Pilihan raya umum semakin hampir. Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) difahamkan berkata, kursus kepada pegawai pusat mengundi dibuat selama sebulan setengah di seluruh negara mulai sekarang. Ertinya awal tahun depan, kemungkinan pilihan raya umum ke 12 akan dilangsungkan.
Yang paling penting dari semua itu ialah menentukan tarikh pilihan raya dari satu penggal ke satu penggal secara tetap dan diumumkan kepada rakyat seperti dilaksanakan beberapa negara maju di Asia bukan ditetapkan oleh Perdana Menteri semata-mata sebagaimana dibuat di Malaysia.
Jika tidak sistem demokrasi negara Malaysia masih ada prejudis dari segi ketidakadilannya kerana ia menguntungkan pihak parti pemerintah yang ketua partinya berkuasa menentukan tarikh pilihan raya umum.
Difahamkan jika dirasakan dan berdasarkan kajian serta laporan yang dibuat oleh unit risikan politik polis dan tentera bahawa tarikh yang dinyatakan itu sesuai untuk diadakan pilihan raya umum kerana ia boleh memenangkan BN, maka Perdana Menteri mengambil kira semuanya itu untuk menentukan tarikh pilihan raya.
Fokus BN ialah memenangkan parti itu dalam pilihan raya walau apa cara sekalipun. Bagi saya, faktor tarikh yang tidak ditetapkan lebih awal, menimbulkan kesan terhadap sejauh mana ia memberi kemenangan kepada BN dalam sesuatu pilihan raya umum kerana sudah pasti seorang Perdana Menteri yang dilantik oleh partinya untuk menduduki kerusi itu sudah semestinya mencari formula dan tarikh yang sesuai untuk tujuan tersebut.
Sebaliknya ia ditetapkan lebih awal, ia memberi ruang terbuka untuk demokrasi bergerak dengan subur di mana masing-masing parti merancang lebih awal dan secara lebih terancang bagi menghadapi pilihanraya umum yang tarikhnya ditetapkan sebagaimana countdown yang dibuat oleh pihak sekolah bagi menghadapi sesuatu peperiksaan yang ditetapkan tarikhnya lebih awal oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia.
Justeru, empat cadangan kepada Yang Dipertuan Agung untuk melihat demokrasi dalam pilihanraya dilaksanakan dengan bersih dan saksama, masih perlu beberapa sokongan perkara lain termasuk menetapkan tarikh pilihan raya lebih awal sejurus selesai keputusan pilihan raya umum dibuat.
Parti pemerintah tidak ada hak menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen termasuk media massa pemerintah. Jika BN mahu menggunakan juga medianya sendiri. Kerajaan mestilah membenarkan parti-parti lain menerbitkan media termasuk Televisyen (TV) sendiri dengan bebas sebagaimana diperuntukkan kepada Umno atau BN.
Ini kerana semua parti termasuk Umno, bebas dan berhak menyampaikan visi dan misi melalui media mereka tanpa sekatan di bawah Perlembagaan Persekutuan melainkan berbau perkauman dan fitnah menyentuh peribadi tertentu.
Jika tidak, jangan ada pihak mendabik dada dan bongkak mendakwa negara telah mengamalkan demokrasi berparlimen dengan betul apabila berjaya mengadakan pilihan raya dan membenarkan mana-mana parti yang berdaftar dengan pendaftar Pertubuhan menyertai pilihan raya itu.





