Pada 29 November lalu, satu ceramah umum diadakan di Kampung Pantai Pandak Chendering, Kuala Terengganu, kampung saya. Kehadirannya ramai sekali sehinggakan derma tidak dapat diumumkan di akhir majlis tersebut kerana masih dikira.
Derma tersebut antara lain disumbangkan bagi mengheret polis dan Kerajaan Malaysia ke mahkamah atas pengunaan peluru hidup dalam Tragedi Berdarah 8 September di Batu Burok, Kuala Terengganu.
Saya menjangkakan 20 ribu orang hadir pada malam itu. Isu menarik ialah berkait dengan Monsoon Cup yang berakhir hari ini (2 Disember). Ramai yang berceramah pada malam itu termasuk, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dato' Haji Wan Abdul Muttalib Embong, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Haji Mustafa Ali dan Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu, Haji Mohd Abdul Wahid Endut.
(KLIP VIDEO) Sedutan ucapan Dato' Haji Wan Abdul Muttalib di majlis berkenaan.
Cuaca agak baik pada malam itu dan agak memberangsangkan ialah ceramah malam itu mendapat permit polis. Dua anggota polis tidak beruniform dari Balai Polis Chendering datang menemui tuan rumah untuk mendapat maklumat mengenai ceramah termasuk nama beliau dan lain-lain.
Pihak penganjur mengucapkan terima kasih kepada pihak polis kerana kerjasama polis cukup baik pada malam itu.
Monsoon Cup menjadi fokus utama ceramah malam itu kerana ceramah diadakan ketika pertandingan berprestij itu (kononnya) berlangsung di muara Sungai Terengganu tanpa angin kencang, tanpa hujan ribut. Saya sifatkan sebagai pertandingan dalam kolam sebagaimana saya nyatakan kepada TVPAS.Com.
Difahamkan Umno telah mengadakan majlis doa selamat untuk memohon supaya angin ribut bertandang ketika pertandingan itu berlangsung. Biasanya doa selamat untuk memohon supaya Allah tidak turunkan hujan dan angin ribut tetapi Umno minta itu semua untuk Monsoon Cup.
Khatib-khatib disediakan khutbah mengenai mansoon cup untuk dibaca di masjid-masjid kerajaan.
Saya meninjau sekitar pertandingan itu, apa yang berlaku tidak ada apa yang hebat pertandingan itu. Orang ramai tidak faham apa kaedah dipakai untuk menentukan kemenangan atau kekalahan pertandingan tersebut.
Tidak ada cabaran pertandingan dilihat, tidak ada kemeriahan. Hanya pembaziran, bukan peluang untuk rakyat mencari makan dengan projek tersebut. Peluang yang digembar-gemburkan itu diperolehi oleh Petrick Lim yang ada hubungan keluarga dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi.
Rakyat Terengganu bolehlah berpeluang untuk jual goreng pisang di tepi jalan. Sekadar itu sahaja untuk rakyat negeri itu mencari rezeki?
Jadi apa peluang sebenarnya untuk rakyat Terengganu hasil dari pembangunan yang dibawa masuk ke negeri itu?
Rakyat susah terus menanggung kesusahan. Pemimpin Umno terus mengaut hasil dan mencipta harta dengan peluang-peluang disediakan oleh Barisan Nasional (BN) di negeri itu melalui wang rompakan royalti petroleum dan gas.
Jadi, apa faedahnya rakyat Malaysia membela dan menyokong BN terus menerus sampai mampus? Tidak ada gunanya kita berbuat demikian. Ubahlah terus hidup kita dengan menukar BN (Barang Naik) kepada kerajaan baru Barisan Alternatif (BA) dalam pilihan raya umum akan datang.
Kita pasti dan saya yakin satu paradigma perubahan hidup rakyat akan berlaku dengan jayanya dalam jangka masa empat atau lima tahun pemerintahan itu. Mereka akan mendapat pembelaan sewajarnya kerana BA adalah suara rakyat dari semua lapisan masyarakat, bukan suara kroni atau golongan tertentu di kalangan rakyat.





