Saya Suhaimi Taib, mendapat Sijil Pentadbiran Islam dari Kusza Kuala Terengganu (2002), Kursus Penerbitan Video Koperat Universiti Malaya (2003), Pengarang Warta Darul Iman (2000-2003) Penerbit Siaran Darul Iman (2003-2004), Wartawan Sambilan Berita Harian (1997-1998), Wartawan Harakah (1989-1996).
Menerima Anugerah kewartawanan Esso-Kawat (1997 dan 1998)

Hubungi saya melalui e-mel: seramaesty@yahoo.com atau H/P No: 013-9060111.

Monday, September 22, 2008

9 Okt ibarat 'dengar guruh di langit'

"Jangan kerana mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan", demikian nasihat beberapa pemimpin Umno bahagian kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Presiden Umno minggu lepas digesa meletakkan jawatan tersebut sebelum mesyuarat bahagian-bahagian bermula pada 9 Oktober kerana dibimbangi beliau tidak mendapat cukup pencalonan.

Desakan itu - sebahagian strategi untuk menyegerakan peralihan kuasa kepada timbalannya Datuk Seri Najib Razak - disuarakan oleh beberapa anggota Majlis Tertinggi (MT), termasuk anggota-anggota kabinet, Khamis lalu.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin bahagian yang dihubungi Malaysiakini hari ini percaya suara-suara itu membuat keputusan "terlalu awal" kerana mesyuarat belum bermula.

Abdullah memerlukan pencalonan kira-kira 60 bahagian untuk layak bertanding.

Ketua bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata saranan seumpama itu "permainan orang yang gila hendak bertanding."

"Mesyuarat bahagian pun belum lagi, mana tahu mereka tidak sokong Abdullah? Kalau satu, dua bahagian mungkin adalah (yang tidak mencalonkannya).

"Permainan ini dibuat oleh agen-agen politik yang mahukan naib presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin bertanding jawatan tersebut," katanya.

Di Pulau Pinang, tambahnya, sebahagian besar bahagian dipercayai akan mencalonkan Abdullah kerana beliau pengerusi perhubungan Umno dan juga perdana menteri.

Musa menambah, ahli-ahli akar umbi di negeri itu mahu presiden Umno erus menerajui parti selepas Disember ini.

Ketua bahagian Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman pula berkata, jika hanya beberapa anggota MT menggesa sedemikian bukan bermakna ia tidak mahu beliau bertanding.

Masing-masing membuat ramalan sedangkan, tambahnya, cara terbaik ialah menunggu bahagian mengadakan mesyuarat terlebih dahulu.

"Adakah kalau Abdullah berundur cepat, ia boleh menguatkan Umno? Jangan kerana mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan," katanya.

Ketua bahagian Umno Selayang, Datuk Ahmad Bhari Abdul Rahman berkata, cakap-cakap Abdullah bakal menghadapi masalah kuota pencalonan satu usaha meminggirkan perdana menteri.

"Dakwaan bahawa Abdullah tidak cukup pencalonan merupakan andaian sahaja kerana mesyuarat bahagian belum bermula," katanya.

Beliau menambah, jika kepimpinan tinggi Umno saling cabar-mencabar ia akan merebak sampai ke bawah.

Katanya, jika ia berlaku, Umno akan mengulangi peristiwa 1987 yang menyaksikan perpecahan dua puak dalam parti itu sebelum ia kemudiannya diharamkan.

Timbalan ketua bahagian Umno Semberong, Abidin Abdul Rahman berkata, Abdullah perlu mendapatkan maklumat yang jelas sebelum membuat sebarang keputusan.

Katanya, sebagai presiden parti, Abdullah tidak boleh terpengaruh dengan dakwaan bahawa beliau tidak cukup pencalonan.

Bagaimanapun, jika sahih bahagian-bahagian tidak mahukan beliau lagi, Abdullah tiada pilihan lain kecuali berundur.

"Dalam sejarah Umno, orang lebih sayangkan parti daripada individu.

"Lihatlah apa yang berlaku kepada bekas presiden Tun Dr Mahathir Mohamad selepas meninggalkan Umno, ahli tidak mengikut jejaknya," katanya.

Ketua bahagian Pokok Sena, Datuk Ahmad Lebai Sudin berkata, jika bahagian sudah tidak mahu kepemimpinan Abdullah lagi, beliau tidak akan dicalonkan.

"Kita kena ikut demokrasi, siapa yang ramai orang sokong, dialah yang jadi pemimpin," katanya.

Manakala ketua bahagian Seremban, Datuk Ishak Ismail berkata, Abdullah perlu melihat kehendak ahli-ahli terhadap kepimpinannya sekarang.

Katanya, jika ramai yang bercakap mereka tidak mahu lagi, Abdullah perlu berundur.

"Sebagai pemimpin, beliau perlu mengutamakan kepentingan parti dan bukannya kepentingan peribadi," katanya.

Ishak berkata, jika Abdullah berkeras mahu mempertahankan jawatan presiden, dan ada calon lain yang mahu bertanding, Umno akan berpecah-belah selepas perhimpunan agung kelak.

Ditanya calon yang paling sesuai dicalonkan sebagai presiden Umno, Ishak berkata, "orang ramai mahukan Datuk Najib".

"Orang kata, Abdullah sudah hilang kawalan dan kerana itu Umno perlukan nakhoda yang baru.

"Tengku Razaleigh Hamzah tidak sesuai menjadi presiden parti kerana sudah lanjut tempoh," katanya.

Timbalan ketua bahagian Semporna, Datuk Nasir Sakaran pula berkata, isu tersebut perlu diselesaikan oleh pucuk pimpinan tertinggi Umno.

Katanya, beliau enggan mengulas panjang perkara tersebut dengan alasan tidak mahu menimbulkan kontroversi di dalam parti.

"Apa yang penting ialah sama-sama mencari jalan menyatupadu dan mengukuhkan parti.

"Cakap-cakap yang keterlaluan bukan untuk mengukuhkan parti tetapi boleh menyebabkan ahli berbelah bahagi terhadap pucuk pimpinan," katanya.

Sementara naib ketua bahagian Pasir Mas, Che Johan Che Pa, berkata cara terbaik ialah memberi peluang kepada perwakilan bahagian menentukan pemimpin parti.

Katanya, ahli Umno yang lebih mengetahui pemimpin yang baik untuk parti itu.

No comments:

Terima kasih kerana sumbangan anda. Sumbanglah untuk kebaikan perjuangan kita bersama.

Can't find what you're looking for? Try Google Search!

Google
 

ANDA ADA MAKLUMAT ISU NEGARA?

Sila emailan kepada saya di seramaesty@yahoo.com atau hubungi saya di talian 013-9060111.

TERIMA KASIH ATAS KERJASAMA ANDA

Feedback Form

Join the Mailing List
Enter your name and email address below:
Name:
Email:
Subscribe  Unsubscribe 

Dr. Irfan menjelaskan Perniagaan Internet secara mudah kepada anda

Free Viral Advertising