Saya Suhaimi Taib, mendapat Sijil Pentadbiran Islam dari Kusza Kuala Terengganu (2002), Kursus Penerbitan Video Koperat Universiti Malaya (2003), Pengarang Warta Darul Iman (2000-2003) Penerbit Siaran Darul Iman (2003-2004), Wartawan Sambilan Berita Harian (1997-1998), Wartawan Harakah (1989-1996).
Menerima Anugerah kewartawanan Esso-Kawat (1997 dan 1998)

Hubungi saya melalui e-mel: seramaesty@yahoo.com atau H/P No: 013-9060111.

Saturday, September 13, 2008

Anggota BN-BBC tinggalkan Taiwan kerana taufan, PKR berjaya 'interaksi'

13-09-2008 03:08:59 PM


MISI DI TAIWAN... Lima wakil Parti Keadilan Rakyat ketika tiba di Taiwan bagi mengadakan rundingan peringkat akhir dengan sekumpulan Ahli Parlimen Barisan Nasional yang didakwa menyatakan persetujuan untuk menyertai Pakatan Rakyat petang tadi.

(Mutakhir) PETALING JAYA: Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) telah meninggalkan Taiwan awal pagi tadi atas alasan bimbang dengan taufan yang dijangka melanda negara itu hari ini.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua ketika dihubungi mStar Online berkata, kesemua Ahli Parlimen yang masih berada di Taiwan telah diarahkan keluar hari ini.

Bagaimanapun kata Tian, pihaknya sempat berinteraksi dengan ahli-ahli Parlimen tersebut malam tadi.

“Saya tidak pasti taufan apa yang dirujuk mereka. Memang taufan dijangka melanda Taiwan hari ini tapi ia juga mungkin merujuk kepada kita.

“Bagaimanapun kita sempat berinteraksi dengan mereka malam tadi tapi saya tidak boleh nak beritahu dengan lanjut,” katanya yang enggan mendedahkan bentuk komunikasi antara mereka.

Tian berkata, beliau telah diberitahu sendiri oleh Ahli Parlimen yang ditemui semalam bahawa kebanyakan mereka akan meninggalkan Taiwan melalui Hong Kong namun terdapat segelintir daripada mereka dipercayai ke China untuk membeli-belah dan bermain golf.

“Mereka dirancang supaya tidak berada di Taiwan (hari ini)... terpulang kepada interpretasi masing-masing sebab keputusan untuk bertolak lebih awal, yang dibuat mereka secara tiba-tiba ini, kerana sepatutnya mereka dijadualkan pulang pada 17 Septemberi,” katanya.

Tian berkata, melalui interaksi yang disifatkan beliau sebagai amat berjaya antara kedua-dua pihak malam tadi itu jelas menunjukkan mereka tidak puas hati dengan situasi yang berlaku pada masa ini.

“Kita bincang banyak isu namun apa yang saya boleh kata, peralihan parti memang akan berlaku walaupun kerajaan baru tidak dapat dibentuk.

“Selain itu, satu lagi mood yang timbul di kalangan mereka adalah ingin terus tinggal dalam BN kerana mahu menyokong (Datuk Seri) Najib Tun Razak dan (Tan Sri) Muhyiddin Yassin mencabar (Datuk Seri) Abdullah Ahmad Badawi (bagi jawatan Presiden Umno) pada mesyuarat perwakilan akan datang,” katanya.

Tian Chua berkata, penahanan tiga individu termasuk pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri semalam turut menimbulkan kemarahan di kalangan mereka.

“Khabar yang diterima semalam memang menimbulkan sedikit ketakutan dan rasa tidak puas hati. Jadi mereka rasa ini tanda yang buruk untuk mengalihkan pandangan daripada tarikh 16 September,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pilihan Raya PKR, Fuziah Salleh berkata, kepulangan ahli-ahli Parlimen itu menunjukkan mereka bimbang dengan kedatangan lima wakil PKR ke Taiwan.

