
Jaminan pemimpin Umno Terengganu bahawa Kerajaan Negeri pimpinan mereka tidak akan mengamalkan budaya membalas dendam terbukti meleset, dan ia disifatkan sebagai hanya omong kosong semata-mata.
Ini kerana lebih 1,000 penjawat awam yang dilantik kerajaan PAS sebelum ini dilucutkan jawatan masing-masing hanya dalam masa beberapa hari selepas kerajaan bertukar tangan.
Menteri Besar, Datuk Idris Jusoh sebagaimana dilaporkan sebuah akhbar harian pada 26 Mac 2004 berkata, kerajaan negeri pimpinannya tidak akan sewenang-wenangnya memecat penjawat awam yang dilantik semasa kerajaan PAS.
Sebaliknya mereka mendakwa menggunakan pendekatan kasih sayang dalam pentadbirannya.
"Dalam budaya kasih sayang ini, kita harus teliti dan berhati-hati dalam apa jua tindakan.
"Kita tidak perlu gopoh dan mengambil tindakan yang dianggap membalas dendam," kata Idris (Pak Yeh).
Beliau dilaporkan berkata demikian selepas upacara mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar di hadapan Sultan Terenganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada 25 Mac 2004.
Kenyataan itu bagaimanapun amat bercanggah dengan tindakan yang diambil oleh pentadbirannya beberapa hari sebelumnya.
Seawal 23 Mac (dua hari sebelum Idris mengangkat sumpah jawatannya) sudah ada beberapa pegawai tinggi dalam perkhidmatan negeri yang dilantik secara kontrak telah ditamatkan perkhidmatan mereka serta-merta.
Antara mereka ialah Pengarah Yayasan Terengganu (YT), Haji Yusof Tahir, Pengarah Yayasan Islam Terengganu (YIT), Haji Omar Sidek, Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Haji Mohd Deraman dan Timbalan Mufti Negeri, Haji Zainal Abidin Ahmad.
Turut menerima surat penamatan perkhidmatan masing-masing ialah Ketua Hakim Syarie, Dato' Dr. Abdullah Abu Bakar, Pesuruhjaya Hisbah, Haji Nordin Saidin dan Pengarah Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Prof. Madya Anwar Zainal Abidin.
Tindakan yang jelas bersifat balas dendam politik itu membabitkan 448 pegawai Unit Pembangunan Insan (UPI) seluruh negeri, lebih 300 mubaligh/mubalighah, kakitangan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT) dan ratusan lagi Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Jumlah itu mencapai angka ribuan jika diambilkira Ahli Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) dan Jawatankuasa Masjid Mukim di seluruh negeri yang telah dilucutkan jawatan masing-masing oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
Apakah yang dikatakan 'jaminan tidak balas dendam' itu?





