MCA, Gerakan dan DAP berkumpul di luar perkarangan IPK sambil menyalakan lilin sebagai tanda membantah penahanan wartawan itu.

Mereka berkumpul sejak pukul 9.30 malam sebaik sahaja mengetahui mengenai penahanan Tan oleh polis Bukit Aman di rumahnya di Bukit Mertajam pada kira-kira pukul 8.30 malam tadi.

Beberapa pemimpin PAS juga dilihat berada di kawasan itu.

Keadaan di situ terkawal dan anggota polis Simpanan Persekutuan (FRU) dilihat turut berada di bahagian dalam IPK untuk mengawal keadaan.

No comments:

Terima kasih kerana sumbangan anda. Sumbanglah untuk kebaikan perjuangan kita bersama.

Can't find what you're looking for? Try Google Search!

Google
 

ANDA ADA MAKLUMAT ISU NEGARA?

Sila emailan kepada saya di seramaesty@yahoo.com atau hubungi saya di talian 013-9060111.

TERIMA KASIH ATAS KERJASAMA ANDA

Feedback Form

Join the Mailing List
Enter your name and email address below:
Name:
Email:
Subscribe  Unsubscribe 

Dr. Irfan menjelaskan Perniagaan Internet secara mudah kepada anda

Free Viral Advertising