“Ketika di sini juga, mereka dikawal ketat. Telefon bimbit mereka tidak boleh dipegang oleh orang lain tapi kita tetap dapat berkomunikasi dengan mereka.

Beliau yang juga enggan mendedahkan bentuk komunikasi antara mereka hanya memberitahu yang Pakatan Rakyat sudah mempunyai bilangan Ahli Parlimen BN yang akan menyertai mereka seperti yang diberitahu oleh Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

“Seperti kata Datuk Seri Anwar, kita ada nombornya. Beliau (Anwar) cakap betul... tidak pernah beliau cakap tidak betul. Cuma memanglah ada halangan (untuk melaksanakannya),” katanya.

Fuziah berkata, beliau akan bertolak pulang ke Malaysia malam ini manakala yang selebihnya dijadual pulang esok.

Selain Tian dan Fuziah, tiga wakil PKR yang berangkat ke Taiwan petang semalam dipercayai untuk ‘memburu’ Ahli Parlimen BN untuk melompat parti adalah Pengarah Strategi PKR, Saifuddin Nasution; Ahli Majlis Tertinggi PKR, Low Chee Chong dan Ketua Penerangan Wanita PKR, Elizabeth Wong.

Sementara itu, Pengerusi BN-BBC, Datuk Seri Tiong King Sing ketika dihubungi berkata, rombongan Ahli Parlimen meninggalkan Taiwan awal pagi tadi kerana bimbang tentang ramalan taufan yang dijangka melanda negara itu.

"Sebab itu kita keluar awal pagi dan penerbangan sepatutnya pada pukul 8 pagi tadi tapi saya tidak pasti sama ada mereka sudah menaiki pesawat atau pun sedang transit di Hong Kong," katanya.

Beliau berkata, empat hingga lima orang Ahli Parlimen masih tinggal di Taiwan kerana mahu bersiar-siar dan membeli-belah.

"Saya sendiri sekarang berada di China dan belum pulang ke Malaysia," katanya namun enggan memberitahu Ahli Parlimen yang turut mengikut beliau ke China.

Ditanya mengenai dakwaan Tian bahawa berlaku komunikasi antara pihaknya dan Ahli Parlimen malam tadi, Tiong berkata, ia merupakan satu pembohongan.

Isnin lalu, rombongan seramai 49 Ahli Parlimen iaitu anggota Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BN-BBC) berangkat ke Taiwan sempena lawatan sambil belajar pertanian berteknologi tinggi.

Mereka sepatutnya pulang Rabu atau Khamis ini.

Bagaimanapun beberapa anggota kelab itu telah pulang dua hari yang lalu.

BERITA TERDAHULU:

Misi buru 5 pemimpin PKR di Taiwan bermula, BN-BBC 'ubah haluan'

(Dikemas kini) PETALING JAYA: Ketika lima pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tiba di Taiwan dengan mendakwa sekumpulan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) telah pun bersetuju mengadakan perbincangan melompat parti, anggota BN-BBC terbabit dipercayai akan meninggalkan negara itu awal pagi esok.

mStar Online difahamkan sebahagian anggota BN-BBC akan berlepas ke Hong Kong manakala beberapa Ahli Parlimen akan kembali ke tanah air.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Pilihan Raya PKR, Fuziah Salleh ketika dihubungi sebentar tadi berkata, misi mengadakan perbincangan dengan beberapa Ahli Parlimen BN bermula malam ini.

Kata Fuziah, beliau akan menggunakan masa dengan sebaik mungkin bagi memastikan matlamat mereka 'menjejaki' Ahli Parlimen BN di sana mencapai sasarannya.

"Kami dimaklumkan mereka (Ahli Parlimen BN) telah tukar rancangan asal dan akan 'melarikan diri' ke Hong Kong esok pagi," kata beliau ketika dihubungi di Taipei malam ini.

Ditanya sama ada beliau dan empat lagi wakil PKR punyai masa yang cukup untuk mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen BN, beliau berkata perkara itu bukan satu masalah.

"Walaupun mereka nak 'lari' esok, tapi kita ada banyak masa untuk bincang. Tengah malam ini dan awal pagi esok selepas sahur pun boleh bincang lagi," katanya dengan yakin.

Malam ini wakil PKR akan menghadiri majlis makan malam bersama pejuang reformis Taiwan, Simyntec.

Fuziah berkata, tindakan Ahli Parlimen BN yang akan ke Hong Kong itu menunjukkan seolah-olah mereka mengiakan bahawa penubuhan kerajaan pada 16 September akan benar-benar berlaku.

"Kalau mereka kata lawatan mereka itu sebagai lawatan yang normal, mengapa perlu tukar rancangan di saat-saat akhir?," katanya.

Ditanya sama ada wakil PKR akan turut mengekori Ahli Parlimen BN ke Hong Kong beliau berkata: "Tidak perlu rasanya, kita mampu laksanakan tugas kita di sini."

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Barisan Nasional (BN-BBC), Datuk Bung Moktar Radin pula menafikan rombongan mereka akan menuju Hong Kong esok.

"Mana ada kita ke Hong Kong (esok). Lawatan kita sudah habis hari ini.

"Esok dan lusa sudah ada Ahli Parlimen kita yang mula pulang (ke Malaysia)," katanya.

Bung berkata, dua ahli Parlimen akan pulang esok namun enggan mendedahkan nama mereka.

Selain Fuziah, empat wakil PKR yang kini berada di Taiwan ialah Pengarah Strategi PKR, Saifuddin Nasution, Ketua Penerangannya, Tian Chua serta Ahli Majlis Tertinggi. Low Chee Chong dan Ketua Penerangan Wanita PKR, Elizabeth Wong

Tian berkata, sehingga kini Pakatan Rakyat berkeyakinan bahawa pada 16 September ini kerajaan baru persekutuan akan dibentuk.

“Hingga kini kami telah berjaya... langkah seterusnya berkaitan dengan perkara-perkara teknikal iaitu sama ada kita berjaya mengadakan pertemuan dengan Agung dan juga memastikan proses peralihan itu berlaku dengan aman dan teratur,” kata beliau ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang hari ini.

Tambah beliau, setelah wakil PKR pulang Ahad ini, kepimpinan PR boleh membuat satu rumusan dan membuat pengumuman bahawa "kita telah berjaya dalam agenda 16 September."

Dalam pada itu, beliau juga mengesahkan akan mengadakan perbincangan dengan sebahagian Ahli Parlimen BN mengenai pelan transfomasi kerajaan pada 16 September seperti yang dirancangkan.

Rombongan seramai 49 Ahli Parlimen iaitu anggota Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BN-BBC) kini berada di Taiwan sempena lawatan sambil belajar pertanian berteknologi tinggi.

Mereka dijadual pulang ke tanah air pada 17 atau 18 September ini.

PKR, salah satu parti komponen Pakatan Rakyat, memutuskan untuk menghantar kumpulan lima wakil itu pagi semalam.

Click Here!

No comments:

Terima kasih kerana sumbangan anda. Sumbanglah untuk kebaikan perjuangan kita bersama.

Can't find what you're looking for? Try Google Search!

Google
 

ANDA ADA MAKLUMAT ISU NEGARA?

Sila emailan kepada saya di seramaesty@yahoo.com atau hubungi saya di talian 013-9060111.

TERIMA KASIH ATAS KERJASAMA ANDA

Feedback Form

Join the Mailing List
Enter your name and email address below:
Name:
Email:
Subscribe  Unsubscribe 

Dr. Irfan menjelaskan Perniagaan Internet secara mudah kepada anda

Free Viral Advertising